TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Jumaat, 29 Oktober 2010

Muslihat penjualan senjata kepada Arab Saudi.

Sumber: Utusan Malaysia Online
Tarikh siar: 30 Oktober 2010.

Penulis: En. Azmi Hassan.

AGAK memeranjatkan apabila Washington mengumumkan bahawa permohonan jualan senjata kepada Arab Saudi yang bernilai lebih daripada AS$60 bilion telah dihantar ke Kongres Amerika Syarikat untuk mendapatkan kelulusan. Berita penjualan tersebut dikatakan sebagai agak luar biasa bukan sahaja kerana ia merupakan penjualan terbesar dalam sejarah industri pertahanan AS tetapi juga kerana jenis senjata yang dibekalkan merupakan yang tercanggih dan terpilih.

Tidak menghairankan bagi Arab Saudi untuk berbelanja besar dalam membuat perolehan kelengkapan ketenteraan kerana pada pertengahan tahun 1980-an, umpamanya United Kingdom telah membekalkan peralatan senjata melebihi AS$66 bilion. Perjanjian tersebut yang lebih dikenali dengan nama Al-Yamamah bukan sahaja mempunyai nilai dagangan yang lumayan tetapi juga telah disaluti dengan berbagai skandal rasuah.

Lebih menakjubkan lagi jika diteliti bentuk dan jumlah peralatan yang bakal diterima oleh Arab Saudi seperti 84 buah jet pejuang F-15 dan berbagai jenis peluru berpandu canggih seperti HARM dan Hellfire. Malah, peluru berpandu pintar JDAM yang banyak digunakan dalam perang Iraq dan Afghanistan juga bakal dimiliki oleh Arab Saudi. Tidak banyak negara yang memiliki peluru berpandu jenis ini kecuali sekutu kuat AS sahaja.

Turut mencuri perhatian apabila tentera Arab Saudi bakal mempunyai skuadron helikopter terhebat di luar AS melalui perolehan 70 Apaches, 72 Blackhawks dan 36 Little Birds. Setiap jenis helikopter yang diperoleh mempunyai fungsi yang agak berbeza seperti Little Birds yang bersaiz kecil dan pantas sesuai digunakan untuk tujuan pengintipan dan penyusupan.

Jika digabungkan kesemua perolehan tersebut maka dalam jangka masa satu dekad akan datang, Arab Saudi dijangka mempunyai sistem pertahanan udara terbaik di rantau Asia Barat melampaui kemampuan yang dimiliki oleh Israel.

Maka di sinilah timbul kemusykilan yang begitu ketara kerana perjanjian penjualan senjata tersebut dikatakan telah mendapat restu Tel Aviv. Mana mungkin Washington boleh membenarkan sebuah negara Arab mempunyai sistem pertahanan dan serangan udara yang lebih hebat dari Israel kerana dasar tersebut bertentangan dengan apa yang lazim diamalkan oleh AS.

Timbul pertanyaan mengapa Israel tidak membantah kerana selama ini setiap perolehan senjata AS oleh negara Arab begitu sukar mendapatkan persetujuan Tel Aviv terutama sekali jika melibatkan Arab Saudi. Umpamanya pada tahun 1986, Senat AS telah menolak permohonan Presiden Ronald Reagan membekalkan peluru berpandu Stinger kepada Arab Saudi selepas Israel membantah keras penjualan tersebut.

Seperti mana penduduk New York membantah pembinaan Pusat Islam di Ground Zero dengan alasan mereka yang terlibat dalam serangan September 11 terdiri daripada penganut agama Islam, Arab Saudi juga dianggap sinonim dengan keganasan dan kumpulan Al-Qaeda. Malah ketika era Presiden George W. Bush, Arab Saudi telah dilabel sebagai negara yang tidak mengamalkan kebebasan beragama seperti mana Myanmar dan Korea Utara!

Kongres AS besar kemungkinan akan meluluskan permohonan White House tanpa sebarang perubahan ketara untuk menjual senjata kepada Arab Saudi kerana Israel tidak membuat bantahan. Memang benar faktor ekonomi merupakan dorongan utama perwakilan Kongres untuk meluluskan permohonan kerana ia bakal membuka kira-kira 75,000 peluang pekerjaan kepada rakyat AS.

Memandangkan sebahagian besar perwakilan Kongres akan menghadapi pengundi pada 2 November depan, maka sudah pasti berita seperti ini akan digunakan sebaik-baiknya untuk memancing pengundi.

Terdapat kemungkinan faktor Iran juga telah memainkan peranan yang membuatkan Israel tidak membantah kerana mahu menggunakan Arab Saudi sebagai kekangan cita-cita Teheran membangunkan program nuklear mereka. Tetapi setakat kini, kesan penjualan senjata terhadap program nuklear Iran dikatakan agak minimum kerana operasi loji nuklear Busher dan Natanz umpamanya langsung tidak tergendala, malah semakin rancak.

Perlu diberi perhatian bahawa pengaruh Iran di Asia Barat tidak bergantung kepada kekuatan persenjataan semata-mata tetapi hubungan strategik di antara Teheran dengan beberapa kumpulan pejuang seperti Hizbullah dan Hamas, begitu juga dengan negara jiran seperti Iraq dan Afghanistan. Sebab itu, dikatakan kekuatan baru yang dimiliki oleh Arab Saudi itu tidak akan memberi kesan ketara kepada Iran.

Tetapi apa yang pasti ialah kesan positif akan berlaku terhadap suasana ekonomi AS yang agak lembap pada ketika ini melalui limpahan manfaat terhadap industri pertahanan AS. Ini kerana nilai jualan yang tinggi iaitu sebanyak AS$60 bilion, selain dapat menyediakan peluang pekerjaan baru kepada kira-kira 75,000 orang, sekali gus menjadi pemangkin kepada ekonomi yang sihat.

Selain daripada limpahan ekonomi, Washington juga bakal menerima manfaat strategik kerana pergantungan kepada senjata AS akan memudahkan lagi Riyadh diletak di bawah pengaruh White House. Ini kerana jaminan keselamatan yang disalurkan oleh AS melalui pembekalan senjata akan membuatkan Washington mempunyai kata putus yang lebih kuat terhadap Riyadh.

Tetapi penerima manfaat paling besar dari episod ini ialah Israel kerana walaupun Arab Saudi bakal mempunyai aset ketenteraan tercanggih tetapi kekangan telah dibentuk sedemikian rupa supaya ia tidak boleh digunakan untuk menyerang Israel.

Adalah dipercayai bahawa jet pejuang F-15 Arab Saudi akan dikekang supaya tidak boleh digunakan untuk memusnahkan jet pejuang buatan AS yang banyak dimiliki oleh tentera udara Israel.

Manfaat paling ketara yang bakal diperoleh oleh Israel adalah permintaan Tel Aviv untuk memiliki 20 jet pejuang F-35 sudah pasti diluluskan oleh Kongres AS jika alasan perolehan terbaru Arab Saudi digunakan. F-35 adalah jet pejuang tercanggih pernah dibangunkan oleh AS yang mempunyai keupayaan jauh lebih baik berbanding F-15 atau F-22. Sebab itulah, Israel tidak begitu membantah perolehan terbaru Arab Saudi kerana Tel Aviv akur yang mereka akan memiliki sesuatu yang jauh lebih baik.

Penulis ialah GeoStrategis Institut Teknologi dan Sains GeoSpatial (INSTEG), Universiti Teknologi Malaysia.

Source: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran