Selepas singgah di Pasar Ramadhan Kampong Talang, penulis dan isteri serta anak kami Ihsan, meneruskan perjalanan ke Bandar DiRaja Kuala Kangsar.
Di sini, kami memasuki Pasar Ramadhan di Arena Square yang tertutup itu. Tempatnya cukup bersih dan teratur. Bagi peniaga ayam atau ikan panggang, mereka diberikan tempat di luar bangunan Arena Square.
Inilah calon-calon usahawan yang berani memulakan usaha perniagaan. Perniagaan merupakan suatu bidang yang memerlukan kemahiran dan kemahiran hanya boleh didapati bila kita melakukannya berulang-ulang kali.
Posternya cantik, tetapi rasanya tempat poster ini digantung kurang ummmph le.
Kalau tidak ada motosikal berderet di sini, pergerakan pembeli lebih mudah, pemandangan pun lebih cantik. Kalau lebih cantik, lebih bersih, lebih ramai yang akan berkunjung, dan lebih banyak fulus masyuuuuk!
Penulis datang awal sangat kut, masih ada yang belum mula berniaga.
Semua orang bergerak pantas kerana masa pun bergerak pantas juga.
Pasar Ramadhan Kuala Kangsar dilihat dari Lembah, Sungai Perak.
Ada yang terlupa bawa balik labu air inikah? Tidak, ianya memang objek tarikan pelancong. Labu Sayong memang produk asli sejak berzaman dikerjakan oleh penduduk Kampong Sayong, yang terletak di sebelah kanan Sungai Perak.
Ada orang bertanya penulis, bagaimana hendak menentukan yang mana kanan dan yang mana kiri di sebatang sungai. Jawapannya cukup mudah, jika anda memasuki sebatang sungai dan menghalakan pandangan anda ke arah hulu sungai tersebut, yang di sebelah kiri anda disebut tebing kiri dan yang di sebelah kanan anda ialah tebing kanan.
Coba perhatikan Bota Kiri dan Bota Kanan di Perak Tengah atau Kota Lama Kiri dan Kota Lama Kanan di Kuala Kangsar ini.
Buah-buahan segar seperti tembikai dan pisang banyak dijual di sini. Buah khurma (tamar) sudah pastilah ada - persiapan "mesti" dalam bulan Ramadhan.
Kepada pembaca blog ini yang datang dari luar Malaysia, bendera "Putih, Kuning dan Hitam" itu ialah bendera negeri Perak Darul Ridzuan - salah satu negeri dalam Persekutuan Malaysia.
Sesiapa yang belum coba laksa Pak Ngah Kuala, boleh mencobanya di restorannya di tepi Sekolah Menengah Tsung Wah Kuala Kangsar. Laksa Pak Ngah adalah pilihan semua kaum di Kuala Kangsar. Belum coba belum tahu.
Berbagai jenis kuih-muih tradisional Melayu dijual di sini. Kuih-muih lama masih dibuat oleh warga Kuala Kangsar.
Laksa Kuala Kangsar adalah kegemaran orang Kuala Kangsar, tidak mengira kaum.
Pelbagai produk kacang soya dijual di sini.
Murtabak Haji Midin - Taiping mali ooooh!
Air minuman dan kuih-muih untuk hari raya pun sudah mula dijual di sini.
Pelbagai kaum memeriahkan Pasar Ramadhan. Inilah masanya kaum bukan Melayu boleh merasakan kuih tradisional Melayu yang jarang ada di luar bulan Ramadhan al Mubarak ini.
Ayam bergolek - mana boleh tinggal. Peminat ayam panggang ini tetap ramai di mana juga.
Anak yatim jangan kita lupakan. Bantulah mereka sedaya upaya kita. Inilah masanya yang kita perlu lebihkan perhatian kepada anak-anak yatim kerana Ramadhan dan Syawal merupakan bulan yang cukup syahdu, di mana perasaan mereka mudah tersentuh.
Penulis yang telah kematian bapa sejak umur tujuh tahun, faham sangat tentang perasaan mereka yang dipanggil anak yatim ini. Airmata terlalu murah buat mereka ditambah cemuhan masyarakat yang kurang sensitif kepada golongan malang ini. Kepada mereka yang kurang sensitif kepada golongan anak yatim, coba sebentar, bayangkan anda berada di dalam kelompok mereka.
Kepada anak-anak yatim, cobaan Tuhan kepada kita bukan untuk melemahkan kita, tetapi sekadar menguji kesabaran kita untuk berusaha mencari kejayaan dalam hidup ini. Ramai anak yatim yang berjaya dalam hidup mereka walau pun pada peringkat awal kehidupan selalu bermandikan airmata.
Belia yang seronok berniaga seperti ini yang kita perlukan dalam memajukan ekonomi negara. Gulai kemahang (keladi liar) yang kadang-kadang gatal sedikit memang favorit penulis, terutamanya kalau dicampur dengan cendawan sisir (kulat sisior - kata orang Perak).
Peniaga-peniaga muda yang berpotensi menjadi usahawan berjaya nanti. Gulai kemahang gerenti habis setiap hari. Pakar memasak kemahang cuma ada di daerah Kuala Kangsar sahaja. Puas penulis cari di tempat lain, belum berjumpa lagi.
Ada banyak penjual laksa di sini. Laksa memang makanan kesukaan orang Kuala Kangsar. Gerai makanan di Lembah sentiasa penuh dengan peminat laksa di luar bulan Ramadhan.
Kuih-muih tradisional di Kuala Kangsar terdapat dalam pelbagai jenis dan nama.
Dan ini adalah bahagian belakang Pasar Ramadhan Kuala Kangsar - depan dan belakang semuanya bersih dan cantik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan