TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Jumaat, 15 Oktober 2010

Awiah Ibu Mithali 2010

Sumber: Utusan Malaysia Online

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Ketakwaan yang tinggi, mementingkan disiplin dan pendidikan anak-anak serta usahanya mewakafkan tanah dan sebahagian rumah untuk dijadikan pusat tahfiz al-Quran memberi merit kepada Awiah Awi untuk diangkat sebagai Ibu Mithali 2010.

Awiah, 64, balu sembilan anak lelaki, memenangi anugerah tersebut setelah mengatasi tiga finalis lain untuk membolehkan beliau menerima hadiah wang tunai RM25,000; pakej umrah untuk tiga orang bernilai RM20,000; kerongsang emas bertatah berlian bernilai RM3,000 dan piala.

Foto ihsan http://nlizamuar.blogspot.com/


Anugerah dan hadiah iringan disampaikan oleh isteri Perdana Menteri yang juga penaung majlis penganugerah, Datin Seri Rosmah Mansor di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, hari ini.

Kesemua anaknya, masing-masing berusia antara 20 dan 48 tahun kecuali anak kedua yang bertugas di luar negara, hadir menyaksikan acara penuh bersejarah bagi keluarga mereka itu.

Masing-masing memeluk kegembiraan ibu mereka yang dianggap sebagai wanita waja yang memiliki 'tulang besi beruratkan dawai' sebaik nama wanita berasal dari Kampung Kesang Laut, Muar, Johor itu diumumkan sebagai pemenang.

Awiah yang ditemui pada sidang akhbar selepas majlis tersebut berkata, beliau amat bersyukur dengan anugerah yang diberikan namun mengakui ia sesuatu yang berat untuk dipikul.

"Anugerah ini sesuatu yang menggembirakan dan tidak disangka-sangka dan saya merasa seperti tidak layak," katanya merendah diri.

Nenek kepada 42 cucu dan seorang cicit itu disifatkan sebagai wanita yang memiliki semangat juang tinggi khususnya dalam membantu suaminya mencari rezeki untuk menyara keluarga.

Berhasrat menyumbang sebahagian wang yang diterima untuk kegunaan pusat tahfiz kelolaannya di Muar dan Kemboja, Awiah berkata, Pusat Tahfiz An-Nur yang didirikan di Muar kini mempunyai 160 pelajar termasuk dari Indonesia, Singapura dan Kemboja manakala di Kemboja yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu memiliki 60 pelajar.

Mengenai rahsia kejayaan mendidik anak-anak, Awiah memberitahu, selain hasil didikan tegas arwah suaminya, Hamid Samad, seorang pesara tentera yang meninggal empat tahun lalu, beliau juga seorang yang tegas dan amat mementingkan disiplin.

Maka tidak hairanlah anaknya menjadi doktor pertama di kampung halaman mereka selain menjadi anak kampung pertama yang menjejakkan kaki ke universiti.

Seorang anak Awiah, Mohd. Fauzi, 41, berkata, ibunya sangat menitikberatkan soal pembahagian masa dan memastikan setiap anak membantunya termasuk kerja-kerja dapur.

"Tetapi mak akan pastikan anak yang akan menduduki peperiksaan memberi tumpuan kepada pelajaran manakala yang lain akan melakukan kerja-kerja rumah," kata pengurus di sebuah syarikat telekomunikasi di ibu kota itu.

Selain Awiah, finalis Anugerah Ibu Mithali kali ke-10 yang bertemakan Ibu Mithali Ibu Sejati ialah Dayang Hajijah Awang Abas, 69, dari Papar, Sabah; Halimah Muhammad, 67, (Pasir Mas, Kelantan) dan Sajipah Abdul Aziz, 67, (Tanjung Karang, Selangor).

Kesemua finalis menerima wang tunai RM5,000, plak penghargaan dan senaskah al-Quran.

Tahun ini, Anugerah Ibu Mithali menerima 104 pencalonan daripada calon-calon individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Anugerah Ibu Mithali diperkenalkan Yadim secara bersiri iaitu tiga tahun sekali sejak 1980 untuk memberi galakan dan motivasi kepada golongan ibu bagi meneruskan usaha membimbing dan mendidik anak-anak sehingga menjadi insan yang cemerlang.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim memberitahu, selain Anugerah Ibu Mithali, pihaknya akan meneruskan usaha menganjurkan penganugerahan Ibu Malaysia sebagai menghargai jasa dan pengorbanan ibu daripada pelbagai kaum di negara ini.

Buat masa ini pihaknya sedang berusaha mendapatkan penajaan. Kali terakhir anugerah tersebut diadakan adalah pada 2008 lalu.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1015&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_20.htm

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran