TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Sabtu, 26 Mac 2011
Kedi, ais sagat dan makjun arjuna
Oleh NORAINI ABD. RAZAK, noraini.razak@utusan.com.my
Foto RASHID MAHFOF
PERTEMUAN dengan Tan Sri Sanusi Junid di Royal Commonwealth Club Jumaat lalu umpama tiada kesudahan. Terlalu banyak kenangan diimbas. Bermula dari Kampung Acheh di Yan, Kedah, perjalanan hidup beliau ‘berpindah’ ke Seremban, London, Jerman dan akhirnya kembali Kuala Lumpur.
Bagi bekas Menteri Pertanian itu - catatan hidupnya tiada duka. Istilah kecewa hanya sekali, ketika mana beliau tidak mendapat biasiswa semasa belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).
‘‘Saya manusia, yang saya susah saya tak tahu, sebab saya tak tahu senang itu apa, orang yang tahu susah adalah orang tahu apa itu senang,
‘‘Kalau saya tak boleh makan, saya tak tahu orang lain makan berlebih. Sepanjang masa saya gembira, duit ada gembira, tak ada duit pun gembira, cuci pinggan pun gembira,’’ katanya.
Sememangnya menarik menyusuri kenangan zaman kecil Sanusi. Beliau sentiasa diingatkan tentang asal-usulnya malah cucu kepada ulama tersohor Teuku Muhammad Daud Beureueh itu sememangnya tidak boleh dipisahkan dengan Aceh. Beliau bertutur dalam bahasa itu, sementara bahasa Melayu turut ‘mengikat’ lidahnya.
Seawal usia lapan tahun beliau menjadi ‘kelindan’ lori yang dipandu bapanya setiap Jumaat dari Alor Setar untuk menghantar ikan ke pasar besar Ipoh.
Sepanjang perjalanan, bapanya berkongsi kisah nabi-nabi. Beliau menjadi pendengar setia. Setiba di Ipoh, Sanusi disuruh bapa berdiri di atas tong ikan, menyampaikan semula cerita nabi-nabi kepada kumpulan pemandu lori. Daripada situ beliau belajar menggali ilmu, sementelah bapanya tidak pernah membantu jika ada drebar lori bertanya soalan.
‘‘Drebar-drebar seronok dengar ‘ceramah’ saya dan mereka tanya soalan, bapa suruh saya baca buku untuk cari jawapan, saya juga rajin bertanya ustaz di kampung,’’ katanya. dia tidak akan ajar, jauh sekali bagi jawapan. Ddari situ saya mula minat cari ilmu sebab nak jaga jangan malu kalau orang tanya tak boleh jawab,’’ kata Sanusi.
Bekas Menteri Besar Kedah itu hakikatnya sebati dengan pelbagai dunia pekerjaan sejak bersekolah rendah. Ketika darjah enam, beliau mula menjadi pembantu kedi di kelab golf Sungai Petani. Sanusi yang belajar di Ibrahim School menumpang di rumah saudara yang dipanggil Mak Teh di Sungai Layar berhampiran kelab golf. Padang golf yang agak lembut menyebabkan bola sering tenggelam di dalam tanah.
‘‘Sebab itu ada pembantu kedi. Budak-budak kecil yang tak larat angkat beg akan pungut bola, seronok juga sebab orang putih biasanya bagi upah lebih kepada budak kecil,’’ kata Sanusi.
‘Tugas’ tersebut diteruskan selepas beliau memasuki Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Siapa sangka darah Aceh yang mengalir di tubuhnya menjadikan beliau istimewa di mata guru besar yang juga sejarawan meminati sejarah Aceh. Apatah lagi Sanusi sendiri begitu dekat dengan sejarah nenek moyangnya dan nama-nama pejuang Aceh sentiasa meniti di bibirnya.
Sanusi yang tidak mendapat biasiswa kerana bapanya bukan rakyat Malaysia diberi elaun khas guru besar berupa wang saku RM20. Bukan itu saja beliau diberi kebebasan tanpa diketahui pelajar-pelajar lain untuk menjadi kedi di Kelab Golf Ipoh dan Taiping.
Sanusi yang berkaca mata sejak sekolah rendah menggunakan alasan membaiki cermin mata untuk turun ke Taiping sedangkan beliau sebenarnya menjadi pembantu kedi di kelab golf di situ. Upah sepanjang hari mengutip bola di bawah terik matahari bagi Sanusi sememangnya lumayan. Apabila memasuki tingkatan empat, beliau menjadi kedi pula di Ipoh sehingga tamat belajar di MCKK. Beliau menolak peluang melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya jurusan matematik kerana biasiswa yang ditawarkan adalah untuk perguruan. Satu lagi peluang yang ditolak Sanusi adalah biasiswa Colombo Plan untuk ke Australia.
‘‘Semasa itu saya jadi kedi kepada pengurus Chartered Bank Ipoh. Dia tanya apa saya nak buat. Masa itu saya fikir nak jadi jurutera atau doktor. Pengurus bank itu tanya sama ada saya berminat jadi banker.
‘‘Saya tanya banker buat apa, dia bagi tahu banker urus duit, terus saya minat,’’ kata Sanusi.
Bermulalah kerjaya Sanusi sebagai pengurus bank di mana beliau dihantar bertugas di Chartered Bank Seremban. Di Seremban juga Sanusi mengembangkan minatnya dalam bidang politik selain aktif dalam Dewan Perniagaan Melayu Negeri Sembilan.
Mengimbas kenangan
Sanusi mengimbas lagi zaman sekolahnya di Sungai Petani ketika menumpang di rumah abang penyanyi SM Yusuf. Kenangannya berkisar tentang kerja mencuci pinggan di kedai Lam Seng dengan upah sekeping roti canai pagi, petang dan malam. Beliau yang meminta upah sebanyak itu.
Bila difikirkan semula, upah tersebut ternyata tidak berbaloi dengan semua pinggan-pinggan yang dicuci. Sambil tersenyum, putaran kenangan itu meyedarkan dirinya bahawa beliau sebenarnya underpaid.
Sanusi memulakan persekolahan di MCKK lewat dua bulan berbanding pelajar lain. Ruang masa tersebut diisi dengan mengikutisaudara berniaga kain di pasar malam. Jadualnya penuh. Ahad di Teroi, Isnin di Sungai Yan, Rabu di Guar Cempedak, Khamis di Merbok dan seterusnya ke tempat-tempat lain.
Paling menarik bagi Sanusi berniaga di Guar Cempedak. Di situ banyak pengalaman diraih. Dia turut membantu Pak Hussein berniaga air batu sagat. Di situ juga Sanusi mencari ruang membantu Mat Pekan Rabu menjual songkok. Paling tidak dilupakan Sanusi apabila beliau menjual Makjun Puteri Arjuna milik Pak Raden sambil berceramah sedangkan makjun tersebut adalah untuk tenaga batin. Pada usia mentah beliau hanya menghafal kebaikan makjun tersebut supaya dapat berceramah untuk melariskan jualan.
Jalinan kenangan semasa kecil itu hakikatnya tidak pernah putus. Ketika Sanusi menjadi Menteri Negara dan Pembangunan Luar Bandar, pada satu majlis beliau sedang berceramah, Pak Raden naik ke pentas memeluknya kerana mengingati Sanusi pernah membantu menjual makjun.
Pertemuan itu umpama membuka laluan kepada Pak Raden membesarkan perniagaan. Hasil bantuan Sanusi beliau mendapat pinjaman RM1 juta. Maka terdirilah kilang di Parit Raja atas jenama Peladang.
Ketika Sanusi giat berkempen minum air kelapa muda, Pak Raden tampil menjangkis dakwaan orang ramai air tersebut boleh melemahkan tenaga batin.
Biar pun usianya menjangkau 68 tahun Julai ini, namun setiap ‘jalan’ yang disusuri masih kukuh di ingatan beliau. Kami melangkah meninggalkan Royal Commonwealth Club berjalan ke kediaman asal Sanusi di Lorong Batai Dalam untuk melihat khutub khanah yang menghimpunkan koleksi buku Sanusi.
Separuh daripada ribuan buku masih dalam proses penyusunan mengikut kategori masing-masing. Toeti Juairiah yang dirasmikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1 Mei 1989 hakikatnya adalah Sanusi Junid yang sarat dengan pelbagai kisah dan pengalaman.
Source: Mingguan Malaysia Online.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
By Idris Talu Petai kerayong tidak ada banyak bezanya dengan petai biasa. Petai kerayong bila matang, buah dan kulitnya menjadi keras, tida...
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
-
By Idris Ismail Talu. Selada air atau watercress atau nama saintifiknya Nasturtium officinale, N. microphyllum ; merupakan sejenis tumbuha...
-
(Oleh Tuan Haji Duan Yusof) Bahan-bahannya : Daging Segar (samada daging kerbau atau lembu)- Lebih Kurang 1 kilogram…Lobi...
-
By Idris Talu Akar tunjuk langit? Yang satu lagi, buah tunjuk langit? Ramai juga yang agak keliru dengan dua jenis herba ini, kerana ked...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan