Sumber: Utusan Malaysia Online.
Mengekang tindakan China
Sudah acap kali ungkapan 'Ganyang Malaysia' dilontarkan oleh segelintir rakyat Indonesia apabila timbul tidak puas hati terhadap sesuatu perkara yang melibatkan kedua-dua negara. Paling terbaru, isu penahanan tiga anggota penguat kuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan (KKP) di perairan Malaysia telah digunakan oleh golongan tersebut untuk mencabar kedaulatan dan maruah negara ini.
Sudah tiba masanya, pendekatan baru dilaksanakan untuk menghentikan aktiviti kitaran semula menghina Malaysia kerana masalah politik dalaman Indonesia dengan memberi isyarat bahawa rakyat Malaysia tidak akan berkompromi apabila kedaulatan dan maruah negara dicabar dan dihina sedemikian rupa.
Selama ini, rakyat Malaysia hanya memerhatikan tindak tanduk golongan pelampau tersebut tetapi peristiwa pencerobohan kawasan Kedutaan Malaysia di Jakarta adalah manifestasi jelas bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk menghentikan aktiviti yang tidak menguntungkan majoriti rakyat kedua-dua negara.
Heboh dengan gelagat dan aksi di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta, rakyat Malaysia mungkin terlepas pandang satu lagi peristiwa yang agak sudah berlarutan dan acap kali berlaku yang juga mencabar kedaulatan dan maruah negara.
Peristiwa yang dimaksudkan itu adalah aktiviti pencerobohan perairan negara berhampiran gugusan Kepulauan Spratly milik Malaysia. Perlu ditekankan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ada menempatkan aset serta anggota tentera di gugusan kepulauan tersebut bagi melicinkan operasi rondaan.
Pencerobohan secara berkala yang dimaksudkan itu dilakukan oleh China yang sejak kebelakangan ini dilihat mengambil pendekatan yang agak agresif apabila berhadapan dengan isu tuntutan bertindih Kepulauan Spratly dan Paracel.
Modus operandi yang kerap digunakan oleh China adalah dengan menghantar beberapa bot milik Jabatan Perikanan China di perairan negara asing sebagai asas untuk menilai apakah tindakan yang bakal diambil oleh negara terlibat. Perlu ditekankan nama Jabatan Perikanan China hanya digunakan untuk mengaburi status sebenar bot tersebut yang sebenarnya milik Tentera Laut China (PLA-Navy) dan lazimnya dilengkapi dengan senjata.
Terbaru, beberapa bot yang memaparkan perkataan Jabatan Perikanan China telah menceroboh perairan negara kita berdekatan Pulau Layang-Layang sehingga memaksa kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengambil tindakan menghalau penceroboh tersebut.
Mengulas kejadian itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa Malaysia tidak berhasrat mencabar dan dicabar dalam menghadapi isu tuntutan bertindih tetapi menegaskan, kerajaan tidak akan mengabaikan proses modenisasi ATM bagi membolehkan diplomasi ketenteraan berjalan sepanjang masa.
Memang benar Beijing adalah sebahagian daripada Deklarasi Mengenai Tatacara Pihak Berkenaan di Laut China Selatan yang ditandatangani bersama negara-negara ASEAN pada 2002. Namun, bolehkah China dipercayai jika mengambil kira beberapa peristiwa lampau yang melibatkan tuntutan bertindih dengan beberapa negara ASEAN.
China dan Vietnam umpamanya telah bertelingkah secara fizikal pada 1974 yang mengakibatkan Vietnam kehilangan beberapa pulau di Kepulauan Paracel. Pada 1988, China sekali lagi menceroboh penempatan askar Vietnam dan kali ini di Terumbu Johnson Kepulauan Spratly yang mengakibatkan berlakunya pertempuran melibatkan penggunaan senjata.
Manila pula kehilangan Terumbu Mischief pada 1995 apabila tentera China PLA-Navy menyerang tentera Filipina yang ditempatkan di terumbu tersebut. Peristiwa tersebut adalah salah satu sebab utama mengapa ASEAN mewujudkan deklarasi tatacara mengenai Laut China Selatan.
ASEAN sebenarnya tidak menaruh sepenuh kepercayaan terhadap pegangan janji China sehinggakan ada ura-ura pada mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN pada Oktober depan iaitu cadangan akan dibentangkan untuk menukar nama Laut China Selatan ke Laut Asia Tenggara.
Dalil penukaran nama tersebut mempunyai hujahnya yang tersendiri kerana nama Laut China Selatan itulah yang telah memberi semangat kepada Beijing untuk menuntut 80 peratus perairan tersebut sebagai milik mereka yang kebanyakannya bertindih dengan perairan berdaulat negara-negara ASEAN.
Secara sinisnya, ada pihak memberi gelaran kepada peta tuntutan yang dikeluarkan pada 1953 itu sebagai peta 'lidah lembu' kerana bentuk kawasan tuntutan menyerupai lidah haiwan tersebut.
Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat mahupun ASEAN sebagai sebuah pertubuhan dilihat begitu sukar untuk menyekat nafsu China kerana melihat peristiwa lampau, Beijing tidak akan teragak-agak menggunakan kekuatan tentera untuk merampas hak negara lain.
Sebagaimana Malaysia perlu mengambil pendekatan baru untuk menghentikan aktiviti ganyang, begitu juga strategi baru perlu diselaraskan dengan negara-negara ASEAN lain untuk mengekang tindakan agresif China.
Mungkin secara kebetulan atau pun tidak, ketika berlangsungnya Forum Serantau ASEAN (ARF) di Hanoi pada Julai lalu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton menegaskan bahawa Washington tidak akan teragak-agak untuk turut terlibat dalam isu tuntutan bertindih Laut China Selatan bagi melindungi hak negara yang lebih kecil.
Washington jarang sekali mengeluarkan kenyataan setegas itu mengenai perbalahan Laut China Selatan kerana selama ini, Beijing menganggap masalah tersebut perlu diselesaikan di antara mereka dan negara-negara ASEAN lain.
Memang benar agenda AS adalah untuk menentukan laluan Laut China Selatan tidak dikawal oleh China tetapi ASEAN boleh menggunakan peluang ini untuk 'mengantarabangsakan' isu tuntutan bertindih Kepulauan Spratly dan Paracel.
Jika selama ini, China mempunyai kelebihan yang melampau berbanding dengan negara-negara ASEAN termasuk Malaysia, maka mungkin sudah tiba masanya untuk kita membawa masuk kuasa luar iaitu AS supaya imbangan pengaruh menjadi lebih adil.
Penulis ialah GeoStrategis Institut Teknologi dan Sains GeoSpatial (INSTEG), Universiti Teknologi Malaysia.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm
TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Sabtu, 28 Ogos 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
Teks dan gambar Kusyi Hirdan MUNGKIN ada pembaca yang sudah tahu mengenai buah perah ini. Mereka yang berada di Terengganu, Perak, Pahang da...
-
By Idris Ismail Talu Arrowhead atau ngaku, atau kentang Cina merupakan sejenis “ubi” yang lembut yang kononnnya ditanam di dalam sawah berai...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
-
Oleh Helmy Abd Rahman, helmy@hmetro.com.my BANK Islam Malaysia Bhd (BIMB) mengintai peluang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi berpotensi...
-
KUALA LUMPUR: A Malaysian couple who fully sponsored the tuition fees of their Indonesian maid’s diploma was recognised at the F&N Outdo...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan