TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Isnin, 8 November 2010

Sanggup beratur 3 jam untuk masuk Ekspo Dunia

Penulis: Hazirah Che Sab, zeehan@bharian.com.my

Ekspo Dunia 2010 di Shanghai selama enam bulan yang berakhir 31 Oktober lalu mencipta rekod apabila dikunjungi 73 juta orang dari seluruh dunia, mengatasi rekod 64 juta pengunjung dicatatkan ekspo sama di Osaka, Jepun pada 1970.



SELEPAS Beijing bermegah dengan penganjuran Sukan Olimpik 2008, kali ini giliran Shanghai pula mengambil alih tumpuan apabila menjadi tuan rumah Ekspo Dunia 2010 yang menjadi ekspo paling mahal pernah diadakan dalam sejarah pesta dunia. Tapak ekspo seluas 5.28 kilometer persegi yang terletak di tebing Sungai Huangpu itu juga diiktiraf kawasan pesta terbesar di dunia. Ekspo berkenaan diadakan setiap lima tahun dan kali ini ia menelan kos sehingga AS$58 bilion (RM185 bilion). Bertemakan ‘Better City - City Life’, ekspo yang berlangsung selama enam bulan berakhir 31 Oktober lalu itu juga mencatat sejarah sebagai yang termahal pernah diadakan. Ia yang pertama kali dihoskan negara membangun menarik penyertaan 246 negara dan organisasi antarabangsa.

Shanghai memperoleh markah tertinggi dalam setiap empat pusingan undian pada Mesyuarat Biro Pameran Antarabangsa ke-132 di Monte Carlo, diikuti bandar raya Yeosu di Korea Selatan yang kekal di tempat kedua.


Selepas memenangi bidaan menjadi hos ekspo itu pada 2002, Shanghai memulakan usaha membentuk semula bandar raya terbabit dengan mengosongkan kawasan seluas 2.6 kilometer persegi di sepanjang Sungai Huangpu, termasuk memindahkan 18,000 keluarga dan 270 kilang.

Enam landasan kereta api bawah tanah baru dibuka antara 2008 dan 2010 manakala 4,000 teksi baru ditambah setiap sebulan menjelang pembukaan ekspo itu.
Kini, kawasan ekspo terbabit dipenuhi astaka atau pavilion, taman ukiran, kedai dan arena sukan serta pusat persembahan seni yang berbentuk piring terbang, malah Shanghai turut melatih lebih 1.7 juta sukarelawan untuk tujuan itu.

Penulis yang menyertai rombongan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, melakukan lawatan kerja ke bandar raya berkenaan sempat melawat 16 astaka yang rata-ratanya begitu kreatif, baik dari segi pembinaan struktur itu sendiri atau pengisiannya.

Antara yang paling menarik perhatian ialah astaka Arab Saudi yang dibina dengan kos lebih RM500 juta berbentuk bot bulan serta dikelilingi padang pasir dan laut, seperti senario di negara Timur Tengah itu sendiri.

Selain 150 batang pokok kurma dan khemah tradisi puak Badawi, astaka di kawasan seluas 6,000 meter persegi itu turut menempatkan tarikan utama yang paling mahal iaitu skrin gergasi IMAX, sebesar 1,600 meter persegi dan lebih besar daripada mana-mana skrin pawagam.


Menariknya pengunjung seolah-olah menaiki permaidani terbang sebaik berada di dalam astaka ini selain berpeluang menikmati gambaran kecantikan semula jadi Arab Saudi dan melihat kemakmuran budayanya.

Astaka tuan rumah tidak kurang menariknya dengan pembinaan struktur setinggi 63 meter, tertinggi dan termahal di ekspo itu. Pegawai China bagaimanapun enggan mendedah kos sebenar pembinaan astaka berkenaan.

Struktur astaka yang dinamakan `The Crown of The East’ itu mempunyai bumbung tersendiri, diperbuat daripada kekuda tradisional berusia lebih 2,000 tahun. Komponen struktur unik itu antara elemen paling penting dalam seni pembinaan China.

Agak mengecewakan apabila astaka Malaysia yang menelan kos sehingga RM20 juta tidak begitu menonjol, malah tidak menepati tema ekspo. Dengan bumbung Minangkabau, astaka di tapak seluas 3,000 meter itu tak ubah seperti mini Pasar Seni di Kuala Lumpur yang banyak menjual cenderamata tetapi tidak mengetengahkan tarikan sebenar negara.

Dengan bajet RM20 juta, ia sepatutnya boleh menjadi jauh lebih baik daripada struktur dipersembahkan Kemboja dan Thailand yang menarik dengan hiasan dan pertunjukan tersendiri.

Apapun, negara tuan rumah nyata berusaha menepati tema ekspo berkenaan apabila menyediakan pengangkutan mesra alam seperti bas elektrik yang bergerak dengan senyap. Kenderaan itu perlu dicas apabila tiba di perhentian.

Berbanding warga asing, rakyat tempatan lebih ramai kelihatan mengunjungi ekspo itu. Mungkin itu pengorbanan mereka untuk tanah air yang diberi penghormatan menganjurkan program bertaraf dunia sehingga tidak kisah beratur tiga jam untuk memasuki astaka popular seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, China dan Jepun.

Source: Berita Minggu Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran