TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Sabtu, 30 Oktober 2010

Datuk Nik Anuar Nik Mahmud - Perginya tokoh sejarawan

Sumber: Mingguan Malaysia Online
Tarikh siar: 31 Oktober 2010.

Oleh Dr. Roosfa Hashim


PEMERGIAN Datuk Nik Anuar Nik Mahmud pada 28 Oktober lalu tentulah suatu kehilangan yang besar kepada negara khususnya ketika sistem pendidikan kita sedang berusaha memantapkan pengajian sejarah kepada para pelajar di sekolah.

Allahyarham Nik Anuar ketika hayatnya sering mengetengahkan kebimbangannya akan kecenderungan yang semakin menghakis pengajaran sejarah dalam sistem pendidikan negara. Nik Anuar adalah salah seorang sejarawan yang secara serius berusaha menulis kembali sejarah negara dan bangsa kita daripada perspektif anak tempatan. Proses pempribumian ilmu yang jelas dapat kita kesan pada karya-karya beliau.

Dengan ufuk pengajian sejarah yang amat luas, Nik Anuar nampaknya telah memilih dan menempatkan dirinya ke suatu ceruk yang agak tersendiri, iaitu konflik sempadan khususnya pelbagai perebutan wilayah yang bergolak di rantau Asia Tenggara. Minat dan kecenderungan Nik Anuar terhadap konflik sempadan di rantau ini dibina dengan kukuh sejak menjadi mahasiswa sejarah di Universiti Malaya. Di situ beliau menyiapkan latihan ilmiahnya pada 1972 dengan judul "Sejarah Jeram dan Kebangkitan Tok Janggut". Bertolak dari situ beliau kemudian menyuburkan minatnya sebaik menjejakkan kakinya ke School of Oriental and African Studies di Universiti London bagi mendalami sejarah Asia Tenggara. Dari situ beliau kemudian melangkah terus ke Universiti Hull bagi mendapatkan ijazah kedoktorannya.

Satu demi satu buku yang mengupas pelbagai konflik sempadan telah lahir daripada pemikiran dan analisis Nik Anuar. Pada 1998, Nik Anuar menerbitkan Tunku Abdul Rahman and his role in the Baling talks: a documentary history. Nik Anuar juga telah menerbitkan secara verbatim pertemuan di Baling itu. Kedua-dua buku ini terbitan Arkib Negara. Bahan ini membolehkan kita mengetahui dengan jelas apakah yang diperkatakan secara kalimat demi kalimat dalam pertemuan bersemuka antara para pemimpin Parti Komunis Malaya dengan pasukan Tunku Abdul Rahman.

Salah satu kekuatan yang jelas dalam tulisan-tulisan Nik Anuar ialah cubaan beliau melihat dan menganalisis setiap isu dengan meneropongnya daripada tingkap rumah kita sendiri. Beliau berusaha untuk tidak melihat sejarah negara ini daripada geladak kapal penjajah. Proses penulisan semula pensejarahan Malaysia ini amat penting dalam usaha melahirkan sebuah negara bangsa yang kukuh. Tafsiran baru yang lebih tepat, jujur dan adil tentang apa yang berlaku dalam sejarah bangsa kita perlulah dilakukan segera.

Oleh yang demikian kita dapat membaca tafsiran Nik Anuar tentang kelemahan Raja-Raja Melayu sehingga Pattani diserah dengan mudah kepada Thailand melalui bukunya, Sejarah Perjuangan Melayu Patani, 1785-1984 (Penerbit UKM 1999). Beliau kemudian menerbitkan buku The Malays of Patani: The search for security and independence (MPH 2008). Kekesalan Nik Anuar terhadap proses pensiaman yang dilakukan oleh kerajaan Thai ke atas bangsa Melayu diungkapkan dengan jelas dalam buku-buku ini. Sikap Nik Anuar yang memihak kepada perjuangan rakyat Pattani juga amat ketara dalam buku ini. Thai melihat mereka sebagai militan sedangkan mereka berjuang bagi mendapatkan kembali tanah air yang diambil dengan mudah secara tipu helah oleh Thailand melalui pakatan antara Raja Thai dengan Inggeris.

Tidak cukup dengan pakatan bersama Thailand, di seberang Sungai Golok, Inggeris melabel Tok Janggut sebagai penderhaka. Sebaliknya, Nik Anuar mendokumentasikan semula sejarah yang ditulis oleh penjajah itu dengan menjulang nama Tok Janggut sebagai wira dan pejuang. Sekali lagi, Nik Anuar tanpa memihak atau takut telah membongkar peranan istana yang bersekongkol dengan Inggeris bagi memerangkap, membunuh dan menggantung jasad Tok Janggut. Semua ini didedahkan oleh Nik Anuar dalam bukunya Tok Janggut: Pejuang atau Penderhaka? (Jabatan Sejarah UKM 1999).

Inggeris memanggil mangsa yang ditewaskannya itu sebagai "Musuh Tok Janggut", sebaliknya Nik Anuar dalam bukunya memanggil tokoh yang disanjungnya itu dengan panggilan yang mulia, iaitu Haji Hasan bin Munas. Konotasi 'haji' dalam masyarakat Kelantan ketika itu pada pandangan Nik Anuar, membawa maksud seorang yang berharta yang membolehkannya ke Mekah dan kaya dari sudut ilmu agama. Tanpa ilmu yang cukup di dada, seseorang itu tidak akan ke Mekah. Seorang 'Haji' seperti Tok Janggut dalam era tersebut adalah seorang yang diangkat mengimamkan solat berjemaah, mengepalai bacaan tahlil dan mengetuai bacaan doa selamat. Pendek kata, Haji Hasan adalah seorang pemimpin masyarakat, Justeru, Nik Anuar tanpa berselindung mengatakan perjuangan Haji Hasan sebagai suatu jihad yang mulia dan matinya syahid. Demikianlah jelasnya proses rewriting Malaysian history yang amat kental dalam karya Nik Anuar.

Tuntutan

Selain konflik sempadan yang berlaku di Pattani, Nik Anuar membahaskan isu ini dalam empat buah bukunya yang lain, iaitu dalam isu konfrontasi Malaysia - Indonesia, tuntutan filipina ke atas Sabah, hubungan Malaysia - Singapura dan isu pulau Sipadan dan Ligitan.

Dalam bukunya Konfrontasi Malaysia Indonesia (Penerbit UKM 2000), Nik Anuar mendedahkan peranan kuasa besar termasuk kemungkinan peranan perisikan CIA di belakang konflik yang timbul antara Malaysia - Indonesia selepas pembentukan Malaysia. Nik Anuar menggunakan rekod-rekod sejarah termasuk maklumat perisikan dalam membahaskan isu ini sehingga menjadikan buku ini sebuah revisited yang menarik untuk dibaca. Nik Anuar melanjutkan perbahasannya tentang konflik sempadan antara Malaysia - Indonesia dalam bukunya, Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan: Isu sempadan dan kedaulatan (Penerbit UKM 2003). Buku ini menarik kerana Nik Anuar membawakan beberapa dokumen sejarah yang menyokong hak dan kedaulatan Malaysia ke atas wilayah yang dipertikaikan.

Di Kalimantan dan Borneo, Nik Anuar terpesona meneliti perkembangan yang berlaku di Limbang dan juga di Sabah. Ini melibatkan konflik antara Malaysia dengan Brunei dan juga dengan Filipina. Beliau menulis buku, Tuntutan Filipina ke atas Borneo Utara (Penerbit UKM 2001) dengan menekankan tentang tuntutan kerajaan Filipina yang tidak pernah digugurkan sampai ke hari ini. Walau bagaimanapun, Nik Anuar menampilkan banyak fakta sejarah bagi mengukuhkan pandangannya bahawa wilayah tersebut adalah kepunyaan Malaysia secara mutlak.

Satu lagi kes yang turut direnung kembali oleh Nik Anuar ialah soal hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura. Nik Anuar lebih senang melihat Singapura sebagai barah yang menyulitkan negara kita dan beliau menggunakan judul yang idiomatik, Duri dalam Daging: Singapura dalam Malaysia (Persatuan Sejarah Malaysia 2001).

Kerana sikapnya yang berterus terang dalam penulisan sejarah, ada pihak yang tidak senang dengan beberapa pendirian beliau. Misalnya, sejak terbitnya buku-buku tentang perjuangan orang Melayu Patani yang mendedahkan banyak dasar negara jiran yang menekan bangsa Melayu dalam wilayah yang ditadbirnya, Nik Anuar tidak lagi ke Thailand bahkan seolah-olah menjadi persona non grata sungguhpun tidak secara rasmi. Nik Anuar selalu mengambil sikap menyatakan kebenaran biar pun pahit. Sejarah yang hitam dan gelap tidak mungkin dapat diputihkan. Sejarah adalah peristiwa lalu yang kita terpaksa menerima hakikatnya. Beliau juga sering menekankan akan kepentingan ilmu sejarah. Bangsa yang melupakan sejarah akan mengulangi kesilapan yang pernah dilakukannya sebelum itu.

Sejak terlantar di katil akibat barah usus pada awal Julai lalu, Nik Anuar tidak dapat menyudahkan naskhah syarahan perdana yang telah ditulisnya. Penulis sempat membaca naskah tersebut yang dikirimnya lewat e-mel. Teks tersebut menyorot kembali beberapa konflik sempadan yang berlangsung di Asia Tenggara dan memang menjadi minat dan kecenderungan penyelidikan beliau sejak sekian lama. Barah yang melanda hubungan dua hala pelbagai negara di rantau ini memang mengasyikkan Nik Anuar sebagai seorang pengkaji dan penyelidik. Tanpa beliau sedari, barah juga sedang menanti untuk meragut nyawa beliau sendiri. Negara kehilangan seorang sejarawan yang tajam analisisnya tentang apa yang berlaku di tanah airnya. Saya kehilangan seorang teman yang selalu bersedia berbual dan berbincang tentang sejarah bangsa kita.

Jenazah Tok Janggut dipaparkan pada kulit buku Nik Anuar, Tok Janggut: Pejuang atau Penderhaka?

Source: Mingguan Malaysia Online

1 ulasan:

warna berkata...

Tokoh sejarawan yang berbakti di dalam bidang yang dicintainya

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran