Komik sering kali dilabel sebagai bahan bacaan murahan ataupun picisan yang kurang bernilai. Malah, ia juga acap kali dikaitkan sebagai pembunuh bahasa serta antara medium berkesan yang dikenalpasti mampu merangsang minda kanak-kanak mahupun dewasa menjurus ke arah pembentukan sifat kejam dalam sahsiah keperibadian.
Justeru, tidak menghairankan apabila terbitnya satu perasaan sinikal di sanubari ibu bapa tatkala anak mereka meminta untuk mendapatkan koleksi komik seperti Doraemon, Naruto, Pokemon dan Dragon Ball.
Menganggapnya sebagai satu pembaziran dan tidak berfaedah, ibu bapa lebih gemar bertindak atas kata hati dengan memilih buku-buku yang mereka rasakan berupaya merangsang minda anak-anak, asalkan ia bukan dari jenis komik. Namun demikian, apabila Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) menyuarakan pandangan untuk menjadikan komik sebagai bahan bacaan tambahan di sekolah, sekali gus memberi pelbagai spekulasi terhadap cadangan terbaru itu.
Menurut Pengurus Jabatan Komunikasi, Pemasaran dan Jualan ITNM, Zinitulniza Abdul Kadir, pembacaan komik adalah satu kaedah baru yang boleh digunakan untuk memupuk minat membaca di kalangan kanak-kanak.
Bagaimanapun, dengan berpaksikan kepada stigma masyarakat terhadap komik sebagai satu bahan bacaan merosakkan, justeru timbul persoalan apakah relevannya ITNM berbuat demikian? Sekiranya "ya" dan mampu memupuk budaya membaca, apakah faedah mahupun kelebihan yang boleh diperoleh daripada komik?
"Ibu bapa perlu ubah pandangan mereka terhadap komik, kerana kalau kita lihat sistem pendidikan di Jepun mahupun Korea, semuanya dikomikkan, termasuklah cara-cara baiki kereta dan pelbagai resipi makanan," katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.
Sambil tidak menafikan bahawa komik sebelum ini pernah dimanipulasikan sebagai medium merosakkan minda kanak-kanak, Zinitulniza berkata ia sudah berlalu malah paradigma ketika ini telah memperlihatkan satu pengiktirafan kepada genre itu dalam memupuk minat membaca.
Malah, katanya komik hasil kartunis terkenal negara, Datuk Mohd. Nor Khalid (Lat), Kampung Boy, telah dijadikan sebagai bahan bacaan buku teks di Australia, serta di barat pula pengiktirafan telah diberikan kepada buku bergenre sedemikian di mana ia kini dikenali sebagai "literature komik" berbanding komik picisan sebelum ini.
Katanya, revolusi itu akhirnya membuka lembaran baru terhadap pandangan sinikal "dunia komik", apabila ia dijadikan sebagai bahan pendidikan di Korea dan Jepun, sekaligus menarik minat ITNM untuk membawa kaedah baru itu ke sistem persekolahan negara ini.
"Komik bukanlah untuk dijadikan bahan bacaan utama, cuma sebagai jambatan bahan bacaan untuk menarik minat mereka membaca, jadi apabila mereka seronok, lama-kelamaan mereka akan baca pelbagai jenis buku, yang penting adalah macam mana cara untuk pupuk minat mereka," katanya.
Zinitulniza berkata ibu bapa sering melenting dan merungut apabila anak-anak tidak gemar menjadikan buku sebagai kawan akrab, namun pernahkah mereka cuba mendalami perasaan serta minat anak-anak?
Membaca
"Ibu bapa suka membaca, tetapi anak-anak tidak minat kerana apabila bawa mereka ke kedai buku, ibu bapa selalunya buat pilihan tidak tepat iaitu memilih buku-buku yang kita rasakan anak-anak suka baca walhal mereka tidak suka sebenarnya.
"Kanak-kanak lebih suka membaca buku-buku yang mereka rasakan ada faedah kepadanya serta mempunyai banyak gambar daripada teks, dan bila mereka pilih komik ibu bapa halang seratus peratus, itu tidak sepatutnya kerana budak-budak apabila dipaksa baca akan jadi "mental block"," katanya.
Menurut Zinitulniza, sudah menjadi lumrah kanak-kanak sukakan sesuatu yang menghiburkan, ringkas, menarik serta mempunyai kaitan dengan apa yang mereka baca.
"Di Jepun, Doraemon dijadikan untuk belajar sains dan matematik, seperti formula sains bagaimana pokok tumbuh dan ia diaplikasikan menerusi karakter yang kanak-kanak suka.
"Lagipun, kalau kita tengok karakter komik Doraemon adalah watak hidup seperti ada watak rajin, pemalas, kaki buli dan semua karakter ini hidup di sekeliling kehidupan kita, jadi bila kanak-kanak baca komik mereka rasa dekat dan mereka suka kerana menghiburkan," katanya.
Selain itu, katanya, komik berupaya merangsang imaginasi kanak-kanak, sekali gus mendidik mereka untuk menjadi kreatif.
Tambahnya, ini secara tidak langsung dapat membantu merealisasikan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjadikan rakyat negara ini lebih kreatif dan inovatif.
Tidak terhad kepada itu, beliau berkata pembacaan komik juga mendidik kanak-kanak untuk mengenal pelbagai jenis emosi serta pemahaman simbol tanda baca hasil daripada lakaran riak muka karakter berkenaan.
"Pernah dulu ketika saya selesai memberi penerangan mengenai kebaikan komik, ada seorang guru menyatakan dia kesal kerana buang segala komik yang anak-anaknya baca kerana merasakannya tidak berfaedah, walhal ia sebaliknya,'' katanya.
Bagi memastikan hasrat ITNM untuk menjadikan komik sebagai bahan bacaan tambahan di sekolah, Zinitulniza berkata, pihaknya komited untuk memilih satu koleksi komik dari Korea yang berkonsepkan "sains ikhtiar hidup" untuk diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.
Katanya, koleksi komik tersebut dipilih selepas meneliti wawasan Perdana Menteri, nilai dan faedah serta penjualannya yang telah melebihi sebanyak lapan juta di Korea serta lebih empat juta di Thailand.
"Idea ini pernah kita bincangkan secara asas ketika ITNM lancarkan buku "Nyawa di Hujung Pedang" di Korea yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kita telah tunjukkan contoh komik tersebut serta membawa penulis komik berkenaan bertemu dengan beliau.
"Secara asasnya, Kementerian Pelajaran tertarik dan bersedia untuk menimbangkannya dan sekarang ini ITNM sedang menyediakan rangka kertas kerja kepada kementerian," katanya.
Beliau berkata, buku komik itu mempunyai 15 judul dan tertumpu kepada teknik penceritaan sekumpulan remaja yang mengembara di hutan, menguji kepintaran mereka menghadapi situasi tertentu apabila berhadapan dengan pelbagai peristiwa yang tidak dijangka.
Katanya, projek perintis itu dijangka dilaksanakan sebelum akhir tahun depan dan buat permulaan ia hanya diedarkan ke sekolah rendah dan menengah rendah di seluruh negara.
Tidak menghalang malah sentiasa menggalakkan anak-anaknya membaca komik, aktor Esma Daniel berpendapat pembacaan buku jenis genre sedemikian sedikit sebanyak telah merangsang pembentukan minda kreatif di kalangan anak-anaknya.
Bagaimanapun, ibu bapa tidak boleh menyerahkan seratus peratus kepada anak dalam proses pemilihan buku komik kerana ia perlu dilakukan bersama bagi mengelakkan mereka daripada membeli koleksi yang tidak berfaedah.
'' Adalah tugas ibu bapa, membantu anak memilih koleksi yang dapat membantu proses pendidikan anak mereka," tegas bapa kepada lima orang anak ini.
BERNAMA
Source: Mingguan Malaysia Online.
TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Sabtu, 8 Januari 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
Teks dan gambar Kusyi Hirdan MUNGKIN ada pembaca yang sudah tahu mengenai buah perah ini. Mereka yang berada di Terengganu, Perak, Pahang da...
-
By Idris Ismail Talu Arrowhead atau ngaku, atau kentang Cina merupakan sejenis “ubi” yang lembut yang kononnnya ditanam di dalam sawah berai...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
-
Oleh Helmy Abd Rahman, helmy@hmetro.com.my BANK Islam Malaysia Bhd (BIMB) mengintai peluang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi berpotensi...
-
KUALA LUMPUR: A Malaysian couple who fully sponsored the tuition fees of their Indonesian maid’s diploma was recognised at the F&N Outdo...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan