TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 11 Mac 2012

Tegas melaksanakan dasar

Oleh: Ku Seman Ku Hussain & Raja Intan Diana Raja Azaham.
Tarikh siar: 11 Mac 2012.


Gambar - ihsan kembara.blogspot.com.

Mukadimah:


Isu bahasa Melayu tidak diletakkan pada kedudukan yang selayaknya sebagai bahasa kebangsaan bukan perkara baru. Ini kerana sudah ada dasar tertentu yang bertujuan mendaulatkan bahasa Melayu. Tetapi masalahnya sesetengah pihak dengan tanpa rasa bersalah melanggar kedudukan bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Ketua Pengarah DBP, DR. AWANG SARIYAN menganggap masalah bahasa Melayu ialah kurang ketegasan melaksanakan dasar yang sedia ada.

Dalam wawancara dengan wartawan Mingguan Malaysia KU SEMAN KU HUSSAIN dan RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM, beliau menyarankan supaya dasar bahasa Melayu dilaksanakan dengan tegas.

MINGGUAN: Apakah masalah utama yang mengekang usaha memartabatkan bahasa kebangsaan walaupun lebih 50 tahun merdeka?

DR. AWANG: Bagi saya salah satu faktor ialah kepimpinan. Masyarakat selalu terdorong kepada ketegasan dasar. Dasar sudah ada iaitu Dasar Bahasa Kebangsaan. Tetapi kadangkala perlaksanaannya tergelincir sikit. PPSMI misalnya yang bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, bertentangan dengan Dasar Bahasa Kebangsaan dan lebih jauh lagi bertentangan dengan undang-undang negara kerana Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dalam undang-undang negara.

Tetapi Alhamdulillah, kepimpinan kita sekarang telah melakukan anjakan. Mudah-mudahan dengan perubahan kepimpinan isyarat di atas akan lebih jelas. Peringkat swasta kita berpadu tenaga seperti dengan Kesatuan Hotel di Malaysia ketika membuat papan tanda arah dalam dwibahasa. Ia merupakan satu kesanggupan yang luar biasa. Namun, bila muncul PPSMI, sebahagian syarikat swasta menyatakan mengapa hendak sibuk-sibuk menggunakan bahasa kebangsaan sedangkan sistem pendidikan pun sudah mahu kembali kepada bahasa Inggeris. Oleh itu, perlaksanaan dasar atau program perlu sejajar dengan dasar negara. Dasar negara adalah bagus, tetapi pengendali atau pelaksana kadang-kala salah membuat keputusan.

Dulu sering diperkatakan masalah guru bahasa Inggeris bukan dari mereka yang menuntut untuk mengajar bahasa Inggeris. Sekarang, guru bahasa Melayu juga mengikut kajian muktahir berdepan dengan masalah yang sama kerana didapati agak besar jumlah guru bahasa Melayu yang bukan dilatih untuk mengajar subjek itu.

MINGGUAN: Adakah ini masalah negara pelbagai kaum? Jika kita lihat di China, negara itu hanya ada satu kaum.

DR. AWANG: Saya percaya jika perlaksanaan dasar yang tegas, faktor kaum tidak begitu dominan. Selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pulang dari Beijing, saya dapati sekurang-kurangnya empat kenyataan media yang menyatakan beliau sangat mengagumi apa yang berlaku di China. Beliau menyatakan perkara sebegitu perlu diterapkan seperti di acara-acara negara iaitu menggunakan bahasa kebangsaan. Dari segi pendidikan, kalau di sekolah kebangsaan, sudah tentu bahasa pengantaraannya bahasa Melayu. Lebih 20 tahun saya mendidik bakal guru dan saya dapati interaksi di kalangan pelajar dengan bahasa kebangsaan tiada masalah. Dari situ kita nampak penyemaian nilai-nilai perpaduan, persefahaman dan persamaan. Bagi saya, dasar pendidikan kebangsaan ini cukup berjaya. Saya berpendapat Kementerian Pelajaran Malaysia sepatutnya membuat kajian bagaimana kejayaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama sebenarnya telah berjaya memupuk perpaduan dan persefahaman di peringkat generasi muda.

MINGGUAN: Sejauh manakah kesungguhan agensi kerajaan mempraktikkan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi?

DR. AWANG: Saya boleh katakan masih ada jurang berdasarkan perlaksanaan kementerian atau jabatan tertentu ketika itu. Kajian saya pada tahun 2007 mendapati ada sesetengah dokumen kerajaan, kementerian atau jabatan tertentu yang peratusan penggunaan bahasa Melayu masih agak rendah iaitu 70 hingga 75 peratus. Sepatutnya sudah tidak timbul perkara sebegitu. Paling tidak 90 peratus. Malah ada pekeliling ketika itu boleh dikatakan hanya tajuk utamanya sahaja di dalam bahasa Melayu. Lain-lain tajuk kecil, kandungan semuanya dalam bahasa Inggeris padahal pekeliling itu ditujukan kepada ketua jabatan di peringkat dalam negara. Takkanlah ketua peringkat dalam negara ini tidak faham bahasa Melayu.

Ini bukan sahaja soal sikap, tetapi tidak menghormati keluhuran Perlembagaan, perkara ketiga dalam Rukun Negara. Di peringkat kerajaan Persekutuan, tiada sebuah kementerian yang boleh mendakwa mereka boleh menggunakan bahasa Inggeris dalam konteks penggunaan dalam negara.

MINGGUAN: Bagaimana dengan cadangan Dr. mengadakan audit bahasa?

DR. AWANG: Hujah saya kalau kita hendak menguji dan menilai kecekapan kewangan, kita ada audit kewangan. Sama seperti bahasa. Saranan saya, kalau nak menilai keberkesanan perlaksanaan dasar itu perlu ada penilaian audit. Audit ada dua aspek, iaitu yang pertama nilai tahap penggunaan bahasa Melayu. Contoh jabatan A, adakah surat, minit mesyuarat, semuanya dalam bahasa kebangsaan. Paling tidak 90 peratus. Kemudian semua itu akan dilaporkan kepada Ketua Setiausaha Negara. Dari aspek mutu pula iaitu ejaan, tanda baca, tatabahasa, pilihan perkataan serta istilah. Itu semua kita nilai dan laporkan. Melalui cara pengauditan begitu, saya yakin dalam tempoh dua tahun, kita dapat lihat lonjakan.

MINGGUAN: Bagaimana pula penekanan menggunakan bahasa Melayu kalangan warga DBP sendiri?

DR. AWANG: Kami audit diri kami dahulu. Saya memberi arahan dalam tempoh enam bulan ini, setiap orang dalam DBP dari peringkat tertinggi hingga ke peringkat Pembantu Am Pentadbiran, perlu selesai kursus yang disediakan. Warga DBP perlu menjadi duta bahasa dan sastera mengikut aras mereka. Jadi, dalam tempoh enam bulan, kita mahu memantapkan warga DBP dari segi penguasaan bahasa dan pengukuhan dari segi kemahiran serta sistem kerja juga penyuntingan.

MINGGUAN: Bagaimana dengan kedudukan persuratan ilmu dalam bahasa Melayu yang dikatakan masih rendah?

DR. AWANG: Kita agak kaya dengan persuratan kreatif tapi persuratan ilmu masih agak jauh. Ini disebabkan dasar kita dulu apabila universiti menyatakan arahan 70 peratus kuliah perlu dikendalikan dalam bahasa Inggeris. Jadi, buku-buku rujukan tidak banyak dalam bahasa Melayu. Sarjana dan professor juga tidak mahu menulis dalam bahasa Melayu. Pelajar hanya membaca buku rujukan dalam bahasa Inggeris. Itu kesilapan perlaksanaan dasar. Tetapi selepas Menteri Pengajian Tinggi membuat pengisytiharan kuliah utama mesti dalam bahasa Melayu dan profesor serta pensyarah mesti menghasilkan karya ilmiah dalam bahasa Melayu, susulan daripada kepimpinan universiti pula agak lambat. Bahkan pihak universiti masih terus dengan dasar lama menekankan bahasa Inggeris.

MINGGUAN: Sejauh manakah kemampuan penterjemahan seperti Institut Terjemahan dan Buku Negara (ITBN) memenuhi keperluan persuratan ilmu dalam bahasa Melayu?

DR. AWANG: Ini memerlukan iltizam dan penglibatan pemerintah sendiri. Tetapi alhamdulillah, ITBM sendiri tidak tertakluk kepada birokrasi. Saya nampak ada perubahan yang lebih jelas. Tetapi jika kita dapat masukkan terjemahan dalam Belanjawan seperti yang dilakukan negara Taiwan, tentu lebih bagus. Sebabnya semua ini memerlukan belanja juga. Zaman Abasiyah, orang Barat membuat terjemahan dari bahasa Arab kepada bahasa masing-masing. Kita pun patut menceduk ilmu dari bahasa lain kepada bahasa Melayu dengan cukup intensif.

MINGGUAN: Apa komen Dr. tentang kecenderungan menggunakan istilah-istilah Inggeris dalam projek-projek kerajaan sekarang ini?

DR. AWANG: Kita ada Undang-Undang Kecil Pengiklanan serta penamaan di tempat awam yang keutamaan diberikan kepada bahasa Melayu. Sepatutnya itu dimanfaatkan. Daripada kita mengambil nama Barat seperti boulevard, parcel dan precint atau Le Tour de Langkawi, fikirkanlah istilah dalam bahasa Melayu yang cantik menggantikannya. Kita telah menukar roadshow kepada jerayawara ataupun talkshow kepada bicarawara. Kita boleh mencipta berdasarkan kekuatan bahasa dan sastera Melayu. Tetapi yang penting kita mesti ada hati untuk melakukannya.

MINGGUAN: Saya menganggap BBK gagal mencapai matlamat. Apa pandangan Dr.?

DR. AWANG: Sebenarnya saya ada mencadangkan kepada urus setia supaya jangan tumpukan kepada Oktober iaitu Bulan Bahasa Kebangsaan. Oktober itu bulannya. Kita kena ada kegiatan pra BBK. Misalnya bulan Jun telah dirancakkan BBK. Kita usahakan kembali ialah kembara bahasa. Ia mempunyai matlamat yang jelas melihatkan pelbagai profesion menuju ke satu hala sebagai inspirasi menuju kepada satu matlamat. Bagi saya itu cukup berjaya. Tetapi yang dilihat oleh orang yang tidak faham sebagai membuang duit di jalan raya. Tetapi sebenarnya kembara itu menyuntikkan kesedaran kepada pelbagai lapisan masyarakat terhadap bahasa Melayu.

MINGGUAN: Boleh Dr. memberitahu pelan jangka pendek dan jangka panjang untuk memperkasakan bahasa Melayu?

DR. AWANG: Jangka pendek di peringkat dalaman untuk memperkukuh tenaga kerja dari segi ilmu dan bahasa serta penghayatan seni sasteranya. Saya percaya kalau DBP berwibawa dengan sendirinya masyarakat nampak contohnya. Saya selalu membuat perbandingan begini, tentera, bomba atau polis orang kenal kerana ada pakaian seragam. Tetapi untuk kenal orang DBP ialah melalui penggunaan bahasa dan cara berfikir. Dalam pengurusan saya berpegang kepada pesanan Datuk Hassan Ahmad (bekas Ketua Pengarah DBP) sewaktu saya berkerja bawah beliau dulu. Katanya menjadi pengurus DBP bukan pengurus biasa tetapi mengurus budaya.

Pelan jangka panjang ialah memastikan bahasa Melayu sebagai bahasa tamadun. Semua bidang telah direntasi oleh bahasa Melayu. Hubungan antarabangsa, diplomatik, ketatanegaraan dan undang-undang. Kita akan memperkasakan ini.

Sumber: Mingguan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran