TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Ahad, 31 Oktober 2010
Hak sama rata ekonomi
Tarikh siar: 01 November 2010.
Penulis – Prof Datuk Zainal Kling
PANDANGAN Richard Branson untuk meliberalisasi ekonomi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Malaysia baru-baru ini adalah sama seperti Simposium RMK-10 anjuran Asian Strategy and Leadership Institute (ASLI), Centre for Public Policy Studies (CPPS) dan American Malaysian Chamber of Commerce (Amchem) sedikit masa dulu. Mereka jelas menggodam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) sebagai peninggalan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Selain itu, wakil Amchem, Nicholas Zeffreys, menganggap strategi bantuan terhadap Bumiputera yang menghuni 40 peratus terbawah dalam lapisan sosio-ekonomi negara sebagai ‘NEP run amok’ (DEB sedang mengamuk).
Inilah sikap tipikal golongan ‘kapitalis penindas’ yang sudah senang lagi mahu senang dan biarkan yang miskin menjadi hamba. Mereka mahu Bumiputera kekal menjadi hamba orang sebagai buruh dan pekerja kasar, sebagai underdog. Jelas mereka berusaha keras mahu menindas dan memperhamba penduduk luar bandar, pedalaman dan hulu di Malaysia.
Dengan sedar, mereka menolak campur tangan kerajaan dalam membangun masyarakat yang berpendapatan rendah dan hanya membuka nasib mereka kepada penentuan kuasa pasaran bebas. Mereka mahu membiarkan Bumiputera kekal miskin. Biarkan mereka terkurung dalam vicious circle (lingkaran durjana) kemiskinan. Itu adalah nasib orang miskin! Inilah falsafah social darwinism Barat yang sudah hilang nilai-nilai kebajikan yang amat ditegaskan oleh agama.
Mereka dengan mudah menggodam DEB dan kini Model Baru Ekonomi (MBE) pula menerima kritikan yang sama. Pada hal, ternyata 80 peratus perbelanjaan dalam DEB adalah keuntungan bukan Bumiputera melalui penguasaan dan hegemoni struktur ekonomi negara. DEB dikatakan mengutamakan syarikat Bumiputera, padahal hanya bilangan kecil syarikat Bumiputera baru muncul.
Mereka menuduh berlaku oligopoli (kuasa sebilangan kecil) oleh syarikat Bumiputera, padahal 90 peratus pasaran berada di tangan syarikat Cina yang sudah berakar umbi dalam keluarga dan ‘huatuan’.
Mereka juga menuduh berlaku kartel dan kawalan harga kerana Bumiputera, padahal syarikat-syarikat Cina yang bertindak menyorok barang dengan kartel itu. Mereka memandang serong ‘campur tangan’ (intervention) melalui subsidi, padahal bantuan kepada Bumiputera yang amat miskin dapat juga tempiasnya kepada pemborong bukan Melayu.
Mereka tidak pernah berbincang dan sebut betapa 80 peratus daripada DEB adalah keuntungan syarikat Cina dan pelabur asing. Malah, kemajuan sosial dan ekonomi dalam rangka DEB adalah jauh lebih besar di Malaysia daripada pembangunan yang tercapai di negara asing termasuk Amerika dan Eropah dalam tempoh yang sama. Tidak pernah negara membangun dapat memajukan bangsanya sebesar pencapaian DEB di Malaysia.
Lebih buruk lagi ada pensyarah Malaysia yang songsang melihat RMK-10 sebagai kelemahan azam politik pemimpin. Mereka adalah pengkhianat bangsa yang tidak mahu niat Datuk Seri Najib Tun Razak ‘mahu melihat luar bandar maju bersama bandar’ tercapai. Inilah musuh dalam selimut yang berlindung di sebalik ‘pasaran terbuka’ ataupun ‘sosialisme’. Mereka adalah musang yang mahu menggagalkan sebarang intervensi yang bakal mencabar hegemoni ekonomi bukan Bumiputera.
Pembangunan Lampau
Kita amat faham bahawa sehingga kini, pembangunan negara amat jelas berkali ganda melebihi pembangunan bandar. Hasilnya, luar bandar jauh ketinggalan di belakang dan bandar memuncak dengan segala kemodenan terkini. Pelbagai rancangan pembangunan ‘koridor’ dan MBE sebenarnya pembangunan berbilion ringgit untuk bandar dan hanya sedikit untuk luar bandar. Itu pun pada tahap kemudahan asas sahaja. Lihat rancangan pembangunan Pulau Pinang dalam koridor utara. Ataupun pembangunan Sungai Buluh nanti merupakan pembangunan ‘luar bandar’. Ia tidak membangun Alor Setar.
Jadi, masyarakat luar bandar hanya mendapat tempias dan melukut saja. Orang kampung akan hanya menjadi buruh. Pelbagai rancangan pembangunan pertanian adalah untuk pertanian komersial yang tidak memanfaatkan masyarakat kampung dan ulu yang sepatutnya menjadi sasaran pembangunan itu.
Justeru, apakah tanggungjawab besar kerajaan membangun bangsanya yang terkurung dalam kemiskinan itu sebagai beban dan hambatan kepada kemajuan. Orang kaya dengan syarikatnya memang hanya memikirkan keuntungan. Apalagi keuntungan itu lebih bersifat peribadi. Mereka tidak bertanggungjawab terhadap kemiskinan masyarakat.
Kerajaan mempunyai tanggungjawab yang jauh lebih besar dan berat iaitu memajukan seluruh bangsa. Bukan sekadar peniaga yang mesti disokong tetapi rakyat seluruhnya. Peniaga sering bertindak lari keluar negara, melarikan wang dan modal jika kerajaan mahu membantu orang miskin, seperti zaman DEB dan kini RMK-10.
Mereka sedia menentang dan akan melarikan modal ke luar. Mereka tidak mempunyai hati budi atau conscience, apa lagi untuk mempunyai tanggungjawab sosial terhadap orang lain.
Jadi, amat wajar perancangan kembali pembangunan itu untuk manfaat langsung kepada masyarakat luar bandar dan ulu yang 90 peratus terdiri daripada masyarakat Melayu dan Bumiputera. Maka sikap serong dan saranan agar kerajaan jangan membantu 40 peratus terbawah dalam MBE adalah penafian terhadap manfaat pembangunan itu kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera. Itu juga strategi menindas dan membantutkan pencapaian keadilan sosial dan pembahagian saksama kekayaan negara. Negara mempunyai nilai agung dalam pencapaian keadilan dan sama rata ekonomi.
Kemiskinan Bumiputera
Kesan pembangunan bandar selama lima dekad telah menjadikan masyarakat bandar amat beruntung dengan segala kemudahan terkini, terbaik dan termaju. Dari segi politik, bandar sudah menjadi kawasan pembangunan untuk kaum majoritinya, kaum Cina. Kaum-kaum lain seperti Melayu dan India kekal menjadi kaum terpinggir kecuali segolongan kecil profesional seperti pentadbir, jurutera, doktor, guru, akauntan, usahawan pertengahan, peguam serta pengurus.
Namun sebilang besar kakitangan pentadbir Melayu tetap akan jatuh menjadi ‘miskin’ selepas bersara. Mereka hanya mendapat separuh daripada gaji terdahulu. Mereka hanya bergantung kepada sara hidup ‘pencen’. Jadi, Melayu terjerumus ke dalam kancah miskin.
Sebahagian besar Melayu bandar adalah pengusaha sektor tak formal. Mereka hanya mengusahakan ‘gerai-gerai’ makan, gerai jualan, atau hanya gerai di dalam pusat jualan dan penjahit kasut di tepi kaki lima. Yang kekal beruntung ialah kaum Cina sebagai pengusaha sederhana atau pekedai yang tidak diusik oleh DEB. Walaupun objektif DEB adalah menyusun semula masyarakat tetapi 99 peratus kedai kecil dan sederhana (KKS) milik kaum Cina tidak pun terusik. Dengan itu, ekonomi KKS Cina kekal menguasai ekonomi Malaysia di seluruh negara.
DEB tidak menukar ataupun menyentuh asas susunan ekonomi negara. DEB hanya menyentuh ‘kek yang berkembang’ sebanyak tiga hingga tujuh peratus setahun atau purata lima peratus. Melayu dan Bumiputera hanya mendapat 18 peratus daripada purata lima peratus perkembangan ekonomi itu. Itu pun hanya perkembangan pada pasaran saham dan tidak pada kekayaan yang sedia dikuasai, kekayaan ekonomi sebenarnya.
DEB tidak pernah mengubah asas penguasaan kekayaan negara ataupun susunan ekonomi yang kekal di tangan kaum Cina sejak zaman penjajahan Inggeris. Cita-cita DEB menyusun semula masyarakat dan menghapuskan pengenalan kegiatan ekonomi berlandaskan kaum tidak tercapai. Namun telah tercapai sedikit pengagihan ekonomi yang nyata dan membanggakan. Meskipun DEB tidak dapat menyusun struktur ekonomi kolonial dari zaman ‘penjajahan’ Inggeris yang telah melindungi kaum Cina melalui Chinese Protectorate terutama sebagai penguasa ekonomi, namun pencapaian sedikit bagi kemajuan ekonomi Bumiputera kini belum lagi mencabar hegemoni ekonomi bukan Melayu itu.
Meskipun ekonomi Melayu pada semua tahap – tahap sektor informal (kecil), tahap sederhana, tahap korporat dan multinasional baru mula muncul, namun struktur ekonomi tetap di tangan bukan Melayu. Malah masyarakat India lebih beruntung daripada Melayu. Sebaliknya, masyarakat Bumiputera yang di hulu dan pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak akan kekal miskin tanpa pembangunan dan campur tangan kerajaan.
Inilah ketidakadilan yang mesti dihapuskan oleh MBE untuk mencapai negara maju, makmur dan berpadu. Selagi bandar dan luar bandar dipisahkan oleh jurang ekonomi yang memecah-belahkan, maka selama itu perjuangan menuntut keadilan dan hak ekonomi sama rata akan menjadi pertelagahan antara kaum bukan Bumiputera dan Bumiputera. Bumiputera akan kekal menuntut keadilan dan hak sama rata ekonomi.
Mereka akan tetap menentang hegemoni ekonomi yang membawa kepada perhambaan dalam bidang ekonomi dan pengagihan tak seimbang kekayaan negara. Maka, MBE wajib disegerakan tanpa halangan dan sokongan semua pihak.
Prof. Datuk Zainal Kling ialah Ahli Jawatankuasa Gapena.
Source: Utusan Malaysia Online
Orang Kampung buka pusat jualan di Indonesia 2011.
Tarikh siar: 01 November 2010.
MELAKA 31 Okt. - Orang Kampung Holdings (M) Sdn. Bhd., pengeluar pelbagai produk kesihatan, bakal membuka sebuah pusat jualan di Indonesia pada awal tahun depan dalam usaha memperkasakan jenama OK di luar negara.
Pengarah Urusan syarikat itu, Habibul Ajmi Manggar berkata, syarikat milik bumiputera itu mula meneroka pasaran luar negara khususnya Indonesia sejak lapan tahun lepas.
"Di Indonesia produk terlaris ialah Teh Herba Asli. Kita berharap pusat jualan ini dapat mengukuh dan mengembangkan pasaran kita di sana," katanya di sini, kelmarin.
Habibul Ajmi berkata, dengan pembukaan pusat jualan itu, syarikat tersebut akan memperkenalkan Teh Herba Halia, Teh Herba Limau Purut, Kopi Tongkat Ali dan Kopi Kacip Fatimah di pasaran Indonesia.
Katanya, selain Indonesia, syarikat itu juga memasarkan produknya di Singapura, Brunei dan Hong Kong dan pasaran di Timur Tengah seperti Dubai, Jeddah dan Arab Saudi.
Beliau berkata, produk berasaskan herba paling mendapat sambutan di Malaysia, Indonesia dan Brunei manakala produk berasaskan minuman kopi di Singapura dan Timur Tengah.
"Kita sedang mengkaji pasaran di Mesir di mana selain kita hantar produk ke sana, kita juga sedang mengkaji untuk mengimport herba dari Mesir untuk dipasarkan di dalam negara," katanya.
Beliau berkata, syarikat itu juga sedang mengkaji pasaran di Amerika Syarikat di mana sebagai percubaan, sebanyak tiga kontena produk keluaran syarikat itu dihantar ke selatan California.
Pasaran luar negara telah menyumbang lebih 20 peratus daripada jualan tahunan syarikat itu di mana pada tahun lepas ia memperoleh kira-kira RM20 juta jumlah jualan keseluruhan dan pihaknya mensasarkan kenaikkan jualan antara 10 dan 15 peratus setiap tahun, katanya.
Pada bulan depan, syarikat itu akan melancarkan dua produk minuman baru berasaskan buah delima dan herba serapat untuk kecantikan dalaman dan luaran wanita, juga minuman berasaskan pegaga dan buah beri untuk memperkuatkan minda kanak-kanak.
Syarikat itu mempunyai tiga buah kilang, sebuah kilang di Merlimau yang khusus menghasilkan produk berasaskan herba, sebuah kilang juga di Merlimau yang khusus menghasilkan produk berasaskan minuman dan sebuah kilang lagi di Nilai, Negeri Sembilan khusus menghasilkan produk kesihatan kesemuanya mempunyai 170 pekerja.
Habibul Ajmi berkata, syarikat itu akan memulakan operasi sebuah lagi kilangnya juga di Merlimau khusus menghasilkan produk farmaseutikal berasaskan herba pada awal tahun depan dalam usaha menampung permintaan produk herba yang amat menggalakkan.
"Tahun depan kita juga akan menubuhkan sebuah anak syarikat untuk tujuan penyelidikan bagi menghasilkan produk baru juga khidmat penyelidikkan untuk syarikat lain," katanya.
Syarikat itu diasaskan pada 1975 oleh bapa beliau, Allahyarham Datuk Manggar Haniff, bermula sebagai perniagaan kecil di belakang rumah. Beliau menghasilkan produk berasaskan gamat. Perniagaan itu berkembang pesat dan untuk menampung permintaan yang menggalakkan, pada 1991, syarikat memindahkan operasi ke kilang sekarang di Merlimau.
Dengan perniagaan yang berkembang maju, Perniagaan Orang Kampung Sdn. Bhd. diasaskan pada 14 Mei 1994 dengan modal berbayar RM20,000 dan untuk mengukuhkan aktiviti pemasaran, Orang Kampung Marketing Sdn. Bhd. ditubuhkan pada 1996 dengan modal berbayar RM100,000 kemudian bagi mengukuhkan sektor pengeluaran terutamanya minuman, Heritage Drinks Industries (M) Sdn. Bhd. ditubuhkan pada 17 Mei 2001 dengan modal berbayar RM2.5 juta.
Toyyib Pharma Industries (M) Sdn. Bhd. ditubuhkan pada 31 Mei 2001 untuk menguruskan kilang di Nilai, Negeri Sembilan dan syarikat utama Orang Kampung Holdings (M) Sdn. Bhd. ditubuhkan pada Ogos 2001. – BERNAMA
Source: Utusan Malaysia Online
Fasa terakhir penggabungan Etiqa
Tarikh siar: 01 November 2010.
KUALA LUMPUR 31 Okt. - Etiqa, syarikat insurans dan takaful komposit terbesar negara kini dalam fasa terakhir penggabungannya dengan memindahkan perniagaan, aset dan liabiliti Mayban Life Assurance Bhd. kepada Etiqa Insurance Bhd., mulai esok.
Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Insurans dan Takaful, Datuk Aminuddin Md Desa berkata, penggabungan itu akan mengukuh dan menstabilkan struktur syarikat tersebut dan membolehkan Etiqa lebih fokus dalam memperluaskan perniagaannya secara organik dan bukan organik.
''Kepada pemegang polisi dan rakan niaga Mayban Life Assurance, terma dan syarat kekal seperti yang sedia ada,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jenama Etiqa dilancarkan pada November 2007 selepas penggabungan Malaysia National Insurance Bhd. dan Takaful Nasional Bhd. dengan sektor insurans dan takaful Maybank dan Mayban Fortis Holdings Bhd.
Ia juga merangkumi Mayban Life Assurance Bhd., Mayban General Assurance Bhd. dan Mayban Takaful Bhd.
Pada fasa awal penggabungan, Mayban General Assurance telah digabungkan dengan Etiqa Insurans Bhd. manakala Mayban Takaful telah digabungkan dengan Etiqa Takaful.
Dengan penggabungan Mayban Life dan Etiqa Insurance, Etiqa kini lebih fokus dengan dua lesen operasinya, satu untuk Etiqa Insurance dan satu lagi untuk Etiqa Takaful.
''Etiqa mempunyai kelebihan daripada segi saluran perniagaan melalui lebih 450 cawangan Maybank, 36 cawangan Etiqa dan lebih daripada 28,000 ejen, broker, koperasi di seluruh negara serta melalui pusat panggilan dalam talian Etiqa di 1300 13 8888 dan laman web kami di www.etiqa.com.my.
''Kini, Etiqa mampu memenuhi semua keperluan insurans dan takaful dan ini adalah bertepatan dengan landasan jenama kami iaitu menginsankan insurans dan takaful,'' tambah Aminuddin.
Sebagai salah sebuah penyedia bancasurans, Etiqa menaja jamin kesemua pelan insurans dan takaful yang ditawarkan oleh Maybank.
Penggabungan Mayban Life Assurance dengan Etiqa Insurance telah meningkatkan saiz aset Etiqa Insurance kepada RM13.5 bilion dan dana insurans pemegang polisi kepada RM11.1 bilion.
Source: Utusan Malaysia Online
‘JCorp bukan milik saya’
Tarikh siar: 01 November 2010.
Oleh AINUL ASNIERA AHSAN, ainul.ahsan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 31 Okt. – Biarpun terpaksa mengambil keputusan melepaskan jawatan di Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim tidak pernah menyifatkan tindakan itu sebagai ‘pengakhiran hidupnya’.
Sebaliknya, bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp itu berasa amat bertuah kerana telah diberi peluang untuk mengemudi konglomerat milik kerajaan negeri Johor itu selama 30 tahun dan berjaya meletakkannya pada kedudukan sekarang.
JCorp kini memiliki 280 syarikat termasuk lima syarikat senaraian awam dengan nilai aset bernilai RM14 bilion.
‘‘Semasa saya menerima jawatan itu dulu, saya sentiasa bertawakal untuk membuat yang terbaik dan alhamdulillah saya sudah melakukannya, sebab itu saya tidak rasa kecewa.
‘‘Bagi saya, ini adalah satu kelebihan apabila kita menerajui syarikat tanpa pemilikan saham, kita tidak akan berasa kecewa, takut atau resah apabila terpaksa meninggalkannya.
‘‘JCorp bukan milik saya, saya hanya menerajuinya bersama rakan-rakan lain sebagai satu amanah,’’ katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini.
Muhammad Ali berkata, perasaan sedih tidak langsung timbul semasa beliau menulis dan menghantar surat peletakan jawatan itu.
Katanya, sesiapa pun perlu mengambil tindakan sama sekiranya tidak lagi diterima dalam satu-satu organisasi, namun enggan mengulas lanjut.
Lagipun, katanya, sejak mula-mula menerima jawatan itu, beliau akur suatu hari nanti, pasti akan meninggalkan JCorp untuk memberi laluan kepada pemimpin lain.
‘‘Peletakan jawatan saya bukan bermakna hidup saya habis kerana sepanjang di JCorp, saya pernah merasai kegagalan dan kecewa lebih dahsyat apabila tidak berjaya memiliki Pantai Holdings Bhd. (Pantai).
‘‘Kekecewaan dan kegagalan yang pernah saya alami dulu melebihi daripada apa yang saya rasai sekarang,’’ ujarnya.
Mengulas mengenai peristiwa tersebut, Muhammad Ali berkata, JCorp tewas dalam pemilikan Pantai kerana tidak mendapat sokongan politik walaupun telah membayar sebanyak RM25 juta kepada syarikat pengurusan hospital Pantai itu.
Katanya, Pantai telah diswastakan kemudian dijual kepada Parkway Holdings Ltd. (Parkway) dan Khazanah Nasional Bhd. terpaksa membeli semula dari Parkway pada harga berbilion ringgit.
‘‘Itulah peristiwa yang paling membuat saya sedih, kecewa dan berasa gagal. Kalau Pantai berjaya dalam tangan JCorp, saya mampu memberi jaminan Pantai semakin kukuh sekarang.
‘‘Bagaimanapun, KPJ Heathcare Bhd. telah mengembalikan maruah kita. Kita tidak boleh hidup kalau asyik kecewa sahaja,’’ tegasnya.
Beliau berkata, walaupun sudah tidak bersama JCorp, Muhammad Ali yakin pemimpin-pemimpin sedia ada di syarikat itu mampu menggembleng tenaga, fikiran dan kemahiran bagi mengukuhkan syarikat.
Malah, beliau turut melahirkan harapan agar kerajaan negeri itu memberi peluang kepada legasi sedia ada mereka yang kini merupakan ahli perniagaan yang hebat dan masih muda.
‘‘Siapa yang tidak kenal dengan kehebatan Pengarah Urusan Kulim Bhd., Ahamad Mohamad, yang pernah menerajui sebuah syarikat tersenarai awam di London.
‘‘Begitu juga Datin Paduka Siti Sa’adiah Sheikh Bakir, Ketua Pegawai Eksekutif KPJ dan lain-lain.
‘‘Mereka mesti berjaya, tidak boleh kecundang kerana JCorp mempunyai peranan yang cukup besar kepada masyarakat,’’ tambah beliau.
Source: Utusan Malaysia Online.
Jeneral pulau majlis Presiden kerana tudung
ANKARA 30 Okt. - Ketua-ketua tentera Turki memulaukan upacara rasmi di Istana Presiden kerana isteri Presiden Abdullah Gul memakai tudung.
Akhbar hari ini melaporkan kepimpinan tertinggi tentera dilihat tidak menghiraukan majlis sambutan anjuran Abdullah lewat semalam bagi meraikan ulang tahun penubuhan Turki moden dan sekular pada 1923.
Menurut laporan akhbar, pihak tentera mengadakan satu majlis berasingan pada waktu yang sama sebagai alasan bagi jeneral-jeneral tidak memenuhi jemputan Abdullah.
Pembangkang utama berfahaman sekular, Parti Republikan Rakyat (CHP) turut menolak pelawaan Abdullah.
Wanita Pertama Turki, Hayrünnisa Özyurt, memakai tudung sejak zaman remaja lagi.
Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan mengecam pemulauan itu. Isteri Recep Tayyip turut memakai tudung.
Jeneral-jeneral tentera menganggap tudung sebagai ancaman kepada tradisi sekular Turki dan menentang sebarang kelonggaran kepada pengharaman pemakaiannya di sekolah dan bangunan kerajaan.
Source: Utusan Malaysia Online
Kunjungan H Mulyadi Dt Marah Bangso dan keluarga
Siang tadi, Ahad 31 Oktober 2010, penulis sekeluarga amat berbesar hati kerana menerima kunjungan H Mulyadi Dt Marah Bangso dan keluarganya yang datang dari Palembang dan Padang, Sumatra ke pondok kami di Taman Meru, Ipoh.
Beliau dan keluarga dalam perjalanan ke Sintok di Kedah untuk menghadiri acara wisuda (konvokesyen) anak gadisnya – Dian, di Universiti Utara Malaysia yang dijangka berlangsung besok.
Isteri penulis menerima kunjungan H Mulyadi dan isteri.
Dian dan anggota keluarganya.
Tetamu kami dari Palembang dan Padang, Sumatra.
Penulis bersyukur atas nikmat yang Allah berikan hari ini.
H Mulyadi di pondok kami di Ipoh, Perak.
Alhaqir bersama rombongan di Ipoh.
Penulis melayani tetamunya dari Palembang dan Padang.
Komunikasi memperkuatkan silaturrahim.
Bergambar beramai-ramai di depan pondok penulis.
Semuanya ceria - alhamdulillah.
Terima kasih kepada H Mulyadi Dt Marah Bangso dan keluarga
yang sudi mengunjungi kami di Ipoh, Perak Darul Ridzuan.
http://idristalu.blogspot.com/
Sabtu, 30 Oktober 2010
Ketua Pengarah Eksekutif YouTube Letak Jawatan
Tarikh siar: 31 Oktober 2010.
Ketua Pengarah Eksekutif YouTube, Chad Hurley yang menghasilkan laman video popular dunia itu bersama dua rakannya dilapor meletakkan jawatan, semalam.
Peletakan jawatan itu dilakukan selepas lebih dua tahun agenda kepemimpinan baru menjadi isu berikutan pemilik YouTube, Google Inc mahu memperkukuhkan penguasaan terhadap laman web berkenaan.
Google melantik pekerja setianya Salar Kamangar untuk membantu Hurley mengemudikan YouTube pada 2008. Langkah itu dibuat bersesuaian rancangan Google untuk meningkatkan pendapatannya ekoran pemerolehan AS$1.76 bilion (RM5.63 bilion) daripada YouTube pada 2006.
Source: Harian Metro Malaysia
Menghargai ilmuwan tempatan
Tarikh siar: 31 Oktober 2010.
Penulis: Zin Mahmud.
Dari kolum “Untung Sabut Timbul”
PEMERGIAN ahli sejarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nik Anuar Nik Mahmud ke Rahmatullah Khamis lalu menggamit kenangan ketika berurusan dengan beliau bertahun-tahun lalu.
Sebenarnya penulis hanya dua kali bertemu dan berurusan dengannya sepanjang hayatnya. Tetapi dua kali itu sudah cukup berasa sebagai sahabat intelektual. Apa saja yang ditulisnya akan diikuti oleh penulis.
Antaranya tentulah mengenai sejarah Pattani, Melayu, Johor dan Singapura.
Pertemuan pertama penulis dengannya adalah pada lewat 80-an. Ketika itu penulis sedang menyiapkan buku sejarah sebuah parti politik dan beliau banyak membantu sumbang makalah-makalah yang boleh dimuatkan dalam buku itu. Di situ penulis dapat melihat kesungguhannya untuk memberi sumbangan intelektual sejati.
Pertemuan kedua ialah ketika mewawancara beliau untuk Mingguan Malaysia pada sekitar 2003. Ketika itu adalah mengenai sejarah hubungan Malaysia dan Singapura. Kesibukan beliau dan komitmennya yang banyak dalam memberi input sejarah kepada pihak berkuasa menyerlahkan keunggulannya.
Beliau adalah antara pensyarah-pensyarah UKM yang penulis kenal. Ada beberapa pensyarah UKM lain turut rapat dengan penulis . Antaranya sudah bersara dan masuk ke bidang lain termasuk politik.
Yang masih berkhidmat antaranya adalah Dr. Roosfa Hashim yang menulis mengenai Dr. Nik Anuar dalam Mingguan Malaysia hari ini. Oleh kerana beliau aktif dalam dunia penerbitan buku maka sudah tentu akhirnya akan tertembung juga dengan penulis.
Sebagai wartawan, maka tentu hubungan rapat mudah terjalin dengan pensyarah dalam bidang media. Antaranya ialah Dr. Safar Hashim dan Dr. Mus Chairil Samani yang juga adalah bekas wartawan Utusan Malaysia pada zaman sebelum dia menyertai dunia akademik
Kewartawanan dan politik tidak dapat dipisahkan. Maka pensyarah bidang politik seperti Dr. Agus Yusof juga penulis kenali.
Begitu juga dalam bidang bahasa. Profesor Madya Dr. Rosniah Mustaffa umpamanya penulis kenali kerana pernah menjadi editor bukunya mengenai tatabahasa Inggeris yang ditulis dalam bahasa Melayu dan diterbitkan oleh Utusan Publications.
Nama-nama ini adalah sekadar yang penulis teringat ketika ini. Banyak lagi yang penulis kenal tetapi tentu tidak dapat disenaraikan di sini.
Bukan saja dari UKM, dari universiti-universiti lain juga penulis dapat menjalin hubungan persahabatan. Dari Universiti Malaya ialah Prof Dr. Rauzah Hashim yang penulis anggap sebagai seorang saintis unggul. Juga Prof Dr Redzuan Othman.
Universiti
Begitu juga dari Universiti Sains Malaysia (USM) seperti Prof Syukri Salleh dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang paling rapat dengan penulis ialah Shaharom TM Sulaiman. Di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ialah seperti arkitek Prof Dr. Tajuddin Rasdi.
Penulis sekadar menyebut nama-nama ahli akademik ini di kalangan banyak lagi di antara mereka yang memberi sumbangan kepada dunia ilmu di negara ini.
Tentunya sebagai seorang yang meminati soal-soal pemikiran, ada perasaan alangkah indahnya kalau dapat meluangkan banyak masa lagi dengan mereka yang berada di menara gading ini.
Tetapi kehidupan dan hayat dirasakan begitu singkat untuk mengaut ilmu dan pengalaman para ahli akademik yang masing-masing sibuk dengan kerja. Lebih-lebih lagi tuntutan birokrasi sesebuah universiti penyelidikan melemaskan banyak pensyarah.
Dari masa ke semasa diadakanlah seminar di pelbagai institusi pengajian tinggi yang terbuka untuk umum, dan juga syarahan-syarahan awam yang boleh dihadiri oleh orang ramai.
Berbanding dengan universiti di Barat, tentu aktiviti di IPT negara ini masih dilihat pasif dan tidak terbuka luas untuk orang ramai. Namun apa yang ada sekarang ini tidak disertai secara aktif oleh orang ramai yang berminat dan mampu untuk memahami isu-isu intelektual.
Dengan kerja seharian sentiasa menuntut komitmen, rekreasi intelektual pun sukar untuk dinikmati walaupun minat besar itu ada.
Hanya apabila dengar seseorang ahli akademik yang bernama besar meninggal dunia, maka akan dirasakan kehilangannya pada negara. Maka bagi mereka yang berminat tentang sesuatu bidang, tentulah berasa terlepasnya peluang untuk bergaul atau berbicara secara intelektual dengan mereka.
Selepas ketiadaannya , apa yang hanya boleh dinikmati oleh para peminatnya hanyalah melalui buku-bukunya yang diterbitkan. Kertas-kertas yang ditulis mereka tetapi tidak dibukukan akan hanya tersimpan di perpustakaan universiti masing-masing, yang sudah tentu sukar untuk diperoleh oleh orang awam di luar universiti.
Penulis teringat Allahyarham Prof Dr. Syed Hussein Al-Attas. Penulis dan Shaharom pernah merancang untuk mengadakan wawancara dengan beliau secara bersiri untuk menyelongkar pemikirannya.
Shaharom sudah pergi menemuinya beberapa kali juga. Sementara penulis sempat menemuinya sekali saja pada satu malam yang hening di kediamannya. Hasrat hati untuk bertanya detik-detik bagaimana beliau menubuhkan Parti Gerakan tidak sempat diujarkan kerana beliau pulang ke Rahmatullah.
Tetapi pada masa ini banyak lagi ahli-ahli akademik yang telah bersara dan masih aktif. Mereka boleh digali pemikirannya sebelum terlambat.
Daripada nama-nama besar seperti Profesor Diraja Ungku Aziz dan Profesor Dr. Syed Naquib Al-Attas hinggalah kepada ahli-ahli akademik yang kurang terkenal tetapi masing-masing mempunyai peranan serta sumbangan dalam bidang masing-masing.
Dengan menghargai serta menggembleng aset intelektual yang sudah ada dalam negara, maka barulah memanggil dan memujuk mereka yang berada di luar negara itu mempunyai makna.
Dunia intelektual dan akademik di negara wajar diletakkan pada tempat sebenar. Bagaimana caranya? Merekakan orang pandai, fikirkanlah sendiri.
Source: Mingguan Malaysia Online
Sifat toleransi kerana Islam
Sumber: Mingguan Malaysia Online
Tarikh siar: 31 Oktober 2010.
Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee
SESIAPA yang mengkaji psiki orang Melayu mengetahui bahawa, agak sukar dan berat untuk Melayu mengundi orang bukan Islam di kawasan majoriti Melayu. Tetapi atas dasar kerjasama dan toleransi, UMNO tetap memberi laluan, sehingga terpaksa menerima kekalahan Pilihan Raya Umum ke 12. Saya fikir, belum tentu PKR boleh menang mudah, jika mereka bertanding di kawasan majoriti Melayu, satu lawan satu. Maka tidak hairanlah, keputusan Pilihan Raya Umum ke 12 telah menjadikan parti politik ini menjadi bongkak dengan kemenangan mereka, wal hal sebenarnya mereka tidaklah sekuat mana.
Kebongkakan ini menjadikan mereka begitu celupar sehingga begitu berani menyindir mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed dengan menggunakan istilah 'tersungkur' gara-gara kesihatan negarawan tersebut terjejas sedikit sehingga dimasukkan ke hospital. Bukan itu sahaja, PKR terus mencanangkan untuk memboikot akhbar Utusan Melayu. Selain dari Mahathir, mereka juga mahu melihat akhbar ini 'tersungkur'. Melayu sesama Melayu suka melihat saudara mereka sendiri tersungkur. Pertelingkahan tidak pernah selesai seolah-olah tidak ada jalan penyelesaian.
Saya tidak bertujuan untuk mempertahankan Utusan, hanya kerana diberi peluang untuk menulis dalam kolum setiap hujung minggu. Apa ingin saya suarakan adalah, akhbar Utusan tidak pula berkempen supaya memboikot akhbar Suara Keadilan ataupun Harakah. Walaupun tidak kurang hebatnya kedua akhbar ini mengkritik Utusan dan kerajaan. Atas nama kebebasan bersuara dan demokrasi, saya nampak akhbar Utusan lebih terbuka.
Mungkin ada yang berkata, Utusan adalah akhbar UMNO atau akhbar kerajaan BN. Jika begitulah keadaan, Keadilan, Roket dan Harakah, juga adalah akhbar parti. Berita-berita mereka, walaupun didakwa benar dan tidak ada putar belit, mereka tetap menentang dan mengkritik UMNO dan kerajaan yang dipimpinnya. Malang sungguh akhbar orang Melayu terpaksa berhadapan dengan orang Melayu sendiri. Sedangkan akhbar orang lain asyik bekerjasama dan jarang bergaduh atau saling kutuk mengutuk. Apa yang jelas, mereka saling sokong-menyokong dan begitu bersatu hati mempertahankan hak-hak mereka.
Seperti mana perjuangan contoh lima parti bukan Melayu agak berbeza dengan perjuangan parti Melayu Islam. Parti bukan Melayu begitu menjaga kepentingan dan kebajikan bangsa dan anak buah mereka. Sementara, parti Melayu Islam yang rata-rata berpecah, tidak habis-habis mengeluarkan kenyataan menyakitkan hati saudaranya sendiri. Begini cara kita berpolitik. Marahkan nyamuk kelambu dibakar. Dendam kesumat yang tidak berkesudahan. Sedangkan orang lain bergaduh macam adik-beradik, kita bergaduh berpatah arang, berkerat rotan. Kita seolah-olah bangga dengan bertindak sedemikian dan menjadi bongkak serta ego bila merasakan ada sedikit kekuatan. Wal hal, mereka ini tidaklah sekuat mana, kokok saja berderai-derai, ekor kadang kala bergemulang tahi.
Sampai bilakah perkara sebegini akan berterusan? Tidakkah kita sedar bahawa perpecahan sebegini bukan lagi rahmah, tetapi sudah sampai ke peringkat haram berpecah, kerana kepentingan umat Islam semakin tergugat. Sedangkan orang lain melihat ruang dan mengintai peluang serta sentiasa mengambil kesempatan. Masih butakah mata kita?
Cuba kita bandingkan akhbar-akhbar Melayu dan akhbar bukan Melayu, ternyata perjuangannya jauh berbeza. Akhbar bukan Melayu begitu kuat memperjuang hak-hak bukan Melayu. Apakah salah akhbar Melayu memperjuangkan hak-hak Melayu dan Islam. Maaf, saya banyak menggunakan perkataan Melayu, sebab Melayu dan Islam memang tidak dapat dipisahkan, ibarat lagu dan irama.
Ketika membentang kertas kerja bertajuk Persepsi bukan Melayu terhadap politik Melayu, di Universiti Malaya baru-baru ini, saya telah membangkitkan bahawa budaya politik bukan Melayu hari ini ialah wang (ekonomi) dan kuasa (politik), atau more money, more power, more talk. Sedangkan orang Melayu, sudahlah wang tidak banyak, kuasa semakin terhakis dan menipis, ditakuti juga mungkin terlepas, no money, no power, no talk. Dalam keadaan seperti ini pun, mereka masih berani bercakap besar dan tinggi egonya. Namun, saya masih boleh bernafas, kerana orang Melayu masih sensitif dengan Islam dan meletakkannya di tempat yang sewajarnya.
Saya memuji seorang peserta bukan Melayu dalam seminar tersebut yang begitu bersyukur tinggal di bumi bertuah dan mahukan bukan Melayu mengubah persepsi mereka terhadap kepimpinan Melayu Islam. Toleransi Melayu dikatakan begitu tinggi sehingga bukan Melayu masih boleh mengekalkan identiti mereka tanpa langsung diasimilasikan. Peserta bukan Melayu ini bukan main lagi marah terhadap sesetengah kumpulan ekstrem yang sibuk mempertahankan bahasa dan jati diri mereka sehingga melupakan tanggungjawab sebenar terhadap pembinaan sebuah negara bangsa.
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak dipedulikan. Bahasa ibunda pertahankan bermati-matian sehingga menimbulkan masalah pembinaan negara bangsa. Bila saya selidiki latar belakang peserta bukan Melayu tersebut ternyata, beliau berlatarbelakangkan sejarah. Beliau begitu memahami sejarah Tanah Melayu dan sejarah Malaysia. Tidak mustahilkan beliau bersikap sedemikian.
Memahami
Maka tidak hairanlah kita lihat orang bukan Melayu yang memahami sejarah seperti Prof. Khoo Kay Kim dan Prof. Teo Kok Seong, agak berbeza pandangannya berbanding bukan Melayu yang lain. Malangnya, tokoh ilmuan tidak pernah disukai oleh bangsanya. Mereka tahu bahawa rakyat yang memahami sejarah, sikap mereka akan menjadi lebih lunak atau tidak ekstrem. Pendek kata, dengan memahami sejarah, ia boleh membantu menurunkan ego seseorang. Kejahilan sejarah akan menjadi mereka bongkak dan tidak sedar diri.
Menurut Kay Kim lagi, punca sebenar mengapa kebelakangan kini terdapat pihak-pihak yang mempersoalkan mengenai hak-hak dan keistimewaan yang dinikmati oleh orang Melayu adalah kerana masyarakat pada masa kini sudah buta sejarah.
Justeru, menurut Kay Kim, rakyat khususnya kaum-kaum lain, perlu sama-sama menghormati hak Islam dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan kerana pada ketika ia digubal dahulu, kaum lain sendiri sudah bersetuju dengan perkara-perkara yang dimasukkan dalam Perlembagaan tersebut. Kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam telah bermula sejak dahulu dan berasaskan sistem kerajaan yang wujud di Semenanjung Tanah Melayu. Di Semenanjung, sejak tahun 1895 sudah ada sembilan kerajaan Islam yang kekal sampai ke hari ini.
Katanya Kay Kim lagi, sejarah perlembagaan telah dirangka berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya Reid yang telah melakukan kajian pada tahun 1956, Perlembagaan itu kemudian berkuatkuasa apabila negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Perkara 153 Perlembagaan Malaysia memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agung, bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri Borneo (Sabah dan Sarawak) serta kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini.
Ia juga secara terperinci menjelaskan bagaimana kerajaan persekutuan mempertahankan kepentingan orang Melayu (Islam) dan Bumiputera dengan menetapkan kuota untuk kemasukan perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam, pemberian permit dan lesen perniagaan.
Ternyata, dengan memahami sejarah yang benar, berperanan besar untuk menurunkan ego seseorang. Berbeza dengan orang Melayu, yang menurunkan ego mereka, bukan sahaja sejarah, tetapi agama Islam itu sendiri. Peranan agama begitu kuat mengikut sejarah Melayu.
Dahulu saya pernah berkata, kerana Islamnya orang Melayu 600 tahun lalulah, yang menjadi mereka insan yang cukup bertoleransi, kurang ego dan mantap perpaduannya. Bayangkan jika Melayu masih lagi tidak Islam sehingga ke hari ini dan egonya tidak dapat ditundukkan. Adakah sama penerimaan dan toleransi mereka terhadap orang bukan Melayu? Dengan sebab itu, apa pun berlaku orang Melayu Islam tidak terus berprasangka, tetapi terus bersangka baik.
Source: Mingguan Malaysia Online
Putar belit Barat terhadap keindahan Islam
Sumber: Mingguan Malaysia Online
Tarikh siar: 31 Oktober 2010.
Tan Sri Mazlan Nordin
BAGI sebilangan ramai penonton filem dari masa lalu di mana juga negara maka seniwati yang paling diminati ialah Brigitte Bardot dari Perancis. Siapa menduga bahawa beliau, kini 76 tahun, bersikap antidaging halal dan menganggapnya sebagai “pencerobohan” di negara Perancis?
Hal ini dilaporkan dalam Newsweek, majalah mingguan Amerika isu 18 Oktober, bertajuk Bardot’s Contentious Second Act. Selanjutnya dicatat:
“Mahkamah-mahkamah Perancis telah lima kali mendapati beliau bersalah kerana mencetus sikap perkauman melalui temuramah-temuramah radio atau penulisannya dan mendenda beliau beribu-ribu dolar sejak dua puluh tahun lalu.”
Laporan tersebut mendapat perhatian ketika Malaysia antara yang giat berkempen menggalakkan pemakanan halal ke negara-negara lain, termasuk dunia Barat.
Lebih menarik perhatian ialah perbicaraan di The Hague, ke atas ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders yang dianggap anti Islam kerana menyifatkan Islam sebagai ideologi “fasis” dan menyamakan al-Quran dengan Mein Kempf karangan Adolf Hitler, diktator Nazi Jerman pencetus Perang Dunia Kedua.
Namun, pihak pendakwa baru-baru ini meminta mahkamah membebaskan Wilders daripada tuduhan yang dihadapi atas alasan kenyataan beliau tidak berunsur jenayah walaupun menyinggung perasaan warga Islam. Beliau kini ketua Party for Freedom, parti politik yang ketiga terbesar di negeri Belanda.
Berumur 47 tahun, Wilders telah melawat Israel lebih 40 kali. Beliau antara pembicara sidang Anti Jihad di Jerusalam pada tahun 2008.
Beliau juga berperanan menerbit filem mengenai agama Islam di negara Belanda, bertajuk Fitna. Pada 21 Januari 2009, Mahkamah Ulang bicara di Amsterdam mendakwa beliau kerana “menghasut rasa benci dan diskriminasi”.
Menurut laporan selanjutnya, Wilders dilarang melawat ke Britain antara Februari hingga bulan Oktober 2009. Kementerian Dalam Negeri mendakwa kehadirannya “membahayakan kepentingannya mutlak masyarakat,” tetapi larangan itu dibatalkan setelah Wilders merayu dan pada tahun 2010 beliau menayangkan filem Fitna.
Menurut catatan Wikipedia, ibu beliau lahir di Sukabumi, Indonesia semasa penjajahan Belanda. Ayahnya warga Belanda manakala isterinya dari keluarga Serani.
Memutar belit
Sejak beberapa waktu Wilders dikawal keselamatan dirinya oleh pengawal-pengawal peribadi yang ditanggung gaji mereka oleh kerajaan. Wilders yang asalnya anggota Roman Katolik kini tiada percaya pada Tuhan, tetapi menganggap golongan Kristian Belanda sebagai “rakan-rakan saya”.
Menurut laporan-laporan selanjutnya warga Islam yang mengkritiknya menuduh beliau sengaja memutar-belit ayat-ayat al-Quran.
Rencana-rencana pengarang akhbar The Will Street Jornal, The Guardian, The New York Times dan Montreal Gazatte menganggap Wilders sebagai hipokrit kerana mendesak supaya al-Quran diharamkan tetapi ia sendiri menuntut kebebasan bersuara.
Menurut Wikipedia lagi Wilders telah disamakan dengan mendiang Theo Van Gogh pembikin filem anti Islam yang kemudian mati dibunuh. Beliau juga telah menyiarkan manifesto politik yang antara lain memutuskan:
•Larangan membina masjid-masjid baru dan sekolah-sekolah agama Islam selama lima tahun, larangan dakwah dalam apa jua bahasa kecuali bahasa Belanda.
•Melarang iman-imam dari luar mengadakan kuliah.
•Menutup masjid-masjid “yang radikal” dan makmumnya dihalau.
Menjadi tanda tanya ialah kaitan dengan penjajah Belanda di Indonesia pada masa dahulu dan antara nama yang timbul kembali ialah Snouck Hurgronje, penasihat mengenai Islam kepada pemerintahan penjajah.
Beliau menganggap sepi agama Islam dan menyertai beberapa penulis lain bahawa dunia Barat dan golongan Kristian mesti menentang ketegasan Islam.
Seperti disebut dasar beliau ialah meluaskan pendidikan cara Barat untuk melemahkan dan akhirnya melenyapkan pengaruh agama Islam di Indonesia.
Antara karya Hurgronje ialah Mekka in the latter part of the 19 th Century setelah menemui secara sulit sebilangan jemaah haji Indonesia di Mekah.
Kini abad ke-21 dan Indonesia ialah negeri Islam terbesar sekali dengan penduduknya sejumlah lebih 240 juta. Hurgronje dan penjajah Belanda gagal menghalang kemaraan agama Islam. Demikian juga Wilders yang sebulu dengannya. Bilangan umat Islam kini lebih daripada 1.5 bilion.
Source: Mingguan Malaysia Online
Datuk Nik Anuar Nik Mahmud - Perginya tokoh sejarawan
Tarikh siar: 31 Oktober 2010.
Oleh Dr. Roosfa Hashim
PEMERGIAN Datuk Nik Anuar Nik Mahmud pada 28 Oktober lalu tentulah suatu kehilangan yang besar kepada negara khususnya ketika sistem pendidikan kita sedang berusaha memantapkan pengajian sejarah kepada para pelajar di sekolah.
Allahyarham Nik Anuar ketika hayatnya sering mengetengahkan kebimbangannya akan kecenderungan yang semakin menghakis pengajaran sejarah dalam sistem pendidikan negara. Nik Anuar adalah salah seorang sejarawan yang secara serius berusaha menulis kembali sejarah negara dan bangsa kita daripada perspektif anak tempatan. Proses pempribumian ilmu yang jelas dapat kita kesan pada karya-karya beliau.
Dengan ufuk pengajian sejarah yang amat luas, Nik Anuar nampaknya telah memilih dan menempatkan dirinya ke suatu ceruk yang agak tersendiri, iaitu konflik sempadan khususnya pelbagai perebutan wilayah yang bergolak di rantau Asia Tenggara. Minat dan kecenderungan Nik Anuar terhadap konflik sempadan di rantau ini dibina dengan kukuh sejak menjadi mahasiswa sejarah di Universiti Malaya. Di situ beliau menyiapkan latihan ilmiahnya pada 1972 dengan judul "Sejarah Jeram dan Kebangkitan Tok Janggut". Bertolak dari situ beliau kemudian menyuburkan minatnya sebaik menjejakkan kakinya ke School of Oriental and African Studies di Universiti London bagi mendalami sejarah Asia Tenggara. Dari situ beliau kemudian melangkah terus ke Universiti Hull bagi mendapatkan ijazah kedoktorannya.
Satu demi satu buku yang mengupas pelbagai konflik sempadan telah lahir daripada pemikiran dan analisis Nik Anuar. Pada 1998, Nik Anuar menerbitkan Tunku Abdul Rahman and his role in the Baling talks: a documentary history. Nik Anuar juga telah menerbitkan secara verbatim pertemuan di Baling itu. Kedua-dua buku ini terbitan Arkib Negara. Bahan ini membolehkan kita mengetahui dengan jelas apakah yang diperkatakan secara kalimat demi kalimat dalam pertemuan bersemuka antara para pemimpin Parti Komunis Malaya dengan pasukan Tunku Abdul Rahman.
Salah satu kekuatan yang jelas dalam tulisan-tulisan Nik Anuar ialah cubaan beliau melihat dan menganalisis setiap isu dengan meneropongnya daripada tingkap rumah kita sendiri. Beliau berusaha untuk tidak melihat sejarah negara ini daripada geladak kapal penjajah. Proses penulisan semula pensejarahan Malaysia ini amat penting dalam usaha melahirkan sebuah negara bangsa yang kukuh. Tafsiran baru yang lebih tepat, jujur dan adil tentang apa yang berlaku dalam sejarah bangsa kita perlulah dilakukan segera.
Oleh yang demikian kita dapat membaca tafsiran Nik Anuar tentang kelemahan Raja-Raja Melayu sehingga Pattani diserah dengan mudah kepada Thailand melalui bukunya, Sejarah Perjuangan Melayu Patani, 1785-1984 (Penerbit UKM 1999). Beliau kemudian menerbitkan buku The Malays of Patani: The search for security and independence (MPH 2008). Kekesalan Nik Anuar terhadap proses pensiaman yang dilakukan oleh kerajaan Thai ke atas bangsa Melayu diungkapkan dengan jelas dalam buku-buku ini. Sikap Nik Anuar yang memihak kepada perjuangan rakyat Pattani juga amat ketara dalam buku ini. Thai melihat mereka sebagai militan sedangkan mereka berjuang bagi mendapatkan kembali tanah air yang diambil dengan mudah secara tipu helah oleh Thailand melalui pakatan antara Raja Thai dengan Inggeris.
Tidak cukup dengan pakatan bersama Thailand, di seberang Sungai Golok, Inggeris melabel Tok Janggut sebagai penderhaka. Sebaliknya, Nik Anuar mendokumentasikan semula sejarah yang ditulis oleh penjajah itu dengan menjulang nama Tok Janggut sebagai wira dan pejuang. Sekali lagi, Nik Anuar tanpa memihak atau takut telah membongkar peranan istana yang bersekongkol dengan Inggeris bagi memerangkap, membunuh dan menggantung jasad Tok Janggut. Semua ini didedahkan oleh Nik Anuar dalam bukunya Tok Janggut: Pejuang atau Penderhaka? (Jabatan Sejarah UKM 1999).
Inggeris memanggil mangsa yang ditewaskannya itu sebagai "Musuh Tok Janggut", sebaliknya Nik Anuar dalam bukunya memanggil tokoh yang disanjungnya itu dengan panggilan yang mulia, iaitu Haji Hasan bin Munas. Konotasi 'haji' dalam masyarakat Kelantan ketika itu pada pandangan Nik Anuar, membawa maksud seorang yang berharta yang membolehkannya ke Mekah dan kaya dari sudut ilmu agama. Tanpa ilmu yang cukup di dada, seseorang itu tidak akan ke Mekah. Seorang 'Haji' seperti Tok Janggut dalam era tersebut adalah seorang yang diangkat mengimamkan solat berjemaah, mengepalai bacaan tahlil dan mengetuai bacaan doa selamat. Pendek kata, Haji Hasan adalah seorang pemimpin masyarakat, Justeru, Nik Anuar tanpa berselindung mengatakan perjuangan Haji Hasan sebagai suatu jihad yang mulia dan matinya syahid. Demikianlah jelasnya proses rewriting Malaysian history yang amat kental dalam karya Nik Anuar.
Tuntutan
Selain konflik sempadan yang berlaku di Pattani, Nik Anuar membahaskan isu ini dalam empat buah bukunya yang lain, iaitu dalam isu konfrontasi Malaysia - Indonesia, tuntutan filipina ke atas Sabah, hubungan Malaysia - Singapura dan isu pulau Sipadan dan Ligitan.
Dalam bukunya Konfrontasi Malaysia Indonesia (Penerbit UKM 2000), Nik Anuar mendedahkan peranan kuasa besar termasuk kemungkinan peranan perisikan CIA di belakang konflik yang timbul antara Malaysia - Indonesia selepas pembentukan Malaysia. Nik Anuar menggunakan rekod-rekod sejarah termasuk maklumat perisikan dalam membahaskan isu ini sehingga menjadikan buku ini sebuah revisited yang menarik untuk dibaca. Nik Anuar melanjutkan perbahasannya tentang konflik sempadan antara Malaysia - Indonesia dalam bukunya, Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan: Isu sempadan dan kedaulatan (Penerbit UKM 2003). Buku ini menarik kerana Nik Anuar membawakan beberapa dokumen sejarah yang menyokong hak dan kedaulatan Malaysia ke atas wilayah yang dipertikaikan.
Di Kalimantan dan Borneo, Nik Anuar terpesona meneliti perkembangan yang berlaku di Limbang dan juga di Sabah. Ini melibatkan konflik antara Malaysia dengan Brunei dan juga dengan Filipina. Beliau menulis buku, Tuntutan Filipina ke atas Borneo Utara (Penerbit UKM 2001) dengan menekankan tentang tuntutan kerajaan Filipina yang tidak pernah digugurkan sampai ke hari ini. Walau bagaimanapun, Nik Anuar menampilkan banyak fakta sejarah bagi mengukuhkan pandangannya bahawa wilayah tersebut adalah kepunyaan Malaysia secara mutlak.
Satu lagi kes yang turut direnung kembali oleh Nik Anuar ialah soal hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura. Nik Anuar lebih senang melihat Singapura sebagai barah yang menyulitkan negara kita dan beliau menggunakan judul yang idiomatik, Duri dalam Daging: Singapura dalam Malaysia (Persatuan Sejarah Malaysia 2001).
Kerana sikapnya yang berterus terang dalam penulisan sejarah, ada pihak yang tidak senang dengan beberapa pendirian beliau. Misalnya, sejak terbitnya buku-buku tentang perjuangan orang Melayu Patani yang mendedahkan banyak dasar negara jiran yang menekan bangsa Melayu dalam wilayah yang ditadbirnya, Nik Anuar tidak lagi ke Thailand bahkan seolah-olah menjadi persona non grata sungguhpun tidak secara rasmi. Nik Anuar selalu mengambil sikap menyatakan kebenaran biar pun pahit. Sejarah yang hitam dan gelap tidak mungkin dapat diputihkan. Sejarah adalah peristiwa lalu yang kita terpaksa menerima hakikatnya. Beliau juga sering menekankan akan kepentingan ilmu sejarah. Bangsa yang melupakan sejarah akan mengulangi kesilapan yang pernah dilakukannya sebelum itu.
Sejak terlantar di katil akibat barah usus pada awal Julai lalu, Nik Anuar tidak dapat menyudahkan naskhah syarahan perdana yang telah ditulisnya. Penulis sempat membaca naskah tersebut yang dikirimnya lewat e-mel. Teks tersebut menyorot kembali beberapa konflik sempadan yang berlangsung di Asia Tenggara dan memang menjadi minat dan kecenderungan penyelidikan beliau sejak sekian lama. Barah yang melanda hubungan dua hala pelbagai negara di rantau ini memang mengasyikkan Nik Anuar sebagai seorang pengkaji dan penyelidik. Tanpa beliau sedari, barah juga sedang menanti untuk meragut nyawa beliau sendiri. Negara kehilangan seorang sejarawan yang tajam analisisnya tentang apa yang berlaku di tanah airnya. Saya kehilangan seorang teman yang selalu bersedia berbual dan berbincang tentang sejarah bangsa kita.
Jenazah Tok Janggut dipaparkan pada kulit buku Nik Anuar, Tok Janggut: Pejuang atau Penderhaka?
Source: Mingguan Malaysia Online
Cabaran ulama masa kini
Sumber: Mingguan Malaysia Online
Tarikh siar: 31 Oktober 2010.
Oleh Tan Seri Dr Harussani Zakaria
SUATU lagi sejarah tercatat pada tanggal 21 Syawal 1431 Hijri bersamaan 30 September 2010 Masihi ketika umat Islam di seluruh negara malah dunia masih rancak menyambut sambutan hari raya,
saya menerima berita kematian seorang ulama tersohor di negeri Perak yang juga merupakan sahabat karib saya iaitu Tuan Guru Datuk Haji Abdul Latif bin Haji Abdul Rahman. Beliau juga lebih dikenali sebagai Tuan Guru Pak Teh. Beliau merupakan pengasas Pondok Madrasah Ad-Diniah Al Latifiah di Pengkalan Hulu dan juga salah seorang Ahli Majlis Fatwa Negeri Perak. Pemergiannya amat dirasai sehingga kini terutama bagi para pencinta ilmu dan gerakan Islam.
Saya mengenali beliau sebagai seorang yang amat istiqamah menyampaikan ilmu, kuat beribadat, tajam hafalan dan begitu komited dalam menyampaikan ilmu kepada masyarakat. Betapa saya melihat sendiri lautan manusia datang menziarah, tanpa disuruh dan dipaksa. Jalan kecil ke pondok pada hari itu terpaksa ditutup kerana lapisan manusia bersesak-sesak mahu menziarahi al-marhum jenazah beliau.
Saya yakin pemergian tokoh ulama seperti Tuan Guru Pak Teh sememangnya meninggalkan ruang kosong dalam masyarakat yang memerlukan ulama dalam memandu kehidupan mereka. Suatu soalan yang ingin saya lontarkan di sini ialah mengapa kematian para ulama disebut sebagai satu ujian kepada kita? Bagi menjawab persoalan ini, saya mengajak para pembaca merenungi sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Bukhari:
“Dari Abdullah bin ‘Amru bin Al ‘Ash berkata; aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu sekaligus dari hamba, akan tetapi Allah mencabut ilmu dengan cara mewafatkan para ulama hingga bila sudah tidak tersisa ulama maka manusia akan mengangkat pemimpin dari kalangan orang-orang bodoh, ketika mereka ditanya mereka berfatwa tanpa ilmu, mereka sesat dan menyesatkan”.
Imam Ibnu Hajar menyatakan di dalam Kitab Fathul Bari bahawa dari Abu Umamah r.a, ketika mana Baginda SAW menunaikan Haji Wida’ Baginda SAW bersabda : “Ambillah ilmu sebelum ia dicabut atau diangkat.’ Maka para sahabat bertanya, “Bagaimana ilmu itu diangkat?' Jawab Baginda SAW : ‘Ketahuilah, bahawa perginya ilmu itu dengan perginya orang yang menanggungnya ( ulama ).”
Pemergian seorang ulama tidak sama seperti hilangnya seorang doktor, arkitek, peguam mahupun seorang pemerintah. Bukan saya bertujuan mahu memperkecilkan peranan orang lain, namun setiap manusia punya ‘gelanggangnya’ sendiri. Masyarakat yang kehilangan ulama seumpama masyarakat yang hilang arah pedoman hidup. Tiadanya ulama menandakan titik permulaan kehancuran dalam masyarakat. Ketiadaan ulama sebenarnya adalah alamat kepada berlakunya hari kiamat.
Seorang ulama adalah pewaris tugas kenabian sebagai mursyid, murabbi, mudarris, muallim dan muaddib. Tercatat di dalam kitab Tarikh Baghdad diriwayatkan bahawa seorang yang pernah sezaman dengan Imam Syafie r.a menyatakan apabila kami ingin menangis, maka sebahagian dari kami berkata kepada sebahagian yang lainnya “Mari kita pergi bersama-sama kepada pemuda keturunan Bani Muthalib (Imam Syafie) untuk membaca al-Quran. Ketika kami mendatanginya, maka ia mulai membaca al-Quran hingga manusia luluh di hadapannya dan suara tangisan pun akan terdengar. Jika ia mendengar suara-suara tangisan, ia menghentikan bacaannya”.
Seorang ulama adalah laksana bintang di langit yang memandu manusia mencari arah. Di siang hari ulama adalah matahari yang menyinari segala hidupan dengan ilmunya. Oleh kerana itulah Allah SWT telah mengangkat darjat para ulama berbanding manusia yang lain seperti mana firman Allah SWT dalam surah Al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud : “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan.”
Banyak ilmuwan bukan bererti banyak ulama
Ketika Imam Abu Hanifah r.a wafat pada tahun 150 Hijriah, lahir juga pada tahun itu Imam Syafie r.a. Maka orang menyatakan telah pergi seorang ulama, tetapi telah datang seorang ulama. Bila Allah SWT mematikan para ulama maka ia ujian bagi umat manusia dalam mencari dan melahirkan generasi ulama baru dalam masyarakat. Kegagalan kita dalam melahirkan dan mengangkat mereka yang selayaknya digelar mahupun dinamakan sebagai ulama akan melebarluaskan ruang kesesatan terhadap umat ini.
Hari ini, ramai dari kalangan anak-anak kita telah dihantar ke universiti di dalam dan luar negara bagi mendalami ilmu-ilmu agama. Secara zahirnya, kita sudah melahirkan para ilmuwan Islam, namun saya berpandangan ia masih belum mencapai tahap sebagai seorang ulama yang hebat.
Seorang ulama yang hebat bukan sekadar terbina ilmu dengan timbunan kitab-kitab, tetapi juga perlu menempuh lautan pengalaman. Mereka bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi pembimbing dan penasihat. Mereka bijak membawa fatwa untuk diterjemahkan ke dalam dunia hakiki. Setiap katanya adalah mutiara bukannya kaca. Setiap geraknya adalah cerminan adab yang terkandung dalam kitab-kitab. Hidupnya untuk memandu umat bukan dipandu.
Maka adakah para generasi ilmuwan muda pada hari ini mampu mengisi kekosongan ini? Saya bukan pesimistik dengan kehadiran ilmuwan muda hari ini, malah saya sentiasa akan cuba membimbing dan menunjuk ajar mereka sebaik mungkin. Namun inilah cabaran kita hari ini, segulung ijazah adalah permulaan perjalanan untuk menjadi seorang ulama. Terjunlah ke dalam rumpun masyarakat bagi memahami situasi, dengan itu barulah kita mampu menjadi seorang ulama yang hebat.
Cabaran dalam berdakwah
Secara peribadi, saya telah menikmati asam garam dalam kerja-kerja dakwah dan kemasyarakatan dalam jangkamasa yang agak lama. Memegang amanah sebagai Mufti Kerajaan Negeri Perak sahaja sudah menjangkau 26 tahun dan terlibat sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Peringkat Kebangsaan sudah melangkaui 35 tahun. Saya berserah kepada Allah SWT agar tugasan ini menjadi amal soleh sebagai bekalan saya di akhirat. Terjun dalam arena dakwah memerlukan kesungguhan dan kesabaran yang amat tinggi. Banyak kenyataan yang telah saya keluarkan menjadi bahan cacian dan sendaan pelbagai pihak.
Teringat saya kepada kenyataan yang pernah saya nyatakan dahulu bahawa haram hukumnya menonton filem Bollywood. Begitu juga haram menganjurkan program Sure Heboh. Terdapat banyak pihak memberi ulasan yang pelbagai bagi “menghalalkan” filem dan program tersebut untuk dipertontonkan kepada masyarakat.
Saya sama sekali tidak pernah akur biarpun didesak oleh pelbagai pihak supaya melihat bahan tontonan dan program tersebut dari perspektif positif, kerana bagi saya pihak berwajib perlu menyajikan kepada masyarakat bahan-bahan yang boleh menambahkan kemantapan aqidah, kekuatan beribadah dan nilai tambah kepada akhlak dan adab. Apatah lagi sajian-sajian tersebut amat digemari oleh generasi pewaris agama, bangsa dan tanah air kita.
Dalam konteks ini, saya ingin menukilkan bahawa alangkah baiknya jika Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dapat memberi ruang kepada para mufti, para agamawan mahupun para cendekiawan Islam bersama-sama memberi idea dan buah fikiran dalam penyediaan garis panduan penyiaran rancangan-rancangan televisyen dan program-program anjuran mereka.
Dalam catatan kehidupan saya sebagai mufti khususnya, saya tidak pernah dipanggil secara rasmi untuk dikongsi idea dan pandangan berkenaan hal ini. Pernah para mufti berhasrat untuk bertemu dengan menteri terbabit dan tarikh pertemuan sudah diatur, namun kunjungan kami hanya disambut oleh pegawai dari kementerian terbabit. Dalam hal ini, saya memuji kesediaan Allahyarham Datuk Seri Kamaruddin Mat Isa ketika menjawat jawatan Timbalan Menteri di sebuah kementerian untuk bertemu dan berbincang dengan para mufti terhadap isu-isu yang berlaku ketika itu.
Sebagai seorang mufti, saya menzahirkan rasa kecewa kerana keinginan untuk bertemu dengan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan seringkali tidak tercapai sedangkan banyak isu dan permasalahan yang boleh diketengahkan oleh para mufti. Ini satu contoh yang diperturunkan dalam ruangan ini supaya para ulama dan terutamanya para mufti tidak sewenang-wenangnya di labelkan sebagai “bisu” dan “lembab” .
Saya melihat bahawa kegagalan mengawal selia bahan-bahan penyiaran juga merupakan ejen dan penyumbang kepada kerendahan akhlak dan moral para muda mudi dewasa ini. Biarpun terdapat rancangan-rancangan berbentuk keagamaan ditayangkan, namun pada pengamatan saya ia tidak mampu menyaingi rancangan hiburan yang seolah-olah menjadi suatu kemestian untuk disiarkan setiap hari. Pada saya, inisiatif perlu diambil oleh pihak kementerian agar dasar dikaji semula supaya bahan-bahan yang akan ditayangkan dikawal dan disaring agar memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh syarak. Apakah ertinya melaungkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh sekiranya bahan-bahan tontonan umum tidak menepati penanda aras yang telah ditetapkan oleh Islam?
Mutakhir ini, saya dihubungi oleh pihak media berhubung dengan perancangan Program Transformasi Ekonomi ( ETP ) yang mahu menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan bertujuan memaju industri pelancongan negara. Saya difahamkan bahawa program ini akan lebih menyuburkan kegiatan-kegiatan maksiat yang terang-terangan boleh merosakkan akhlak anak bangsa terutamanya di bandar-bandar besar.
Biarpun program ini bertujuan menggandakan pendapatan dan akan berlaku peningkatan ekonomi terhadap negara, namun saya menentang keras program ini kerana ia sama sekali tidak menjamin pulangan yang membanggakan terhadap peningkatan akhlak masyarakat.
Para mufti, para pendakwah dan para ustaz membanting keringat menyedarkan masyarakat saban hari tentang bahaya maksiat dan dosa, namun dalam masa yang sama aktiviti yang berteraskan maksiat disubur biakkan. Saya mengharapkan agar pihak yang berwajib melakukan kajian semula terhadap cadangan ini dan saya berkeyakinan semua para mufti dan cendekiawan Islam akan bergerak senada dan seirama membantah cadangan ini. Menghindarkan masyarakat dari sebarang kerosakan lebih baik daripada mengubat masyarakat yang sudah rosak dan tenggelam dalam kelalaian.
Source: Mingguan Malaysia Online
Datuk Seri Husni Minta Usahawan Mantapkan ilmu pemasaran
Tarikh Siar: 30 Oktober 2010.
Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
USAHAWAN muda perlu memiliki ilmu pemasaran yang kukuh bagi membolehkan mereka menghidu peluang perniagaan berpotensi dan tidak hanya bergantung kepada data dan bukti semata-mata.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (gambar) berkata, usahawan perlu memiliki jiwa keberanian iaitu kemahiran berdasarkan penilaian terhadap hala tuju dan pergerakan kehidupan yang disebabkan perubahan nilai kebudayaan dan status ekonomi.
“Mengenal pasti permintaan masa depan memerlukan usahawan untuk melakukan pelaburan dalam membuat keputusan melangkaui bukti kukuh dan data sedia ada.
“Usahawan muda perlu sentiasa melihat peluang yang ada dan perlu menanyakan diri sendiri, apa yang perlu dilakukan bagi mengenal pasti peluang berkenaan,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Persidangan Perdagangan Usahawan Muda Asia Pasifik, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Mukhriz Mahathir.
Persidangan tiga hari yang bermula semalam dianjurkan MiTi, Dewan Perniagaan Antarabangsa Malaysia dan Dewan Muda, Dewan Perniagaan Malaysia Malaysia Selangor (DPMM), khusus kepada usahawan muda di bawah 45 tahun di Malaysia dan negara Asia Pasifik.
Persidangan itu dijangka membuka dan menawarkan ruang lebih luas mengenai industri yang diceburi selain menggalakkan usahawan berkenaan mengembangkan perniagaan di seluruh dunia.
Beliau berkata, usahawan berkenaan perlu melakukan kajian sebaik mungkin terhadap pasaran selain memahami kemampuan pasaran berkenaan.
Ahmad Husni berkata, menjelang 2015, dianggarkan tiga suku perkembangan global akan muncul dari negara membangun.
“Usahawan juga perlu mempunyai pengetahuan berkaitan faktor yang boleh memberikan kesan terhadap pasaran hiliran dan huluan yang sudah pasti memerlukan satu kajian teliti dijalankan,” katanya.
Source: Harian Metro Malaysia
Usaha bantu mangsa tsunami bermasalah, korban bencana cecah 442
Tarikh siar: 30 Oktober 2010.
YOGYAKARTA: Gunung berapi Merapi memuntahkan lahar buat kali pertama semalam selain meletus lima kali ketika Indonesia menghadapi kesukaran menghantar bantuan kemanusiaan kepada mangsa tsunami di Sumatera Barat.
Seramai 34 orang maut kerana letusan Merapi sejak Selasa lalu manakala angka kematian tsunami meningkat kepada 408 orang dan 303 lagi masih hilang. Berpuluh-puluh mangsa terselamat daripada tsunami merana terbaring dalam hospital daif termasuk seorang bayi dua bulan yatim piatu ditemui dalam sebuah parit dipenuhi air.
Mereka yang cedera terbaring di atas tikar atau lantai ketika air hujan bocor di siling dan saluran intravena tergantung dari tali plastik yang diikat pada bumbung.
Bayi itu, paru-parunya dipenuhi cecair dan luka pada mukanya, tidur sambil matanya terkelip-kelip dalam buaian panas.
Pakar gunung berapi tempatan berkata, muntahan terbaru mungkin dapat menstabilkan lagi Merapi.
“Ia memuntahkan asap setinggi 3.5 kilometer di sebelah tenggaranya diikuti hujan debu,” kata pakar itu, Heru Suparwoko.
Beliau berkata, debu panas itu memang mengancam penduduk yang enggan akur kepada arahan supaya berpindah selepas pulang untuk menjaga ternaman dan kediaman masing-masing.
Seramai 50,000 orang lari ke tempat perlindungan sementara tetapi ramai pula yang pulang meskipun ada ancaman terhadap mereka jika Merapi meletus lagi.
“Memang susah meyakinkan orang ramai bahawa ancaman gunung berapi itu serius,” kata Pegawai Pusat Krisis Kementerian Kesihatan, Mudjiharto.
Pihak berkuasa bertanggungjawab dalam bencana percaya bahawa angka kematian akibat ombak besar yang melanda pulau Mentawai di pantai barat Sumatera Isnin lalu boleh melebihi 600 orang dengan kebanyakan mangsa dihanyutkan ke laut.
Hampir 13,000 penduduk tinggal dalam khemah mudah alih di pulau terbabit selepas rumah mereka dihanyutkan ombak besar selepas gempa bumi kuat berukuran 7.7 skala Richter.
Mentawai yang terkenal sebagai destinasii peluncur asing menyaksikan banyak mayat yang tertimbus di pantai atau tersangkut di atas pokok.
Di Pagai Utara, usaha menghantar bantuan ke pulau pedalaman terus bermasalah disebabkan laut bergelora dan kekurangan bot.
Seorang koordinator bantuan mengakui semalam bahawa bantuan kini tergendala. Suryadi yang mengkoordinasikan maklum balas bantuan dari Sumatera Barat, berkata bertan-tan bantuan tiba di bandar utama pulau terjejas teruk itu menggunakan helikopter, selepas laut ganas menghalang bot tiba selama dua hari.
Bagaimanapun, pekerja penyelamat berkata mereka tidak dapat menghantar bantuan ke perkampungan tepi pantai yang jauh di pedalaman dan hanya boleh sampai jika berjalan kaki atau melalui laut kerana jalan raya terlalu usang atau rosak kerana dilalui trak besar.
“Kami memerlukan lebih banyak bot,” kata Suryadi.
Source: Berita Harian Malaysia
Jalinan pengangkutan hubungkan tiga negara serantau
Tarikh Siar: 30 Oktober 2010.
HANOI 29 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kepentingan meningkatkan jalinan perhubungan di antara Indonesia, Malaysia dan Thailand dalam sektor pengangkutan bagi merealisasikan wawasan Komuniti ASEAN pada 2015.
Menurut Perdana Menteri, berpandukan hala tuju Segitiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT), sektor pengangkutan kekalmenjadi faktor utama bagi mewujudkan kawasan pertumbuhan yang lebih baik di rantau ini.
Sehubungan itu, katanya, jurang kemudahan asas antara ketiga-tiga negara ASEAN itu perlu dipenuhi dengan mencari pendekatan baru dan sumber-sumber pelaburan yang boleh merangsang pertumbuhan.
''Melalui hubungan laut, darat dan udara yang dipertingkatkan merentasi kawasan IMT-GT, pergerakan penduduk dan barangan akan menjadi lebih mudah, sekali gus mewujudkan pertumbuhan yang lebih baik di rantau ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, selepas berakhir Sidang Kemuncak Kelima IMT-GT, petang semalam.
Ia diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-17 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan dari 28 hingga 30 Oktober.
Selain Najib, turut menghadiri sidang yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva itu ialah Menteri Koordinasi bagi Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Mohd. Hatta Rajasa, Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Surin Pitsuwan dan Presiden Bank Pembangunan Asia, Haruhiko Kuroda.
IMT-GT diwujudkan pada 1993 dengan matlamat meningkatkan pertumbuhan dan transformasi ekonomi antara kawasan-kawasan di Indonesia, Malaysia dan Thailand dengan mengeksploitasi kelebihan di kawasan masing-masing.
Ia juga bertujuan mempertingkatkan persaingan bagi pelaburan dan eksport, menggalakkan pelancongan, mengurangkan kos pengangkutan, pembuatan dan pengedaran melalui skil ekonomi yang lebih besar.
Walaupun banyak bandar di kawasan IMT-GT kini dihubungkan dengan penerbangan tambang murah, Perdana Menteri mencadangkan lebih banyak syarikat pengendali perkhidmatan tersebut mempertingkatkan khidmat antara bandar menggunakan pesawat enjin turbo yang lebih murah khususnya untuk jarak dekat.
Dalam pada itu, Najib berkata, Malaysia begitu komited terhadap kerjasama antara rantau sebagai matlamat menggalakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan IMT-GT bagi menyokong pelan pembangunan koridor Malaysia.
''Pembangunan serantau sangat penting bagi Malaysia dalam usaha kita mengurangkan jurang pembangunan antara negara membangun dan sedang membangun," tegasnya.
Sehubungan itu, katanya, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan sebahagian Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang melingkungi negeri-negeri utara dan Pantai Timur akan memberi rangsangan pembangunan rentas sempadan di kawasan wilayah IMT-GT selaras dengan hala tuju pembangunan kesalinghubungan koridor.
Menurut Najib lagi, Malaysia juga mengalu-alukan pelan mempertingkatkan pelancongan kesihatan di kawasan IMT-GT kerana negara mempunyai kepakaran dan pengalaman yang boleh dikongsi bersama.
''Kepakaran perubatan di Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia dan kebanyakan hospital kita mempunyai kualiti terbaik," ujarnya lagi.
Sementara itu, Malaysia akan menjadi tuan rumah Persidangan dan Pameran Bersama Keselamatan Makanan dan Pertanian Nilai Tinggi pada Julai tahun depan, sebagai perintis ke arah rangka kerjasama pertanian.
Objektif utama persidangan tersebut adalah menyediakan perspektif antarabangsa dan meningkatkan kewaspadaan terhadap pertanian dalam Pelaburan Langsung Asing (FDI). – Utusan
Source: Utusan Malaysia Online
Komuniti besar Asia Timur
Tarikh Siar: 30 Oktober 2010.
HANOI 29 Okt. - Selepas merancang mewujudkan Komuniti ASEAN pada 2015, anggota pertubuhan 10 negara Asia Tenggara ini berharap pada masa depan, satu komuniti lebih besar iaitu Komuniti Asia Timur pula dapat diwujudkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Asia Timur adalah rantau yang paling maju dan peranan negara-negara rantau itu seperti China, Jepun dan Korea Selatan dalam pembangunan ekonomi global akan menjadi pemangkin kepada usaha tersebut.
Menurutnya, Sidang Kemuncak ASEAN + 3 bersama China, Jepun dan Korea Selatan menekankan pentingnya peranan yang boleh boleh dimainkan oleh ketiga-tiga rakan dialog ASEAN itu dalam mencapai matlamat jangka panjang mewujudkan Komuniti Asia Timur.
Sehubungan itu, katanya, penyatuan rantau ini akan ditingkatkan lagi melalui Kemudahan Jaminan Kredit dan Pelaburan (CGIF) yang akan dilaksanakan akhir tahun ini dalam usaha merangsang pemulihan ekonomi serantau.
''Kita berharap ia akan jadi kenyataan untuk menyokong kepada integrasi kawasan Asia Timur ini. Maknanya, kita ada sasaran untuk Komuniti Asia Timur," katanya pada sidang akhbar di hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN Ke-17 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan, di sini, hari ini.
Hari ini, Perdana Menteri menghadiri lima sidang kemuncak berkaitan yang melibatkan ASEAN dan rakan dialog iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun Ke-13, Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea Ke-13, Sidang Kemuncak ASEAN-China Ke-13, Sidang Kemuncak ASEAN+3 Ke-13 dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ketiga.
Mengenai Sidang Kemuncak ASEAN-China Ke-13, beliau berkata, Malaysia mengalu-alukan pendirian China untuk menjadikan ASEAN sebagai pusat ASEAN + 3 dan kerangka kerja Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).
Katanya, Malaysia juga menegaskan mengenai kepentingan keselamatan perairan dan pelayaran terutama di Selat Melaka dan Laut China Selatan.
''Saya juga tekankan kerangka kerja Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-China perlu dimaksimumkan untuk membantu proses produksi ASEAN. Dan ini membantu ke arah integrasi ekonomi dengan rantau Asia Timur," ujarnya.
Mengenai Jepun, Perdana Menteri berkata, ASEAN menekankan pentingnya ASEAN dan Jepun mengembangkan lagi hubungan perdagangan, pelaburan, pelancongan dan keselamatan di laut.
''Saya tegaskan bahawa Jepun boleh menyumbang kepada keselamatan Selat Melaka melalui penambahan keupayaan menangani cabaran pengurusan selat tersebut," ujarnya.
Najib juga memberitahu, ASEAN dicadangkan mencari jalan meningkatkan kadar penggunaan Perjanjian Perdagangan Bebas dengan Korea Selatan kepada lebih 50 peratus sekarang. – UTUSAN
Source: Utusan Malaysia Online
Jumaat, 29 Oktober 2010
Muslihat penjualan senjata kepada Arab Saudi.
Tarikh siar: 30 Oktober 2010.
Penulis: En. Azmi Hassan.
AGAK memeranjatkan apabila Washington mengumumkan bahawa permohonan jualan senjata kepada Arab Saudi yang bernilai lebih daripada AS$60 bilion telah dihantar ke Kongres Amerika Syarikat untuk mendapatkan kelulusan. Berita penjualan tersebut dikatakan sebagai agak luar biasa bukan sahaja kerana ia merupakan penjualan terbesar dalam sejarah industri pertahanan AS tetapi juga kerana jenis senjata yang dibekalkan merupakan yang tercanggih dan terpilih.
Tidak menghairankan bagi Arab Saudi untuk berbelanja besar dalam membuat perolehan kelengkapan ketenteraan kerana pada pertengahan tahun 1980-an, umpamanya United Kingdom telah membekalkan peralatan senjata melebihi AS$66 bilion. Perjanjian tersebut yang lebih dikenali dengan nama Al-Yamamah bukan sahaja mempunyai nilai dagangan yang lumayan tetapi juga telah disaluti dengan berbagai skandal rasuah.
Lebih menakjubkan lagi jika diteliti bentuk dan jumlah peralatan yang bakal diterima oleh Arab Saudi seperti 84 buah jet pejuang F-15 dan berbagai jenis peluru berpandu canggih seperti HARM dan Hellfire. Malah, peluru berpandu pintar JDAM yang banyak digunakan dalam perang Iraq dan Afghanistan juga bakal dimiliki oleh Arab Saudi. Tidak banyak negara yang memiliki peluru berpandu jenis ini kecuali sekutu kuat AS sahaja.
Turut mencuri perhatian apabila tentera Arab Saudi bakal mempunyai skuadron helikopter terhebat di luar AS melalui perolehan 70 Apaches, 72 Blackhawks dan 36 Little Birds. Setiap jenis helikopter yang diperoleh mempunyai fungsi yang agak berbeza seperti Little Birds yang bersaiz kecil dan pantas sesuai digunakan untuk tujuan pengintipan dan penyusupan.
Jika digabungkan kesemua perolehan tersebut maka dalam jangka masa satu dekad akan datang, Arab Saudi dijangka mempunyai sistem pertahanan udara terbaik di rantau Asia Barat melampaui kemampuan yang dimiliki oleh Israel.
Maka di sinilah timbul kemusykilan yang begitu ketara kerana perjanjian penjualan senjata tersebut dikatakan telah mendapat restu Tel Aviv. Mana mungkin Washington boleh membenarkan sebuah negara Arab mempunyai sistem pertahanan dan serangan udara yang lebih hebat dari Israel kerana dasar tersebut bertentangan dengan apa yang lazim diamalkan oleh AS.
Timbul pertanyaan mengapa Israel tidak membantah kerana selama ini setiap perolehan senjata AS oleh negara Arab begitu sukar mendapatkan persetujuan Tel Aviv terutama sekali jika melibatkan Arab Saudi. Umpamanya pada tahun 1986, Senat AS telah menolak permohonan Presiden Ronald Reagan membekalkan peluru berpandu Stinger kepada Arab Saudi selepas Israel membantah keras penjualan tersebut.
Seperti mana penduduk New York membantah pembinaan Pusat Islam di Ground Zero dengan alasan mereka yang terlibat dalam serangan September 11 terdiri daripada penganut agama Islam, Arab Saudi juga dianggap sinonim dengan keganasan dan kumpulan Al-Qaeda. Malah ketika era Presiden George W. Bush, Arab Saudi telah dilabel sebagai negara yang tidak mengamalkan kebebasan beragama seperti mana Myanmar dan Korea Utara!
Kongres AS besar kemungkinan akan meluluskan permohonan White House tanpa sebarang perubahan ketara untuk menjual senjata kepada Arab Saudi kerana Israel tidak membuat bantahan. Memang benar faktor ekonomi merupakan dorongan utama perwakilan Kongres untuk meluluskan permohonan kerana ia bakal membuka kira-kira 75,000 peluang pekerjaan kepada rakyat AS.
Memandangkan sebahagian besar perwakilan Kongres akan menghadapi pengundi pada 2 November depan, maka sudah pasti berita seperti ini akan digunakan sebaik-baiknya untuk memancing pengundi.
Terdapat kemungkinan faktor Iran juga telah memainkan peranan yang membuatkan Israel tidak membantah kerana mahu menggunakan Arab Saudi sebagai kekangan cita-cita Teheran membangunkan program nuklear mereka. Tetapi setakat kini, kesan penjualan senjata terhadap program nuklear Iran dikatakan agak minimum kerana operasi loji nuklear Busher dan Natanz umpamanya langsung tidak tergendala, malah semakin rancak.
Perlu diberi perhatian bahawa pengaruh Iran di Asia Barat tidak bergantung kepada kekuatan persenjataan semata-mata tetapi hubungan strategik di antara Teheran dengan beberapa kumpulan pejuang seperti Hizbullah dan Hamas, begitu juga dengan negara jiran seperti Iraq dan Afghanistan. Sebab itu, dikatakan kekuatan baru yang dimiliki oleh Arab Saudi itu tidak akan memberi kesan ketara kepada Iran.
Tetapi apa yang pasti ialah kesan positif akan berlaku terhadap suasana ekonomi AS yang agak lembap pada ketika ini melalui limpahan manfaat terhadap industri pertahanan AS. Ini kerana nilai jualan yang tinggi iaitu sebanyak AS$60 bilion, selain dapat menyediakan peluang pekerjaan baru kepada kira-kira 75,000 orang, sekali gus menjadi pemangkin kepada ekonomi yang sihat.
Selain daripada limpahan ekonomi, Washington juga bakal menerima manfaat strategik kerana pergantungan kepada senjata AS akan memudahkan lagi Riyadh diletak di bawah pengaruh White House. Ini kerana jaminan keselamatan yang disalurkan oleh AS melalui pembekalan senjata akan membuatkan Washington mempunyai kata putus yang lebih kuat terhadap Riyadh.
Tetapi penerima manfaat paling besar dari episod ini ialah Israel kerana walaupun Arab Saudi bakal mempunyai aset ketenteraan tercanggih tetapi kekangan telah dibentuk sedemikian rupa supaya ia tidak boleh digunakan untuk menyerang Israel.
Adalah dipercayai bahawa jet pejuang F-15 Arab Saudi akan dikekang supaya tidak boleh digunakan untuk memusnahkan jet pejuang buatan AS yang banyak dimiliki oleh tentera udara Israel.
Manfaat paling ketara yang bakal diperoleh oleh Israel adalah permintaan Tel Aviv untuk memiliki 20 jet pejuang F-35 sudah pasti diluluskan oleh Kongres AS jika alasan perolehan terbaru Arab Saudi digunakan. F-35 adalah jet pejuang tercanggih pernah dibangunkan oleh AS yang mempunyai keupayaan jauh lebih baik berbanding F-15 atau F-22. Sebab itulah, Israel tidak begitu membantah perolehan terbaru Arab Saudi kerana Tel Aviv akur yang mereka akan memiliki sesuatu yang jauh lebih baik.
Penulis ialah GeoStrategis Institut Teknologi dan Sains GeoSpatial (INSTEG), Universiti Teknologi Malaysia.
Source: Utusan Malaysia Online.
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Ismail Talu Dalam perjalanan balik dari Seri Manjung ke Ipoh, penulis bersama isteri, singgah di Restoran Roti Segar di Bota. Resto...
-
By Idris Ismail Talu. Di negeri Perak, buah nadir ini dinamakan sebagai buat “seralat” atau “salat” sahaja. Sementara di tempat-tempat lain ...
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
-
By Idris Ismail Talu Nyawa Di Hujung Pedang – begitulah namanya sebuah novel pendek berkaitan sejarah Peperangan Dunia Yang Kedua. Novel pen...
-
By Idris Talu Akar tunjuk langit? Yang satu lagi, buah tunjuk langit? Ramai juga yang agak keliru dengan dua jenis herba ini, kerana ked...
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...