MEMBACA tesis kedoktoran Aimee Dawis, warganegara Indonesia berbangsa Cina, bertajuk "Orang Indonesia Tionghua mencari identitas" begitu menarik perhatian saya. Orang Cina Indonesia sudah tidak lagi kelihatan seperti orang Cina seperti di Malaysia. Indonesia mengamalkan asimilasi secara paksaan bermula tahun 1965, apabila jatuhnya rejim komunis pimpinan Sukarno.
Suharto yang menggantikan Sukarno mengambil tindakan drastik memutuskan hubungan orang Cina Indonesia dengan negara asalnya secara kekerasan. Asimilasi dilaksanakan seratus peratus. Cara hidup orang Cina diubah sepenuhnya menjadi orang Indonesia termasuk dari segi nama, pakaian, bahasa, sambutan perayaan dan segala cara hidup yang lain. Rancangan televisyen, radio, filem, sekolah, makalah, perayaan kebesaran dan sebagainya yang ada berbau kecinaan diharamkan. Proses 'pengIndonesiaan' berlaku secara ekstrem. Tujuannya tidak lain, untuk membina sebuah negara bangsa. Hal ini tidak banyak bezanya dengan apa yang berlaku di Thailand dan Filipina, tetapi tidak seagresif Indonesia.
Hari ini, orang Cina Indonesia tidak lagi seperti orang Cina. Mereka tidak ada beza langsung dengan orang Indonesia dari cara hidupnya. Hatta, perkara-perkara kecil melibat istilah juga dijaga rapi. Orang Cina di sana tidak dipanggil orang Cina Indonesia tetapi dipanggil orang Indonesia Tionghua. Negara Indonesia didahulukan berbanding dengan bangsa.
Semua ini mengingatkan saya iklan 1Malaysia di kaca televisyen yang disiarkan saban hari. Antaranya berbunyi, "nama saya Saifuddin, saya orang Melayu, nama Pugalmani a/l Maniam, saya orang India, begitulah seterusnya seterus orang Cina, Iban dan sebagainya. Kenapa kita tidak dahulukan Malaysia seperti saya orang Malaysia Melayu, orang Malaysia Cina atau orang Malaysia India? Hari ini kita sibuk memperkatakan bangsa Malaysia. Tidakkah wajar perkara sebegini ini diteliti walaupun kelihatan 'kecil' oleh penerbit?
Saya lihat dari sudut lain, cara kita menamakan universiti sudah tepat iaitu Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak dan sebagainya. Kenapa kita tidak praktikkan istilah yang sama dalam konteks anak bangsa yang hidup bersama di sini?
Membandingkan Malaysia dan Indonesia, ternyata bukan Melayu di bumi bertuah ini cukup bernasib baik dan beruntung. Mereka masih boleh mengekalkan semua identiti mereka, tanpa diubahsuai dan langsung tidak diasimilasikan.
Semuanya mengingatkan saya kepada ceramah Profesor Rupert Brown daripada Univeriti Sussex, England baru-baru ini, mengenai dinamika akulturasi di negara lain, di kalangan minoriti atau imigran. Akulturasi bermaksud peminjaman budaya orang lain (majoriti) untuk diamalkan (minoriti) tetapi tidak kekal. Misalnya, bangsa minoriti meminjam budaya majoriti seperti pemakaian baju Melayu dan bersongkok oleh bukan Melayu. Sama juga, seperti orang Melayu memakai pakaian tradisi bukan Melayu dan sebagainya.
Persoalannya, adakah proses akulturasi sebegini berjalan dengan baik? Dari segi pemakanan, saya tidak menafikannya, seronok melihat rakyat Malaysia makan roti canai dan nasi lemak bersama-sama.
Pengalaman di negara lain menunjukkan akulturasi berjaya menyatupadukan rakyat. Berbanding dengan Malaysia. Kita masih lagi bertatih atau merangkak-rangkak. Ini kerana masih ada perasaan takut diasimilasikan.
Saya lihat orang Melayu lebih terbuka kepada proses akulturasi. Mereka tidak segan silu makan bersepit atau memakai pakaian bangsa lain. Sambutan Tahun Baru Cina akan menyaksikan segalanya bagaimana semangat 1Malaysia diraikan.
Tetapi saya jarang melihat bangsa lain mengakulturasikan budaya Melayu. Kalau adapun, hanya pada pemakaian baju kurung ketika majlis tertentu oleh kaum wanita. Lelaki bukan Melayu amat jarang sekali memakai baju Melayu penuh berbanding sekali sekala melihat orang putih memakainya. Bilakah agaknya kita dapat melihat keunikan akulturasi ini, meskipun asimilasi tidak dapat diterima lagi?
ikhlas
Sifat tulus, ikhlas dan terbuka amat penting dalam menjayakan proses ini. Jika tidak, kita akan terus dilanda dengan perasaan saling curiga-mencurigai. Misalnya, peminjaman istilah atau perkataan bahasa bangsa lain yang biasa digunakan, juga dalam akulturasi. Misalnya, isu novel Interlok yang menimbulkan kontroversi, dikatakan menghina masyarakat India. Saya sempat membaca beberapa perenggan yang dikatakan sensitif. Jika dibaca dari sudut konteks dan bidang kepakaran, memang tidak menimbulkan masalah langsung.
Masalah
Persoalan saya, kenapa baru sekarang dibangkitkan? Majoriti masyarakat kita tidak ada masalah dengan novel tersebut, termasuk bukan Melayu yang lain. MCA awal-awal lagi sudah memberikan reaksi yang positif. Mereka yang memahami seni dan sastera langsung begitu memuji karya sastera tersebut.
Cuma segelintir kecil sahaja yang menimbulkan masalah. Itupun bukan dalam bidang kepakaran mereka. Yang bukan pakar bercakap lebih dari pakar. Menunjukkan ada satu gerakan yang ditaja oleh pihak tertentu untuk mengambil kesempatan menangguh air yang keruh. Mereka mahu kelihatan seolah-olah seperti jaguh.
Kita mahu hidup di kalangan kelompok sendiri, tanpa mahu memikirkan bangsa lain. Ingatlah, kita bukan negara sebangsa seperti negara lain. Di negara yang mempunyai satu bangsa sahaja, mungkin mereka tidak menghadapi masalah serumit kita. Namun, negara pluralistik seperti kita terpaksa melayan tuntutan dan desakan setiap komuniti etnik atas alasan mereka mempunyai hak yang perlu dipenuhi, walaupun kadangkala tidak munasabah.
Tidakkah kita sepatutnya bersyukur tinggal di bumi bertuah ini? Perlembagaan dan dasar-dasar yang digubal sentiasa meraikan bangsa lain yang ada, sehingga jati diri bangsa asal terhakis. Lihatlah pengalaman negara lain yang mahu identiti mereka dikekalkan tanpa diganggu-gugat. Bayangkan jika perkara yang sama dilakukan oleh kerajaan hari ini.
Misalnya, bulan lalu kerajaan China mengumumkan larangan penggunaan singkatan bahasa Inggeris dalam akhbar-akhbar tempatan, buku, dan laman sesawang kerana bimbang ketulenan bahasa Cina berada dalam bahaya. Pentadbiran Am Akhbar dan Penerbitan melaporkan, peningkatan penggunaan perkataan dan singkatan Inggeris dalam penerbitan di China akan menimbulkan kebingungan pembaca.
Begitulah serius negara-negara lain menjaga bahasa kebangsaan dan identiti kebangsaan mereka. Kita sepatutnya belajar daripada pengalaman tersebut. Bukannya asyik berpolitik dan memikirkan untuk kepentingan bangsa sahaja. Pembinaan negara bangsa hendaklah diutamakan berbanding yang lain.
Bayangkan jika kumpulan ini menjadi minoriti di China, apakah reaksi mereka terhadap dasar tegas kerajaan komunis ini. Di Malaysia, hak bukan Islam dijamin dalam perlembagaan, termasuk agama dan bahasanya. Tetapi janganlah mengambil kesempatan kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah, malah boleh menggagalkan program tranformasi kerajaan.
Hari ini, tindakan kita adalah merubah sistem, bukannya merubah cara. Inilah kekeliruan yang selalu timbul. Pakar bahasa diketepikan dalam perkara sebesar ini. Merubah sistem melibatkan keseluruhan cara hidup dan masa depan sehingga menenggelamkan identiti dan jati diri. Sedangkan merubah cara melibat aspek teknikal dan kemahiran.
Cuba kita lihat cara orang putih berbahasa Melayu. Mereka bercakap bahasa Melayu dengan accent atau gaya orang putih, tanpa perlu memelayukan bunyi bahasa Melayu tersebut sehingga seolah-olah mereka kelihatan seperti orang Melayu. Akulturasi itu berlaku tetapi tidak menghilang identitinya. Persoalannya, kenapa orang Melayu hari ini berbahasa Inggeris sehingga hilang identiti keMelayuannya?
Bertindak sebelum terlambat. Proses dinamika akulturasi perlu diberikan perhatian serius oleh kabinet daripada melayan kerenah remeh-temeh novel Interlok yang sengaja dicetuskan oleh golongan berkepentingan. Banyak lagi masalah negara yang sedang menunggu. Kita terlalu cepat melatah dalam perkara bukan isu. Interlok tidak sepatutnya dibawa sampai ke Kabinet seolah-olah isu ini adalah masalah negara. Cukup hanya dibincangkan di peringkat kampung atau pemimpin bawahan sahaja.
Source: Mingguan Malaysia Online.
TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Sabtu, 15 Januari 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
Teks dan gambar Kusyi Hirdan MUNGKIN ada pembaca yang sudah tahu mengenai buah perah ini. Mereka yang berada di Terengganu, Perak, Pahang da...
-
By Idris Ismail Talu Arrowhead atau ngaku, atau kentang Cina merupakan sejenis “ubi” yang lembut yang kononnnya ditanam di dalam sawah berai...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
-
Oleh Helmy Abd Rahman, helmy@hmetro.com.my BANK Islam Malaysia Bhd (BIMB) mengintai peluang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi berpotensi...
-
KUALA LUMPUR: A Malaysian couple who fully sponsored the tuition fees of their Indonesian maid’s diploma was recognised at the F&N Outdo...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan