TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Isnin, 11 Oktober 2010

Sisa kayu penuhi Sungai Rajang, bot tersekat

Sumber: Utusan Malaysia Online.
Tarikh siar: 09 Oktober 2010.


KAPIT 8 Okt. - Ribuan balak yang dibuang, sisa-sisa kayu serta pokok terapung memenuhi Sungai Rajang sejak semalam menyebabkan ia tidak dapat dilalui oleh semua jenis bot.

Balak serta sisa-sisa kayu berkenaan yang hanyut ke Sibu sejauh 176 kilometer dari sini turut menyebabkan laluan Sungai Rajang di bandar raya berkenaan tidak dapat dilalui oleh bot.

Situasi mencemaskan yang pertama kali berlaku itu menyebabkan beratus-ratus penduduk gelisah kerana ia menyebabkan laluan utama pengangkutan air ke pekan ini terputus sejak pukul 2 petang semalam.

Penduduk mendakwa sisa-sisa berkenaan datang dari kawasan hulu Sungai Baleh dan Sungai Mujong dekat sini yang mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti hujan lebat tanpa henti di hulu sungai serta penerokaan hutan disebabkan aktiviti pembalakan yang berleluasa selain aktiviti pertanian.

Seorang pengusaha bot ekspres yang beroperasi dari pekan ini ke Putai di Hulu Baleh, Michael Turan memberitahu, semua bot ekspres yang bertolak dari pekan ini ke Nanga Gaat dan Putai pada tengah hari semalam terpaksa berpatah balik ekoran laluan sungai yang langsung tidak dapat dilalui.

Malah, katanya, sepasukan lima anggota bomba yang sepatutnya berlepas ke Putai bagi melakukan gerakan mencari dan menyelamat mangsa yang dilaporkan hilang di kawasan itu terpaksa berpatah balik kerana laluan sungai yang berbahaya dan tidak dapat dilalui bot.

Tambahnya, beberapa bot ekspres yang bertolak dari Sibu ke Kapit terpaksa memperlahankan kelajuan dengan menyusur berhampiran tebing sungai untuk mengelak terlanggar balak dan kayu.

Bekas Yang Dipertua Majlis Daerah Kapit, Joseph Jinggut pula memberitahu, beliau tidak pernah melihat kejadian seumpama itu berlaku sebelum ini.

Menurut beliau, sewaktu dalam perjalanan dari Sibu ke sini, bot ekspres yang dinaikinya hampir terperangkap di kawasan Dermaga Beltih.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi yang menaiki sebuah lagi bot ekspres juga dari Sibu hampir terperangkap di antara himpunan balak dan sisa kayu yang hanyut.

Sementara itu, di Sibu, Bernama melaporkan Kerajaan Sarawak akan mengadakan siasatan menyeluruh berhubung keadaan yang membimbangkan itu.

"Kami perlu mengenal pasti puncanya, tetapi jika ada bukti yang menunjukkan bahawa ia diakibatkan oleh faktor manusia, tindakan tegas akan diambil terhadap pelakunya," kata Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh.

Sungai Rajang, sungai terpanjang di negara ini iaitu 563 kilometer dari puncanya, tidak boleh dilalui oleh semua bot, sama ada besar atau kecil, sejak tengah hari ini.

Soon Koh yang melihat keadaan itu dari Terminal Bot Ekspres Kapit menggambarkan keadaan itu sebagai 'bencana alam semula jadi secara besar-besaran'.

"Saya dimaklumkan di Kapit semalam bahawa sisa-sisa itu terapung sejauh kira-kira 50 kilometer. Keadaan ini masih berterusan di Kapit hari ini sungguhpun berlaku dalam bahagian dan ukuran yang lebih kecil," katanya.

Soon Koh berkata, beliau dimaklumkan bahawa terdapat tanah runtuh besar-besaran di Putai dan Nungun iaitu kawasan konsesi pembalakan di Baleh di pedalaman Bahagian Kapit ekoran hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, katanya, beliau masih menunggu laporan terperinci daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar negeri.

Soon Koh berkata, keadaan itu belum pernah dilihat atau dialami sebelum ini dan ia agak menakutkan.

"Apabila keadaan semakin pulih dan terdapat laluan yang boleh digunakan di sepanjang sungai, pasukan Jabatan Kerja Raya dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak akan memeriksa Jambatan Durin serta Lanang untuk mengeluarkan apa jua sisa yang mungkin terperangkap pada asas jambatan di sungai itu," katanya.

Sementara itu, bas ekspres dan kenderaan air lain yang mempunyai jadual perjalanan di sebelah tengah hari ke Kapit terpaksa menangguhkan perjalanan mereka.

Mereka yang berlepas pagi ini pula terpaksa singgah di tempat yang selamat sepanjang laluan itu.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1009&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_09.htm

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran