TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Selasa, 6 Mac 2012

Terokai rizab hidupan liar Tabin

Oleh AHMED SYAHRIL ZULKEPLY, rekreasi@utusan.com.my


DENGAN sentuhan alam semulajadi dan kehidupan liar yang terdapat di sekitar Borneo, Taman Hidupan Liar Tabin bakal memukau sesiapa sahaja yang berpeluang menerokainya.

Terletak 50 kilometer di timur laut Lahad Datu, Sabah, pusat pemuliharaan seluas kira-kira 122,539 hektar itu menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negara pada setiap tahun.

Seperti namanya, Tabin amat terkenal sebagai habitat pelbagai hidupan liar yang hampir pupus seperti tiga mamalia terbesar di Sabah iaitu gajah, badak sumbu Sumatera dan tembadau.

Untuk ke sana, pengunjung boleh menaiki penerbangan dari Kota Kinabalu ke Lahad Datu dan ia hanya mengambil masa 55 minit sahaja.

Dari pekan Lahad Datu, anda hanya perlu menaiki pacuan empat roda (4X4) untuk mengembara menerusi jalan berbatu selama hampir sejam ke Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin.

Setibanya di Tabin, daya penarik berdasarkan alam semulajadi bergaya Borneo tulen itu pastinya memberikan pengalaman yang tiada tandingan.

Malah keselesaan yang ditawarkan di pusat peranginan ini bakal meninggalkan kenangan yang tersendiri sambil mata puas menjamu panorama eksotik kehidupan flora dan fauna .

Kehidupan semulajadi hutan hujan tropika merupakan tarikan utama lebih-lebih lagi di bahagian tanah rendahnya amat kaya dengan pelbagai spesies tumbuh-tumbuhan.

Sejumlah besar tumbuhan tropika berkembang di sini dan ada di antaranya terkenal sebagai ubat semulajadi.

Daripada spesies orkid-orkid liar, pepohon tumbuhan menjalar hingga kepada pelbagai spesies paku-pakis luar biasa merupakan antara koleksi yang terdapat di sini.

Jika anda gemar menikmati pemandangan alam semulajadi, Taman Hidupan Liar Tabin merupakan tempat paling sesuai buat pencinta alam.

Di sini, pengunjung berpeluang menikmati keindahan bumi hijau tanpa sebarang pembangunan moden.

Sambil menikmati panorama indah, pengunjung turut ditemani bunyi hutan, aliran sungai yang menenangkan, irama dingin air terjun dan belaian lembut bayu kawasan perhutanan.

Paling menarik ialah pada waktu malam kerana jika anda mendongak ke langit, pengunjung berpeluang menyaksikan keindahan langit yang dipenuhi bintang bersinar.

Spesies hidupan liar Tabin banyak menyimpan khazanah alam termasuk pelbagai hidupan liar Borneo yang terancam dan di antaranya hampir pupus.

Daripada populasi badak Sumatera yang amat terancam, gajah Borneo yang mudah dilihat berkeliaran di sekitar Tabin, Orang Utan hinggakan ke spesies kucing hutan liar, monyet daun merah, dan monyet proboscis boleh dilihat dari jarak yang dekat.

Tabin juga terkenal sebagai syurga buat pemerhati burung (birders). Kira-kira 42 spesies dan 300 burung hijrah lain telah direkodkan di Tabin.

Mereka boleh menikmati penglihatan yang lebih baik dalam persekitaran yang cukup selesa sambil merakamkan foto burung-burung yang terbang lebih rendah dalam ketinggian biasa menembusi hutan belantara.

Spesies seperti nama saintifik Asian paradise flycatcher, Borneon bristlehead, dusky munia, billed blue flycatcher, blue-headed pitta dan Borneon wren-babbler mudah dilihat.

Malah jika anda bertuah, pengunjung mungkin berpeluang melihat spesies burung yang agak sukar dilihat seperti speckled piculet, chestnut-capped thrush dan thick-bellied flowerpecker.

Selain itu, lapan spesies utama burung enggang Borneo turut terdapat di Tabin. Ia amat mudah dikenali berdasarkan bunyi yang dikeluarkannya.

Selain itu, spesies seperti scarlet sunbird, yellow-bellied warbler, bar-winged flycatcher shrike, pied flycatcher, chestnut-crested babbler, bangau dan spesies burung raja udang yang berwarna-warni turut boleh diperhatikan.

Ekosistem yang unik

Tabin mempunyai ekosistem yang berlainan dari taman hidupan liar yang lain. Keunikan ini terdiri daripada sifat cintakan alam semula jadi yang diterapkan oleh kakitangan taman hidupan liar ini.

Mereka sentiasa berusaha untuk mengekalkan keindahan alam semulajadi dengan rasa penuh bertanggungjawab supaya kehidupan di Tabin mampu dikekalkan bagi tatapan generasi akan datang.

Penat menjelajah persekitaran Tabin, pengunjung boleh berehat di Kafe Sunbird yang dijadikan sebagai markas buat pengunjung bertukar-tukar pendapat, pandangan dan pengalaman menarik untuk dikongsi bersama.

Sajian enak yang disajikan para chef terlatih di kafe tersebut dihidangkan dengan bahan-bahan masakan rahsia dari herba-herba tradisional.

Antara menu yang wajib dirasai ialah juadah masakan berasaskan pucuk paku-pakis. Keenakannya pasti menyelerakan.

Sambil menghirup secawan kopi panas, pengunjung boleh menikmati pemandangan indah hutan dan sungai yang terletak berhampiran dengan kafe tersebut.

Kadang-kala pelbagai serangga dan burung turut akan menghiburkan pengunjung.

Jika pengunjung berdaya, apa kata anda cuba berjalan 23 kilometer ke dalam Taman Hidupan Liar Tabin.

Terdapat tapak-tapak perkhemahan di sepanjang jalan untuk memudahkan pengunjung tinggal semalaman dalam suasana dikelilingi flora dan fauna.

Antara program yang disediakan secara khusus buat pengunjung ialah termasuk merentasi kawasan gunung berapi berlumpur, air terjun, melihat burung dan kemuncaknya ialah safari malam yang membolehkan tetamu mengalami sepenuhnya keunikan hutan hujan tropika.

Bagi mereka yang cukup menjaga keterampilan diri, bolehlah mencuba rawatan khas spa dari lumpur gunung berapi.

Kepekatan tinggi lumpur gunung berapi Tabin itu yang amat kaya dengan mineral dan mata air garam semulajadi itu merupakan anugerah alam terbaik di sini.

Sumber: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran