TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 16 September 2012

ALI RUSTAM – MELAKA SUDAH LAYAK CAPAI STATUS NEGERI BANDARAYA.

Datuk Seri Mohd Ali Rustam 

16 September 2012

KUALA LUMPUR - Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berazam menjadikan negeri bersejarah itu sebuah negeri bandar raya yang mengamalkan teknologi hijau.

Katanya setelah Melaka mencapai status negeri maju dua tahun lepas, sasaran beliau selepas ini ialah untuk menjadikan Melaka sebuah negeri bandar raya berasaskan teknologi hijau, sejajar dengan komitmen kerajaan Malaysia untuk mengurangkan pengeluaran karbon hingga sebanyak 40 peratus menjelang 2020.

Mohd Ali berkata wawasan beliau ialah untuk melihat Melaka bertukar menjadi sebuah negeri bandar raya di mana semua kemudahan dapat dinikmati seluruh penduduknya, tanpa mengira yang tinggal di bandar atau luar bandar, terutama dari segi prasarana, komunikasi, peluang ekonomi, pendidikan dan alam sekitar, selain kemudahan rekreasi dan sukan, peluang pekerjaan dan paras pendapatan.

"Jurang pendapatan perlu dikurangkan dan menjadi lebih seimbang, berbanding negeri lain, yang bukan bertaraf negeri bandar raya. Jika kita lihat, agihan pendapatan nasional adalah sebanyak RM1 di peringkat kampung, tetapi paras di bandar pula ialah RM1.99, atau hampir sekali ganda.

"Tetapi, di Melaka, kadar ini berkurangan kepada RM1 di kawasan kampung dan RM1.37 di kawasan bandar. Kami sedang menuju kepada kadar sama rata RM1 dan RM1," katanya dalam temu bual yang tersiar dalam keluaran terbaru majalah bulanan 'Melaka Business'.

Dalam temu bual itu, Mohd Ali, yang juga membayangkan dengan jelas bahawa selepas tiga penggal menjadi ketua menteri, kini beliau "lebih daripada bersedia" untuk berkhidmat di peringkat persekutuan, ketika timbul ura-ura bahawa beliau akan bertanding bagi kerusi parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

"Pada pilihan raya lepas, orang ada bertanya kepada saya (tentang berpindah ke peringkat persekutuan). Kali ini, mereka sekali lagi bertanya soalan itu.

Apabila orang tanya saya, seperti tahun lepas juga, saya katakan bahawa saya lebih daripada bersedia untuk ke parlimen.

"Ada orang kata, kenapa tak kekal saja seperti sekarang? Sebabnya, saya sudah berkhidmat untuk Melaka selama tiga penggal. Apabila orang bertanya saya siapakah yang boleh mengambil alih tempat saya, saya akan jawab, ramai orang yang boleh.

Terdapat ramai orang yang layak di Melaka ini," katanya.

Mohd Ali berkata walaupun beliau berkhidmat di peringkat persekutuan kelak, tetapi, Melaka, antara negeri paling pesat membangun, akan terus berkembang dan beliau sentiasa bersedia untuk membantu kepimpinan baharu, berbekalkan pengalaman beliau mentadbir negeri itu.

"Akhirnya, setiap orang perlu berundur. Sebelum ini, saya menjadi timbalan menteri, jadi sekiranya diberi peluang berkhidmat di peringkat persekutuan, saya berharap dapat menyumbang kepada negara seluruhnya," kata beliau.

Mengenai rancangan Melaka untuk mencapai status negeri bandar raya, Mohd Ali berkata keutamaan yang akan diberi terhadap usaha itu ialah pembinaan lebuh raya empat lorong bagi menghubungkan seluruh negeri berkenaan, sejajar dengan wawasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mentransformasikan kawasan luar bandar.

"Oleh itu, anda akan dapat melihat jalan raya empat lorong di bandar dan kampung. Anda akan dapat melihat kawasan luar bandar yang bertukar menjadi bandar melalui kemudahan komunikasi dan inilah apa yang saya maksudkan dengan negeri bandar raya. Seseorang akan membuat perjalanan untuk ke kampung sama seperti untuk ke bandar kerana terdapat jalan raya empat lorong di merata tempat. Suasana kampung akan terus wujud, tetapi ia kelihatan seperti bandar dengan adanya hubungan melalui jalan raya empat lorong ini," kata beliau.

Beliau berkata dengan cara itu, jurang pendapatan akan dapat dikurangkan dengan lebih mudah kerana mereka yang tinggal di bandar boleh membuat perjalanan ke luar bandar dengan adanya rangkaian jalan raya berkenaan, manakala rakyat boleh terus menetap di kampung halaman masing-masing dan boleh sampai ke bandar dalam masa sejam sahaja.

"Itulah yang saya maksudkan dengan negeri bandar raya, walaupun negeri ini dua kali lebih besar daripada Singapura," katanya.

Mengenai teknologi hijau, Mohd Ali berkata kerajaan negeri telah menubuhkan Majlis Teknologi Hijau yang diketuai beliau sendiri, selain menetapkan Indeks Bangunan Hijau dan Akademi Teknologi Hijau, manakala semakin banyak industri di negeri itu beralih kepada penggunaan teknologi hijau, termasuk panel solar untuk mengurangkan penggunaan minyak.

Ditanya tentang hasil misi pelaburan beliau ke luar negara, Mohd Ali berkata kebanyakan negara yang beliau kunjungi sudah membuat pelaburan atau merancang untuk melabur di Melaka. – Bernama


 

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran