TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Ahad, 28 November 2010
Menghormati kepelbagaian agama
Tan Sri Dr Harussani Zakaria.
Firman Allah SWT di dalam surah Al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).
Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)".
Al-Imam Al-Qurthubi ketika menafsirkan ayat ini membawa sebuah hadis dari Abu Nadhrah bahawa beliau telah mendengar dari mereka yang menyaksikan Baginda SAW berkhutbah pada hari tasyrik, baginda bersabda yang bermaksud " Wahai manusia, ketahuilah sesungguhnya Rabb-mu itu satu, datuk moyangmu satu, ketahuilah tiada kelebihan bagi seorang arab itu berbanding orang 'ajam ( bukan arab ), atau seorang 'ajam berbanding seorang arab, atau seorang yang hitam kulitnya berbanding mereka yang kemerah-merahan kulitnya, atau mereka yang kemerah-merahan kulitnya berbanding seorang yang hitam kulitnya kecuali dengan taqwa. Adakah aku telah menyampaikan hal ini? Maka mereka yang berada di situ pun menjawab : Ya. Sambung Baginda SAW : Sampaikan oleh mu yang hadir kepada mereka yang tiada".
Al-Imam Al-Tabari menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah "taa'rafu" itu ialah "kenal-mengenali antara satu sama lain, seolahnya Allah SWT menyatakan bahawa sesungguhnya kami menjadikan kamu berbangsa dan berpuak, untuk kamu saling kenal-mengenali antara satu dengan yang lain, bukan untuk berbangga-bangga dengannya, dan dekatilah Allah SWT. Ini kerana kemuliaan seseorang itu hanyalah dengan taqwa kamu kepada Allah SWT."
Perkataan "taa'rafu" pada ayat ini mencetuskan hikmah yang pelbagai dan memberi kefahaman kepada kita tentang persoalan apakah motif utama manusia diciptakan dari pelbagai bangsa, budaya dan warna kulit. Matlamatnya supaya mereka saling berkenalan, beramah mesra dan menghormati antara satu sama lain, bukannya untuk saling memusuhi, bercakaran, menghina dan menggugurkan maruah antara sesama manusia.
Konsep ta'aruf antara sesama muslim biarpun dilahir dan dididik dalam suasana yang berlainan bangsa dan etnik ialah dengan mengeratkan ukhwah Islam. Manakala ta'aruf dengan non-muslim ialah "sulh" bermaksud membina dan memupuk situasi damai dan harmonis dengan mereka. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT di dalam surah Al-Anfal ayat 61 yang bermaksud " Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka Engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya ia Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui."
Dalam paparan hidup Rasulullah SAW, telah digambarkan manifestasi bagaimana hubungan dengan bukan Islam telah dititik beratkan oleh Baginda SAW. Ini telah terbukti berdasarkan catatan di dalam sahifah (perlembagaan ) Madinah di dalam fasal tertentu seperti di fasal 16 yang menyatakan "Bahawa sesungguhnya kaum yahudi yang setia kepada kita ( negara ), berhak mendapat bantuan dan perlindungan, tidak boleh dikurangi haknya dan tidak diasingkan dari pergaulan umum". Begitu juga di fasal 24 yang menyatakan "Kaum Yahudi dari suku Banu Auf adalah satu ummah dengan warga yang beriman. Kaum Yahudi bebas memeluk agama mereka, dan kaum muslimin bebas memeluk agama mereka".
Saya bersetuju dengan hasil penulisan beberapa penulis yang berpendapat bahawa untuk merealisasikan hubungan yang harmonis antara umat Islam dengan non-muslim hari ini, beberapa perkara perlu diambil perhatian antaranya ialah mewujudkan situasi dan persekitaran yang harmonis, damai dan sejahtera di mana, setiap insan tanpa mengira agama dan bangsa dapat hidup dengan aman dan damai tanpa ketakutan dengan ancaman dan gangguan pihak lain.
Di samping itu, semua pihak perlu berusaha memupuk semangat setiakawan dan mahabbah supaya tiada perasaan hasad dengki, dendam, curiga-mencurigai dan mementingkan diri sendiri. Begitu juga, perlulah membina semangat kerjasama dan saling tolong-menolong dalam menjaga kestabilan perjalanan kehidupan dalam kehidupan masyarakat.
Barangkali dalam hal ini, saya ingin mencatatkan memori lalu tentang perhubungan saya yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Kadi Besar Pulau Pinang dengan Mendiang Tun Dr. Lim Chong Eu mantan Ketua Menteri Pulau Pinang. Saya menilai perhubungan ini sebagai detik manis dalam hidup saya sebagai seorang Islam dan beliau sebagai seorang non Muslim.
Biarpun beliau bukan seorang Islam, namun sikap hormatnya terhadap saya dan Institusi Agama membuatkan saya terfikir bahawa alangkah indahnya jika sikap sedemikian dipraktiskan oleh semua rakan pemimpin yang bukan beragama Islam tidak kira apa pegangan politik mereka.
Ceramah
Pernah suatu ketika beliau menghadirkan diri dalam Program Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang dan mengikuti sesi ceramah sehingga tamat program tersebut. Walhal jika diteliti, sebagai pemimpin bukan beragama Islam apa perlunya beliau berada di majlis tersebut di samping kesibukannya dengan tugasan yang lain.
Beliau boleh meninggalkan majlis dengan beralasan terlalu sibuk seperti mana alasan yang diberikan oleh sebahagian pemimpin-pemimpin kita dewasa ini. Barangkali, menghadirkan diri mendengar ceramah dan peringatan bersama-sama masyarakat bawahan merupakan sesuatu yang membosankan sehingga kesibukan dijadikan alasan. Ini tidak berlaku pada beliau, beliau tetap bersama dengan masyarakat Islam biarpun pemimpin-pemimpin Islam yang lain tidak hadir ketika itu. Pernah beliau melontar idea supaya dibukukan bahan syarahan tersebut dan dibuat pengedaran kepada masyarakat Pulau Pinang.
Malah pernah beliau bertanya kepada saya ketika bertemu sewaktu Majlis Pertabalan Sultan Perak suatu ketika dahulu "Adakah anda gembira berada di Perak? Sekiranya tidak anda boleh kembali ke Penang". Malah, sewaktu saya bertugas di Pulau Pinang, beliau sentiasa peka terhadap Institusi Agama sama ada berkaitan perbelanjaan, infrastruktur dan tenaga kerja. Bukanlah hasrat saya mahu mencetuskan kebanggaan dalam diri akibat dari perhubungan istimewa ini, dan bukan untuk menjunjung sikap baiknya, akan tetapi sekadar melontar beberapa persoalan di kalangan pembaca, apakah masih wujud pemimpin non muslim seperti ini?.
Pemimpin yang menyedari hakikat perletakan dirinya dengan menjunjung Perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi dan hak-hak keistimewaan orang Melayu. Agaknya sudah tidak ramai pemimpin yang sebegini dalam negara kita yang bersikap sedemikian. Jika ada pun, hanya sebilangan kecil sementara selainnya terpaksa tunduk kepada desakan akar umbi yang mendesak sesuatu yang tidak wajar kepada kerajaan.
Apakah kita sudah lupa 7 wasiat yang pernah dititah oleh Raja Muda Perak Darul Ridzuan Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Shah yang dibaca semasa rancangan berita Perdana TV 1 pada 6 Ogos 2009 yang antara lain menyatakan pada wasiat yang Kelima iaitu "Kami isytiharkan Islam ialah Agama Persekutuan" serta wasiat ketujuh iaitu "Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain".
Saya menganggapnya sebagai wasiat yang bukan sahaja harus dipegang oleh bangsa Melayu, malah segenap lapisan masyarakat yang menetap di atas tanah daratan yang dinamakan Malaysia.
Bak kata pepatah Melayu, 'di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung', 'orang berbudi, kita berbahasa, orang memberi, kita merasa' merupakan sebahagian garis luhur dalam masyarakat yang berbilang kaum seperti di Malaysia.
Jika hari ini semua kita dalam pelbagai bangsa dapat berpijak di atas bumi yang tanah yang kita cintai ini dengan menjunjung mana yang ringan, yang berat sama-sama dipikul, saya berkeyakinan kestabilan sosial, ekonomi dan kedaulatan Negara akan dapat kita pertahankan. Kita dan bangsa kita akan dihormati selagi mana kita menghormati orang lain begitulah sebaliknya. Akhirnya ucapan takziah saya ucapkan pada keluarga mendiang Tun Dr. Lim Chong Eu.
Source: Mingguan Malaysia Online.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Ismail Talu. Lampu minyak tanah @ pelita minyak gas. Pelita minyak tanah ini banyak digunakan terutamanya di rumah-rumah kampong di...
-
By Idris Talu Akar tunjuk langit? Yang satu lagi, buah tunjuk langit? Ramai juga yang agak keliru dengan dua jenis herba ini, kerana ked...
-
By Idris Ismail Talu. Di negeri Perak, buah nadir ini dinamakan sebagai buat “seralat” atau “salat” sahaja. Sementara di tempat-tempat lain ...
-
(Oleh Tuan Haji Duan Yusof) Bahan-bahannya : Daging Segar (samada daging kerbau atau lembu)- Lebih Kurang 1 kilogram…Lobi...
-
Perjuangan Bangsa Mempertahankan Tulisan Jawi Source: Utusan Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan