TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Sabtu, 23 April 2011
Evolusi Di Kota Suci Makkah
Oleh Noraini Ismail, norain@bharian.com.my
Tarikh siar: 2011/04/24
KESEMPATAN menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah, pasti menjadi antara detik paling manis dan berharga dalam diri mereka yang bergelar jemaah umrah atau haji. Siapa yang tidak mahu menjadi tetamu Allah, beribadat sambil menyelami keistimewaan destinasi idaman umat Islam ini. Sudah pasti, pengalaman mereka yang mengunjungi sebelum Makkah dibangunkan, dengan tetamu sekarang amat jauh berbeza. Itulah dirasai wartawan Berita Minggu, NORAINI ISMAIL, yang menjejakkan kaki di Makkah 24 tahun lalu dan terbaru, awal bulan ini. Apa bezanya Makkah dulu dan sekarang? Ikuti catatan menariknya.
BANYAK perubahan berlaku di Makkah kini berbanding 24 tahun lalu ketika kali pertama saya menjejakkan kaki ke Tanah Suci pada 1987 dan terbaru, awal bulan ini. Makkah ketika itu masih di kelilingi bukit berbatu. Di sebelah rumah kelahiran Rasulullah masih ada Jabal Kubis. Rumah penduduk Makkah berselerakan di atas bukit berbatu di sekitar Masjidilharam. Malah, kedai emas dan pelbagai barangan cenderamata memenuhi setiap ruang di sekeliling Masjidilharam.
Setiap lorongnya berbukit dan bertangga. Peniaganya sama ada di kedai kecil atau di kaki lima, tidak jemu-jemu menggamit jemaah yang berpeluang membeli-belah selepas solat. Jemaah pula tidak sukar mencari makanan Asia kerana ada pendatang dari Thailand dan Indonesia yang menjual makanan tradisional seperti nasi lemak. Kebanyakan kedai dibuka lewat petang dan keadaan sebegitu meriah pada sebelah malam. Aktiviti jual beli ini tiada sama sekali ketika waktu solat. Pemilik kedai membiarkan kedai terdedah tanpa sekelumit perasaan ia akan diceroboh pencuri ketika menunaikan solat fardu.
Pada masa itu juga, tiada peraturan ketat mensyaratkan jemaah mengikut muassasah ke Tanah Suci. Semua urusan daripada permohonan visa dan mendapat surat mahram daripada majlis agama diurus sendiri, menjadikan pembiayaan ke Tanah Suci teramat murah biarpun ia belum berupaya menggamit jemaah seperti sekarang.
Pemergian saya ke sana pada 1987, kebetulan pada 10 hari terakhir Ramadan. Suasana di Makkah sesak dengan jemaah dan kenderaan awam yang masih boleh melewati jalan raya di sekitar Masjidilharam.
Air dalam plastik bertulis sumbangan Raja Arab Saudi, dicampakkan kepada orang ramai yang berulang-alik ke masjid. Jemaah turut mengerumuni lori membawa roti untuk mendapat bekalan yang diberikan percuma.
Ramai jemaah umrah berkampung di sekitar kawasan Masjidilharam. Ada juga yang membawa dapur sendiri untuk memasak. Banyak beg dilihat dirantai pada pagar masjid menandakan ada pemilik yang bermusafir di situ. Itulah senario dan fenomena pada 24 tahun lalu.
Namun, ketika menyertai rombongan umrah pertama anjuran The News Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), baru-baru ini, saya dapat saksikan banyak perubahan besar berlaku di Tanah Suci Makkah.
Penempatan murah seperti apartmen, rumah penduduk Makkah termasuk pendatang di bukit-bukit sekitarnya sudah dirobohkan yang digantikan bangunan penginapan bertaraf hotel kepada jemaah yang pastinya memerlukan perbelanjaan yang lebih besar.
Selain istana Raja Arab Saudi yang tersergam indah, kini sudah ada mercu tanda baru iaitu menara jam tertinggi di dunia yang terletak di ZamZam Tower. Di situ juga terletak Kompleks Abraj Al Bait yang menempatkan Hotel Makkah Raffles Centre, kompleks beli-belah, medan selera yang hanya kira-kira 50 meter dari Masjidilharam. Tidak ramai yang tahu, pembinaan menara jam ini turut membabitkan rakyat Malaysia.
Penempatan murah yang ada dan itu pun terpaksa bersaing ketika ini, hanya ada di belakang Hotel Hilton yang menunggu masa untuk dirobohkan. Bagi jemaah menginap di situ, peluang mendengar azan agak tipis kerana dihalang oleh bangunan tinggi. Bagi mereka yang tinggal di ZamZam Tower pula, suara azan disambung terus ke dalam bilik hotel.
Masjid Kuching yang terletak di sebelah Gaza dan Samiyah sudah pun diruntuhkan bagi projek pembangunan dan pelebaran Masjidilharam. Bagi memberikan laluan pembangunan, kerajaan melaksanakan penempatan semula penduduk Makkah di luar kota mengikut pelan perumahan yang lebih terancang. Mereka diberikan imbuhan besar menggantikan tanah diambil demi pembangunan sekitar Masjidilharam.
Kemasukan jemaah ke Tanah Suci dikawal menerusi sistem muassasah dalam usaha membendung kebanjiran pendatang tanpa izin. Projek pembangunan dan pelebaran Masjidilharam dilaksanakan secara berperingkat bagi menampung kemasukan jemaah umrah dan haji yang terus bertambah.
Bagi Kerajaan Arab Saudi yang berpegang kepada mazhab Wahabi, keutamaan lebih kepada kemudahan ibadat yang dituntut kepada umat Islam. Warisan sejarah yang berkait dengan perkembangan Islam dan kehidupan Rasulullah banyak dimusnahkan kerana perbuatan memuja tempat bersejarah itu dianggap bidaah. Demi tuntutan pelebaran Masjidilharam, rumah Siti Khatijah yang juga tempat tinggal Rasulullah diruntuhkan dan dibina tandas wanita. Pasar Zin yang dulu sibuk dengan kegiatan membeli-belah dan di situ ada satu tempat dikenal pasti sebagai tempat turunnya surah Al-Fatihah, juga lenyap tanpa kesan.
Masjid Jin dan Masjid Kuching yang boleh dijadikan tarikan sejarah juga sudah menyembah bumi. Hanya rumah kelahiran Rasulullah saja yang masih utuh dan ada ura-ura juga akan dirobohkan. Telaga ZamZam yang terletak di kawasan Kaabah dan mempunyai ruang untuk jemaah menikmati airnya juga ditutup dalam usaha melebarkan ruang tawaf. Air ZamZam kini dialirkan menerusi paip khas ke luar kota Makkah. Di situlah air ZamZam dikumpulkan untuk dibekalkan kepada orang ramai.
Banyak terowong baru dan jalan bawah tanah dibina untuk mengatasi kesesakan di Masjidilharam. Perubahan ini memudahkan orang ramai berjalan ke Masjidilharam tanpa dihalang kenderaan. Kawasan dataran di Masjidilharam masih menjadi tumpuan penduduk Arab di luar kota berkampung. Di tempat umum itu adaotis yang meminta orang ramai menyimpan barangan sendiri jika tidak mahu ia dialihkan oleh pihak berkuasa ketika membuat kerja pembersihan.
Selain mempunyai ruang tawaf yang luas dan boleh dilakukan di tingkat atas, jemaah juga menikmati kemudahan yang selesa mengerjakan sai dari Safar ke Marwah dengan ruang yang luas dan dibina tiga tingkat.
Bagaimanapun, dalam pesat membangun itu, ada beberapa perkara yang terlepas pandang iaitu kekurangan tandas untuk jemaah melepas hajat dan mengambil wuduk. Ada jemaah terpaksa menggunakan air ZamZam untuk berwuduk. Ada sesetengahnya mengambil tindakan pulang ke hotel bagi urusan itu kerana tidak sanggup berdepan kesesakan dalam tandas yang terhad.
Dulu musim umrah jemaah tidaklah seramai sekarang. Kini antara musim umrah dan haji tiada banyak bezanya kerana tumpuan umat Islam ke Tanah Suci semakin bertambah. Perubahan bukan saja meliputi pembangunan fizikal tetapi juga dari segi moral yang mana pengemis tidak lagi dibiarkan berkeliaran dalam masjid. Dulu memang ketara sekali budak-budak yang cacat anggota meminta sedekah dalam masjid. Keadaan ini tidak lagi berlaku, Bagaimanapun masih ada yang meminta sedekah di sepanjang jalan ke hotel.
Source: Berita Minggu Malaysia Online.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
By Idris Ismail Talu. Lampu minyak tanah @ pelita minyak gas. Pelita minyak tanah ini banyak digunakan terutamanya di rumah-rumah kampong di...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Talu Akar tunjuk langit? Yang satu lagi, buah tunjuk langit? Ramai juga yang agak keliru dengan dua jenis herba ini, kerana ked...
-
Ahmad bin Abdul Rashid Talu Ihsan: Perpustakaan Negara Malaysia. Nama sebenar ialah Ahmad Bogol bin Haji Abdul Rashid bin Sheikh Abdul Majid...
-
By Idris Ismail Talu Nyawa Di Hujung Pedang – begitulah namanya sebuah novel pendek berkaitan sejarah Peperangan Dunia Yang Kedua. Novel pen...
-
(Oleh Tuan Haji Duan Yusof) Bahan-bahannya : Daging Segar (samada daging kerbau atau lembu)- Lebih Kurang 1 kilogram…Lobi...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan