TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Isnin, 22 November 2010

Apa agenda ekonomi Melayu?

Oleh Dr. Noor Azlan Ghazali
21 November 2010
.


Saya mengajukan persoalan ini kepada orang Melayu dan juga keseluruhan rakyat Malaysia. Apakah agenda ekonomi orang Melayu? Soalannya ringkas tetapi jawapannya mungkin tidak semudah yang disangka.

Mencabar dan menguji keupayaan kita untuk berbicara mengenai sesuatu yang amat penting secara terbuka. Mungkin bukan sahaja orang Melayu, tetapi rakyat berbangsa Cina, India, dan lain-lain juga ingin tahu.

Bukan perkara asing lagi untuk semua rakyat Malaysia. Kedudukan ekonomi Melayu adalah perkara pokok dalam proses pembangunan negara. Sejauh mana kemajuan yang dicapai dianggap memuaskan sebahagian besarnya secara langsung atau tidak tertakluk kepada sejauh mana ia mampu melonjakkan status sosio-ekonomi orang Melayu. Apa tidaknya, asalnya Malaysia adalah Tanah Melayu. Sekitar 54 peratus penduduk Malaysia berbangsa Melayu.

Sejarah telah menempatkan orang Melayu dan beberapa bangsa yang lain sebagai masyarakat bumiputera tanpa mengenepikan hak rakyat Malaysia dari bangsa lain. Pastinya sebarang perubahan yang dilaksanakan semestinya mengambil perhatian yang besar kesannya ke atas orang Melayu. Tajuk ini tajuk negara. Ia wajar dibincangkan di pelantar utama di Putrajaya bukan sekadar di medan-medan kecil dan terpinggir. Semua rakyat Malaysia khususnya barisan pemimpin harus memahami, berasa selesa dan bertanggungjawab membincangkan tajuk ini.

Dalam setiap aspek pembangunan; sistem pendidikan, pembangunan industri, kemajuan wilayah, pembangunan keusahawanan, dasar kewangan, proses globalisasi dan sebagainya, penilaian bagaimana ia mengesani masyarakat Melayu sering menjadi pengukur penting, dalam menggubal dan membuat keputusan sama ada untuk diteruskan ataupun sebaliknya.

Begitulah hakikatnya rentak pembangunan negara kita. Tiada apa yang perlu diselindungi. Di samping konteks negara, polisi pembangunan sememangnya perlu dianalisis dalam konteks kemajuan bangsa Melayu. Adakah kita mempunyai kepakaran untuk melaksanakan penilaian ini? Secara sistematik dan profesional didasari pada asas ekonomi dan fakta yang kukuh.

Kesepakatan dalam pembangunan

Namun, ini bukannya lesen untuk membantutkan pertumbuhan ekonomi negara. Ini bukan juga lesen untuk menghalang rakyat berbangsa lain dari terus melonjak ke hadapan. Dalam negara berbilang bangsa seperti Malaysia, semangat maju bersama mesti dipupuk dan dipegang kukuh. Perhatian utama ialah bagaimana kek ekonomi negara dapat diperbesarkan. Sebaik yang boleh semuanya menang belaka, Melayu suka, Cina gembira, India ceria, Kadazan girang, Iban riang.

Pengukuhan ekonomi negara memerlukan kesepakatan. Umpama dalam peperangan, yang nak ditewaskan musuh bukannya rejimen yang lain. Malaysia berhadapan dengan cabaran besar. Arus globalisasi dan kemajuan teknologi yang begitu pantas menghambat kita. Strategi perlu diatur segera. Sedar atau tidak, negara Vietnam yang dahulunya di tahun 1980 hampir tidak langsung ( 0 peratus) menerima pelaburan asing yang melabuh ke Asia Tenggara kini sudah menerima pelaburan asing yang hampir sama jumlahnya dengan jumlah yang diterima oleh Malaysia. Terkejut, gundah, pedih, risau, semuanya ada.

Malaysia kini di persimpangan yang amat penting. Model Baru Ekonomi (MEB) menjadi pertaruhan besar kita. Tahun 2020 hanya tinggal 10 tahun lagi, tempoh yang pendek bagi tujuan pembangunan. Sejarah mengatur medan politik negara berdasarkan kumpulan bangsa. Selagi ini medannya, maka wajarlah setiap bangsa mengatur strategi masing-masing tetapi bersyarat mesti seiring dengan strategi pembangunan negara. Kemudiannya diharmonikan agar jangan ada yang tertembak sesama sendiri. Mungkin ini satu cabang 1 Malaysia yang perlu digembelengkan.

Strategi 'co-opetition', berkerjasama dan bersaing secara serentak secara sihat baik untuk Malaysia. Dengan 53 tahun kemerdekaan, Malaysia sudah cukup matang untuk membangun secara majmuk, berkompromi dan memenuhi kehendak semua pihak secara saksama. Di sudut mata dunia, inilah antara keunikan dan kekuatan Malaysia yang disegani. Serata dunia kita menjaja Malaysia Truly Asia. Kalau ia berjaya untuk pelancongan, mengapa tidak untuk kemajuan semua bangsa. Jangan beremosi tetapi meletakkan fakta dan asas yang jelas bagi menterjemahkan sesuatu hasrat.

Ke manakah ekonomi orang Melayu?

Ke mana agaknya nak kita tuju? Apakah hasrat ekonomi orang Melayu? Apakah ukuran terbaik mengukur kejayaan ekonomi orang Melayu? Kalau ditanya sebahagian besar rakyat Malaysia, jawapannya, 30 peratus! Versi terkini ada pula yang kata 50 peratus, 60 peratus dan bermacam lagi. Benarkah kalau penguasaan ekuiti 30 peratus dicapai kita dianggap berjaya dan selesa? Bagaimanakah semua ini akan tercapai? Apakah strategi dan agenda kita? Masih tidak jelas. Apa pun pengiraan dan kewajaran di sebalik angka-angka peratusan penguasaan ekuiti ini, apa yang perlu dilaksanakan masih samar untuk diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan yang berkesan.

Kalau kita membina rumah tentu ada pelan dan susun atur pembinaannya. Sebelum mula membina kita sudah mula melakar dan membayangkan bagaimanakah bentuknya apabila siap nanti. Pembinaan dirancang dan dilaksanakan secara berperingkat. Cepat atau lambat bergantung pada usaha kita. Mesti ada koordinasi yang baik. Tidak boleh dibina bumbung tanpa ada tiangnya. Tidak boleh dibina tiang tanpa ada tapaknya. Siapakah yang melakar pelan rumah ekonomi orang Melayu? Bagaimanakah rupanya rumah ekonomi orang Melayu yang hendak dibina? Siapa yang bertanggungjawab membina dan memantau pembinaannya? Di manakah tiang dan tapak rumah ekonomi orang Melayu?

Kita memerlukan satu pelan strategik yang komprehensif dengan terjemahan keberhasilan yang jelas, difahami dan disokong semua. Kita seharusnya mempunyai kesepakatan dalam pelan ini. Rumah ekonomi orang Melayu besar sifatnya-bagai istana. Banyak 'pekerja' yang terlibat-pendidik, usahawan, ilmuan agama, ahli sains dan teknologi, pakar kewangan, perancang pembangunan, pembina infrastruktur, aktivis budaya, dan sebagainya. Setiapnya berfungsi secara berbeza tetapi dengan pelan yang jelas kita mampu membina, memantau, menilai dan menyemak kemajuan sepanjang pembinaan istana ini. Tidaklah istana yang diharap tetapi pondok jadinya.

Agenda Strategik Ekonomi Melayu: Penyertaan-Pemilikan-Penguasaan (3P)

Dalam tempoh 53 tahun Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah memberi impak yang besar kepada peningkatan sosio-ekonomi orang Melayu. Jangan dinafikan kemajuan yang dicapai. Hidup kita lebih selesa. Pada tahun 2009, pendapatan bulanan purata isi rumah bumiputera ialah RM3,624. Benar, dari segi jumlah masih lebih rendah dari bangsa China (RM5,011) dan India (RM3,999). Ini bukan bererti kita lemah. Jangan salah tafsir data purata ekonomi ini. Bumiputra merupakan komposisi terbesar dan begitu tersebar sifatnya. Yang lebih penting walaupun komposisi kita besar, dalam tempoh lima tahun yang lepas (2004-2009), berbanding bangsa lain, pertumbuhan tahunan purata pendapatan bumiputra mencatat kadar tertinggi iaitu enam peratus (China: 2.5 peratus dan India:3.0 peratus). Ini petanda yang amat baik menuju ke arah keserataan nilai.

DEB serampang bermata dua. Yang pertama jelas kemajuannya. Pada tahun 2009 kadar kemiskinan ialah 3.8 peratus jauh menurun dari lebih dari 50 peratus awal 70-an. Usaha membasmi kemiskinan perlu diteruskan. Perhatian dan tenaga kita perlu dikerah pada yang mata yang kedua, perihal struktur dan penguasaan kek ekonomi rakyat Malaysia.

Agenda ekonomi Melayu perlu bersifat strategik. Keberhasilan apa jua langkah memajukan ekonomi orang Melayu perlu menuju ke matlamat akhir yang sama iaitu mencapai kedudukan ekonomi yang mantap dan lestari, mempunyai organiknya yang tersendiri untuk terus mengukuh. Dengan pencapaian ini kita perlu secara teratur dan dan terancang berani melepaskan tongkat polisi afirmatif kerajaan tanpa menjejaskan apa yang telah dicapai. Polisi afirmatif jangan dibuang langsung tetapi digunakan sebagai jaringan keselematan bagi yang memerlukan. Untuk menjadi strategik dan membenih sifat organik, agenda ekonomi Melayu perlu mensasarkan kepada 3P: Penyertaan, Pemilikan, dan Penguasaan.

Source: Mingguan Malaysia Online

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran