Setiap minggu iaitu pada pagi Sabtu diadakan Pasar Tani Khas untuk petani memasarkan terus hasil usaha pertanian mahu pun ternakan mereka. Begitu juga nelayan. Kali ini saya dan isteri ingin mencari ikan yang dinamakan ikan curi, yang biasanya ditangkap di Tasek Chenderoh, samada di Kampung Raban atau Kuak.
Beginilah keadaan Pasar Tani di sebelah Stadium Perak di Ipoh. Pelbagai kaum datang mencari hasil tani yang masih segar.
Oleh kerana ianya diadakan di kawasan letak kereta stadium, tidak ada masalah untuk kita meletakkan kenderaan.
Inilah rupanya bentuk ikan curi dari Tasek Chenderoh.
Ikan kecil ini cukup banyak dijumpai di situ. Harga bagi sepeket plastik ini cuma RM2.00 sahaja. Sumber protin yang cukup tinggi.
Beginilah keadaan ikan curi tersebut setelah dikeluarkan dari dalam bekas pelastiknya. Ikan ini enak digoreng begitu sahaja atau dimasak lemak cili api dengan rencahnya daun kunyit muda serta buah belimbing buluh. Jika tiada buah belimbing buluh, boleh juga dicampur pucuk asam gelugur yang dihiris tipis.
Ikan curi juga sedap dibuat pais. Orang Minangkabau menyebutnya sebagai "palai". Hari itu saya agak beruntung kerana memang ada pais ikan curi Tasek Chenderoh yang sudah siap dipanggang. Saya telah membeli beberapa bungkus.
Pais ikan curi.
Tiba di rumah, kami panaskan pais yang sudah dimasak ini di atas dapur seketika hanya untuk menyegarkannya.
Salah satu bungkus pais ikan curi yang telah dipanaskan dan dibuka bungkusannya - siap untuk dimakan dengan nasi yang baru dimasak.
Saya juga mencari sedikit ulam untuk menambah selera makan.
Hari ini saya menjumpai ulam temu yang masih muda.
Harganya cuma RM2.00 sebanyak ini.
Untuk buah-buahan, saya memilih betik segar ini. Dua biji cuma RM2.00 sahaja.
Sampai jumpa lagi di Pasar Tani, Ipoh.
©IdrisTalu@2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan