TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Rabu, 4 November 2009

Perjalanan Suci Bahagian Ke-IV

Mekah & Madinah 1428H/2007M
By Idris Talu

Mekah
03 Disember 2007


Selepas solat Isya’ kami berkumpul di lobby maktab al Janadiriah untuk melakukan Umrah. Kami dibawa oleh seorang “mutawwif” (jurutunjuk) berbangsa Arab. Mungkin kerajaan Arab Saudi yang menetapkan syarat begitu, penulis tidak tahu.

Rasanya lebih afdal kalau mengikut logiknya, mutawwif sepatutnya boleh berkomunikasi dengan jemaah, sedangkan mutawwif Arab ini cuma komunikasi sehala.

Jemaah ikut saja apa yang dia ucapkan, kalau dia marah, jemaah ajuk marahnya, mukanya bertukar jadi merah, nasib baik tidak hijau macam “incredible hulk”. Itulah ruginya orang tidak belajar ilmu komunikasi! Noktah.

Kami dibawa berjalan kaki dari maktab al Janadiriah menuruni bukit di sekeliling Mekah itu, hingga ke Masjid al Haram sambil bertalbiah dan doa-doa lain yang dibacakan oleh mutawwif tersebut.

Jemaah cukup ramai di dalam Masjid al Haram, Mekah.


Masuk sahaja ke dalam Masjid al Haram, perasaan menjadi cukup syahdu. Qiblat yang kita halakan setiap kali solat kini berada di depan mata. Terlihat sahaja bangunan Ka’abah yang ditutupi kiwsah bewarna hitam itu, perasaan bertambah terharu. Airmata mula mengalir. Dada pun sebak dan mulut tidak dapat berkata apa-apa pun.

Mutawwif memberikan taklimatnya dalam bahasa Arab, untuk memulakan tawaf umrah di belakang garisan yang bersetentang dari sudut Hajar Aswad (garisan itu kini tidak ada lagi). Untung pengajaran yang diberikan oleh Ustaz Bahari di Masjid Sultan Azlan Shah (dekat Politeknik Ungku Umar) tetap dalam ingatan penulis dan isteri.


Kami pun memulakan tawaf umrah perlahan-lahan kerana jemaah yang tawaf malam itu agak ramai. Selesai tawaf, kami sembahyang sunat tawaf yang sepatutnya di kawasan makam Ibrahim, tetapi bila jemaah sudah penuh, sembahyanglah di mana juga yang selamat di lapangan tempat tawaf tersebut.

Selepas selesai solat sunat tawaf, kami minum air zamzam yang banyak tersedia di dalam kawasan Masjid al Haram. Minumlah dengan mengadap ke Ka’abah.

Selepas itu kami dibawa ke Bukit Safa untuk memulakan ibadah Sa’i. Jemaah yang melakukan ibadah Sa’i agak ramai juga. Penulis bersa’i sesuai dengan kemampuan isteri, kerana isteri penulis agak kurang sehat di kala itu.

Setelah bersa’i empat setengah (4.5) pusingan, isteri mengadu kepenatan. Penulis memujuknya berehat di tepi laluan jemaah bersa’i itu. Setelah penatnya berkurangan, penulis beredar mencari “pembantu” yang boleh menolak kerusi beroda untuk jemaah yang tidak mampu berjalan lagi.

Penulis temui seorang pemuda Arab yang boleh bertutur bahasa Inggeris untuk mendapatkan bantuan yang penulis perlukan. Dia pula memanggil seorang pemuda Arab yang lain yang akan melaksanakan tugas tersebut. Setelah bersetuju dengan upahnya, penulis membawa pemuda itu kepada isteri penulis yang menunggu di tepi laluan Sa’i tadi.

Penulis meneruskan ibadah Sa’i yang belum siap. Penulis tidak mampu mengikut kelajuan pemuda Arab yang menolak kerusi roda yang diduduki isteri penulis. Walau pun begitu, setiap kali tiba di Bukit Safa dan Bukit Marwah, pemuda Arab itu berhenti memberi peluang kepada isteri penulis untuk berdoa dan melakukan apa yang sepatutnya dibuat ditempat-tempat tersebut.

Selesai bersa’i, kami pergi ke tempat yang agak selesa di mana ramai jemaah yang sedang bercukur atau mengguntingkan rambut di hujung Bukit Marwah. Penulis dan isteri melakukan ibadah menggunting rambut tersebut di situ. Ramai jemaah lain yang telah lama selesai kerja Sa’i mereka, cuma menunggu kami sahaja.

Isteri penulis yang telah kepenatan, tidak mampu berjalan lagi untuk pulang ke maktab al Janadiriah sejauh 720 meter itu. Penulis berusaha mencari kerusi beroda (wheel chair) yang memang disediakan di situ.

Baliklah kami ke al Janadiriah secara berkumpulan. Ada di antara pekerja Muassasah yang bersama kami turut membantu penulis menolong menolak kerusi beroda isteri penulis hingga ke maktab yang terletak di atas bukit itu.

Sesampai di maktab, penulis membawa isteri ke biliknya sambil berpesan supaya jangan tidur dahulu kerana penulis ingin mencari teh panas untuknya di bawah maktab. Selepas mendapat teh panas, penulis membawanya kepada isteri yang masih kepenatan tadi.

Walaupun dia kurang berselera meminum teh panas tersebut, tetapi kelihatan lebih cergas bila air teh yang sederhana suam itu masuk ke perutnya. Penulis memujuknya untuk berehat sahaja malam itu.

Penulis balik ke bilik, kemudian ke bilik mandi untuk mengelap badan yang kurang enak itu sebelum masuk tidur.

Setelah selesai bergunting tadi, kini kami sudah boleh berpakaian biasa semula. Kain ihram penulis akan dibawa ke dobi besok pagi.

Malam itu, dengan kepenatan sepanjang malam tadi, ditambah aircond bilik yang sejuk itu, penulis tidur lena.


©IdrisTalu@2007

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran