DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
APAKAH ertinya kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan jika apa yang berkaitan dengannya tidak dapat diangkat pada kedudukan lebih tinggi berbanding agama-agama lain?
Tidakkah semua kaum di Malaysia menerima Islam sebagai agama rasmi, maka segala amalan yang dapat memperkukuhkan kedudukannya bukan sahaja perlu dipertahankan bahkan wajib dipertingkatkan?
Malaysia diterima sebagai negara Islam, namun disebabkan ada segelintir tokoh politik yang memikirkan untung dalam jangka pendek sanggup mengkhianati budaya dan amalan yang sekian lama dipraktikkan.
Mereka persoalkan, membuat arahan dan panduan bahawa bacaan al-Quran tidak perlu lagi menggunakan alat pembesar suara, terutama menjelang waktu Subuh. Ini bermakna, mungkin suatu hari nanti mereka juga akan mengharamkan paluan beduk bagi memberitahu waktu solat ataupun ada kematian dalam kampung mereka. Malah lebih malang lagi, kemungkinan suatu masa kelak mereka mengharamkan laungan azan.
Di Kuala Terengganu, setiap kali masuk waktu berbuka, bedilan meriam kedengaran. Setakat ini belum ada bantahan atau orang menerima kesan daripada tembakan itu. Sejak berzaman, tidak pernah orang Cina membantah bacaan al-Quran dari corong pembesar suara sebelum waktu Subuh atau Maghrib walaupun mereka tinggal bersebelahan pagar masjid.
Bagaimanapun, nampaknya Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang telah mendahului larangan menggunakan pembesar suara. Meskipun kenyataan larangan itu bukan berbentuk fatwa kerana tidak digazetkan, ia tetap memperlihatkan pengaruh pemikiran liberal sedang berkembang dalam kalangan agamawan di negeri tersebut.
Agamawan yang meneraju jawatankuasa itu sebenarnya memahami kehendak dan falsafah politik kerajaan negeri. Mereka sudah boleh membuat tafsiran dan langkah untuk merealisasikan kepimpinan ala "Umar Abdul Aziz", sedangkan lebih ramai orang yang mengakui dirinya sebagai Muslim tidak pun pernah mengkaji corak pentadbiran dan kebijaksanaan khalifah yang dijadikan teladan itu.
Ramai pihak memandang keputusan melarang penggunaan alat itu atas alasan mengganggu orang yang sedang tidur atau sakit, sebenarnya terlalu remeh. Mereka sebenarnya tidak memahami hakikat alam dan kehidupan yang penuh keberkatan.
Tidakkah dengan menggunakan pembesar suara untuk memperdengarkan bacaan al-Quran serta kebiasaannya di sesetengah tempat akan disusuli seruan azan pertama itu akan mengingatkan bahawa fajar siang telah menjelma, maka bersiaplah untuk mencari rezeki. Bukankah apabila ada orang mengingatkannya, kita segera bersiap untuk memulakan tanggungjawab itu.
Mereka yang menganggap membaca al-Quran dengan lantang dari menara masjid kerana menggunakan pembesar suara adalah satu gangguan tatkala sebahagian besar manusia lain tidak terganggu adalah satu hal yang silap. Mereka silap, dan cuba menukarkan persekitaran kehidupan semula jadi, dan kebiasaannya mereka yang tidur siang dan bekerja waktu malam adalah dari jenis haiwan berdarah panas seperti kelawar, bahkan drakula yang sentiasa mahu bersembunyi daripada dilihat makhluk lain, berbanding kumpulan yang menghargai hari siang.
Pemimpin politik yang menyokong tindakan itu seharusnya sedar, suatu masa nanti akan ada yang menuntut agar masjid tidak perlu ada menara, kerana menara membawa kepada keburukan yang sedang dicarikan alasannya. Usaha tersebut sudah pun dimulakan di Barat, di mana mereka mengadakan pungutan suara.
Kerana terlalu percayakan kerasionalan akal dan persetujuan ramai, maka pungutan suara menjadi satu kaedah terbaik membuat sesuatu desakan ataupun meminda peraturan. Ia dilihat sebagai sesuatu yang bijak dan terbaik kerana mendapat sokongan ramai walaupun sokongan itu dibuat setelah proses membuat keputusan dipengaruhi.
Kerana itulah kita tidak hairan. Penentangan secara langsung akan menyebabkan lebih ramai orang Islam keluar membantah. Kini mereka sudah menyerap masuk ke dalam pemikiran sesetengah pentadbir Islam, dan berjaya meneutralkan pemikiran para kadi, pemimpin agama dengan alasan logik akal oleh tokoh politik berkenaan.
Tokoh politik itu sebenarnya sudah pun termasuk dalam kelompok barangan yang boleh digadai. Prinsip perjuangannya sudah mengalami pertembungan kosmik dan meledak menjadi percikan kepentingan politik bersama dalam gagasan untuk menjadi pilihan memerintah. Harapan itu tentunya akan berjaya sekiranya jumlah penganut Islam dibahagi-bahagikan ke dalam pelbagai kelompok.
Bahkan dalam satu organisasi sekalipun sudah ada kelompok pro dan kontra. Konflik dalaman inilah mampu menggelorakan tindakan bermusuh-musuhan walaupun terdiri dari primordial yang sama, dan menggunakan amalan serta kitab suci yang sama. Masing-masing berbeza pandangan, maka perbezaan-perbezaan itu perlulah diselesaikan segera.
Majlis Fatwa Kebangsaan harus menyedarkan bahawa Jawatankuasa Fatwa Negeri perlu berhati-hati mengeluarkan sebarang fatwa atau nasihat kepada fatwa baru dan perlu dilakukan perbahasan mendalam terlebih dahulu. Negeri mestilah akur dalam perkara-perkara itu bagi mengelakkan semakin banyak lagi perpecahan berlaku dalam kalangan orang Islam sendiri.
Di Malaysia, semua tahu bahawa bukan sahaja agama rasminya Islam tetapi juga peraturan yang diamalkan, iaitu Islam Sunni dan bermazhab Syafie.
Lantaran itu hujah yang diamalkan di negara ini berdasarkan kepada empat dalil, iaitu bukan bersandarkan kepada al-Quran dan hadis sahaja malah Ijmak Qias dan adat resam setempat.
Menurut fahaman ini, maka adat dan uruf setempat perlulah disanjung dan dihormati oleh umat Islam dalam agamanya sendiri di mana-mana kerana seluruh rakyat yang faham akan menerimanya sebagai sesuatu yang perlu dipertahankan. Ia diakui dalam satu kaedah pengambilan hukum agama dan disebut sebagai (Satu Adat Yang Elok Itu Ditetapkan Dan Diterima Oleh Agama).
Kerenah pembangkang disusuli dengan tindakan melampau dan tuntutan keterlaluan telah mencacatkan sistem demokrasi.
Kini, pembangkang seharusnya sedar apa yang banyak mengilhamkan konsep kebebasan dan hak asasi manusia sebenarnya telah menjadi semakin ganas, vandalis dan kejam.
Malaysia berjaya mengisi erti kemerdekaan dengan kemakmuran dan kesejahteraan, maka dalam keadaan itulah ramai yang tampil untuk berebut peluang sedangkan ketika bergelumang dengan kesukaran, tiada yang tampil secara bersemangat berjuang membanteras setiap petualang.
Golongan inilah yang sebenarnya menjadi petualang dalam negara kerana cuba menghidupkan kembali tuntutan ideologi komunis, membangkitkan rasa permusuhan antara kaum, merobohkan kontrak sosial dan mempertikaikan apa saja yang telah dilembagakan sebagai undang-undang.
Sikap dan tindakan mereka semakin ganas dan melampau. Maka, percubaan untuk menterbalikkan konsep pemerintahan dan institusi yang ada di dalamnya adalah hakikat budaya anarkisme yang sedang mereka kembangkan sebagai budaya baru masyarakat Malaysia dengan menggunakan perantaraan agama.
Tidak semua hal yang bersifat tradisi itu kuno dan ketinggalan zaman. Hanya sifat sesetengah pihak yang gemar mengejar kepentingan peribadi itulah sebenarnya menjerumuskan mereka ke lembah keserakahan: mengubah tradisi dan menghancurkan jati diri.
Source: Utusan Malaysia Online.
TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
By Idris Talu Petai kerayong tidak ada banyak bezanya dengan petai biasa. Petai kerayong bila matang, buah dan kulitnya menjadi keras, tida...
-
Teks dan gambar Kusyi Hirdan MUNGKIN ada pembaca yang sudah tahu mengenai buah perah ini. Mereka yang berada di Terengganu, Perak, Pahang da...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
(Oleh Tuan Haji Duan Yusof) Bahan-bahannya : Daging Segar (samada daging kerbau atau lembu)- Lebih Kurang 1 kilogram…Lobi...
-
Oleh Helmy Abd Rahman, helmy@hmetro.com.my BANK Islam Malaysia Bhd (BIMB) mengintai peluang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi berpotensi...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan