TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Sabtu, 30 Oktober 2010

Sifat toleransi kerana Islam








Sumber: Mingguan Malaysia Online
Tarikh siar: 31 Oktober 2010.

Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee


SESIAPA yang mengkaji psiki orang Melayu mengetahui bahawa, agak sukar dan berat untuk Melayu mengundi orang bukan Islam di kawasan majoriti Melayu. Tetapi atas dasar kerjasama dan toleransi, UMNO tetap memberi laluan, sehingga terpaksa menerima kekalahan Pilihan Raya Umum ke 12. Saya fikir, belum tentu PKR boleh menang mudah, jika mereka bertanding di kawasan majoriti Melayu, satu lawan satu. Maka tidak hairanlah, keputusan Pilihan Raya Umum ke 12 telah menjadikan parti politik ini menjadi bongkak dengan kemenangan mereka, wal hal sebenarnya mereka tidaklah sekuat mana.

Kebongkakan ini menjadikan mereka begitu celupar sehingga begitu berani menyindir mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed dengan menggunakan istilah 'tersungkur' gara-gara kesihatan negarawan tersebut terjejas sedikit sehingga dimasukkan ke hospital. Bukan itu sahaja, PKR terus mencanangkan untuk memboikot akhbar Utusan Melayu. Selain dari Mahathir, mereka juga mahu melihat akhbar ini 'tersungkur'. Melayu sesama Melayu suka melihat saudara mereka sendiri tersungkur. Pertelingkahan tidak pernah selesai seolah-olah tidak ada jalan penyelesaian.

Saya tidak bertujuan untuk mempertahankan Utusan, hanya kerana diberi peluang untuk menulis dalam kolum setiap hujung minggu. Apa ingin saya suarakan adalah, akhbar Utusan tidak pula berkempen supaya memboikot akhbar Suara Keadilan ataupun Harakah. Walaupun tidak kurang hebatnya kedua akhbar ini mengkritik Utusan dan kerajaan. Atas nama kebebasan bersuara dan demokrasi, saya nampak akhbar Utusan lebih terbuka.

Mungkin ada yang berkata, Utusan adalah akhbar UMNO atau akhbar kerajaan BN. Jika begitulah keadaan, Keadilan, Roket dan Harakah, juga adalah akhbar parti. Berita-berita mereka, walaupun didakwa benar dan tidak ada putar belit, mereka tetap menentang dan mengkritik UMNO dan kerajaan yang dipimpinnya. Malang sungguh akhbar orang Melayu terpaksa berhadapan dengan orang Melayu sendiri. Sedangkan akhbar orang lain asyik bekerjasama dan jarang bergaduh atau saling kutuk mengutuk. Apa yang jelas, mereka saling sokong-menyokong dan begitu bersatu hati mempertahankan hak-hak mereka.

Seperti mana perjuangan contoh lima parti bukan Melayu agak berbeza dengan perjuangan parti Melayu Islam. Parti bukan Melayu begitu menjaga kepentingan dan kebajikan bangsa dan anak buah mereka. Sementara, parti Melayu Islam yang rata-rata berpecah, tidak habis-habis mengeluarkan kenyataan menyakitkan hati saudaranya sendiri. Begini cara kita berpolitik. Marahkan nyamuk kelambu dibakar. Dendam kesumat yang tidak berkesudahan. Sedangkan orang lain bergaduh macam adik-beradik, kita bergaduh berpatah arang, berkerat rotan. Kita seolah-olah bangga dengan bertindak sedemikian dan menjadi bongkak serta ego bila merasakan ada sedikit kekuatan. Wal hal, mereka ini tidaklah sekuat mana, kokok saja berderai-derai, ekor kadang kala bergemulang tahi.

Sampai bilakah perkara sebegini akan berterusan? Tidakkah kita sedar bahawa perpecahan sebegini bukan lagi rahmah, tetapi sudah sampai ke peringkat haram berpecah, kerana kepentingan umat Islam semakin tergugat. Sedangkan orang lain melihat ruang dan mengintai peluang serta sentiasa mengambil kesempatan. Masih butakah mata kita?

Cuba kita bandingkan akhbar-akhbar Melayu dan akhbar bukan Melayu, ternyata perjuangannya jauh berbeza. Akhbar bukan Melayu begitu kuat memperjuang hak-hak bukan Melayu. Apakah salah akhbar Melayu memperjuangkan hak-hak Melayu dan Islam. Maaf, saya banyak menggunakan perkataan Melayu, sebab Melayu dan Islam memang tidak dapat dipisahkan, ibarat lagu dan irama.

Ketika membentang kertas kerja bertajuk Persepsi bukan Melayu terhadap politik Melayu, di Universiti Malaya baru-baru ini, saya telah membangkitkan bahawa budaya politik bukan Melayu hari ini ialah wang (ekonomi) dan kuasa (politik), atau more money, more power, more talk. Sedangkan orang Melayu, sudahlah wang tidak banyak, kuasa semakin terhakis dan menipis, ditakuti juga mungkin terlepas, no money, no power, no talk. Dalam keadaan seperti ini pun, mereka masih berani bercakap besar dan tinggi egonya. Namun, saya masih boleh bernafas, kerana orang Melayu masih sensitif dengan Islam dan meletakkannya di tempat yang sewajarnya.

Saya memuji seorang peserta bukan Melayu dalam seminar tersebut yang begitu bersyukur tinggal di bumi bertuah dan mahukan bukan Melayu mengubah persepsi mereka terhadap kepimpinan Melayu Islam. Toleransi Melayu dikatakan begitu tinggi sehingga bukan Melayu masih boleh mengekalkan identiti mereka tanpa langsung diasimilasikan. Peserta bukan Melayu ini bukan main lagi marah terhadap sesetengah kumpulan ekstrem yang sibuk mempertahankan bahasa dan jati diri mereka sehingga melupakan tanggungjawab sebenar terhadap pembinaan sebuah negara bangsa.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak dipedulikan. Bahasa ibunda pertahankan bermati-matian sehingga menimbulkan masalah pembinaan negara bangsa. Bila saya selidiki latar belakang peserta bukan Melayu tersebut ternyata, beliau berlatarbelakangkan sejarah. Beliau begitu memahami sejarah Tanah Melayu dan sejarah Malaysia. Tidak mustahilkan beliau bersikap sedemikian.

Memahami

Maka tidak hairanlah kita lihat orang bukan Melayu yang memahami sejarah seperti Prof. Khoo Kay Kim dan Prof. Teo Kok Seong, agak berbeza pandangannya berbanding bukan Melayu yang lain. Malangnya, tokoh ilmuan tidak pernah disukai oleh bangsanya. Mereka tahu bahawa rakyat yang memahami sejarah, sikap mereka akan menjadi lebih lunak atau tidak ekstrem. Pendek kata, dengan memahami sejarah, ia boleh membantu menurunkan ego seseorang. Kejahilan sejarah akan menjadi mereka bongkak dan tidak sedar diri.

Menurut Kay Kim lagi, punca sebenar mengapa kebelakangan kini terdapat pihak-pihak yang mempersoalkan mengenai hak-hak dan keistimewaan yang dinikmati oleh orang Melayu adalah kerana masyarakat pada masa kini sudah buta sejarah.

Justeru, menurut Kay Kim, rakyat khususnya kaum-kaum lain, perlu sama-sama menghormati hak Islam dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan kerana pada ketika ia digubal dahulu, kaum lain sendiri sudah bersetuju dengan perkara-perkara yang dimasukkan dalam Perlembagaan tersebut. Kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam telah bermula sejak dahulu dan berasaskan sistem kerajaan yang wujud di Semenanjung Tanah Melayu. Di Semenanjung, sejak tahun 1895 sudah ada sembilan kerajaan Islam yang kekal sampai ke hari ini.

Katanya Kay Kim lagi, sejarah perlembagaan telah dirangka berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya Reid yang telah melakukan kajian pada tahun 1956, Perlembagaan itu kemudian berkuatkuasa apabila negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Perkara 153 Perlembagaan Malaysia memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agung, bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri Borneo (Sabah dan Sarawak) serta kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini.

Ia juga secara terperinci menjelaskan bagaimana kerajaan persekutuan mempertahankan kepentingan orang Melayu (Islam) dan Bumiputera dengan menetapkan kuota untuk kemasukan perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam, pemberian permit dan lesen perniagaan.

Ternyata, dengan memahami sejarah yang benar, berperanan besar untuk menurunkan ego seseorang. Berbeza dengan orang Melayu, yang menurunkan ego mereka, bukan sahaja sejarah, tetapi agama Islam itu sendiri. Peranan agama begitu kuat mengikut sejarah Melayu.

Dahulu saya pernah berkata, kerana Islamnya orang Melayu 600 tahun lalulah, yang menjadi mereka insan yang cukup bertoleransi, kurang ego dan mantap perpaduannya. Bayangkan jika Melayu masih lagi tidak Islam sehingga ke hari ini dan egonya tidak dapat ditundukkan. Adakah sama penerimaan dan toleransi mereka terhadap orang bukan Melayu? Dengan sebab itu, apa pun berlaku orang Melayu Islam tidak terus berprasangka, tetapi terus bersangka baik.

Source: Mingguan Malaysia Online

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran