TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Rabu, 20 April 2011

Khidmat Tan Sri Dr Zeti 5 tahun lagi


Oleh AHMAD FADZIL, pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 20 April – Perkhidmatan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz disambungkan untuk tempoh lima tahun lagu, bermula 1 Mei ini.

BNM dalam kenyataannya di sini berkata, pelantikan semula itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Zeti, 64, telah memegang jawatan Gabenor sejak Mei 2000 dan beliau telah memainkan peranan penting sebagai penggerak pembangunan kewangan Islam di dalam dan luar negara serta industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, kata kenyataan itu.

Zeti juga merupakan individu penting dalam menjadikan Malaysia sebagai pusat dagangan Sukuk di bawah inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC).

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya dan Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Sementara itu, di Ipoh, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelantikan semula Zeti adalah penting kepada negara dalam menghadapi suasana ekonomi global yang semakin mencabar.

Beliau menyifatkan pengekalan Zeti itu akan terus memberi kesinambungan kecemerlangan kepada BNM.

‘‘Di bawah kepimpinan Zeti, BNM muncul sebagai sebuah institusi paling kukuh dan berjaya di dalam dan luar negara.

‘‘Kesinambungan kepimpinan Zeti penting bagi sebuah institusi penting seperti BNM ,” katanya ketika diminta mengulas pelantikan semula Zeti pada majlis pelancaran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Ipoh, hari ini.

Najib berkata, Malaysia tidak menerima kesan yang teruk semasa krisis ekonomi global kerana sistem kewangan dan perbankan berdaya tahan dan kukuh.

‘‘Ini semua disebabkan kepimpinan BNM,” ujarnya.

Pengerusi Persatuan Bank-Bank Malaysia, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, pelantikan semula Zeti disokong oleh masyarakat perbankan negara.

Beliau yang juga Presiden dan Ketua Eksekutif Malayan Banking Bhd. berkata, institusi perbankan memang memberi penghormatan tinggi kepada Zeti selaku Gabenor.

‘‘Beliau telah berjaya mempertingkatkan imej Malaysia dalam sistem kewangan di dunia dan pelantikan beliau merupakan sesuatu perkembangan positif,” katanya ketika ditemui di sini.

Source: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran