TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 10 Julai 2011

Rahmat menjelang Ramadan


Oleh Nasir Abd Wahab dan Zulhilmi Hat, bhnews@bharian.com.my
2011/07/09

Doa isteri, pengalaman bantu dua muncul juara

"SAYA percaya kejayaan ini berkat doa isteri selain usaha dan tawakal menyertai pertandingan memancing berprestij ini,” kata Mohamad Roddy Shalim Miskan, 31, yang menjuarai Karnival Memancing GP Joran Pusingan Ketiga bagi Kategori Laut di Kuala Pahang, Pekan, Ahad lalu.

Ikan ebek seberat 10.28 kilogram (kg) yang ditawan menggunakan umpan sotong hidup membolehkan Mohamad Roddy dari Johor membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 serta hadiah iringan daripada penaja.

Beliau berkata, linangan air mata isteri yang menemani sehingga ke jeti seolah-olah memberi kekuatan kepadanya memancing ke tengah laut dengan bersungguh-sungguh bersama rakan lain untuk memastikan mampu memperoleh tangkapan besar.

Katanya, sikap berhati-hati mengawal setiap tali kail tanpa putus membantu menaikkan ikan itu dan lebih bermakna, ebek yang ditawan melayakkannya muncul juara sekali gus mengubah sedikit corak kehidupan keluarga, lebih-lebih lagi bagi menyambut kedatangan Ramadan tidak lama lagi.

“Ketika di laut, sayu terkenang wajah isteri yang tidak putus-putus mendoakan kejayaan saya. Terima kasih kepada isteri yang memahami minat saya selama ini... wang kemenangan ini untuk keluarga kita,” katanya yang bakal menggunakan wang kemenangan itu untuk membuat persiapan bagi menyambut Ramadan dan Aidilfitri, bulan depan.

Bercerita lanjut pengalaman menaikkan ebek, Mohamad Roddy berkata, umpan sotong hidup digunakannya sekitar lubuk Karang Batu tidak mengecewakan apabila terus diragut ikan yang terkenal dengan daya juang cukup tinggi itu.
“Selepas tekong memberitahu lubuk Karang Batu mempunyai ikan pelagik seperti ebek dan gerepoh, saya pantas menurunkan umpan sotong di lubuk itu dan tidak menunggu lama apabila umpan terus dilarikan ikan. Hampir 15 minit bertarung dengan ebek sebesar gitar berwarna perak itu yang mengelilingi hampir separuh bot kami,” katanya.

Sementara itu, pengalaman serta kelebihan beraksi di gelanggang sendiri membolehkan gelaran juara Kategori Pantai menjadi milik Faudzi Mohamed, 53, dari Pekan dengan tangkapan pari seberat 19.38kg.

Kemenangannya nyata dikagumi kira-kira 700 pemancing lain kerana begitu arif memikat selera pari di Pantai Kuala Pahang tanpa perlu menunggu lama. Hanya selepas 20 minit hon pertandingan dibunyikan, jorannya sudah melentur hebat tanda mangsa besar sudah mengena.

Tanpa berahsia, Faudzi mendedahkan resipi mujarabnya adalah menggunakan udang hidup yang disauk sekitar Pantai Tanjung Selangor beberapa jam sebelum mendaftar sebagai peserta.

“Kelebihan sebagai anak jati daerah ini yang tahu seelok belok selera ikan membawa kejayaan paling bermakna kepada saya dan keluarga,” kata pesara berkenaan.

Hadiah kepada pemenang utama disampaikan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail pada majlis turut dihadiri Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A Talib dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid.

Hadir sama, Ketua Penolong Pegawai Daerah Pekan, Shahid Ismail; Penghulu Mukim Kuala Pahang, Ismail Othman dan Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan Pekan, Zamri Mohamad.

Pemenang kedua Kategori Laut ialah Zulkarnain Mohd Ali, 32, dengan tangkapan tenggiri 7.32kg dan ketiga, Mohd Nazli Md Dali, 35, juga tenggiri seberat 7.3kg, manakala naib johan Kategori Pantai milik Asram Abas, 42, dan ketiga, Yuswady Adam, 41, dengan masing-masing menawan pari.

Tempat kedua dan ketiga kedua-dua kategori, masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan RM4,000 bersama hadiah iringan daripada penaja.

Antara penaja Karnival Memancing GP Joran Pusingan Ketiga 2011, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), TCE Tackles Sdn Bhd, Nestle Product Sdn Bhd (Nestle/Maggi), Universal Fitness & Leisure (UFL-COLEMAN), Adabi Consumer Sdn Bhd (ADABI), Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, Axis Kay Trading Sdn Bhd dan Sar Technologies & Trading.

Karnival kali ketujuh di Kuala Pahang ini dijayakan dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Pekan, Pejabat Daerah Pekan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), disertai hampir 1,500 peserta bagi kedua-dua kategori. Pusingan akhir Grand Slam GP Joran akan menemui pemancing di Teluk Lipat, Kuala Dungun, Terengganu, Oktober ini.

Source: Joran – Berita Harian Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran