TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Sabtu, 8 Januari 2011
Felda akan fokus untuk maju
Mukadimah.
HARI ini baru sembilan hari Tan Sri Mohd. Isa Samad dilantik Pengerusi Felda yang baru menggantikan Tan Sri Yusuf Nor. Namun kelihatannya ketika ditemui pada Jumaat lepas beliau begitu sibuk.
“Tadi saya baru habis menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Felda, Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) dan KFCH. Malam ni pula saya akan bertolak ke Tenang,” ujar Mohd Isa.
Di sebalik kesibukan itu, beliau sempat mencuri masa kira-kira sejam untuk diwawancara wartawan Mingguan Malaysia Nizam Yatim, Mohd Asron Mustapha dan Hafizahril Hamid. Pertemuan yang berlangsung di pejabatnya di tingkat 10 Balai Felda di Jalan Semarak, itu memfokuskan kepada pembaharuan yang akan dibawa, cubaan pembangkang menghuru-harakan peneroka Felda atas kapasiti politik serta masalah yang dihadapi oleh generasi kedua dan ketiga Felda. Selain itu Mohd. Isa turut ditanya kemungkinan pelantikan tersebut membuka ruang untuk beliau membuat comeback dalam politik. “Saya telah membuat comeback sebelum ini lagi tapi saya tidak mampu meramal masa depan.dan yang akan berlaku kerana ia di luar kawalan saya,” katanya.
MINGGUAN: Apa pembaharuan yang akan Tan Sri bawa selain meneruskan dasar sedia dalam usaha untuk memastikan Felda terus menjadi entiti perniagaan yang disegani?
MOHD ISA: Soal pembaharuan ini terlalu awal bagi saya sebagai orang baru dalam Felda. Apabila kita mahu membuat satu pembaharuan, kita mesti melihat semua aspek tetapi yang pasti, apa yang perlu kita buat ialah merencanakan Felda untuk 50 tahun akan datang. Rancangan 50 tahun pertama penubuhan Felda telah pun selesai.
Jadi 50 tahun kedua ini yang kita kena fokus, sama ada dari segi perladangan, perniagaan dalam dan luar negara, mahu pun soal pelaburan.
Perancangan untuk setengah abad mendatang memerlukan sesuatu yang lebih baik supaya ia mampu memberi pulangan terbaik. Ini untuk kepentingan Felda sendiri. Namun, dari segi perincian pembaharuan yang ingin dibawa masih belum dapat perjelaskan secara terperinci kerana saya masih belum mendapat maklumat selengkapnya. Saya masih terlalu baru di sini dan sehingga hari ini cuma mendapat taklimat ringkas. Saya fikir, selepas itulah baru kita nampak apa yang hendak dibuat untuk terus membangunkan Felda.
MINGGUAN: Adakah Perdana Menteri menyatakan sasaran tertentu yang perlu dicapai oleh Tan Sri sebagai Pengerusi Felda?
MOHD. ISA: Arahan daripada Perdana Menteri adalah supaya saya menjaga dan memajukan Felda. Lihat semua aspek daripada orang sampailah kepada perniagaannya.
MINGGUAN: Isu generasi kedua dan ketiga terus menjadi hambatan kepada Felda sehingga sering dieksploitasi pihak berkepentingan, bagaimana hendak menyelesaikan masalah ini?
MOHD ISA: Felda tidak pernah mengabaikan generasi kedua dan ketiga anak peneroka, maka sebab itu fokus kita adalah untuk jangka masa 50 tahun mendatang. Sekarang pun kita telah melaksana dan menyediakan sebanyak mungkin peluang kepada generasi anak Felda. Mereka diberi pelbagai latihan kemahiran yang bersesuaian bagi golongan yang kurang cemerlang dalam akademik. Ini semua bertujuan untuk melahirkan anak Felda yang berkemahiran tinggi kerana kita sedar bila mereka mempunyai kemahiran yang terbaik, walau ke mana pun dia berkerja, kemahiran yang dimiliki itu akan menghasilkan gaji yang baik dan ini sudah tentu akan merubah kehidupan generasi kedua dan ketiga Felda
Mereka yang cemerlang pula diberi seluas ruang untuk melanjut pelajaran ke peringkat tertinggi dan hasilnya ramai di kalangan orang Melayu yang berjaya hari ini adalah berasal daripada anak-anak Felda yang melalui sistem ini. Ini membuktikan sistem kita berkesan tetapi dalam keadaan sekarang mungkin pelaksanaannya perlu disesuaikan dengan keadaan semasa.
Generasi kedua ini, yang menjadi masalah kepada mereka ialah perumahan kerana sebahagiannya ada yang berminat untuk menetap di kampung serta tanah rancangan. Inilah yang menjadi keutamaan dan ia akan diselesaikan secara berperingkat-peringkat membabitkan kerjasama semua pihak terutamanya kerajaan negeri. Cuma di sini penekanan adalah kepada pembangunan menyeluruh secara seimbang antara fizikal dan kerohanian.
MINGGUAN: Soal pengagihan tanah membabitkan generasi kedua dan ketiga juga agak membebankan Felda. Apa penyelesaiannya?
MOHD ISA: Saya tidak berapa jelas lagi bab itu, yang dulu kita guna sistem faraid. Sudah tentu kita tidak mahu terlalu banyak nama dalam sehingga tanah sedia ada terpaksa dipecahkan tetapi saya kena tanya kepada pentadbiran Felda, apa dia perkembangan isu ini. Namun, pada saya, apa yang lebih, jangan dipecah-pecah. Walaupun mungkin tanah asal yang diberi kepada peneroka generasi pertama apabila dalam kes generasi kedua memiliki banyak nama yang layak sebagai waris, biarlah ia masih sebagai satu ‘holding’. Jadi ia tidak pecah, kadang-kala sesetengah keluarga mereka sudah berjaya, cuma nak cari seorang siapa di kalangan anak untuk jaga ladang.
MINGGUAN: Cabaran getir Tan Sri adalah untuk berdepan dengan ‘serangan’ pembangkang, tetapi apakah pendekatan penerangan sekarang mencukupi?
MOHD ISA: Memang bagi pembangkang janji merupakan senjata kepada mereka. Kalau hendak digelarkan asam garam, itu garam mereka. Mereka akan janjikan segalanya termasuk perkara yang tidak munasabah kerana pembangkang tahu, mereka tidak akan dapat memerintah. Jadi, tanggungjawab mereka kurang, sebab itu mereka boleh menjanjikan macam-macam tetapi kita tetap kena jelaskan dengan sebaik mungkin.
Umpamanya, kita ada tanah ladang 300,000 hektar, kalau nak bagi kepada semua orang terutamanya generasi kedua tentulah tidak akan boleh dapat seorang 10 hektar yang diperolehi generasi pertama dahulu. Adakah ini ekonomik? Itu kita kena terangkanlah dari segi rasionalnya, kalau seorang dapat kurang lebih sehektar seorang nak buat apa?
Kita mahu Felda menjadi kumpulan yang besar kerana kalau berpecah, ia tidak akan jadi kuasa yang besar. Kita nak kekalkan Felda sebagai syarikat perladangan terbesar di Malaysia supaya kita dapat buat macam-macam perancangan. Bagi saya, janji pembangkang bukan satu perkara yang luar biasa dan peneroka pun sudah masak dengan janji-janji tersebut kerana semuanya tak betul. Kalau syurga pun boleh dijanjikan kalau masuk kumpulan politik mereka, apa masalah janji dengan orang Felda. Kalau kerja tuhan mereka boleh berjanji, kerja manusia ini lagilah macam-macam janji mereka boleh taburkan. Janji kosong memang amalan mereka tetapi
MINGGUAN: Tan Sri begitu yakin sedangkan pada pilihan raya umum lalu beberapa Parlimen terlepas ke tangan pembangkang?
MOHD ISA: Asasnya kerana saya tahu sepanjang masa setiap kali pilihan raya umum, lebih 70 peratus peneroka di seluruh negara akan menyokong kerajaan. Kita akan pertahankan apa yang kita dapat di samping meningkatkan lagi segala khidmat kepada peneroka. Di pihak pembangkang, sudah tentu mereka akan cuba sebanyak mungkin, jadi ini peranan kita untuk berlawan dengan mereka. Dari dari segi penerangan dengan fakta-fakta kita juga kena kerap turun padang. Kalau tidak, ada yang akan keliru. Saya yakin kerana generasi pertama sudah nampak apa yang mereka dapat dan generasi kedua pun sama pun. Hidup mereka berubah dan berjaya kerana ayahnya menjadi peneroka Felda, jadi saya yakin generasi ini akan nampak apa yang kita akan buat untuk mereka.
MINGGUAN: Bagaimana untuk mengatasi dakyah pembangkang yang berselindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak)?
MOHD ISA: Kita akan lawan. Kita ada NGO yang menyokong kita, macam Majlis Belia Felda yang mempunyai cawangan lebih banyak dan lebih menyeluruh. Tiap-tiap wilayah juga ada Majlis Belia Wilayah. Kita akan terangkan dan buktikan dengan perbuatan kita, bukan janji-janji kosong. Maknanya, kita mesti turun dan lawan. Beri penerangan dengan fakta, asalkan kita jangan menipu. Kalau kita bercakap benda yang betul, orang akan percaya sampai bila-bila. Formula saya cuma kita kena turun padang dan turun ke bawah. Saya sendiri akan kerap turun ke bawah.
Source: Mingguan Malaysia Online.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
Teks dan gambar Kusyi Hirdan MUNGKIN ada pembaca yang sudah tahu mengenai buah perah ini. Mereka yang berada di Terengganu, Perak, Pahang da...
-
By Idris Ismail Talu Arrowhead atau ngaku, atau kentang Cina merupakan sejenis “ubi” yang lembut yang kononnnya ditanam di dalam sawah berai...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
-
Oleh Helmy Abd Rahman, helmy@hmetro.com.my BANK Islam Malaysia Bhd (BIMB) mengintai peluang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi berpotensi...
-
KUALA LUMPUR: A Malaysian couple who fully sponsored the tuition fees of their Indonesian maid’s diploma was recognised at the F&N Outdo...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan