Sumber: Mingguan Malaysia Online.
Usaha hayati al-Quran
Tanggal 29 Syaaban yang lalu bersamaan 10 Ogos 2010 (Selasa), saya berkesempatan menghadiri Majlis Rukyah Hilal Ramadan di Pantai Pasir Panjang, Segari, Perak sebagai salah satu prosedur biasa sebelum menjelangnya Ramadan.
Saya melihat kebanyakan yang hadir adalah generasi muda yang pada pengamatan saya, kehadiran mereka bukan sahaja bagi memenuhi jemputan semata-mata, tetapi bersama-sama berkongsi kegembiraan dengan kehadiran Ramadan yang penuh keberkatan.
Saya berkeyakinan penuh bahawa mereka mengerti dan faham sepenuhnya bahawa tuntutan berpuasa bukan arahan saya atau para pemimpin besar negara, namun ia arahan daripada Yang Maha Pencipta. Dan saya yakin juga bahawa mereka mengerti akan tuntutan berpuasa bukannya datang dari pernyataan mana-mana individu, tetapi dari pernyataan Allah SWT di dalam kitabnya yang mulia iaitu al-Quran. Sebuah kitab yang mulia, sarat dengan panduan dan pedoman serta berjaya menarik perhatian manusia kerana kandungannya menepati fitrah kejadian manusia itu sendiri.
Alangkah bahagia sekiranya tanah air kita yang tercinta ini dipenuhi dengan generasi muda pewaris bangsa yang mengambil al-Quran sebagai panduan dalam segala aspek kehidupan mereka, tidak terbatas kepada urusan solat dan puasa sahaja, malah kepada sekecil-kecil perkara sekalipun. Saya menyatakan demikian disebabkan dewasa ini keadaan dan perilaku generasi muda agak membimbangkan serta kadang-kadang amat mendukacitakan sama sekali.
Panduan hidup
Buktinya, sejak mutakhir ini boleh dikatakan saban hari media massa memaparkan kes pembuangan bayi dan gejala sosial yang lain. Cukuplah untuk saya katakan bahawa segala permasalahan tersebut berpunca daripada pengasingan dan peminggiran diri daripada menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.
Dalam kesempatan bulan Ramadan yang mulia ini, saya mengajak seluruh pembaca yang budiman terutamanya generasi muda agar kita mensyukuri kenikmatan yang tidak terhingga di atas penurunan al-Quran seperti mana firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud:
"( Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah ) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran..."
Al Imam Ibn Kathir di dalam tafsirnya menyatakan bahawa Allah SWT dalam ayat di atas telah memuliakan Ramadan berbanding bulan-bulan yang lain. Ini kerana di dalam bulan Ramadan, Allah SWT telah menurunkan al-Quran. Malah Ibn Kathir telah menyatakan Ramadan jugalah bulan di mana kitab-kitab sebelumnya diturunkan. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Nabi SAW telah bersabda bahawa dari Ibn Asqa' r.a bahawa Nabi SAW bersabda dengan maksud:
"Diturunkan suhuf Nabi Ibrahim pada malam pertama Ramadan, Taurat hari keenam terakhir Ramadan, dan Injil setelah berlalunya 13 hari Ramadan, dan Allah menurunkan al-Quran pada hari ke-24 Ramadan."
Manakala dalam satu hadis dari Jabir ibn Abdillah bermaksud: "Sesungguhnya Kitab Injil itu diturunkan pada 12 Ramadan."
Berbanding kitab-kitab lain yang diturunkan secara jumlah wahidah (sempurna sebuah kitab) terus kepada para anbia, namun al-Quran mempunyai siri-siri penurunan. Ibn Kathir menyatakan bahawa al-Quran diturunkan secara jumlah wahidah pada malam al-Qadr di bulan Ramadan ke Baitul Izzah iaitu langit dunia. Ini berdasarkan kepada surah al-Qadr ayat 1 bermaksud :
"Sesungguhnya kami telah menurunkan al-Quran pada malam al-Qadr". Kemudian al-Quran diturunkan secara beransur-ansur berdasarkan situasi yang dihadapi umat ketika itu.''
Namun, apakah hikmah penurunan al-Quran secara beransur-ansur berbanding kitab-kitab sebelumnya. Allah SWT telah menyatakan di dalam surah al-Furqan ayat 32-33 yang bermaksud:
"..dan orang-orang yang kafir berkata: "Mengapa tidak diturunkan al-Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali (dengan sekali gus)?" Al-Quran diturunkan dengan cara (beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu (Wahai Muhammad) dengannya, dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu.(32) dan mereka tidak membawa kepadamu sesuatu kata-kata yang ganjil (untuk menentangmu) melainkan Kami bawakan kepadamu kebenaran dan penjelasan yang sebaik-baiknya (untuk menangkis segala yang mereka katakan itu) (33)."
Imam al-Qurtubi ketika menghuraikan ayat di atas menyatakan al-Quran diturunkan secara beransur-ansur untuk mengukuhkan kefahaman dan hafalan di dalam hati Nabi SAW. Kitab-kitab terdahulu diturunkan dalam keadaan bertulis dan dibaca. Namun al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang ummi (tidak mampu membaca). Begitu juga di dalam al-Quran terdapat ayat-ayat nasakh dan mansukh dan dalam menjawab persoalan-persoalan umat ketika itu. Keadaan ini memudahkan Nabi SAW dalam menyampaikan dan pengamalannya kepada umat Islam ketika itu.
Al-Quran yang telah diturunkan mempunyai peranan yang cukup besar iaitu sebagai "petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah." (Surah al-Baqarah: 185)
Petunjuk
Ibn Kathir menyatakan bahawa Allah SWT memuji al-Quran sebagai petunjuk bagi orang-orang beriman dengannya, membenarkan dan mengikutinya. Al-Quran juga adalah keterangan yang dapat membezakan antara yang benar dan batil, yang lurus dan yang sesat, halal dan haram.
Imam al-Baidhawi menyatakan bahawa Allah SWT mengatakan terdapat dua sifat al-Quran iaitu sebagai petunjuk hidayah dan keterangan yang jelas dalam menerangkan kebenaran dan kebatilan yang membawa kepada hidayah Allah SWT. Oleh kerana itu Imam al-Zamakhsyari menyatakan maksud dari huda dan bayyinati minal huda. 'Huda' itu adalah hidayah dari Allah SWT kepada manusia dan 'bayyinati minal huda' ialah keterangan tentang perkara-perkara yang diperincikan untuk membawa manusia kepada hidayah dari segala hal yang hak dan batil serta halal dan haram.
Begitulah kemuliaan yang Allah SWT telah berikan kepada al-Quran dari saat penurunannya kepada manusia. Saat penurunannya seperti difirmankan di dalam surah al-Qadr cukup hebat dan besar. Ia telah diberi keistimewaan berbanding kitab yang lain. Oleh kerana itulah para ulama menyatakan bahawa inilah bukti keutamaan al-Quran berbanding kitab-kitab yang lain.
Bagi kita umat Islam hari ini khususnya di Malaysia, Ramadan merupakan bulan di mana kita beramai-ramai mengadakan tadarus al-Quran sama ada di rumah, masjid malah di pejabat. Terdapat masjid dan surau yang mengambil imam-imam yang hafiz untuk membacakan ayat-ayat al-Quran dalam solat tarawih. Ada juga yang mengambil peluang membacakan terjemahan dan tafsirnya pada setiap malam sebelum tarawih dilakukan. Ini satu hal yang sangat baik untuk kita sama amal dan budayakan.
Menurut sebuah hadis dari Abu Musa al-Asyaari, baginda Nabi Muhammad SAW bersabda bahawa: "Perumpamaan orang-orang mukmin yang membaca al-Quran seperti buah al-atrujah (sejenis buah limau) rasanya enak dan baunya harum, manakala perumpamaan orang-orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah tamar yang enak rasanya namun tiada bau harum."
( Riwayat Imam Ahmad : hadis no. 19224 )
Namun, persoalan yang sepatutnya kita hadirkan ke dalam hati kita sekarang ialah bagaimana kita hari ini mahu memahami al-Quran. Pertanyaan ini saya rasa perlu dijawab dengan jawapan yang cukup serius hari ini oleh umat Islam khususnya di Malaysia.
Pelik sekiranya kita mempunyai sebuah buku yang telah kita baca bertahun-tahun lamanya, kita jaga buku itu daripada rosak dan dicemari, namun kita tidak pernah tahu apakah isi kandungan buku tersebut. Apakah yang mahu disampaikan oleh penulis buku itu kepada para pembacanya.
Begitulah al-Quran yang telah lama kita baca, kita jaganya, kita hormatinya. Namun, berapa ramai dari kita memahami al-Quran terutamanya generasi muda yang bakal mewarisi tanah air kita ini? Hakikatnya kita masih jauh daripada seruan al-Quran untuk difahami, dikaji dan difikirkan. Sebagaimana hadis Riwayat Baihaqi yang bermaksud:
Sudah hampir (tiba) suatu masa di mana tidak ada yang tinggal pada Islam itu kecuali namanya sahaja dan tidak tinggal pada al-Quran itu kecuali tulisannya sahaja. Masjid-masjid mereka tersergam indah, namun kosong / roboh daripada petunjuk. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kulit langit. Daripada mereka berpunca fitnah dan kepada mereka fitnah itu kembali. (HR Baihaqi).
Oleh kerana itulah saya mengharapkan di bulan Ramadan ini, kita tingkatkan hubungan kita dengan al-Quran. Sebelum ini kita telah menghidupkan suasana tadarus al-Quran namun, apalah kiranya kita hidupkan jua bulan Ramadan kali ini dengan menghayati tafsir al-Quran pada setiap malam sama ada di rumah dan di masjid-masjid. Insya Allah, dengan peningkatan ini kita akan menjadi manusia bertaqwa di sisi Allah SWT.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0815&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm
TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Sabtu, 14 Ogos 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
Teks dan gambar Kusyi Hirdan MUNGKIN ada pembaca yang sudah tahu mengenai buah perah ini. Mereka yang berada di Terengganu, Perak, Pahang da...
-
By Idris Ismail Talu Arrowhead atau ngaku, atau kentang Cina merupakan sejenis “ubi” yang lembut yang kononnnya ditanam di dalam sawah berai...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
-
Oleh Helmy Abd Rahman, helmy@hmetro.com.my BANK Islam Malaysia Bhd (BIMB) mengintai peluang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi berpotensi...
-
KUALA LUMPUR: A Malaysian couple who fully sponsored the tuition fees of their Indonesian maid’s diploma was recognised at the F&N Outdo...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan