TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Sabtu, 30 Oktober 2010

Usaha bantu mangsa tsunami bermasalah, korban bencana cecah 442

Source: Berita Harian Malaysia
Tarikh siar: 30 Oktober 2010.

YOGYAKARTA: Gunung berapi Merapi memuntahkan lahar buat kali pertama semalam selain meletus lima kali ketika Indonesia menghadapi kesukaran menghantar bantuan kemanusiaan kepada mangsa tsunami di Sumatera Barat.


Seramai 34 orang maut kerana letusan Merapi sejak Selasa lalu manakala angka kematian tsunami meningkat kepada 408 orang dan 303 lagi masih hilang. Berpuluh-puluh mangsa terselamat daripada tsunami merana terbaring dalam hospital daif termasuk seorang bayi dua bulan yatim piatu ditemui dalam sebuah parit dipenuhi air.

Mereka yang cedera terbaring di atas tikar atau lantai ketika air hujan bocor di siling dan saluran intravena tergantung dari tali plastik yang diikat pada bumbung.


Bayi itu, paru-parunya dipenuhi cecair dan luka pada mukanya, tidur sambil matanya terkelip-kelip dalam buaian panas.

Pakar gunung berapi tempatan berkata, muntahan terbaru mungkin dapat menstabilkan lagi Merapi.
“Ia memuntahkan asap setinggi 3.5 kilometer di sebelah tenggaranya diikuti hujan debu,” kata pakar itu, Heru Suparwoko.

Beliau berkata, debu panas itu memang mengancam penduduk yang enggan akur kepada arahan supaya berpindah selepas pulang untuk menjaga ternaman dan kediaman masing-masing.

Seramai 50,000 orang lari ke tempat perlindungan sementara tetapi ramai pula yang pulang meskipun ada ancaman terhadap mereka jika Merapi meletus lagi.

“Memang susah meyakinkan orang ramai bahawa ancaman gunung berapi itu serius,” kata Pegawai Pusat Krisis Kementerian Kesihatan, Mudjiharto.

Pihak berkuasa bertanggungjawab dalam bencana percaya bahawa angka kematian akibat ombak besar yang melanda pulau Mentawai di pantai barat Sumatera Isnin lalu boleh melebihi 600 orang dengan kebanyakan mangsa dihanyutkan ke laut.

Hampir 13,000 penduduk tinggal dalam khemah mudah alih di pulau terbabit selepas rumah mereka dihanyutkan ombak besar selepas gempa bumi kuat berukuran 7.7 skala Richter.

Mentawai yang terkenal sebagai destinasii peluncur asing menyaksikan banyak mayat yang tertimbus di pantai atau tersangkut di atas pokok.

Di Pagai Utara, usaha menghantar bantuan ke pulau pedalaman terus bermasalah disebabkan laut bergelora dan kekurangan bot.

Seorang koordinator bantuan mengakui semalam bahawa bantuan kini tergendala. Suryadi yang mengkoordinasikan maklum balas bantuan dari Sumatera Barat, berkata bertan-tan bantuan tiba di bandar utama pulau terjejas teruk itu menggunakan helikopter, selepas laut ganas menghalang bot tiba selama dua hari.

Bagaimanapun, pekerja penyelamat berkata mereka tidak dapat menghantar bantuan ke perkampungan tepi pantai yang jauh di pedalaman dan hanya boleh sampai jika berjalan kaki atau melalui laut kerana jalan raya terlalu usang atau rosak kerana dilalui trak besar.

“Kami memerlukan lebih banyak bot,” kata Suryadi.

Source: Berita Harian Malaysia

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran