TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 20 Mac 2011

Kelangsungan perjuangan akhbar

Petikan ucapan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman sempena pelancaran Wajah Baru Utusan Malaysia di Johor Bharu, baru-baru ini.

Pada kesempatan ini saya merakamkan penghargaan yang mendalam kepada Kumpulan Utusan kerana sudi menjemput saya untuk sama-sama menyempurnakan majlis ini, lebih-lebih lagi berkaitan dengan wajah baru akhbar yang berpengaruh di negara ini.

Syabas kepada Kumpulan Utusan kerana berjaya mengekal dan meningkatkan kedudukan Utusan Malaysia sebagai akhbar nasional berbahasa Melayu yang ulung dan kekal saiz broadsheet di negara ini. Saya rasa terharu apabila Johor Bahru telah dipilih sebagai destinasi untuk melancarkan secara rasminya wajah baru akhbar-akhbar terbitan Kumpulan Utusan.

Dengan penambahbaikan loji cetak dan wajah baru yang diperkenalkan Kumpulan Utusan ini, membuktikan akhbar yang menjadi lambang perjuangan bangsa sejak sekian lama ini, sentiasa berusaha memberikan yang terbaik bagi memenuhi kehendak pembaca.

Saya percaya dengan wajah baru ini Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia pasti akan dapat menarik minat lebih ramai pembaca termasuk golongan muda. Malah, bahan-bahan yang disajikan juga menjadi lebih berkualiti dan santai yang merentasi lapisan semua kaum.

Malah, saya sendiri menjadikan Utusan Malaysia bukan sahaja sebagai bahan tatapan harian, malah rujukan mengenai perjuangan dan dasar yang dilaksanakan kerajaan.

Seiring dengan slogan Pemangkin Fikiran Rakyat, Utusan Malaysia sememangnya akhbar keramat bagi orang Melayu. Ini kerana akhbar ini lahir daripada perjuangan rakyat khususnya kaum Melayu untuk menentang penjajah dan tugas tersebut tetap diteruskan sehingga kini.

Kumpulan Utusan telah melahirkan ramai penulis yang sarat dengan bara perjuangan sepanjang penerbitannya sejak 72 tahun lalu, yang bermula dalam tulisan jawi. Malah, ketika itu Utusan Melayu ditubuhkan dengan matlamat membangkitkan nasionalisme rakyat dengan pengasasnya Yusof Ishak.

Maka, soal maruah bangsa, masa depan rakyat, hubungan antara kaum, pembangunan luar bandar, memartabatkan bahasa dan budaya serta pendidikan anak bangsa sentiasa menjadi tumpuan.

Lama sebelum merdeka, mata pena di Tanah Melayu sudah tajam. Ramai nama-nama besar yang menjadi penulis ketika itu membakar semangat nasionalisme untuk mengembalikan kedaulatan tanah air termasuklah pejuang utama menentang Malayan Union, Allahyarham Dato' Onn Jaafar.

Anak kelahiran Johor itu amat tajam penulisannya terhadap pentadbiran Inggeris di Tanah Melayu sebagai wartawan Warta Malaya dan kemudiannya ketika menjadi pengarang akhbar harian Lembaga dan Mingguan Lembaga Malaya pada tahun 1930-an.

Sejak itu, penggunaan akhbar sebagai senjata perjuangan terus diwarisi oleh pengarang-pengarang selepasnya termasuklah akhbar Utusan Melayu yang ditubuhkan pada 1939 dengan dimodali sendiri oleh orang Melayu.

Akhbar dan wartawan terus memainkan peranan bersama-sama pejuang bangsa termasuk di kancah politik dan kesusasteraan, mengerakkan semangat nasionalisme dengan hasrat membela nasib bangsa melalui pembebasan tanah air.

Perjuangan melalui penulisan oleh Dato' Onn dan nama-nama seperti Othman Kalam dan Abdul Rahim Kajai, diperhebatkan lagi dengan watak Yusoff Ishak, Samad Ismail, Said Zahari, Melan Abdullah, Mazlan Nordin dan ramai lagi yang tidak mampu kita bariskan satu demi satu.

Mereka bukan sekadar wartawan tetapi adalah pejuang yang kadangkala sehingga menggadaikan kebebasan dengan ada di kalangan tokoh-tokoh itu yang dipenjarakan mahupun ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Bukan kita mahu menyorot mengapa mereka dikenakan hukuman dan tindakan sedemikian, kerana yang terpancar daripada semua episod itu adalah liku-liku perjuangan yang tertera melalui penulisan mahupun penglibatan secara langsung dalam perjuangan memerdekakan bangsanya.

Intipati tulisan dan suara perjuangan mereka bukan berkeluh kesah atau menuding jari atas perkara-perkara remeh serta hal sekeliling yang boleh diselesai melalui pentadbiran, tetapi berkisar kepada soal-soal pokok dan dasar, teras dan masa depan agama, bangsa dan negara.

Allahyarham Tan Sri Samad Ismail, yang pernah diasuh oleh Rahim Kajai misalnya, tidak pernah berubah prinsip perjuangan dengan sentiasa menulis untuk menyedarkan orang Melayu sekalipun selepas bersara daripada bidang kewartawanan pada 1988.

Beliau yang mesra dengan panggilan Pak Samad, sering melontarkan pandangan berani sebagai seorang nasionalis Melayu yang melihat masa depan bangsanya secara kritis agar mereka dapat membina kekuatan sendiri bagi menentang arus dan menongkah zaman.

Sebagai contoh, sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi, Pak Samad telah mengingatkan peri pentingnya memartabatkan bahasa Melayu. Dalam rencana yang bertajuk The Future of the Malay Language di akhbar The Singapore Standard pada 1953, beliau menulis:

"Kita tidak boleh lagi mengkaji mutiara tanpa merujuk kepada tiram yang menghasilkan mutiara. Pada masa yang sama kita tidak boleh membincangkan tentang bahasa Melayu tanpa memikirkan masa depan orang Melayu. Bahasa Melayu adalah produk kehidupan orang Melayu. Sejarah bahasa Melayu adalah sejarah orang Melayu. Maka, masa depan bahasa Melayu akan menjadi masa depan orang Melayu juga.''

Namun, apakah dunia kewartawanan tanah air masa kini dapat merasai bahawa mereka adalah sebahagian daripada pewarisnya?

Dalam apa jua keadaan, falsafah kewartawanan mendukung government of the day perlu menjadi pegangan demi kepentingan Malaysia menuju sebagai sebuah negara maju.

Kepentingan negara tetap perlu diletakkan di pundak dunia persuratkhabaran dan kewartawanan tanah air, di mana soal persefahaman dan pengagihan kekayaan secara adil diberikan perhatian. Keadilan bukan bermakna sama rata atau sama banyak, tetapi mengikut keperluan dalam usaha mencari keseimbangan dalam masyarakat.

Penumpuan harus diberikan kepada liputan pembangunan, merapatkan jurang perbezaan antara kaum dan mengharmonikan hubungan antara masyarakat serta mempertegakkan asas-asas penubuhan negara bangsa yang berpaksikan Perlembagaan Persekutuan.

Nilai-nilai ini kita dapati masih kuat mendasari identiti Kumpulan Utusan khususnya akhbar Utusan Malaysia. Sebab itu, jika ada pihak yang mengatakan Utusan Malaysia rasis, jelas ia tidak berasas sama sekali kerana Utusan Malaysia bukan eksklusif untuk satu kaum sahaja, malah ia akhbar untuk semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Contohnya bukan sahaja perjuangan orang Melayu yang dipaparkan di dalam Utusan Malaysia, malahan perjuangan dan hak serta aktiviti yang membabitkan kaum Cina, India dan juga Iban, Kadazan dan lain-lain tetap diberi ruang.

Selain itu, seiring dengan peredaran zaman, Utusan Malaysia bukan dinasour yang tidak mampu mengadaptasikan diri dengan peredaran masa. Utusan Malaysia terus berubah. Berubah kearah peningkatan untuk memenuhi kehendak pelanggannya seperti yang ditunjukkan pada hari ini.

Oleh itu, sebagai institusi media Melayu yang tertua di tanah air, Kumpulan Utusan sewajarnya boleh berbangga dengan pencapaiannya pada hari ini selepas 72 tahun penerbitannya. Daripada penerbitan satu akhbar jawi yang mula diterbitkan pada 29 Mei 1939, Kumpulan Utusan kini menerbitkan empat akhbar utama iaitu Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo dan Kosmo Ahad selain sisipan jawi iaitu Utusan Melayu Mingguan yang diterbitkan pada setiap hari Isnin.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran