12/07/2011
NAMPAKNYA Mesir terpaksa membayar harga yang amat tinggi selepas sekumpulan besar rakyatnya melancarkan revolusi untuk menggulingkan rejim Hosni Mubarak.
Memang benar mereka mencapai matlamat menyingkirkan Mubarak tetapi tuntutan atas nama demokrasi itu nyata tidak membawa perubahan ketara terhadap rakyat dan negara yang kaya dengan ketamadunan ini.
Rakyatnya dilihat berdepan dengan kepayahan yang lebih hebat berbanding sebelum revolusi itu dan Mesir pula dihimpit dengan kesukaran untuk memulihkan ekonominya berikutan ketidakyakinan pelabur asing.
Laporan agensi asing menyatakan revolusi 18 hari itu, bermula pada 28 Januari lalu menyebabkan pertumbuhan tahunan Mesir menyusut kepada kurang daripada dua peratus berbanding unjuran lima peratus sebelum ini selain nilai mata wangnya mengecil sebanyak 25 peratus.
Mesir, yang menjadikan pelancongan sebagai antara penjana pendapatannya, juga terpaksa akur dengan kemerosotan industri itu sehingga 40 peratus akibat revolusi itu.
Ketika berkunjung ke Mesir bersama-sama Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta ) baru-baru ini, didapati negara yang terkenal dengan Piramid dan Sphinx itu mungkin memerlukan masa yang amat panjang untuk memulihkan ekonominya selain kembali memperkasa sektor pendidikan, perumahan dan kesihatan untuk rakyatnya.
Melihat kepada keadaan di ibu negaranya, yang padat dengan 22 juta penduduk, sudah cukup menggambarkan keadaan di Mesir boleh diumpama marahkan nyamuk, kelambu dibakar.
Kerana individu bernama Hosni Mubarak, banyak sekali vandalisme dilakukan rakyatnya ketika revolusi itu.
Bangunan-bangunan yang sepatutnya menjadi penunjuk pembangunan negara ini dibakar dan dirosakkan kerana amarah terhadap Mubarak.
Ini termasuk bangunan ibu pejabat National Democratic Party (NDP) pimpinan Mubarak di Dataran Tahrir yang musnah dibakar dalam revolusi itu.
Mujur, Muzium Mesir yang terletak bersebelahan bangunan NDP tidak dibakar walaupun mengalami kerosakan akibat beberapa cubaan mencuri artifak.
Selain itu, banyak projek perumahan yang terbengkalai akibat revolusi yang memaksa pembelinya memasuki rumah yang belum siap itu ekoran sudah mengambil pinjaman bank.
Menurut pemandu pelancong, harga seunit pangsapuri dua bilik di pinggir Kaherah ialah kira-kira 95,000 pound Mesir manakala tiga bilik berharga 150,000 pound dengan kadar faedah tinggi dan tempoh bayaran balik yang singkat.
Seorang penuntut dari Singapura yang hanya dikenali sebagai Zakiah berkata beliau terpaksa membayar sewa tinggi untuk seunit pangsapuri dua bilik di pinggir Kaherah.
"Sebagai langkah berjimat-cermat, saya memasak di rumah, ada kalanya saya melakukan kerja sampingan," kata pelajar jurusan pelancongan ini.
Lebih mengejutkan ramai penduduk Kaheran kini menjadikan kawasan perkuburan sebagai tempat tinggal akibat kemiskinan.
Beberapa rakyat Mesir yang ditemui mengakui kesukaran yang dihadapi mereka selepas memilih untuk menyokong revolusi itu.
Mohamed Hasan, 35, berkata beliau mahukan Mesir yang aman dan diterajui pemimpin adil dan bijak.
"Itulah tujuan kami melakukan revolusi. Tetapi, nampaknya keadaan semakin sukar selepas itu.
"Saya bersyukur kerana masih bekerja. Ketika revolusi, hotel kami tidak menerima tetamu langsung. Tempahan yang dibuat juga dibatalkan," katanya yang bekerja di sebuah hotel di 6th October City.
6th October City, kira-kira sejam perjalanan dari Kaherah, menampilkan sisi berbeza apabila dilihat lebih membangun dengan deretan banglo mewah yang berharga jutaan pound Mesir, hotel-hotel bertaraf lima bintang, gudang beli-belah dan berdekatan dengan Bandar Pintar, yang menempatkan hampir 100 syarikat ICT dan kewangan terkemuka.
Mohamed berkata ramai rakannya diberhentikan kerja semasa revolusi itu.
"Keadaan sudah pasti sukar bagi mereka," katanya yang mengakui taraf pendidikan tinggi memain peranan dalam mendapatkan pekerjaan di negara yang mempunyai 80 juta penduduk ini.
Khalid Abdul Fatah, 29, juga mengakui keadaan yang sukar bagi rakyat Mesir selepas revolusi itu.
Khalid, yang fasih berbahasa Melayu setelah pernah bekerja lima tahun di Malaysia, berkata rakyat Mesir perlu memikirkan soal masa depan dan bekerja lebih keras untuk kembali membantu memulihkan ekonomi Mesir.
"Sekarang, usaha perlu tertumpu kepada langkah memulih dan membangunkan ekonomi Mesir. Lihat sahaja Malaysia, bagaimana negara anda membangun dengan pesat selepas merdeka. Yang penting, ia diterajui pemimpin yang bijak dan adil," katanya yang bertugas dalam sektor pengangkutan.
Itulah harga revolusi era moden di Mesir. — BERNAMA
Source: Utusan Malaysia Online.
TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Selasa, 12 Julai 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
By Idris Talu Pantai Pasir Panjang, di daerah Manjung, Perak memang cukup indah. Pantainya cukup panjang, sesuai dengan namanya. ©IdrisTalu@...
-
إدريس تالو Idris Talu Sekumpulan ribuan ikan bilis yang penulis temui berlegar-legar di jeti Pulau Manukan, Sabah. http://idristalu...
-
By Idris Talu Kenangan semasa bekursus peringkat awal di Telecom Training College, Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Mengikut catatan di belaka...
-
By Idris Ismail Talu. Pahang Club di Kuala Lipis, Pahang. Banyak kenangan semasa bertugas di sini awal 1970an dahulu. Pahang Club dibina sej...
-
Meriam Malam Raya 2009 Kg Talang Video- ihsan Youtube.
-
By Idris Ismail Talu. Cucu Idris Talu sudah pandai makan roti. Senyum kat atok tu! http://idristalu.blogspot.com/
-
Info tambahan tentang Pesta Makanan Tradisional Lenggong: Selamat Datang ke Lenggong. Idris Talu
-
By Idris Talu The widening (extension) from four-lane to eight-lane PLUS highway along the Ipoh township for the purpose of reducing traffi...
-
Pesta Makanan Tradisional Lenggong 2014 Tarikh: 10 - 11 Januari 2014 Tempat: Dataran Lenggong. Pelancaran oleh: YB Dato...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan