Sumber: Berita Harian Malaysia Online.
Tarikh: 2010/07/21
Etnik Islam di Kemboja rata-ratanya pesawah hidup daif sejak sekian lama tanpa sebarang bantuan kerajaan
YUSOF Mosa, 44, nampak polos dan ceria tetapi dalam dirinya tersimpan penderitaan selama hidupnya setakat ini. Dia tinggal dalam rumah yang cuma berbumbung daun tha (sejenis pokok palma).
Beliau mengusahakan sawah padi seperti 85 peratus penduduk etnik Melayu Cam lain di Kemboja. Jika hasil padi sedikit kerana kemarau atau dilanda banjir, dia sekeluarga seperti rata-rata etnik Melayu Cam lain hanya makan nasi air (bubur) sekali sehari dengan lauk ikan sungai dengan sayur timun, labu, terung atau kangkung.
“Kerajaan tidak membantu kami,” katanya ketika ditemui di Swai Pekau, Tebung Telai dekat Wilayah Kompong Chhnang. Dia boleh berbahasa Melayu dengan baik berbanding majoriti Melayu Cam yang hanya bertutur bahasa Khmer.
Dia berkata, rata-rata tanah di kawasannya kering mulai Januari hingga Mei, tetapi tahun ini banyak sawah masih kering kerana hujan belum turun. Lazimnya, menjelang Mei, petani mula mengusahakan sawah padi, tetapi kerap musnah dilanda banjir menjelang Julai hingga Ogos.
“Tanam padi pun kadang-kadang tak boleh harap langsung kerana banjir. Masa kemarau, pokok kelapa pun mati,” katanya.
Ternakan lazimnya kambing biri-biri dan lembu memakan jerami kering (jembang) yang ditimbun yang cukup untuk setahun.
Suhu musim kemarau mencecah 35 darjah Celsius, tetapi kali ini difahamkan cuaca di Phnom Penh merekodkan paras 42 darjah Celsius.
“Jika panas, Masya-Allah...” kata Mohammath Soleh Ahmad, 30, guru agama masjid Kompong Tralach di Wilayah Kompong Chhnang.
Kini kebanyakan perigi di Kemboja kering kontang dan telaga baru sehingga berbelas-belas meter terpaksa digali untuk mencari sumber air yang baru. Mereka tidak pernah menikmati bekalan air dan elektrik. Rata-rata penduduk juga tidak pernah menonton televisyen dan jika yang memilikinya pun hanya menggunakan bateri sebagai sumber elektrik.
“TV pun cuma hitam putih. Jika pakai TV warna, banyak pakai bateri. Guna TV hitam putih, bateri tahan lima malam, tetapi jika pasang TV warna, bateri cuma bertahan semalaman,” kata guru yang mempunyai 35 murid dan mengajar bahasa Melayu, rumi dan Arab itu.
Kemboja kini dilanda kemarau sejak tujuh bulan lalu. Perigi, satu-satunya sumber bekalan air untuk keperluan harian penduduk, rata-rata kering.
Pengalaman mendorong mereka membina sekurang-kurangnya satu telaga paling dalam di setiap kampung. Jika berlaku kemarau, telaga itu akan menyelamatkan mereka. Satu kes sebuah kampung di Wilayah Stung Treng yang mempunyai 400 keluarga, tetapi kini terpaksa berkongsi sumber air dari sebuah perigi.
Kes lain di Wilayah Kampot, penduduk kampung terpaksa membeli air dari kawasan lain sejak dua bulan lalu untuk keperluan harian. Di kampung yang diduduki penduduk keturunan Khmer pula diberitakan semua telaga kering kontang dan usaha menggali perigi gagal menemui sumber air.
Sebagai guru agama, Mohammath tahu tahap pendedahan ilmu agama dalam kariahnya.
“Ada yang tak boleh mengucap (kalimah syahadah). Ramai tak pandai sembahyang,” katanya yang pernah mendapat pendidikan sekolah pondok di Yala, Selatan Thailand.
Ini antara ancaman paling serius kepada ketahanan jati diri dan sahsiah Melayu Cam.
“Bagaimana anak hendak mengucap atau solat jika ibu bapa mereka jahil. Kekuatan Islam (dalam diri Melayu Cam) di Kemboja tidak ada,” katanya.
Katanya, Melayu Cam juga tidak berpeluang menikmati makanan halal di pasaran. Rata-rata makanan diimport dari Thailand, Vietnam dan China. Namun tinjauan Berita Harian di beberapa pasar mini dan pasar raya di sekitar Phnom Penh, ada minuman tin dan biskut halal diimport dari Malaysia.
Mohammath seperti ratusan guru agama lain di Kemboja tidak bergaji. Dia menyara hidup hasil sumbangan penduduk kampung dan zakat. Dia yang baru mendirikan rumah tangga, beberapa bulan lalu bagaimanapun yakin rezeki tetap ada walaupun sedikit.
“Saya masih ada Allah yang membantu,” katanya.
Namun dia nampak ada cahaya syiar Islam di hujung terowong yang beransur-ansur menyinari kembali kehidupan komunitinya sejak tiga atau empat tahun kebelakangan ini. Contohnya, jika dulu hanya dua atau tiga orang menunaikan solat di masjid, tetapi kini jumlahnya semakin ramai.
Tinjauan Berita Harian menjelang waktu Maghrib di Masjid Antarabangsa di Bung Kork, dekat Phnom Penh mendapati masjid yang besar tersergam itu hanya didatangi beberapa belas orang jemaah. Barisan jemaah diwujudkan di pintu masuk dengan diterangi dua lampu kalimantang.
Bahagian lain masjid gelap gelita. Tiada azan dilaungkan kecuali merujuk azan dari masjid lain. Mungkin masjid itu tidak punya sistem siar raya atau mahu berjimat dalam menggunakan elektrik.
Dalam satu program kemasyarakatan anjuran Kelab Kebajikan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), baru-baru ini, ada pemuda berusia 19 dan 28 tahun yang dikhatankan. Dalam program itu, 600 pek mengandungi beras, minyak masak dan gula diagihkan kepada penduduk. Berpuluh-puluh kanak-kanak pula dikhatankan tiga doktor.
Tinjauan Berita Harian di Swai Pekau turut bertemu pasangan Isa dan Maisom Hassan, 29, bersama bayinya, Fari, 2 bulan dan kakaknya, Fitra, 10. Tubuh Fitra mungkin tidak sampai 20 kilogram dan cuma sebesar budak berusia enam tahun di Malaysia. Dia memakai baju seragam sekolah yang juga baju basahan sehariannya.
Warna putih bajunya lebih buruk daripada kain buruk orang kita. Tetapi Fitra sudah tegar hidup begitu, termasuk tanpa kasut atau selipar dan makan nasi bubur dengan rasa garam. Dia sentiasa senyum walaupun tidak pernah menonton TV, mendengar radio dan jauh daripada kenal komputer serta menikmati makanan segera seperti kanak-kakak sebayanya di Malaysia.
Maisom menjual makanan ringan untuk membantu suaminya yang menjadi bilal masjid kampung itu. Beliau tidak pernah keluar kampung apatah lagi kenal suasana Phnom Penh yang terletak kira-kira 70 kilometer dari rumahnya. Selain menyusu badan, hasil jualan harian di gerainya membolehkan Fari minum susu tepung.
“Anak (Fitra) belanja 3 sen (300 Riel) sehari untuk beli gula-gula atau sebiji kuih. Dia makan bubur nasi sebelum ke sekolah,” katanya.
Tinjauan turut merakamkan seorang ibu hanya memandikan bayinya dengan segayung air perigi. Di pinggir sebuah sekolah kebangsaan, kelihatan peniaga wanita menjual tapai beras yang mereka sebut juga sebagai ‘tapei’. Difahamkan, kira-kira 50 peratus perkataan dalam bahasa Melayu Cam menyamai atau hampir sama dengan bahasa Melayu Nusantara.
Jurugambar Berita Harian turut merakamkan seorang wanita memanggang ikan jelawat sebesar empat jari dengan bara ranting kayu dengan tungku batu di halaman rumahnya. Mereka tidak mampu membeli minyak masak dan tiada deretan botol perisa seperti pemandangan lumrah dapur rakyat Malaysia.
Di penempatan komuniti Melayu Cam di kanan kiri Kilometer 7 hingga 10, Jalan Kebangsaan 5, kehidupan majoriti mereka di situ juga daif. Berikutan taraf sosioekonomi yang rendah, ramai kanak-kanak tidak ke sekolah, kekurangan zat makanan, mengalami masalah cacing serta terbiar, sekali gus masa depan mereka sangat gelap.
Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MelayuCammasihberibelanjaanak3sen_makanbuburnasi/Article/index_html
TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
By Idris Talu Petai kerayong tidak ada banyak bezanya dengan petai biasa. Petai kerayong bila matang, buah dan kulitnya menjadi keras, tida...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
-
By Idris Ismail Talu. Selada air atau watercress atau nama saintifiknya Nasturtium officinale, N. microphyllum ; merupakan sejenis tumbuha...
-
(Oleh Tuan Haji Duan Yusof) Bahan-bahannya : Daging Segar (samada daging kerbau atau lembu)- Lebih Kurang 1 kilogram…Lobi...
-
By Idris Talu Akar tunjuk langit? Yang satu lagi, buah tunjuk langit? Ramai juga yang agak keliru dengan dua jenis herba ini, kerana ked...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan