Oleh AZMAN IBRAHIM, bisnes@utusan.com.my
SHAH ALAM 19 April - Setelah hampir tiga tahun
memberhentikan perniagaan kenderaan terpakai, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn.
Bhd. (Perodua) akan memperkenal semula jenis perniagaan itu, suku ketiga tahun
ini.
Buat permulaan, perniagaan baharu tersebut adalah untuk
memenuhi permintaan penduduk di Lembah Klang.
Perodua juga dijangka menstruktur semula organisasi dan
model perniagaan itu pada pertengahan bulan ini.
Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata,
syarikat juga dalam proses mencari semula bakat dan tenaga kerja yang
berpengalaman dalam jenis perniagaan berkenaan.
Malah, jelasnya, perniagaan kenderaan terpakai Perodua
dijangka menolong rakyat berpendapatan rendah untuk memiliki kenderaan Perodua
pada harga yang berpatutan dan dijamin kualitinya.
Kata Aminar Rashid, pihaknya juga membenarkan konsep
perniagaan tukar beli (trade in).
"Kita akan cari orang berpengalaman di luar sana bagi
membantu mempercepatkan prestasi perniagaan yang baru bermula pada tahun ini,''
katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di sini baru-baru ini
sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM).
Tambah Aminar Rashid, Perodua terpaksa berhadapan dengan
beberapa cabaran dalam perniagaan tahun ini termasuk Garis Panduan Mengenai
Amalan Pembiayaan yang Bertanggung jawab yang ditetapkan Bank Negara Malaysia.
Katanya, garis panduan tersebut telah menjejaskan perniagaan
Perodua terutamanya bagi model Viva.
"Viva merupakan kenderaan untuk kebanyakan pembeli
pertama kali dan ia dianggap kenderaan peringkat permulaan bagi kebanyakan
pemandu.
"Garis panduan yang ditetapkan BNM telah menyebabkan
ramai pembeli tidak mampu untuk memiliki kenderaan,'' katanya.
Ditanya mengenai usaha Perodua untuk menangani masalah
tersebut, kata Aminar Rashid, pihaknya telah bertemu dengan Bank Negara
Malaysia dan mengemukakan rayuan bagi memendekkan tempoh kelulusan bank untuk
pembiayaan kenderaan.
Mengenai skim pembiayaan kenderaan yang akan diperkenalkan
Perodua sendiri, Aminar Rashid berkata, pihaknya masih menjalankan kajian
terhadap pelaksanaan skim itu.
Katanya, Perodua perlu melihat dari aspek praktisnya sama
ada boleh dilaksana ataupun tidak.
Sumber: Utusan Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan