TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Isnin, 30 Ogos 2010

Rumah Allah perlu dipelihara

Sumber: Utusan Malaysia Online.

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD, pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 30 Ogos - Tindakan membenarkan pemimpin parti politik bukan Islam mengadakan program di dalam masjid atau surau, apatah lagi dalam keadaan tidak menutup aurat jelas merupakan satu perbuatan mencemarkan kesucian rumah Allah.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadot (gambar) berkata, dalam apa jua keadaan sekalipun kemuliaan rumah Allah perlu dipelihara dan dipertahankan khususnya daripada unsur-unsur yang boleh mengundang fitnah serta perpecahan.

Datuk Nooh Gadot.

Menurutnya, Rasulullah sendiri amat menitikkan pemeliharaan kesucian masjid hingga baginda pernah bersabda bahawa mereka yang memakan bawang putih tidak digalakkan memasuki masjid kerana ia boleh mendatangkan rasa kurang selesa di kalangan jemaah lain.

"Namun apa yang kita bicarakan ini lebih besar daripada memakan bawang putih iaitu pemimpin politik bukan Islam dibenar mengadakan program dalam masjid. Ini sudah tentu lebih mendatangkan rasa kurang selesa di kalangan jemaah.

"Bukan itu saja, ia juga mungkin boleh menyebabkan perpecahan di kalangan jemaah dan bukankah ini merupakan satu perkara dibenci Allah. Mengapa saya kata demikian, kerana tindakan mereka itu berunsurkan politik,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas pendedahan mengenai tindakan dua wakil rakyat bukan Islam yang memasuki ruang solat di sebuah masjid dan surau dalam Ramadan ketika mengadakan program penyerahan bantuan.

Dalam kejadian pertama iaitu pada 22 Ogos lalu, Ahli Parlimen Serdang daripada DAP, Teo Nie Ching dibenarkan berucap di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral tanpa menutup aurat.

Sehari selepas kejadian tersebut, Ahli Parlimen Selayang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), William Leong pula dibenarkan berada di ruang solat Masjid At-Taqwa, Selayang Baru bagi menyerahkan bantuan.

Mengulas lanjut, Nooh yang juga bekas Mufti Johor berkata, tambahan pula setiap pergerakan untuk memasuki rumah Allah mesti berlandaskan adab, peraturan dan syarat-syarat tertentu,

"Ia bertujuan memuliakan rumah Allah. Contoh paling mudah sebelum memasuki masjid, adabnya hendaklah dimulakan dengan kaki kanan dan keluar dengan kaki kiri. Ini baru adab pertama dan belum lagi dikira adab-adab lain.

"Justeru, saya hairan mengapa kejadian seumpama ini boleh berlaku. Bagi saya semua pihak harus sedar dan peka terutama pihak jawatankuasa masjid supaya memastikan program dilakukan di dalam masjid adalah bersesuaian dengan adab Islam,'' katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mempersoalkan mengapa selepas 53 tahun negara merdeka, kejadian seumpama itu boleh berlaku.

"Apa yang sudah berlaku dengan negara kita. Dahulu tidak pernah berlaku kejadian seperti ini. Sepatutnya kita sama-sama menjaga kemuliaan institusi masjid.

"Apa yang lebih menyedihkan, ia berlaku pada Ramadan mulia. Tindakan itu juga bagi saya telah melanggar perintah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai ketua agama,'' katanya.

Bagi memastikan perkara itu tidak berulang lagi, beliau menggesa tindakan sewajarnya dikenakan kepada pihak terbabit.

Dalam pada itu, beliau meminta umat Islam merenung pengertian ayat 108 surah at-Taubah yang antara lain mengisahkan mengenai kepentingan masjid sebagai tempat mencetuskan rasa takwa kepada Allah.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_09.htm

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran