TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Sabtu, 26 Mac 2011

Rakyat masih perlu perubahan

Mukadimah:

PERTEMUAN dengan TUN DAIM ZAINUDDIN berlangsung Rabu lalu. Banyak isu dan kontroversi dibangkitkan sepanjang ‘perbualan’. Ada yang boleh ditulis, banyak juga yang perlu disimpan. Seperti kebiasaan Daim tenang menjawab setiap soalan. Tumpuan kepada setiap butir percakapannya mestilah seratus peratus lantaran nada suaranya tidak berubah - sama ada teruja, tegas mahu pun ketika detik mencuit hati. Yang pasti bekas Menteri Kewangan dan Menteri Tugas-Tugas Khas itu tetap segak biar pun mencecah usia 73 tahun. Penampilan juga ringkas - berbaju batik dan berselipar dengan gaya amat santai. Kepada wartawan Mingguan Malaysia, Zin Mahmud, Mowardi Mahmud, Noraini Abd. Razak, Ainul Asniera Ahsan dan Hafizahril Hamid, dan jurugambar ISMAIL KAMADIN, Daim memberitahu, beliau sentiasa mencatatkan perkara-perkara penting sepanjang dalam Kabinet dan juga dunia politiknya. Adakah itu bermakna akan lahir memoir Daim tidak lama lagi, beliau hanya tersenyum sambil berkata: ‘‘Ramai yang bertanya dan menunggu memoir saya.’’

MINGGUAN: Apa perkembangan terbaru Tun sekarang memandangkan sudah agak lama menyepi dari arena politik negara?

TUN DAIM: Sibuk macam biasa juga. Walaupun tidak bertugas dengan kerajaan, saya masih sering bertemu para pelabur asing baik yang datang ke sini atau yang di luar negara, membantu mereka di mana perlu supaya negara kita tetap kelihatan dalam radar pelaburan mereka. Sejak berlaku krisis kewangan dunia saya banyak meluangkan masa di negara Teluk.

Krisis kewangan itu menyebabkan mereka yang tidak menjadi mangsa mencari tempat pelaburan yang lebih stabil dan selamat seperti negara kita. Pelabur kita pula cari peluang baru di Afrika. Ramai pelabur dari China dan India di Afrika. Satu ketika dahulu, Malaysia pelabur nombor tiga terbesar di Afrika.

MINGGUAN: Apa komen mengenai pandangan oleh Tun Dr. Mahathir mengenai Tun dalam bukunya A Doctor in the House : The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad?

TUN DAIM: Soalan ini paling susah hendak dijawab. Patut minta orang lain beri pandangan. Secara jujur dan terus terang, saya berasa totally embarrassed dan humbled dalam erti terharu, terpegun, tersentuh hati dan amat rendah diri.

Saya tak pernah jangka Tun Dr. Mahathir sanggup berterus terang begini. Saya juga sangat berterima kasih kepada Tun Dr. Mahathir kerana memberi penjelasan yang terang dan candid mengenai tindakan-tindakan saya yang pernah menjadi tanda tanya sewaktu saya menjadi Menteri. Saya berasa sangat bertuah kerana dapat peluang bekerja dengan seorang negarawan yang terbilang.

MINGGUAN: Bagaimana pandangan Tun mengenai perkembangan politik tanah air?

TUN DAIM: Keadaan politik kita secara keseluruhannya, bertambah tenang. Rakyat nampaknya semakin matang dalam hal-hal politik. Kebijaksanaan rakyat dalam membuat penilaian politik semakin jelas dan ini bermakna harapan dan aspirasi kita untuk membentuk masa depan yang lebih baik bagi Malaysia bukanlah satu impian kosong. Usaha Dauk Seri Najib, sejak menjadi Perdana Menteri, untuk membina kembali keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah faktor utama yang menenangkan keadaan itu.

Saya lihat Datuk Seri Najib sangat jujur dan ikhlas berusaha untuk membantu meninggikan taraf keselesaan hidup rakyat terutama bagi golongan rendah pendapatan dan miskin. Setiap warga kita berhak hidup dalam keadaan aman, selesa, bebas dan makmur. Mereka mahu kerajaan yang bersih dan bertanggungjawab. Dan bagi majoriti rakyat, tugas dan tanggungjawab kerajaan adalah menyediakan kemudahan-kemudahan asas, peluang ekonomi yang adil, keamanan, keselamatan dan kebebasan.

Contohnya, baru-baru ini pun Perdana Menteri melancarkan program bantuan memiliki rumah pertama bagi golongan yang belum mempunyai rumah. Ini satu skim yang wajar dan penting. Memang setiap keluarga ingin mempunyai rumah sendiri. Dan kerajaan patut membantu setiap keluarga tanpa rumah memiliki rumah.

Rumah adalah harta dan aset ekonomi bagi setiap keluarga. Kerana ia skim baru, pasti ada beberapa kekurangan. Misalnya, bantuan kerajaan dari segi kewangan itu akan jadi tak bermakna jika harga rumah terus melipatganda lebih cepat dari peningkatan gaji para pekerja. Jadi bagaimana kerajaan hendak halang atau mitigate supaya perkara itu tidak jadi begitu? Dan jika berlaku juga bagaimana kita hendak alas supaya impak ke atas golongan sasar tidak terlalu perit?

Source: Mingguan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran