
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, tidak perlu wujud isu atau persepsi serong bahawa penggunaan tulisan jawi sebagai satu usaha mengislamkan golongan bukan Islam memandangkan ia cuma tulisan yang diwarisi orang Melayu.
"Seperti mana mereka mempertahankan sistem persekolahan dan tulisan bahasa ibunda mereka, orang Melayu juga berhak mempertahankan tulisan jawi tanpa sebarang prasangka atau celahan mana-mana pihak.
"Kita mengakui tulisan jawi memudahkan pembelajaran bahasa Arab dan juga kandungan al-Quran untuk umat Islam, tetapi usaha menggalakkan penggunaan tulisan ini terutama di sekolah bukannya untuk mengislamkan murid pelbagai kaum di negara ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Raja Muda Perak agar tulisan jawi terus dipertahankan supaya terus hidup dan tidak pupus kerana ia merupakan satu perjuangan bangsa.

"Usaha menghidupkan kembali tulisan jawi perlu bermula di sekolah di samping media memainkan peranan masing-masing.
"Bagaimanapun, saya berharap tidak ada pihak yang terlalu sensitif bila orang Melayu memperjuangkan hak kita sedangkan kita menghormati hak mereka," ujarnya.
Source: Mingguan Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan