MEDIA Prima Bhd (MPB), kumpulan media bersepadu terulung
negara, komited untuk terus mengekalkan kedudukan Harian Metro sebagai akhbar
nombor satu di Malaysia.
Pengerusinya, Datuk Johan Jaaffar berkata, walaupun akhbar
dunia berdepan cabaran hebat dan mengalami corak penurunan jumlah pembaca,
Harian Metro terus menunjukkan prestasi sebaliknya dari tahun ke tahun.
“Harian Metro kini mempunyai edaran purata kira-kira 400,000
naskhah dengan jumlah pembaca mencecah 4 juta orang sehari. Ini satu fakta yang
sangat menarik dan Harian Metro, dari tahun ke tahun terus menunjukkan prestasi
menakjubkan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan MPB di
Petaling Jaya, semalam.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Amrin
Awaluddin berkata, pihaknya merancang strategi ampuh bagi memastikan Harian
Metro terus mendapat tempat di hati pembaca.
“Cabaran utama kini ialah persaingan untuk mengekalkan
kedudukan di tempat teratas dengan memastikan kualiti kandungan dan kreativiti,
sekali gus menawarkan kelainan berbanding pesaing,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, meskipun
mencatat prestasi kewangan lebih rendah dalam suku pertama tahun ini berbanding
tahun lalu, pihaknya optimis mencapai keuntungan bagi tahun kewangan semasa
didorong penganjuran pelbagai acara besar tempatan dan antarabangsa.
“Suku pertama tahun ini agak lembap berbanding tahun sebelum
ini berikutan banyak pengiklan mengamalkan sikap berhati-hati dengan suasana
perniagaan. Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk membuat sebarang ulasan
mengenai prestasi penuh bagi tahun kewangan semasa.
“Secara tradisinya, apabila ada acara besar dunia contohnya
ketika krisis dalam 2008 apabila perniagaan seluruh dunia mengalami pertumbuhan
negatif, perbelanjaan pengiklanan yang menyumbang 95 peratus kepada pendapatan
syarikat, menunjukkan prestasi baik didorong penganjuran acara seperti
kejohanan bola sepak Euro dan Sukan Olimpik di Beijing. Biasanya juga jumlah
pembaca, edaran dan penonton akan bertambah berlipat ganda ketika musim pilihan
raya,” katanya.
Menurutnya, menuju ke depan, MPB akan melaksanakan strategi
seperti melabur dalam kandungan dalam semua landasan media, meningkatkan
sumbangan pendapatan pengedaran menerusi lebih banyak landasan dan
memperluaskan aktiviti niaga di peringkat serantau.
“Untuk itu, kami akan memberikan tumpuan kepada pelaburan
dalam radio, TV, akhbar atau Internet untuk memastikan semua media mencatat
kedudukan nombor satu di pasaran,” katanya.
Sumber: Harian Metro Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan