TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Rabu, 11 November 2009

Lawatan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono ke Malaysia

Oleh ROHANI IBRAHIM, pengarang@utusan.com.my
Courtesy: Utusan Malaysia Online/Bernama.

Najib bangga Susilo kunjungi Malaysia.

Foto: Bernama.


KUALA LUMPUR 11 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono yang tiba di sini bagi lawatan dua hari.

Perdana Menteri diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor melakukan kunjungan hormat tersebut di hotel penginapan Susilo.

Najib meluangkan masa kira-kira 20 minit dalam kunjungan ke atas Presiden Indonesia itu yang diiringi isteri, Ani Yudhoyono.

Turut hadir pada sesi kunjungan hormat berkenan ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Jurucakap Susilo, Dino Patti Djalal berkata, pertemuan di antara kedua-dua pemimpin berlangsung dalam suasana penuh mesra.

‘‘Najib menyatakan rasa terima kasih dan bangganya ke atas Susilo yang menjadikan Malaysia sebagai negara pertama dilawati selepas dipilih semula sebagai Presiden.

‘‘Sementara Ani pula mengucapkan terima kasih kepada Rosmah di atas bantuan yang disalurkan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) kepada mangsa gempa bumi di Padang,’’ katanya.

Dino berkata demikian pada sidang akhbar sejurus acara kunjungan hormat berkenaan berakhir.

Beliau turut melahirkan penghargaan di atas layanan baik pemimpin dan masyarakat Malaysia ke atas lawatan pemimpin Indonesia.

‘‘Saya kira, suasana persaudaraan dan kekeluargaan patut dihargai oleh saudara di tanah air bahawa di Malaysia, baik pemerintah dan masyarakat kental sekali rasa hormat mereka terhadap Indonesia,’’ katanya.

Tambah Dino, majlis makan malam yang berlangsung di Sri Satria, Putrajaya malam ini adalah dalam suasana tidak formal dan diserikan dengan majlis kesenian.

‘‘Acara malam ini lebih kepada acara antara dua sahabat atau dua keluarga dan penuh dengan semangat persaudaraan,’’ katanya.

Jelas Dino, esok Susilo dan Najib akan mengadakan perbincangan empat mata diikuti dengan pertemuan bersama Kumpulan Tokoh Terkemuka (EPG) kedua-dua negara yang akan berbincang mengenai masa depan hubungan Malaysia-Indonesia.

Sebelum itu, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengiringi Susilo dan Ani ke hotel penginapan beliau selepas acara sambutan negara di bangunan Parlimen.

Selepas menghabiskan masa kira-kira 30 minit di hotel, pemimpin Indonesia itu bersama isteri berlepas ke Istana Negara untuk melakukan kunjungan hormat ke atas Tuanku Mizan.

Susilo dan Ani kemudiannya kembali ke hotel penginapan lewat petang untuk menerima kunjungan hormat Perdana Menteri dan isteri.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran