Zed Zaidi
KUALA LUMPUR: Kebanjiran artis luar yang mencari nafkah
dalam industri hiburan tempatan kini pada tahap yang serius dan memerlukan
kawalan menyeluruh, kata Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman)
Zed Zaidi.
Beliau berkata, langkah tersebut penting memandangkan
kegagalan pihak berwajib untuk berbuat demikian boleh menyebabkan industri
hiburan negara ini satu hari nanti menjadi milik artis-artis luar.
Menurut Zed, pendirian tersebut tidak bermakna beliau menentang
keras kemasukan artis luar ke dalam industri hiburan tanah air tetapi kemasukan
mereka (artis-artis luar) perlu dikawal.
"Tidak dinafikan kemasukan artis-artis luar ke negara
kita bukan sahaja banyak membantu merancakkan industri hiburan tanah air bahkan
juga menggalakkan persaingan antara artis luar dan tempatan. Persaingan
sememangnya bagus.
"Cumanya, jika trend kemasukan mereka tidak dikawal
melalui persatuan, apakah akan terjadi kepada industri hiburan tanah air kita
dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang? Bagaimana pula dengan nasib
artis-artis tempatan negara yang ingin mencari sesuap nasi di buminya
sendiri?" kata beliau dalam program "Dalam Radar", terbitan
Bernama Radio24, baru-baru ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Zed turut melahirkan rasa
kecewanya dengan aspek pengawalan kemasukan artis-artis luar ke dalam industri
hiburan tanah air ketika ini, yang dilihatnya cukup longgar.
Katanya, keadaan sedemikian pula jarang berlaku di negara-negara
lain kerana mereka telah melakukan pengawalan yang ketat terhadap kemasukan
artis-artis luar.
Malaysia, tegasnya, turut mempunyai peraturan berkenaan
namun ia tidak ditekankan secara menyeluruh.
Zed turut menyelar segelintir pihak yang cenderung mengagung-agungkan
artis-artis luar dalam produksi mereka dan menyifatkan tindakan itu sebagai
satu cara untuk meraih keuntungan dan kepentingan diri mereka sendiri.
"Malaysia memiliki penggiat seni yang hebat. Kenapa
artis-artis tempatan tidak diangkat hinggakan perlu menggunakan artis-artis
luar? Hakikatnya, kita mempunyai bakat yang cukup profesional dan bertaraf
antarabangsa," katanya. – BERNAMA
Sumber: Harian Metro Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan