TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 15 April 2012

Sudah tiba masa rakyat Mersing berubah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR, utusanjohor@utusan.com.my

DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

MERSING 14 April – Projek pembangunan pusat peranginan ekopelancongan bersepadu, Mersing Laguna bernilai RM22 bilion di daerah itu diharap menjadikan Mersing sebagai sebuah bandar pelancongan terkemuka di dunia.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, walaupun bandar itu dibuka sejak 1892, sehingga kini masih belum membangun dengan pesat seperti bandar-bandar lain di negeri itu.

Baginda bertitah, bandar itu juga sekadar menjadi laluan dan tempat persinggahan pelancong untuk ke pulau-pulau di sekitarnya.

Titah baginda, penduduk di kawasan tersebut juga masih banyak bergantung kepada kegiatan perikanan yang bermusim dengan sumber pendapatan tidak menentu.

Model projek Laguna Mersing bernilai RM22 bilion yang bakal mengubah landskap Mersing sebagai bandar pelancongan terkemuka di dunia.

“Sudah tiba masanya untuk rakyat saya di Mersing berubah ke arah kehidupan lebih baik dengan sumber pendapatan yang lebih tinggi dan terjamin.

“Sehubungan itu, penduduk Mersing hendaklah mempersiapkan diri untuk merebut peluang pekerjaan dalam bidang pelancongan dan tidak lagi terus menjadi nelayan atau bergantung kepada bantuan kerajaan.

“Anak-anak muda hendaklah mencari ilmu dan kemahiran dalam bidang perhotelan dan pelancongan bagi memenuhi peluang pekerjaan yang diperlukan pada masa akan datang,” titah baginda pada majlis pecah tanah projek itu di Dataran Pulau, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil dan Ketua Pegawai Eksekutif Radiant Starfish Development Bhd., Ungku Safian Abdullah.

Mersing Laguna yang akan menyaksikan transformasi Mersing dari bandar pantai yang sepi kepada destinasi pelancongan antarabangsa itu dibangunkan oleh syarikat Radiant Starfish Development Bhd., dan dijangka siap menjelang 2019.

Pusat peranginan ekopelancongan yang dibangunkan dengan konsep tebus guna tanah di kawasan seluas 809 hektar itu akan dilengkapi dengan 22 buah hotel, 4,000 buah vila dan pangsapuri, kemudahan marina dan beberapa pusat komersial.

Baginda turut mengingatkan supaya tiada mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan dengan membuat bantahan atau tuntutan yang bukan-bukan terhadap projek itu untuk kepentingan sendiri atau politik.

Titah baginda, pihak pemaju dan kerajaan sudah membuat kajian terperinci dan mengambil kira semua faktor termasuk kesan terhadap penduduk dan alam sekitar dalam pembangunan projek itu.

“Saya sendiri akan mengawasi kemajuan projek ini dan memastikannya dibuat dengan baik dan sempurna. Sekiranya penduduk Mersing mempunyai masalah berkaitan projek ini, maklumkan kepada pegawai daerah yang akan menyampaikan masalah tersebut kepada saya,” titah baginda.

Sumber: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran