TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Sabtu, 15 Januari 2011
Harga kemerdekaan Palestin
Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
Kenapa negara Islam tidak mengiktiraf Palestin sebagai negara merdeka? Itu antara persoalan penting apabila sebuah demi sebuah negara bukan Islam bangkit mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka. Adakah negara-negara Islam menunggu Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Palestin barulah negara Islam akan berbuat demikian?
Palestin sewajarnya telah lama merdeka. Tetapi selepas negara itu diceroboh oleh Israel pada 15 Mei 1948, watan bagi rakyat Palestin sebahagiannya dirampas oleh Yahudi Israel. Kini Israel mahu menguasai semuanya dan Palestin menjadi warga yang tidak bernegara. Mereka berkelana di negara sendiri.
Menteri Luar Palestin, Riad Malki baru- baru ini mengumumkan Pelan B bagi negara berkenaan iaitu melobi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) September depan untuk mengiktirafkan kemerdekaan Palestin. Ini adalah perancangan pilihan sekiranya rundingan damai dengan Israel terus menemui jalan buntu.
September juga menjadi pilihan kerana dijangka ketika itu juga kerangka masa yang diberikan oleh Presiden Barack Obama untuk melihat hasil rundingan damai. Kerana itu ketika ini Palestin melobi negara-negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Palestin mengiktiraf kemerdekaan negara tersebut.
Mengiktiraf kemerdekaan Palestin adalah sokongan antarabangsa untuk mengeluarkan Palestin dari cengkaman Israel.
Bagaimanapun sikap sesetengah negara Islam memang mencetuskan persoalan. Apakah negara-negara berkenaan mahu "mengambil hati" AS atau sememangnya tidak ada rasa kemanusiaan untuk memulangkan watan yang diceroboh itu kepada warga Palestin? Dunia dikhabarkan tentang buruknya Intifadah pada 9 Disember 1987. Tetapi dunia tidak banyak diberitahu bahawa kelahiran perjuangan Intifadah itu juga kerana Israel.
Guyana menjadi negara terbaru mengiktirafkan Palestin sebagai negara merdeka. Sebelum itu Chile, Brazil, Argentina, Bolivia, Ecuador, Uruguay, Cuba, Venezuela, Nicaragua dan Costa Rica dengan rasminya mengiktirafkan Palestin. Tetapi sebahagian besar negara-negara Amerika Latin ini tidak mempunyai suara politik yang bergema di pentas antarabangsa. Itu adalah negara-negara bersuara kecil malah suaranya lebih kecil berbanding Malaysia dalam isu-isu antarabangsa.
Pengiktirafan kemerdekaan Palestin amat penting, apa lagi kalau disuarakan oleh negara-negara Islam dan negara lain yang mempunyai kuasa politik di peta antarabangsa. Semua ini boleh menyumbang kepada tekanan antarabangsa atas Israel dan induknya, AS.
Palestin terbelah dua kerana sengketa politik Fatah - Hamas. Semua ini menyumbang kepada lemahnya Palestin untuk berdepan dengan Israel yang satu. Malah bertambah kuat Israel apabila di belakangnya AS yang membuat keuntungan politik dalam konflik di Asia Barat. Maka Palestin bawah kepimpinan Mahmoud Abbas memerlukan sokongan antarabangsa.
Kenapa negara-negara Islam seperti Mesir, Jordan, Kuwait, Arab Saudi dan sebagainya belum lagi bersuara dan mengiktiraf Palestin? Negara-negara ini mempunyai kepentingan politik sendiri terutama hubungan dengan AS. Mesir adalah jiran yang pernah menutup sempadannya kepada pasukan bantuan kemanusiaan antarabangsa semasa Israel mengganyang Gaza tahun 2008. Di pintu sempadan Mesir - Palestin "berbukitbukit" barangan makanan yang tersadai kemudian rosak dan tidak boleh digunakan oleh rakyat Palestin.
Memudaratkan
Mesir mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Sudah dijangka tidak mengiktiraf kemerdekaan Palestin malah menjadi negara yang memudaratkan Palestin. Jordan juga ada hubungan diplomatik dengan Israel. Kemudian ditambah pula dengan i peristiwa berdarah dengan Palestin dalam tragedi "September Hitam" pada 17 September 1970. Pada 17 September lalu genap 40 tahun berlalunya tragedi perang saudara dua negara Islam ini. Selepas tragedi hitam itu kedua-dua negara kelihatan berbaik-baik. Tetapi kedua-duanya terluka dan terus curiga.
Tragedi berdarah yang mengorbankan pejuang-pejuang Islam di kedua-dua belah pihak adalah sangat tragis. Apa lagi tatkala berdepan dengan Zionis Israel dan kekalahan Arab dalam Perang Enam Hari. Tragedi 17 September ini tidak wajar terus dibiar dalam lipatan sejarah tanpa menelaah semula dan mengutip sekian banyak iktibar daripadanya. Ini adalah perang saudara sesama Islam.
Konflik Palestin dan Israel yang berlarutan lebih enam dekad ini membuatkan dunia Islam lupa kepada satu peristiwa penting yang menguji perjuangan Islam apabila berdepan dengan honarnya Barat dan jahatnya Zionis di Israel. Kisah luka Jordan dan Palestin tidak wajar diambil mudah oleh dunia Arab kerana hubungan baik yang penuh curiga telah melemahkan negara-negara Islam di Asia Barat. Buktinya Jordan masih belum mengiktiraf kemerdekaan Palestin.
Tragedi yang mengorbankan lebih 2,000 nyawa sering menghantui rakyat Jordan apabila rundingan damai Palestin - Israel tidak menemui kata putus. Setiap kali rundingan menemui kebuntuan, kebimbangan bahawa Palestin akan beralih ke Jordan sentiasa wujud kalangan rakyat Jordan.
Ketika ini rundingan damai gagal lagi. Malah rundingan sudah meninggalkan trauma yang panjang kerana Israel tidak pernah jujur untuk menamatkan konflik lebih enam dekad itu. Maka ketiadaan pengiktirafan dari negara-negara Islam khususnya di Asia Barat yang berpengaruh memperlihatkan tiada sokongan kepada Palestin.
Bagaimanapun Palestin bernasib baik, sekalipun Turki belum mengiktiraf kemerdekaan Palestin, keretakan dalam hubungan Turki -Israel pada 2003 memberi manfaat kepada Palestin. Pemilihan Recep Tayyip Erdogan sebagai Perdana Menteri Turki mengubah hubungan diplomatik Turki - Israel. Serentak itu Turki memperlihatkan sokongan kepada perjuangan Palestin. Erdogan membimbangkan Israel kerana beliau tidak mahu meneruskan hubungan diplomatik yang dibuat oleh pemimpin Turki terdahulu.
Erdogan membatalkan perjanjian ekonomi dan ketenteraan dengan Israel termasuk menutup ruang udara bagi latihan pesawat Israel. Malah Erdogan secara terbuka mengumumkan sokongannya terhadap perjuangan kebangsaan Hamas.
Salah satu tindakan Erdogan yang paling diingati dan dikenang dalam isu Palestin ialah memprotes dan meninggalkan dewan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland. Ini ekoran pertikaman lidah dengan Presiden Israel, Shimon Peres berhubung kekejaman Israel dalam serangan 22 hari ke atas Gaza pada 2008.
Ketiadaan sokongan dari negara Islam lain boleh dijadikan kayu ukur tahap kesepakatan negara-negara Islam Asia Barat terhadap konflik Isreal - Palestin. Bayangkan Palestin yang berperang dengan "tangan kosong" kecuali semangat kepada bangsa, agama dan negara yang sangat luar biasa hebatnya. Mereka menentang musuh yang bersenjata perang teknologi tinggi, tetapi enam dekad Nakbah melanda telah membuktikan kelestarian Palestin.
Intifada sekalipun dikecam termasuk ada pihak di negara ini yang takut menyebut "intifada" banyak menggugat kedudukan Israel.
Dunia wajar melihat kesungguhan Palestin untuk merdeka. Intifada menyumbang kepada kemerdekaan Palestin, setidak-tidaknya berjaya memulaukan barangan Israel yang membanjiri Palestin. Bukan itu sahaja, malah Intifada juga menyedarkan rakyat Palestin misalnya 39 peratus daripada tenaga buruh Palestin menjadi pekerja buruh harian di Israel. Selepas Intifada hanya 12.3 peratus di kalangan tenaga buruh harian ini yang masih terpaksa bekerja di Israel.
Ketika gerakan Intifada juga, AS merasa tergugat tetapi meminta Israel tidak menembak mati remaja-remaja Palestin yang tidak bersenjata yang berjuang untuk merdeka. Menteri Pertahanan Israel ketika itu, Yitzhak Rabin mengumumkan kaedah baru mematahkan perjuangan Intifada dengan mematahkan tulang-tulang remaja Palestin yang mereka tangkap. Tetapi Palestin menghadapi semua ini.
Itulah kemerdekaan walaupun AS tidak mengiktirafnya. Bagaimanapun ketiadaan sokongan dari negara-negara Islam memberikan gambaran kerenggangan ikatan sesama Islam. Lebih enam dekad berjuang dalam kesempitan tetapi Palestin masih wujud, itulah kemerdekaan namanya. Sebuah watan yang berdaulat, memiliki warga yang berjiwa besar, kemerdekaan adalah keupayaan memanjangkan usia negara daripada daripada hilang di peta dunia. Rakyat Palestin melakukannya.
Source: Mingguan Malaysia Online.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
Teks dan gambar Kusyi Hirdan MUNGKIN ada pembaca yang sudah tahu mengenai buah perah ini. Mereka yang berada di Terengganu, Perak, Pahang da...
-
By Idris Ismail Talu Arrowhead atau ngaku, atau kentang Cina merupakan sejenis “ubi” yang lembut yang kononnnya ditanam di dalam sawah berai...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
-
Oleh Helmy Abd Rahman, helmy@hmetro.com.my BANK Islam Malaysia Bhd (BIMB) mengintai peluang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi berpotensi...
-
KUALA LUMPUR: A Malaysian couple who fully sponsored the tuition fees of their Indonesian maid’s diploma was recognised at the F&N Outdo...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan