TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 10 Julai 2011

Kesan akibat boikot filem Hollywood

Oleh Saharudin Musthafa dari Jakarta

TEMAN-TEMAN dari Malaysia di Jakarta serta rakyat tempatan merungut kerana tidak berpeluang menonton filem Transformers: Dark of the Moon di pawagam di Indonesia gara-gara pemerintah negara ini yang tidak membenarkan tayangan filem-filem Hollywood kelas A.

Itu belum lagi keluhan kaki wayang mengenai nasib filem terakhir Harry Porter yang direncanakan bakal ditayangkan di seluruh dunia pada 14 Julai ini. Nampaknya, pencinta filem di Indonesia terpaksa berputih mata dan hanya mampu menelan air liur mendengar ulasan filem berkenaan.

Akibat keputusan tegas kerajaan Indonesia tidak membenarkan tayangan filem Hollywood kelas A di negara ini, ia mendesak sebilangan besar rakyat negara ini terbang ke Kuala Lumpur atau Singapura untuk memastikan mereka tidak ketinggalan menonton filem-filem import terbaru itu.

Wang bukan lagi ukuran kepada penonton tegar filem kerana yang penting menonton wayang membebaskan minda daripada segala masalah selepas dibelenggu masalah kerja atau konflik peribadi.

Seperti kata Ratna Dewi, editor di sebuah majalah filem, kebiasaannya dia akan menghabiskan masa sebanyak tiga hingga empat kali seminggu untuk menonton wayang di pawagam.

Berbeza dengan teman-temannya yang lebih suka membeli pakaian dan kasut, hobi Ratna menonton filem-filem baru sebagai menambahkan pengetahuannya untuk kerjayanya serta membebaskan diri daripada tekanan kerja.

"Pada saya, kesihatan mental lebih baik daripada memiliki wang yang banyak. Menonton filem memberi kelegaan kepada saya," katanya yang semenjak kerajaan mengharamkan tayangan filem Hollywood dia sering berkunjung ke Singapura untuk menonton filem.

Ada juga seorang kaki filem yang terbang ke Kuala Lumpur awal pagi Sabtu dengan beberapa temannya dan kembali semula ke Jakarta pada hari Ahad menaiki pesawat terakhir semata-mata kerana mahu melepaskan gian menonton filem.

Merebut

Kedua-dua pencinta filem itu mungkin hanya satu daripada berpuluh atau mungkin beratus contoh rakyat Indonesia yang memilih jalan sendiri untuk merebut peluang menonton filem antarabangsa.

Barangkali juga, kepada mereka yang memilih untuk menonton wayang di luar negara tentunya selepas ini mempunyai sebab untuk memperbaharui pasport antarabangsa mereka!

Dari satu aspek lain, apabila rakyat tempatan memilih untuk menonton filem di luar negara ia memberikan satu petunjuk bahawa dasar pemerintah benar-benar tidak berpihak kepada industri filem serta memberi kejutan yang luar biasa kepada masyarakat.

Keluhan demi keluhan disuarakan peminat filem Indonesia terhadap keputusan yang diambil oleh pemerintah negara ini sejak Mac lalu. Kepada mereka, ini merupakan tindakan paling kurang bijaksana.

Semua ini berlaku akibat daripada tercetus perdebatan di antara jabatan percukaian negara dengan Motion Picture Association (MPA) berhubung isu levi ke atas filem antarabangsa yang ditetapkan oleh pemerintah.

Sebetulnya, dalam mencari titik penyelesaian untuk merungkai persoalan itu haruslah dengan cara melihat isu berkenaan dari perspektif yang lebih besar dan hasil kajiannya kelak akan memberi manfaat yang besar kepada kedua-dua pihak.

Lalu, kerana masalah tidak dapat diselesaikan sejak berbulan-bulan ia sekali gus membuatkan industri pawagam Indonesia berhadapan dengan masalah untuk menarik perhatian penonton.

Realitinya, boikot filem Hollywood hanya membawa keperitan kepada rakyat tempatan sendiri kerana ia menyaksikan betapa hal ehwal pengurusan industri ini tidak ditangani dengan berhemah dan bijaksana.

Pada masa sama, dalam memberi tumpuan khusus isu ini, tentunya pihak yang paling gembira dan meraikan kemenangan ialah usahawan cetak rompak yang khabarnya menyaksikan peningkatan jualan secara haram yang semakin mendadak.

Berdasarkan laporan media tempatan, jualan DVD cetak rompak filem antarabangsa meningkat sehingga 50 peratus semenjak boikot itu dilancarkan awal tahun ini.

Namun, yang berhadapan dengan kegelisahan tentunya pula pengusaha pawagam tempatan yang terpaksa menerima hakikat bisnes mereka menjunam sehingga 60 peratus hanya kerana filem Hollywood kelas A tidak dapat ditayangkan di Indonesia.

Kesan lain yang cukup ketara berlaku juga ialah, sebilangan besar para pemilik pawagam di pelbagai pusat membeli-belah sudah mula melakukan usaha mengurangkan kos operasi dengan memberhentikan kakitangan misalnya kerana tidak mahu lagi terbeban dengan perniagaan yang tidak mendatangkan hasil.

Ketika filem Hollywood kelas A tidak dibenarkan ditayangkan di pawagam, seharusnya inilah ruang terbaik untuk filem-filem tempatan menguasai pawagam ketika tiada saingan dari luar. Sayang sekali tidak pula kedengaran laporan filem-filem Indonesia mencipta rekod kejayaan yang besar di pawagam.

Atau mungkin juga rakyat Indonesia lebih suka duduk di rumah menonton televisyen kerana sinetron-sinetron yang ditayangkan di sebilangan besar stesen televisyen tempatan juga sudah cukup untuk membuatkan masyarakatnya tidak perlu berbelanja untuk menikmati hiburan di luar.

Source: Mingguan Malaysia Online

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran