Tarikh: 2010/08/30
JARANG menikmati buah-buahan, tidak cukup tidur dan kurang minum air adalah antara faktor yang boleh melemahkan sistem imunisasi badan ketika berpuasa.
Kelemahan sistem ketahanan badan boleh menyebabkan kita mudah didatangi penyakit seperti selesema, demam dan batuk.
Ia nampak tidak begitu menakutkan, tetapi jika dibiarkan, ia mungkin menjurus kepada penyakit yang lebih berbahaya dan sukar dirawat.
Ketua Pakar Pemakanan Pusat Perubatan Prince Court, Datin Farah Diba Khan, berkata, sistem imunisasi badan boleh ditingkatkan dengan pengambilan makanan yang seimbang mencakupi semua nutrisi yang diperlukan badan termasuk dengan memperbanyakkan hidangan buah-buahan.
Menurutnya, masyarakat perlu banyak mengambil buah-buahan kerana ia kaya dengan vitamin serta zat yang penting bagi kesihatan tubuh badan.
Antara buah yang digalakkan untuk diambil adalah kiwi kerana ia bukan saja kaya dengan vitamin C dan E, malah mengandungi pelbagai zat penting seperti serat, magnesium, zink serta fosforus.
Bagaimanapun, katanya, masyarakat di Malaysia kurang meminati buah berkenaan dan ada yang beranggapan harganya mahal kerana ia diimport dari luar negara.
Kiwi tidaklah semahal yang disangka dan mempunyai kandungan vitamin yang banyak.
Buah kiwi di ladang.
“Ibu bapa harus mempelbagaikan sajian buah-buahan anak mereka dan tidak hanya terhad kepada jenis tertentu saja.
“Kiwi sebagai contoh memang elok untuk dinikmati setiap hari kerana kajian membuktikan ia kaya dengan vitamin dan zat yang diperlukan badan.
“Walaupun ibu bapa tidak begitu menggemarinya, jangan sesekali menjadikan ia sebagai halangan untuk tidak menyelitkan buah ini dalam sajian harian anak-anak,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Buah khurma.
Menurut Farah Diba, lebih elok untuk kita mengambil vitamin dan zat secara terus daripada buah-buahan berbanding mendapatkannya menerusi pengambilan pil pemakanan tambahan.
Buah-buahan yang dinikmati segar mengandungi kandungan vitamin yang tinggi dan disebabkan itu ibu bapa perlu mendidik anak mereka sejak kecil supaya mengambil buah-buahan dalam menu harian mereka.
“Buah-buahan tidak kira tempatan mahupun dari luar negara memang mudah didapati di negara kita. Jadi, memang tiada alasan untuk tidak mengambilnya setiap hari.
“Jika dibandingkan dengan pil vitamin tambahan, buah-buahan lagi berbaloi untuk dinikmati kerana ia mengenyangkan dan mempunyai kandungan serat tinggi yang berfungsi membantu melancarkan sistem penghadaman.
“Lebih penting, buah-buahan juga lebih murah dan menjimatkan serta amat sesuai bagi mereka yang memiliki sumber kewangan terhad,” katanya.
Tambahnya, daripada segi sains, buah-buahan sangat elok untuk dinikmati sama ada ketika berbuka atau bersahur kerana ia mempunyai kandungan gula yang rendah, kurang kalori dan kaya dengan air.
Jika anak bosan menikmati begitu saja, ibu boleh mempelbagaikan hidangan seperti mencampurkan kiwi ke dalam salad, bijirin mahupun dimakan bersama yogurt.
“Makan kiwi begitu saja setiap hari memang menjemukan lebih-lebih bagi kanak-kanak yang sememangnya tidak menggemari buah-buahan.
“Untuk itu, ibu perlu kreatif mempelbagaikan sajian dengan mencampurkan kiwi di dalam hidangan kegemaran anak mereka,” katanya.
Mengenai masalah penghadaman seperti sembelit, gastrik dan kembung perut yang dihadapi ramai ketika bulan puasa, katanya, masyarakat perlu mengubah cara masakan dan mengurangkan hidangan bergoreng atau menggunakan santan.
Paling mustahak, pesakit gastrik tidak boleh meninggalkan sahur dan mengambil hidangan seperti yang disarankan piramid makanan.
“Pesakit gastrik juga perlu mengurangkan pengambilan makanan berminyak dan pedas kerana bimbang boleh menyebabkan penyakit bertambah teruk.
“Jadi, jika anda mempunyai penyakit gastrik, berhati-hatilah dengan jenis makanan yang diambil,” katanya.
Makanan yang paling ideal sebagai permulaan ketika waktu berbuka puasa adalah air suam dan kurma.
Ini kerana perut kita tidak menerima sebarang makanan selama hampir 12 jam dan seharusnya ia dimulakan dengan makanan yang ringan dan manis supaya perut dapat beransur-ansur menerima makanan lain yang lebih berat.
Buah manggis - buah tempatan yang berkhasiat.
Menurutnya, pengambilan air kopi dan teh juga tidak digalakkan kerana kita akan kerap buang air kecil dan akan mengurangkan lagi kandungan air dalam badan.
Jika air berkurangan, kita akan menjadi cepat letih, lesu dan tidak bermaya untuk menjalani ibadah puasa keesokan harinya.
Pengambilan makanan selepas berbuka juga harus disusun seperti mana waktu biasa seperti sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. Cuma yang membezakannya adalah ia dilakukan semuanya selepas berbuka.
Buah rambutan juga amat berkhasiat.
Jelasnya, susun dan praktikkan waktu pemakanan yang ideal selepas berbuka. Berbuka puasa dimulakan dengan memakan dua biji kurma dan air suam. sSelepas seketika, mulakan dengan menu sarapan pagi yang normal, sekadar cukup untuk kita menjalankan solat Maghrib.
Buah dokong yang telah masak di pokoknya.
“Selepas solat Maghrib, boleh diteruskan dengan kuih-muih dan memperbanyak minum air suam sebelum solat Tarawih. Selepas solat Tarawih, bolehlah kita bersedia untuk mengambil makanan tengah hari pula. “Seperti waktu makanan tengah hari biasa, pengambilan nasi, bihun atau pasta dan diselangi pula dengan lauk-pauk.
Rambutan masak segar di pohon.
“Ketika ini, perut kita sudah menjalankan proses pencernaan sejak berbuka dan kini ia bersedia untuk memproses makanan yang berat pula. “Paling mustahak, jangan sesekali tidur ketika kenyang kerana ia boleh menyebabkan makanan tidak dapat diproses dengan baik, sekali gus disimpan sebagai lemak berlebihan,” jelasnya.
Source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Makanbuahketikaberbuka_sahur/Article
Tiada ulasan:
Catat Ulasan