TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Isnin, 12 Julai 2010

Tiada IPTA , IPTS terbilang

Sumber: Utusan Malaysia Online.

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN, pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 12 Julai - Tiada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang layak menerima pengiktirafan tahap terbilang, manakala 18 daripadanya diberi tahap cemerlang dalam Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi (Setara) 2009 yang diumumkan hari ini.

Daripada jumlah institusi pengajian tinggi (IPT) yang menerima tahap cemerlang tersebut, tujuh daripadanya merupakan IPTA dan 11 lagi IPTS.

IPTA terbabit adalah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mengumumkannya berkata, IPTS berkenaan pula adalah Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Multimedia (MMU), Universiti Teknologi Petronas (UTP) serta Universiti Sains dan Pengurusan (MSU.

Menurutnya, selain itu adalah Sunway University College, Curtin University of Teknology Kampus Sarawak, Monash University Kampus Sunway, Taylor's University College, International Medical University, University of Nottingham Kampus Malaysia dan Swinburne University Teknology Kampus Sarawak.


"Sejumlah 25 universiti dan kolej universiti iaitu 14 IPTS dan 11 IPTA pula menduduki tahap sangat baik manakala empat kolej universiti swasta menduduki tahap baik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berkenaan keputusan Setara 2009 di sini hari ini.

Setara 2009 merupakan lanjutan dari Setara 2007 bagi mengukur kualiti, kebertanggungjawaban dan prestasi IPTA dan IPTS.

Sebanyak 58 universiti dan kolej universiti tempatan mengambil penyertaan tahun ini berbanding cuma 20 universiti awam pada 2007.

Program itu salah satu usaha berterusan kementerian meningkatkan budaya penambahbaikan kualiti secara berterusan dan sistem negara yang melengkapi jaminan kualiti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Mohamed Khaled berkata, tiada universiti dan kolej universiti yang mencapai tahap terbilang pada tahun ini disebabkan tidak memenuhi kriteria pengukuran yang ditetapkan.

"Sebanyak 25 kriteria meliputi tiga dimensi umum digunakan iaitu input, proses dan output termasuk maklum balas terhadap pengukuran daripada institusi dari negara ASEAN seperti tiga universiti Indonesia dan 31 universiti di Thailand," katanya.

Beliau berkata, hasil keputusan Setara itu akan digunakan sebagai input kementerian dalam menetapkan dasar kerajaan bagi memperkasakan sistem pendidikan pengajian tinggi negara.

"IPTA dan IPTS terlibat yang mencapai tahap cemerlang layak dijemput mendapatkan status swaakreditasi serta boleh menerima tajaan kerajaan pelajar dalam dan luar negara tetapi bukan secara automatik.

"IPT berkenaan boleh memohon dan menerima geran penyelidikan yang disediakan kerajaan dan layak menerima status universiti penyelidikan serta menambah bilangan program pelajar pra dan pasca siswazah sendiri," katanya.

Tambahnya, kelebihan lain ialah kelonggaran dan pengecualian dalam Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Akta 555) iaitu dikecualikan daripada memohon permit mengajar dan kelulusan kementerian dalam menggunakan perkhidmatan pensyarah antarabangsa.

Kata beliau, IPT berkenaan turut mendapat pengecualian proses semakan kelayakan pelajar antarabangsa dan kadar yuran pengajian daripada pihak kementerian serta diberi kelulusan mengambil sendiri pelajar antarabangsa.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0713&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran