oleh Zulkefli Hamzah
'Selamat datang ke Yokohama! Bersama-sama 3.68 juta warga, saya dengan tulus ikhlas mengucapkan selamat datang kepada setiap anda semua.'
Kad ucapan ringkas Datuk Bandar Yokohama, Fumiko Hayashi yang diletakkan di setiap bilik penginapan kira-kira 8,000 delegasi Sidang Kemuncak Kerjasama Asia Pasifik (APEC) itu, begitu menyentuh perasaan.
Bukan kerana ayat yang digunakan tetapi keikhlasan itu diterjemahkan oleh warga kota Yokohama. Daripada sukarelawan APEC, pasukan keselamatan sehinggalah peniaga, semuanya mempamerkan kemesraan yang ternampak tulus ikhlas, bukan dibuat-buat.
Mungkin itulah ciri-ciri dan mentaliti masyarakat negara maju, yang kita di Malaysia akan melaluinya pada tahun 2020. Memang Yokohama, sebuah bandar pelabuhan yang asalnya adalah desa nelayan telah mempersiapkan dirinya dengan teliti dan terperinci untuk menganjurkan sidang kemuncak 21 buah negara APEC ini.
Pelbagai program dianjurkan yang melibatkan warga untuk menyambut delegasi APEC. Antaranya bengkel di seluruh bandar ini untuk mengambil gambar 'senyum' yang diabadikan dalam gambar mozek setinggi 1.5 meter dan juga poster APEC. Mereka yang tidak berpeluang menghadiri bengkel ini boleh menghantar gambar 'senyum' melalui telefon bimbit.
Dari Jun hingga Julai lalu pula, wakil daripada 14 negara terpilih APEC membuat lawatan di 20 buah sekolah rendah untuk berinteraksi dengan pelajar. Mereka akan memperkenalkan sejarah, bahasa, muzik, makanan, permainan dan seni mempertahankan diri kepada pelajar. Tujuannya untuk menanam minat generasi masa depan mengenai sejarah dan budaya negara anggota pertubuhan berusia 21 tahun itu.
Selari dengan peranannya sebagai bandar pintar, syarikat gergasi Nissan, Panasonic, Toshiba, Tokyo Electric, Tokyo Gas, Accenture dan Meidensha Corp., yang bergabung tenaga dengan kerajaan dan warga membangunkan model kota masa depan, turut terlibat mempromosikan sistem dan teknologi hijau mereka.
Projek bandar pintar, satu eksperimen untuk mencapai pertumbuhan mampan melalui inovasi dan perubahan gaya hidup penduduk, yang modelnya akan dijual kepada negara berminat, begitu dirasai.
Usah fikirkan aspek penggunaan sumber alternatif seperti angin, matahari dan tenaga nuklear mahupun penjimatan tenaga elektrik dan air. Bandar ini memang jauh ke depan. Soal pelepasan karbon yang dikatakan menjadi punca pemanasan global menjadi keutamaan bukan sahaja kepada kerajaan dan industri tetapi warganya.
Hal sekecil rokok pun menjadi perhatian sehinggakan ramai mengeluh susahnya untuk merokok di bandar ini.
Larangan merokok hampir tersebar di seluruh kawasan terutama di Minato Mirai 21 yang seluas 186 hektar itu. Di setiap tempat (jumlahnya tidak banyak) disediakan pondok khusus untuk penagih rokok. Minato Mirai 21 ialah kawasan pelabuhan yang dibangunkan semula sebagai bandar canggih sejak 1983 yang menjadi lokasi berlangsungnya mesyuarat APEC.
Begitu juga di hotel, perokok tidak boleh sewenang-wenangnya melepaskan gian mereka walaupun di kawasan perkarangan. Kaedahnya sama di lapangan terbang, yang hanya boleh merokok di bilik khusus perokok sahaja. Perokok dianggap sebagai perosak alam sekitar.
Hampir tidak ada restoran yang menyediakan tempat untuk merokok. Tetapi mujurlah bagi kaki rokok yang harganya masih murah di negara mereka, peraturan itu dilonggarkan di beberapa buah restoran sebaik sahaja APEC berakhir.
Menariknya, warga bandar ini begitu patuh dengan peraturan termasuk hal kecil berkaitan rokok itu. Mungkin mereka boleh ditakrif sebagai masyarakat rigid tetapi kesannya begitu membanggakan.
Orang Jepun seperti diketahui ramai juga amat sensitif dalam soal mengurus masa. Dalam hal mengisi perut pun tiada kompromi. Semasa seminar Invest Malaysia 2010 di Tokyo, makanan disajikan di dalam kotak yang diletakkan di setiap meja peserta. Sambil makan tengah hari, mereka mendengar taklimat. Praktikal dan tidak membuang masa.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai delegasi Malaysia juga melalui pengalaman 'cepat dan tepat waktu' orang Jepun ini semasa majlis makan tengah hari pemimpin APEC pada hari terakhir persidangan.
Katanya: "Tadi kita makan tengah hari paling cepat dalam sejarah, setengah jam selesai. Presiden Peru kata ini adalah majlis makan tengah hari paling pantas yang pernah dia hadiri. Ada sesetengah negara duduk sampai dua jam bersembang."
Seperti imej bandar maju lainnya, tiada sampah dan tiada pula tong sampah. Mungkinkah suasana seperti ini boleh berlaku di Malaysia 10 tahun lagi? Yokohama bersama Curitiba (Brazil), Stockholm (Sweden), Singapura dan Brisbane (Australia) yang dipilih oleh Bank Dunia sebagai model bandar ekologi juga sangat efisien dalam pengurusan sisa pepejal.
Pendekatan bersepadunya telah berjaya mengurangkan 38.7 peratus sisa pepejal walaupun populasi penduduk meningkat kepada 170,000 orang. Bayangkan sahaja pendekatan itu dilaporkan telah menyelamatkan kos AS$1.1 bilion (RM3.41 bilion). Jika tidak, dua insinerator terpaksa diperbaharui yang sekali gus menjimatkan kos operasi dan penyelenggaraan tahunan sebanyak AS$6 juta (RM18.6 juta).
Seperkara lagi ialah sikap kebertanggungjawaban orang Jepun yang sentiasa bersungguh-sungguh dengan apa juga kerja yang mereka lakukan. Pengemas bilik hotel umpamanya, walaupun sudah berumur tetapi sentiasa terkejar-kejar untuk menyiapkan tugasnya. Setiap tugas mahu dibereskan dengan cepat dan cekap. Jauh sekali untuk curi tulang. Mungkin sebab itu kita selalu mendengar seorang Pegawai Ketua Eksekutif (CEO) negara ini rela membunuh diri jika gagal dalam tugasnya. Seorang menteri sanggup melepaskan jawatan atas kejadian buruk yang menimpa kementeriannya.
Sikap kerja bersungguh-sungguh ini juga ditunjukkan oleh para sukarelawan APEC yang sentiasa tekun melayani kerenah delegasi asing termasuk daripada media. Mereka komited dengan tugas yang diamanahkan walaupun hanya sebagai sukarelawan. Tumiko, sukarelawan yang terlibat menguruskan perjalanan bas perantara ke lokasi mesyuarat umpamanya, sentiasa bersungguh-sungguh menunjukkan arah jalan atau apa sahaja soalan yang diajukan. Dia sanggup ikut sama berjalan bagi memastikan destinasi yang dituju betul. Jangan terperanjat, dia adalah seorang banker.
Begitu juga Asaki, sukarelawan di lapangan terbang Narita yang sanggup membantu mengangkat beg untuk dimasukkan ke dalam bas. Juga jangan terperanjat, pesara ini mempunyai perniagaan di Amerika Syarikat. Bagi Tumiko dan Asaki, demi maruah Jepun, mereka sanggup 'menggantung' status yang ada.
Pengalaman di Yokohama dan Tokyo memberikan pelajaran bahawa status negara maju bukan sahaja tertakluk kepada tahap kemajuan yang ada. Ia mesti diiringi dengan mentaliti masyarakatnya. Negara kelas pertama juga mesti mempunyai masyarakat bermentaliti kelas pertama. Yokohama dan warganya telah menunjukkan teladan. Contohilah mereka.
Source: Utusan Malaysia Online
TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Ismail Talu. Lampu minyak tanah @ pelita minyak gas. Pelita minyak tanah ini banyak digunakan terutamanya di rumah-rumah kampong di...
-
By Idris Talu Akar tunjuk langit? Yang satu lagi, buah tunjuk langit? Ramai juga yang agak keliru dengan dua jenis herba ini, kerana ked...
-
By Idris Ismail Talu. Di negeri Perak, buah nadir ini dinamakan sebagai buat “seralat” atau “salat” sahaja. Sementara di tempat-tempat lain ...
-
(Oleh Tuan Haji Duan Yusof) Bahan-bahannya : Daging Segar (samada daging kerbau atau lembu)- Lebih Kurang 1 kilogram…Lobi...
-
Perjuangan Bangsa Mempertahankan Tulisan Jawi Source: Utusan Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan