TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Jumaat, 5 Jun 2009

Cycad Lenggong - Part1

By Idris Talu

Cycad merupakan tumbuhan purba yang masih wujud hingga kini di beberapa bahagian dunia ini. Ianya dikatakan telah wujud di bumi ini sejak sebelum adanya dinosaurs lagi. Malah ada pihak yang menyatakan bahawa zaman Jurassic dahulu sebagai zaman cycad.

Cycad adalah tumbuhan jenis “dioecius” iaitu ada jenis jantan dan jenis betinanya. Kalau di masa dahulu, orang tua kita di kampung tatkala masih menanam rambutan dari biji buah tersebut, kebarangkalian tumbuhnya pohon jenis jantan yang pandai mengeluarkan bunga, mahu berbuah, tapi tidak mampu berbuah, tidak mustahil berlaku. Namun begitu dengan teknik terkini dalam cantuman tumbuhan, masalah jantan betina sesuatu pokok yang ditanam tidak menjadi masalah lagi.


Cycads Lenggong di Gua Badak


Di dalam hutan sana, cycad cuma tumbuh di atas batu sahaja. Saya belum pernah menemui cycad yang tumbuh di atas tanah di kawasan ianya tumbuh secara semula jadi di kawasan bukit batu kapur yang curam di sekitar Lenggong.

Warga tempatan menamakan cycads sebagai "paku aji" dan telah lama mengutip pohon-pohon ini untuk dijadikan pohon hiasan di halaman rumah. Jika kita memasuki kampung-kampung di sekitar Lenggong, kita bolih melihat pelbagai bentuk cycads yang cukup menarik hati.

Cycads di tebing batu yang curam.


Cycads juga boleh ditemui di Pulau Batu Puteh dalam kawasan Tasek Temengor, di sekitar Gua Tempurung Gopeng, di Baling dan Pulau Langkawi di Kedah. Semasa menetap dan bertugas di Kuala Lipis dari tahun 1971 hingga 1979 dahulu, saya coba perhatikan kawasan bukit berbatu di sekitar Padang Tengku dan juga Gua Musang di Kelantan, namun gagal melihatnya dan tidak ada penduduk kampung yang menanamnya sebagai tanaman hiasan di sekeliling rumah saperti yang terdapat di Lenggong.

Cycas clivicola Lenggong.

Cycad yang kita temui di hutan Lenggong dikenali dari jenis Cycas Clivicola. Bahagian bawah batang pohonnya berbentuk seperti bawang. Ianya cukup menarik berbanding cycad jenis lain.

Memang ada juga cycad yang tumbuh di atas tanah, dikenali di Malaysia sebagai bogak. Saiznya agak besar dan lebih tinggi dari cycad yang tumbuh di atas gunung berbatu. Saya pernah lihat sepohon bogak yang agak tinggi di sebuah bulatan di bandar Port Dickson, Negeri Sembilan.

Coba bayangkan pokok cycads yang beratnya ratusan kilogram boleh tegap tegaknya di tebing batu yang curam ini.


Namun begitu, cycad bukanlah tumbuhan yang selektif sangat, ianya boleh tumbuh di atas tanah jika kita menanamnya di situ. Ramai penduduk Lenggong yang telah mengenali cycad sekian lama, mencabut pohon cycad dari atas batu di dalam hutan di atas bukit untuk ditanam di sekitar halaman rumah masing-masing. Untuk pengetahuan bersama kita, memindahkan pohon cycad bukanlah suatu kerja yang mudah.

Pantai Pasir Bogak di Pulau Pangkor, mungkin pada masa dahulu ianya dipenuhi dengan pokok cycad yang dinamakan bogak itu. Rasanya masih tidak terlambat jika pihak-pihak yang berkenaan berusaha mendapatkan pokok-pokok bogak yang masih banyak terdapat di negeri Perak ini, untuk ditanam di Pantai Pasir Bogak supaya para pengunjung pantai yang indah itu tahu bagaimana pantai itu mendapat namanya. Saya dapat membayangkan bagaimana pantai itu dipenuhi pokok bogak semasa ianya mula ditemui atau didiami orang dahulu.

Ciptaan Allah yang cukup aneh, berusia ratusan malah ribuan tahun di Kampong Gua Badak, tidak dipedulikan oleh sesiapa pun yang menjaga khazanah negara ini. Kerana itulah bijak pandai berkata, "yang penting bukan apa yang di depan mata, tetapi yang berada di antara dua telinga, iaitu otak manusia itu." Noktah!

©IdrisTalu@2009

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran