TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Memaparkan catatan dengan label Zin Mahmud. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Zin Mahmud. Papar semua catatan

Selasa, 1 Mac 2011

Apabila impian menjadi igauan

Penulis - Zin Mahmud

Pada tahun-tahun awal 1980-an, saya mengenal Allahyarham Syed Jaafar Al-Sagoff, seorang ahli perniagaan urus cetak. Beliau amat kagum dan menyokong Muammar Gaddafi hinggakan anaknya juga diberi nama Presiden Libya itu.

Tetapi bukan beliau saja, banyak orang Melayu yang turut kagum dengan Gaddafi hinggakan akan dapat ditemui orang yang bernama Gaddafi, yang sekarang tentunya berusia sekitar 30-an.

Banyak orang menyifatkan Gaddafi sebagai pemimpin unggul bagi umat Islam kerana azamnya untuk membebaskan dunia daripada cengkaman Amerika Syarikat. Selain itu, beliau menyerukan perubahan sistem politik dan ekonomi dunia supaya rakyat benar-benar secara saksama menikmati kemakmuran negara dan bukan hanya golongan elit.

Gaddafi sering mengadakan persidangan untuk gerakan-gerakan Islam dan radikal untuk membincangkan bagaimana membebaskan negara-negara Islam dan dunia umumnya daripada cengkaman Barat.

Bagaimanapun apabila Revolusi Islam Iran meletus dan Ayatullah Khomeini muncul dengan pandangan lebih radikal, Gaddafi hilang popularitinya.

Oleh kerana Gaddafi menyebut mengenai sosialisme, maka banyaklah orang Islam yang awalnya menyokong beliau bertukar haluan ke arah Khomeini pula. Termasuklah sahabat saya itu. Beliau menukarkan sokongannya daripada Libya kepada Iran.

Tetapi pada tahun 80-an, Gaddafi baru membukukan fahamannya dalam bentuk buku yang dinamakan Buku Hijau. Beliau memansuhkan institusi-institusi politik Libya dan mengubah konsep pentadbiran negara.

Baginya, Libya bukan sebuah republik tetapi jamahiriah yang digagaskan sebagai berbeza daripada apa yang pernah diamalkan oleh mana-mana negara. Maka Libya diisytiharkan sebagai Jamahariah Sosialis Rakyat Arab Libya Raya. Raya itu merujuk kepada Great dalam Inggeris atau Uzma dalam bahasa Arab.

Beliau menukarkan benderanya kepada warna hijau penuh. Satu-satunya negara yang benderanya tidak mempunyai apa-apa lambang untuk menandakan bahawa Libya diperintah oleh rakyatnya dan bukan mana-mana elit kuasa.

Kedutaan-kedutaan Libya di seluruh dunia dinamakan pula Biro Rakyat. Untuk menyebarkan fahamannya itu, dia menubuhkan Pusat Kebudayaan Arab Libya.

Di Kuala Lumpur, ia terletak di sebuah bangunan banyak tingkat di Jalan Ampang depan Bangunan AIA. Saya masih ingat majlis perasmian bangunan itu. Ada sebuah perpustakaan di situ.

Pada masa itu di Kuala Lumpur ada enam negara yang mempunyai pusat-pusat kebudayaannya untuk menyebarkan propaganda mereka iaitu Pusat Kebudayaan Lincoln (AS), Pusat Kebudayaan Soviet, British Council, Pusat Kebudayaan Jepun, Goethe Institute (Jerman Barat) dan Alliance Francaise (Perancis). Ini bermakna Libya adalah satu-satunya negara orang Islam yang mempunyai pusat kebudayaannya di sini.

Percuma

Melalui perpustakaannya itu, yang kemudian berpindah ke Kampung Baru, naskhah Buku Hijau yang turut diterbitkan dalam Bahasa Malaysia diedarkan secara percuma.

Ada pihak menyatakan bahawa Buku Hijau itu dikarang oleh seorang ideolog komunis dari Jerman Timur. Ia merupakan usaha untuk menggagaskan suatu fahaman komunis yang disesuaikan bagi negara-negara Islam.

Dua buku penting yang saya masih ingat terdapat dalam perpustakaan itu ialah History of Iraq dan History of the American People oleh Howard Zinn, seorang anarkis yang mengkritik negaranya sendiri.

Walaupun saya mula mengetahui mengenai beliau melalui buku-buku dalam perpustakaan Lincoln Cultural Center tetapi buku beliau sendiri tidak terdapat di situ. Maknanya Pusat Kebudayaan Arab Libya itu mengimbangi kehadiran pusat-pusat kebudayaan Barat di sini.

Apabila membaca Buku Hijau, akan didapati bahawa Gaddafi berfahaman radikal kiri, seakan-akan komunisme. Beliau saban tahun mengadakan persidangan membincangkan Buku Hijau dengan mengundang wakil-wakil dari seluruh dunia termasuk Malaysia.

Sungguhpun banyak ahli akademik serta aktivis yang pergi ke Tripoli untuk menghadiri persidangan-persidangan itu, tetapi tidak banyak yang memandang buku itu secara serius. Buku itu lebih berbentuk propaganda dan bukannya gagasan unggul.

Namun begitu saya masih ingat dalam satu persidangan di Kuala Lumpur, Allahyarham Datuk Hassan Adli meminta saya mencarikan Buku Hijau itu.

Beliau yang mengetuai Persatuan Maaruf pada masa itu adalah bekas Duta Besar Malaysia ke Mesir dan Sudan. Sebelum itu beliau adalah seorang timbalan menteri ketika Pas dalam Barisan Nasional. Beliau pernah diisytiharkan oleh Pas sebagai Panglima Jihad tetapi kemudian dipecat apabila Pas dikeluarkan daripada BN.

Pada tahun 1978, beliau menang pilihan raya kawasan Bagan Datoh mengalahkan Pas sebagai calon BN tanpa parti.

Walaupun Khomeini menarik minat banyak orang Islam pada tahun-tahun 80-an, populariti Gaddafi masih kuat di negara ini.

Beliau banyak membantu gerakan-gerakan pembebasan di seluruh dunia khususnya di kalangan negara-negara Islam.

Antara yang terkenal ialah Pertubuhan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF). Beliau juga turut membantu Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) ketika ia di bawah naungan Almarhum Tunku Abdul Rahman. Menara Perkim di Jalan Ipoh adalah antara yang mendapat dokongan bantuan beliau.

Maknanya Libya dan Gaddafi amat rapat dengan ingatan banyak orang Malaysia.

Ketika Gaddafi menggulingkan Raja Libya, Almalik Idris pada tahun 1969, usianya 27 tahun. Beliau, seperti juga Gamal Nasser, Hafez Assad dan Saddam Hussein mengimpikan dunia Arab yang kuat dan bersatu.

Malangnya impian itu menjadi igauan.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Khamis, 23 Disember 2010

Lihatlah lima realiti perubahan

Zin Mahmud
Tarikh siar: 19 Disember 2010.

Perubahan. Adakah benar masyarakat berubah? Negara berubah? Dunia berubah? Atau sebenarnya tidak ada perubahan. Apa yang dirasakan perubahan itu adalah sebenarnya pergantian manusia yang ada dalam masyarakat, negara dan dunia.

Manusia sendiri tidak berubah. Apa yang dilihat sebagai perubahan adalah proses pergantian sel-sel tubuh badannya, dari kanak-kanak, sel-selnya berganti dan jadilah ia remaja, dewasa dan akhirnya tua,

Perubahan fizikal tubuh manusia ini menyebabkan seseorang itu dirasakan berubah. Dari lemah ketika kanak-kanak, menjadi kuat semasa dewasa, dan selanjutnya lemah ketika tua.

Keadaan fizikal inilah yang menyebabkan manusia itu dilihat sebagai berubah. Perangainya, kelakuannya dan bagaimana ia berinteraksi dengan alam sekelilingnya. Tetapi apa yang tidak menerima kesan daripada perubahan sel itu, maka ia tetap seperti itu.

Dalam otak, ada sel ingatan yang mati, maka hilanglah ingatannya terhadap sesuatu perkara. Tetapi bagi sel yang terus hidup, maka ingatan di dalamnya juga kekal, iaitu untuk sementara waktu individu itu bernyawa.

Maka akhirnya fizikal manusia sampai ke penghujungnya untuk berfungsi, hilanglah satu nyawa. Secara bergiliran manusia akan meninggalkan dunia.

Tentulah penggantinya tidak serupa. Anak-anak dan cucu-cucunya tidak serupa. Maka dengan silih berganti, tentunya masyarakat berubah.

Generasi berganti generasi. Apabila perubahan itu berlaku, maka pada hakikatnya ia merupakan hasil daripada perbezaan generasi.

Tentulah generasi yang terkemudian tidak serupa dengan yang terdahulu. Maka keadaan ini dilihat seolah-olah bahawa perubahan tidak dapat dielakkan. Sedangkan apa yang berlaku dalam masyarakat bukannya perubahan tetapi adalah pergantian generasi. Iaitu generasi sekarang adalah berbeza daripada dahulu.

Maka menjelang berakhirnya tahun 2010 ini, saya ingin menarik perhatian kepada lima realiti yang dilihat sebagai perubahan.

Pertama mengenai akhbar. Kedua mengenai politik. Ketiga mengenai daya saing negara. Keempat mengenai kuasa besar. Kelima mengenai perubahan iklim.

Sebagai seorang yang berkecimpung dalam dunia penerbitan akhbar, majalah dan buku selama 30 tahun maka seringlah diajukan soalan bolehkah akhbar arus perdana kembali gemilang seperti dahulu.

Akhbar harian ringan dan picisan tidak termasuk dalam kategori ini.

berita

Maka saya jawab bahawa ketika saya berusia 15 tahun, saya menjimatkan wang belanja sekolah saya untuk membeli akhbar seminggu sekali, itulah yang saya mampu ketika itu. Saya beli The Sunday Times dan Mingguan Malaysia. Oleh kerana saya kekurangan wang, saya beli Mingguan Malaysia second hand pada hari Isnin daripada kawan saya dengan separuh harga.

Hari ini ketika saya membawa semua akhbar arus perdana bahasa Melayu dan Inggeris pulang ke rumah setiap hari, tidak ada seorang pun anak saya menyentuhnya. Mereka mendapatkan semua berita daripada komputer.

Generasi yang membaca akhbar, majalah dan buku akan semuanya meninggal dunia. Tetapi anak-anak dan cucu-cucunya hanya membaca di komputer dan telefon pintar. Itu realiti pertama.

Dengan kesedaran tentang perbezaan generasi, maka berlumba-lumbalah parti politik hendak mendapatkan sokongan generasi baru. Satu-persatu generasi lama meninggal dunia.

Maka generasi baru mempunyai fikiran berbeza mengenai politik. Berhujah dengan mereka adalah seperti menasihati anak-anak sendiri. Mereka dengar dan adakala tanya soalan dan minta kita cerita tentang kisah-kisah lama.

Itu saja. Yang lain daripada itu, mereka mempunyai fikiran sendiri. Mereka baca macam-macam melalui Internet. Daripada Twitter, facebook, YouTube hinggalah ke WikiLeaks. Akhirnya hanya mereka yang menentukan masa depan sendiri. Kita hanya menyediakan apa yang termampu untuk kebahagiaan mereka.

Akhirnya mereka akan menggantikan tempat-tempat kita dalam masyrakat, negara dan dunia. Pada masa itulah mereka akan membuat keputusan, mungkin ia jauh daripada apa yang kita harapkan. Tetapi mungkin apa yang dilakukannya adalah sesuai untuk dunia mereka. Itu realiti kedua.

Realiti ketiga dan keempat pula merujuk kepada daya saing negara-negara di dunia.

Generasi berganti generasi berlaku bukan saja di Malaysia, tetapi tentunya di seluruh dunia. Di negara lain, yang dahulunya didiami oleh generasi lemah sudah pula digantikan dengan generasi yang lebih kuat dan dinamik.

Apa yang berlaku nanti, adakah generasi baru Malaysia mampu bersaing dengan generasi seangkatannya dari negara lain, umpama dari Indonesia, Vietnam, India dan China?

Dengan penduduk ramai, bermakna pasaran besar, mereka mampu memecut pembangunan dan kemajuan negara masing-masing.

Kalau sejak 20 dan 30 tahun lalu, Malaysia pesat membangun tetapi pada masa akan datang persaingan dalam sistem modal global, negara ini harus mencari kedudukan yang boleh diterima sebagai rakan kongsi pembangunan negara-negara besar itu.

Itulah realiti ketiga. Indonesia mampu bangkit lebih daripada negara-negara lain di Asia Tenggara. Jika itu berlaku, maka Bahasa Indonesia akan turut bangkit .

Bahasa Indonesia adalah bahasa Melayu versi Indonesia. Maka tentu Bahasa Malaysia akan turut maju jika negara ini ikut dipertautkan dengan kemajuan ekonomi Indonesia.

Realiti keempat ialah persaingan kuasa besar di peringkat global. Jika generasi baru China dapat menyaingi golongan muda Amerika Syarikat dalam pelbagai bidang, maka kepesatan negara komunis itu akan akhirnya menjadikannya sebuah kuasa besar.

Tetapi semua generasi akan datang harus menghadapi realiti kelima iaitu perubahan iklim.

Source: Mingguan Malaysia Online

Isnin, 20 Disember 2010

Bertuah di hujung tahun 1431

Tarikh: 12/12/2010
Oleh Zin Mahmud


Pada Jumaat akhir tahun hijrah 1431 iaitu minggu sudah saya kebetulan bersembahyang di Masjid Al-Azhar, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di Bandar Seri Putra, Bangi, Selangor.

Setelah beberapa saat mendengar khutbah itu, dapat dirasakan bahawa kali ini ia berbeza daripada apa yang selalu saya dengar. Adakah kerana khutbah itu baik atau pada saat itu saya dalam keadaan emosi bersentimen kerohanian. Iaitu suatu perasaan nikmat beragama yang ada kalanya datang pada kita dengan tiba-tiba. Sememangnya suara khatib itu sedap didengar. Bacaannya menunjukkan memang beliau adalah seorang qari. Saya agak beliau adalah khatib tamu kerana sebelum ini tidak pernah pula saya mendengar khutbahnya di situ.

Mungkin beliau seorang yang terkenal di kalangan peminat hal-hal agama. Tetapi saya saja yang tidak mengenali beliau. Apa yang pasti, di akhir khutbahnya, saya berasa cukup bersemangat. Khatib itu telah berjaya memberi motivasi dan sembahyang Jumaat kali ini tidak dirasakan seperti rutin biasa.

Semasa dalam sembahyang pula, bacaannya memang menyegarkan hingga membuat saya berasa bertuah bahawa di penghujung tahun hijrah 1431, khutbah Jumaat akhir yang saya dengar adalah sesuatu yang akan saya suka untuk sentiasa mengingatinya.

Maka bagi tahun 1431 itu, saya meletakkan khutbah beliau sebagai yang terbaik untuk tahun itu. Iaitu bagi khutbah yang pernah saya secara peribadi dengarlah.

Masjid-masjid yang pernah saya bersembahyang Jumaat pada tahun 1431 adalah sekitar Selangor dan Kuala Lumpur saja. Kalau di Kuala Lumpur tentunya yang berhampiran di pejabat saya iaitu sekitar kawasan Salak Selatan, Bandar Tasik Permaisuri, Taman Desa dan TUDM. Selain itu ada juga masjid di tempat-tempat lain yang kebetulan saya bersembahyang Jumaat kerana berada di situ.

Bermacam ragam cara khatib menyampaikan khutbah mereka. Ada masjid di Kuala Lumpur sejak beberapa tahun ini telah menggunakan teknologi baru bagi menarik minat para jemaah. Mereka menggunakan projektor yang memaparkan inti sari khutbah. Ia merupakan suatu pembaharuan. Tetapi bagi saya ia hanya mengganggu tumpuan jemaah kepada khatib, dan membazir saja.

Memang bukan senang untuk mendapatkan imam dan khatib yang dapat menarik minat penuh para anggota jemaah. Mereka yang memperoleh imam atau khatib sedemikian sememangnya bertuah.

Masjid

Di sebuah masjid saya perhatikan muncul satu fenomena baru yang tidak mengejutkan. Ada jemaah di belakang terutama di kalangan anak-anak muda yang kira sudah hilang adab dalam soal ketika mendengar khutbah.

Sama ada kerana tidak tahu atau tidak dapat menahan diri, mereka sibuk menekan-nekan butang telefon semasa khatib membaca khutbah.

Maknanya tumpuan mereka sudah tidak pada khutbah. Tetapi apa yang hendak ditumpukan oleh mereka jika khutbah dirasakan begitu membosankan. Dalam zaman ini ketika tangan begitu gatal untuk melihat telefon ketika diri mula berasa bosan, umpamanya semasa mesyuarat, maka tidak menghairankanlah fenomena ini juga berlaku di masjid.

Khutbah sudah tidak boleh disampaikan secara tradisional lagi. Isi khutbah dan penyampaiannya mesti kuat hingga mampu merenggut perhatian para jemaah yang kini sudah jauh berbeza daripada umat Islam terdahulu.

Pada zaman pra-industri dahulu, khutbah adalah satu-satunya sumber jemaah mendapat maklumat dan nasihat. Tambahan pula para jemaah juga adalah kebanyakannya buta huruf dan tentu apa saja khutbah akan menarik perhatian mereka.

Selepas memasuki zaman industri, maklumat mudah diperoleh. Para jemaah juga kebanyakannya boleh membaca. Akhbar, buku, radio dan televisyen adalah media massa yang membolehkan jemaah mendapat maklumat secara lebih meluas. Peranan khutbah tentunya perlu berbeza. Bukan lagi sebagai saluran maklumat. Khutbah dengan cara penyampaiannya wajar berperanan sebagai pembangkit semangat dan kesedaran untuk seseorang menjalani kehidupan sepanjang minggu akan datang.

Pada masa ini, dengan adanya Internet, malah apa saja maklumat boleh diperoleh melalui telefon pintar, termasuk ketika seseorang berada di masjid, peranan khutbah tentu tidak boleh terus seperti dahulu.

Dalam menyambut tahun baru hijrah ini, ia juga bermakna usia seseorang meningkat lagi. Maka saya tertanya juga bagaimana khutbah membentuk diri setelah usia melepasi separuh abad.

Orang perempuan tidak dibentuk oleh khutbah Jumaat. Jadi apa kesannya khutbah kepada orang lelaki jika natijahnya dibandingkan dengan orang perempuan?

Apa bezanya pula lelaki Islam dengan bukan Islam? Lelaki bukan Islam tidak dibentuk oleh khutbah? Adakah khutbah memberi kesan atau ia hanya rukun yang wajib dilaksanakan untuk menyempurnakan sembahyang Jumaat?

Maka tertanyalah saya, bilakah agaknya buat pertama kali saya pergi mendengar khutbah? Yang dapat diingat ialah ketika berusia empat tahun, ketika saya dibawa bapa saya ke Masjid Batu Gajah, Perak.

Masjid lama itu sekarang telah diganti baru. Saya duduk di sebelah ayah dan mengikut saja orang dewasa.

Maka sejak itu setiap minggu saya mendengar khutbah. Dalam hidup ini, saya pernah mendengar bacaan khutbah daripada bahasa lain. Antaranya di Kaherah, Mesir; Doha, Qatar; Teheran, Iran dan Beijing, China. Pernah juga mendengar khutbah di Central Mosque, London.

Apa yang dibentuk oleh khutbah ini kepada diri saya? Sekali sekali jika bernasib baik dapatlah saya menikmati khutbah yang baik seperti di Masjid KUIS minggu lalu. Itu adalah nikmat Jumaat.

Bukan senang mencari khatib yang dapat memberi semangat, inspirasi dan motivasi. Seringkali khatib adalah juga imam. Jemaah sentiasa dahagakan imam atau pemimpin yang baik. Bukan saja di masjid. Tetapi juga di luar masjid.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Sabtu, 4 Disember 2010

Berkuasa di atas kelemahan Melayu

Untung Sabut Timbul
Oleh Zin Mahmud.

DI bangku sekolah dulu saya berminat dalam hal-hal pengguna selalu kena tipu oleh peniaga. Para pembaca juga sepanjang hidup masing-masing tentu pernah berasa ditipu oleh peniaga, lebih-lebih lagi setelah kembali ke rumah dan melihat barang dibeli tidak mencapai keadaan apa yang disangkakan.

Oleh kerana pengalaman seumpama ini, maka saya memandang serong kepada para peniaga, kecil dan besar. Saya berasakan bahawa peniaga sentiasa mencari jalan untuk menipu pelanggannya, walaupun mereka juga adalah pengguna dan turut sering ditipu.

Tidak ada siapa yang boleh melepaskan diri daripada peniaga. Keperluan kehidupan menghendaki seseorang itu menjadi pengguna dan justeru itu memerlukan peniaga.

Tambahan pula untuk menyara hidup, semua orang secara langsung dan tidak langsung turut menjadi peniaga. Walaupun makan gaji tentulah syarikat tempat seseorang itu bekerja menjalankan perniagaan.

Hatta kakitangan kerajaan juga hidup atas dana cukai yang dikutip daripada dunia perniagaan. Begitu juga dengan badan-badan sukarela, mereka terpaksa juga bergantung kepada dunia komersial. Tidak ada siapa yang dapat melepaskan diri daripada dunia perniagaan.

Justeru pandangan serong terhadap dunia perniagaan yang dilihat sebagai penuh tipu daya menjadikan saya cenderung kepada fahaman kiri. Iaitu sentiasa mencurigai sistem pasaran bebas, kapitalisme dan liberalisme. Tetapi saya sedar bahawa manusia tidak mempunyai pilihan lain untuk mencapai kemakmuran selain daripada melalui dunia perniagaan.

Dalam agama pun, orang Islam diajar bahawa rezeki paling besar adalah dari perniagaan. Tetapi ajaran agama ini disertakan dengan amaran keras terhadap para peniaga yang menipu.

Maka dari dahulu saya berpendapat bahawa kerakusan para peniaga mesti diimbangkan dengan gerakan persatuan pengguna. Kalau persatuan pengguna lemah, maka bermaharajalelalah para peniaga.

Justeru masa saya tingkatan empat iaitu pada tahun 1975 saya melanggan akhbar Utusan Pengguna. Untuk itu saya sekaligus menjadi ahli Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Lambangnya adalah dacing sebagai tanda keadilan bagi pengguna.

Saya ingat ketika mula Barisan Nasional ditubuhkan, Utusan Malaysia menyiarkan jawapan kepada persoalan seorang pembaca yang mempertikaikan bahawa lambang BN sebagai meniru logo CAP.

Lambang

Maka disiarkan lambang-lambang itu untuk menunjukkan perbezaan antaranya, walaupun kedua-duanya adalah dacing.

Pada tahun 1993, ketika menjelang Perang Teluk yang pertama, saya berkesempatan menyertai rombongan persatuan-persatuan Malaysia untuk ke Baghdad, Iraq sebagai tamu Presiden Saddam Hussein.

Dalam rombongan itu turut serta ialah Presiden CAP, SM Idris . Itulah pertama kali saya bertemu dan mengenalinya dari dekat.

Sejak itu, ketika mana saya ke Pulau Pinang saya akan bertemu dengannya. Begitu juga bila beliau datang ke Kuala Lumpur, saya akan cuba berjumpa dengannya.

Pada tahun 2007 ketika sibuk isu perjanjian perdagangan bebas dengan Amerika Syarikat, beliau datang ke pejabat Utusan bersama aktivis ekonomi global, Martin Khor di mana Mingguan Malaysia mengetengahkan hujah-hujah mereka mengenai isu itu.

Sebelum hari raya tempoh hari, SM Idris meminta saya datang ke Pulau Pinang untuk bertemunya. Dengan kesibukan yang amat sangat, saya agak keberatan untuk memenuhi permintaannya.

“Pentingkah?” saya tanya pegawainya. “Amat penting,” jawabnya.

Maka beberapa minggu lalu saya pun ke Pulau Pinang untuk menemuinya dan ingin mengetahui apa yang dianggap sebagai penting.

Di depannya, beliau menyerahkan sebuah buku bertajuk The Armies of God. A Study of Militant Christianity oleh Iain Buchanan terbitan Citizen International.

Saya pernah melihat buku ini di kedai Popular di Kuala Lumpur tetapi tidak membacanya. Beliau juga memberi saya beberapa tulisan tambahan yang ada kaitan dengan Malaysia.

Memang benar. Penting dan mengejutkan apabila isinya ditelaah.

Buku ini memaparkan pakatan antara golongan sekular dan agama di Amerika Syarikat untuk terus menguasai dunia sebagai lanjutan kepada penjajahan yang dahulu.

Dalam pertemuan dengannya, SM Idris menyatakan kehairanannya mengapa akhbar Melayu tidak menjadi akhbar paling untung di negara ini.

Saya kata mungkin orang Melayu bukan bangsa perniagaan. Dunia perniagaan dikuasai oleh kaum bukan Melayu. Justeru tentulah akhbar bukan Melayu yang lebih menguntungkan kerana mereka berisi dengan iklan yang dibeli oleh peniaga.

Bukan begitu, kata SM Idris. Bukanlah ahli perniagaan yang menentukan keuntungan. Tetapi para pengguna. Apa yang disebut sebagai pasaran adalah sebenarnya pengguna.

Majoriti pengguna di Malaysia adalah orang Melayu. Perniagaan di negara ini bergantung untung ruginya pada orang Melayu.

Sesiapapun yang berniaga di negara ini perlu mendapatkan sokongan pengguna Melayu. Untuk mendapatkannya tentulah melalui iklan. Maka sepatutnya akhbar Melayu yang lebih untung.

Selanjutnya SM Idris memberi dua petua yang mana orang Melayu boleh berjaya dan bukan seperti sekarang di mana bangsa ini dilanda dengan pelbagai masalah.

Dua perkara yang menyebabkan orang Melayu lemah dan dikuasai kaum lain ialah rasuah dan pemborosan.

Rasuah dan pemborosan ini menjadikan orang Melayu sebagai pengguna yang memberikan kekayaan kepada kaum lain.

Kalaulah orang Melayu dapat mengelak diri daripada rasuah dan bersikap jimat cermat, maka ia akan menjadi kuat.

Menurutnya kekuatan ekonomi kaum lain di negara ini antara lain berdiri atas rasuah dan pemborosan orang Melayu.

Mampukah orang Melayu berhijrah sikap?

Source: Mingguan Malaysia Online

Sabtu, 30 Oktober 2010

Menghargai ilmuwan tempatan

Sumber: Mingguan Malaysia Online
Tarikh siar: 31 Oktober 2010.

Penulis: Zin Mahmud.
Dari kolum “Untung Sabut Timbul”

PEMERGIAN ahli sejarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nik Anuar Nik Mahmud ke Rahmatullah Khamis lalu menggamit kenangan ketika berurusan dengan beliau bertahun-tahun lalu.

Sebenarnya penulis hanya dua kali bertemu dan berurusan dengannya sepanjang hayatnya. Tetapi dua kali itu sudah cukup berasa sebagai sahabat intelektual. Apa saja yang ditulisnya akan diikuti oleh penulis.

Antaranya tentulah mengenai sejarah Pattani, Melayu, Johor dan Singapura.

Pertemuan pertama penulis dengannya adalah pada lewat 80-an. Ketika itu penulis sedang menyiapkan buku sejarah sebuah parti politik dan beliau banyak membantu sumbang makalah-makalah yang boleh dimuatkan dalam buku itu. Di situ penulis dapat melihat kesungguhannya untuk memberi sumbangan intelektual sejati.

Pertemuan kedua ialah ketika mewawancara beliau untuk Mingguan Malaysia pada sekitar 2003. Ketika itu adalah mengenai sejarah hubungan Malaysia dan Singapura. Kesibukan beliau dan komitmennya yang banyak dalam memberi input sejarah kepada pihak berkuasa menyerlahkan keunggulannya.

Beliau adalah antara pensyarah-pensyarah UKM yang penulis kenal. Ada beberapa pensyarah UKM lain turut rapat dengan penulis . Antaranya sudah bersara dan masuk ke bidang lain termasuk politik.

Yang masih berkhidmat antaranya adalah Dr. Roosfa Hashim yang menulis mengenai Dr. Nik Anuar dalam Mingguan Malaysia hari ini. Oleh kerana beliau aktif dalam dunia penerbitan buku maka sudah tentu akhirnya akan tertembung juga dengan penulis.

Sebagai wartawan, maka tentu hubungan rapat mudah terjalin dengan pensyarah dalam bidang media. Antaranya ialah Dr. Safar Hashim dan Dr. Mus Chairil Samani yang juga adalah bekas wartawan Utusan Malaysia pada zaman sebelum dia menyertai dunia akademik

Kewartawanan dan politik tidak dapat dipisahkan. Maka pensyarah bidang politik seperti Dr. Agus Yusof juga penulis kenali.

Begitu juga dalam bidang bahasa. Profesor Madya Dr. Rosniah Mustaffa umpamanya penulis kenali kerana pernah menjadi editor bukunya mengenai tatabahasa Inggeris yang ditulis dalam bahasa Melayu dan diterbitkan oleh Utusan Publications.

Nama-nama ini adalah sekadar yang penulis teringat ketika ini. Banyak lagi yang penulis kenal tetapi tentu tidak dapat disenaraikan di sini.

Bukan saja dari UKM, dari universiti-universiti lain juga penulis dapat menjalin hubungan persahabatan. Dari Universiti Malaya ialah Prof Dr. Rauzah Hashim yang penulis anggap sebagai seorang saintis unggul. Juga Prof Dr Redzuan Othman.

Universiti

Begitu juga dari Universiti Sains Malaysia (USM) seperti Prof Syukri Salleh dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang paling rapat dengan penulis ialah Shaharom TM Sulaiman. Di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ialah seperti arkitek Prof Dr. Tajuddin Rasdi.

Penulis sekadar menyebut nama-nama ahli akademik ini di kalangan banyak lagi di antara mereka yang memberi sumbangan kepada dunia ilmu di negara ini.

Tentunya sebagai seorang yang meminati soal-soal pemikiran, ada perasaan alangkah indahnya kalau dapat meluangkan banyak masa lagi dengan mereka yang berada di menara gading ini.

Tetapi kehidupan dan hayat dirasakan begitu singkat untuk mengaut ilmu dan pengalaman para ahli akademik yang masing-masing sibuk dengan kerja. Lebih-lebih lagi tuntutan birokrasi sesebuah universiti penyelidikan melemaskan banyak pensyarah.

Dari masa ke semasa diadakanlah seminar di pelbagai institusi pengajian tinggi yang terbuka untuk umum, dan juga syarahan-syarahan awam yang boleh dihadiri oleh orang ramai.

Berbanding dengan universiti di Barat, tentu aktiviti di IPT negara ini masih dilihat pasif dan tidak terbuka luas untuk orang ramai. Namun apa yang ada sekarang ini tidak disertai secara aktif oleh orang ramai yang berminat dan mampu untuk memahami isu-isu intelektual.

Dengan kerja seharian sentiasa menuntut komitmen, rekreasi intelektual pun sukar untuk dinikmati walaupun minat besar itu ada.

Hanya apabila dengar seseorang ahli akademik yang bernama besar meninggal dunia, maka akan dirasakan kehilangannya pada negara. Maka bagi mereka yang berminat tentang sesuatu bidang, tentulah berasa terlepasnya peluang untuk bergaul atau berbicara secara intelektual dengan mereka.

Selepas ketiadaannya , apa yang hanya boleh dinikmati oleh para peminatnya hanyalah melalui buku-bukunya yang diterbitkan. Kertas-kertas yang ditulis mereka tetapi tidak dibukukan akan hanya tersimpan di perpustakaan universiti masing-masing, yang sudah tentu sukar untuk diperoleh oleh orang awam di luar universiti.

Penulis teringat Allahyarham Prof Dr. Syed Hussein Al-Attas. Penulis dan Shaharom pernah merancang untuk mengadakan wawancara dengan beliau secara bersiri untuk menyelongkar pemikirannya.

Shaharom sudah pergi menemuinya beberapa kali juga. Sementara penulis sempat menemuinya sekali saja pada satu malam yang hening di kediamannya. Hasrat hati untuk bertanya detik-detik bagaimana beliau menubuhkan Parti Gerakan tidak sempat diujarkan kerana beliau pulang ke Rahmatullah.

Tetapi pada masa ini banyak lagi ahli-ahli akademik yang telah bersara dan masih aktif. Mereka boleh digali pemikirannya sebelum terlambat.

Daripada nama-nama besar seperti Profesor Diraja Ungku Aziz dan Profesor Dr. Syed Naquib Al-Attas hinggalah kepada ahli-ahli akademik yang kurang terkenal tetapi masing-masing mempunyai peranan serta sumbangan dalam bidang masing-masing.

Dengan menghargai serta menggembleng aset intelektual yang sudah ada dalam negara, maka barulah memanggil dan memujuk mereka yang berada di luar negara itu mempunyai makna.

Dunia intelektual dan akademik di negara wajar diletakkan pada tempat sebenar. Bagaimana caranya? Merekakan orang pandai, fikirkanlah sendiri.

Source: Mingguan Malaysia Online

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran