TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 15 Januari 2012

Jaringan Melayu Malaysia dedah ada pihak promosi LGBT, seks bebas kepada pelajar

15 Januari 2012.

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini mendedahkan terdapat usaha pihak yang menyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mempromosi pesta seks bebas dalam kalangan pelajar khususnya di kawasan Lembah Klang dan Selangor.

Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, maklumat itu diperolehi hasil hubungan baik pihaknya dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di beberapa sekolah sekitar kawasan berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat itu, pihak terbabit bukan sahaja mempromosi seks bebas kepada pelajar, malah mereka sanggup menaja kegiatan jijik itu dengan turut menawarkan tempat, minuman keras percuma, pil khayal selain menggalakkan bertukar-tukar pasangan.

"Keadaan diburukkan lagi apabila pelajar-pelajar ini tidak hadir ke sekolah dan tidak pulang ke rumah beberapa hari.

"Oleh itu, tindakan yang menyokong LGBT serta seks songsang mengumpan pelajar-pelajar ke pesta seks bebas adalah satu tindakan berniat jahat dan bertujuan merosakkan masa depan pelajar dan sistem kekeluargaan," katanya.

Beliau berkata demikian sebelum bermulanya mesyuarat JMM bersama 10 PIBG bagi menubuhkan satu Jawatankuasa Bertindak Menangani LGBT di Ampang dekat sini hari ini.

JMM merupakan salah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini yang begitu aktif menentang aktiviti LGBT kerana jelas perbuatan tersebut amat dilarang oleh agama serta bertentangan dengan moral dan fitrah manusia.

Azwanddin berkata, perkembangan yang berlaku itu amat menggusarkan hati ibu bapa apatah lagi aktiviti serta kumpulan LGBT turut mendapat sokongan golongan profesional seperti Majlis Peguam termasuk bekas Presidennya, Datuk S. Ambiga.

"Ibu bapa berasa cemas apabila melihat kenyataan golongan menyokong program seksualiti merdeka (berkaitan LGBT). Kumpulan ini cuba memberi persepsi palsu mengenai kebaikan program itu.

"Hakikatnya, LGBT dan seks bebas bukan hak asasi manusia tetapi ia merupakan satu perbuatan paling jijik. Islam mengharamkan perbuatan itu. Ia bertentangan dengan akidah Islam.

"Agama lain seperti Kristian, Buddha dan Hindu juga menolak perbuatan itu. Bukan itu sahaja, ada di antara perbuatan LGBT diklasifikasikan sebagai perbuatan jenayah antaranya liwat," ujarnya.

Ekoran perkembangan itu, Azwanddin berkata, JMM mengorak langkah mengadakan kerjasama lebih erat dengan seberapa banyak PIBG di Lembah Klang dan Selangor bagi menyedarkan ibu bapa mengenai bahaya LGBT.

"Kita perlu menyedarkan ibu bapa bahawa LGBT membawa kemudaratan kepada masyarakat serta keluarga, lebih-lebih lagi Islam mengharamkan perbuatan jijik itu," katanya.

Melalui kerjasama tersebut, katanya, JMM dan PIBG melakukan aktiviti di sekolah agar pelajar diberi pendedahan mengenai gejala LGBT yang kini dilihat semakin menular.

"Kita akan mengedarkan risalah serta mengadakan beberapa aktiviti bagi menerangkan kesan LGBT kepada agama, negara dan sosial jika perbuatan jijik itu dibiarkan begitu sahaja," katanya.

Source: Utusan Malaysia Online.

Isnin, 9 Januari 2012

Sayong, Kuala Kangsar

By Idris Ismail Talu.

Pembangunan di Lembah Sayong, Kuala Kangsar Perak.

Pesisir Sungai di Sayong, Kuala Kangsar, Perak.


Sultan Abdul Jalil, Kuala Kangsar, Perak.

Bunga Telang

By Idris Ismail Talu.

Pokok bunga Telang atau kacang Telang, merupakan sejenis tumbuhan kekacang yang antara lain mempunyai kuntum bunga yang berwarna agak kebiruan.

Bunga Telang yang cantik.

Kepada peminat nasi kerabu di pantai timur, bunga telang ini digunakan sebagai pewarna nasi kerabu tersebut.

Bunga Telang.

Nama saintifiknya ialah Clitoria ternatea dari keluarga Fabaceae. Dalam bahasa Indonesia ianya juga dikenali sebagai bunga teleng selain bunga telang, atau bunga biru. Di Thailand dikenali sebagai dok anchan atau ดอกอัญชัน.

Gulai asam rong - resipi istimewa dari Raub

Teks dan gambar Kusyi Hirdan


MUNGKIN ada pembaca yang sudah tahu mengenai buah perah ini. Mereka yang berada di Terengganu, Perak, Pahang dan mungkin juga negeri lain sudah pernah melihat dan merasa buahnya.

Tetapi percayalah, masih ramai yang tidak tahu. Apa dan bagaimanakah buah perah? Ia asing kepada kita tetapi tidak di Raub, Pahang.

Buah Perah terkenal di Raub tetapi malangnya ketika mengunjungi Raub beberapa minggu lalu, bukan musimnya. Buah perah seperti buah kayu yang lain juga, ada musim dan tidak ada sepanjang tahun. Walaupun ada banyak dijual di pasar yang sudah dijeruk, untuk melihat buah yang sebenar tentu saja sukar.

Kredit gambar : Kusyi Hirdan & Harian Metro Malaysia Online.

Daripada orang tempatan, kami diberitahu mengenai sebuah kampung tidak jauh dari bandar yang orang kampungnya sentiasa mempunyai stok buah perah di rumah mereka. Nama kampung itu, Kampung Batu Malim. Tidak sukar hendak ke sana kerana ikut saja tanda arah yang diberikan di tepi jalan.

Batu Malim terletak kira-kira 22 kilometer dari Raub. Melalui pertanyaan pertama dengan orang kampung mengenai buah perah, kami disuruh bertanya pula pada seorang ‘ustazah’ yang mempunyai restoran di pinggir sungai Lipis berdekatan jambatan di situ. Disebabkan hanya ada satu saja jambatan di Batu Malim maka senang kami menjejak restoran ‘ustazah’.

Ternyata ustazah yang dimaksudkan memang tidak lokek berkongsi ilmu dengan penulis mengenai buah perah. Kami dipertunjukkan beberapa biji buah perah yang sudah dikupas, juga buah yang sudah ditumbuk dan dijeruk.

“Buah perah seperti buah getah saja. Isinya dikeluarkan dan dijemur sehingga kering. Ia perlukan cuaca panas dan kadangkala sehingga tiga minggu untuk menjadikan ia benar-benar kering. Tahap keringnya sehingga buah itu menjadi rapuh dan mudah dipatahkan,” kata pembantu ustazah kepada kami sambil menambah, proses seterusnya ialah menumbuk dengan sedikit air sebelum dijerukkan di dalam balang.

Setelah dijeruk, buah perah itu dipanggil asam rong. Mengapa dipanggil demikian tidak diketahui tetapi begitulah namanya sejak sekian lama.

Dinamakan asam, rasa asam rong ini tidak masam sebagaimana asam keping. Ia agak lemak dan dimasukkan ke dalam gulai untuk memekatkan kuah dengan rasanya yang tersendiri. Kena cuba baru tahu dan menikmatinya.

“Asam rong yang kami beli ini harganya RM20 sekilo,” beritahu ustazah.

Kredit gambar : Kusyi Hirdan & Harian Metro Malaysia Online.

Harganya agak tinggi memandangkan untuk mendapatkan buah perah bukan proses yang mudah. Ia buah yang berada di dalam hutan. Selain itu, untuk menjadikannya jeruk juga perlu mengambil masa.

“Gulai asam rong perlu pedas kerana itulah keistimewaannya. Untuk seekor ayam biasanya saya menggunakan semangkuk kecil lada dan kira-kira 300 gram asam rong. Kuah kena pekat. Antara penyedap masakan asam ini ialah terung pipit dan pucuk paku. Boleh juga ditambah petai sekiranya suka,” kata ustazah yang sudah lebih 40 tahun menetap di Batu Malim.

Ustazah berasal dari Bota Kanan, Perak dan berhijrah ke situ bersama suaminya selepas setahun berumahtangga.

Hari yang sudah petang dan lauk pauk di restoran ustazah sudah habis membuatkan hari itu kami tidak berjaya menemui gulai asam rong serta tidak dapat berbual panjang dengan ustazah.

Namun, wanita yang baik hati itu sudi memasakkan lauk popular itu untuk Harian Metro keesokan harinya.

Hari kedua, kami ke tempat sama sebelum waktu makan tengah hari dan terus disambut ustazah yang menyangka kami tidak jadi datang. Masakan kami tidak datang kerana bukan mudah kami dapat merasai gulai asam rong di Kuala Lumpur!
Nampaknya bahan untuk memasak gulai asam rong sudah disediakan ustazah dibantu anak-anaknya di kedai itu. Dapat juga kami saling berkenalan dan bersembang.

“Nama saya Teh Zainah Kulop Mat Dait. Saya digelar ustazah di sini kerana dulu saya mengajar bahagian agama di kelas Kemas,” cerita ustazah, 70, yang membuka kedainya di situ tujuh tahun lalu. Begitulah sejarah Teh Zainah yang lebih dikenali dengan panggilan ustazah oleh penduduk kampung.

Kedai yang diberi nama Santapan Warisan Kedai Kak Teh selain menjual nasi campur juga menjual pisang dan keledek goreng serta laksa utara dan mi kari yang popular kerana kesedapannya.

“Biasanya orang yang baru pertama kali makan gulai asam rong ini mereka akan sangka ia seperti kari. Bila rasa baru tahu ia langsung tak sama dan kepedasannya yang menyengat adalah tarikan utama resipi ini,” katanya.

Pedas adalah identiti gulai asam rong. Selain itu, asam keping, kunyit dan asam rong mesti tepat rencahnya.

Setelah merasai gulai yang dimasak ustazah, penulis merasakan kepekatan, garam dan kepedasan sebenarnya boleh mengikut selera kita sendiri. Sebabnya, setiap orang kadang�kala tidak suka terlalu pedas berbanding orang tempatan yang sudah biasa dengan cara begitu.

Melalui sembang dengan pengunjung gerai ustazah, mereka memberitahu, boleh dikatakan semua rumah di kampung sekitar ada menyimpan asam rong di rumah mereka. Mungkin sama seperti kita yang mempunyai stok asam keping.

Gulai siput asam rong.

“Kenduri kahwin atau kenduri-kendara biasa, gulai asam rong sentiasa menjadi menu utama tetapi bukan semua orang pandai membuatnya. Sekiranya tidak pandai, rasa gulai tak menjadi. Antara yang sedap memasak gulai asam rong, ustazahlah!” kata seorang penduduk kampung.

Selain ayam, gulai asam rong boleh juga menggunakan ikan dan daging rusa. Untuk ikan, biasanya ia menggunakan ikan keli

Source: Harian Metro Malaysia Online.

Modul baru PLKN bantu pelatih obes - Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR 9 Jan. - Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan melakukan penambahbaikan terhadap modul latihan fizikal Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) termasuk mengadakan program baru bagi pelatih yang mempunyai masalah berat badan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perubahan yang akan dilaksanakan pada tahun ini bertujuan memastikan modul dilaksanakan untuk pelatih sentiasa relevan dengan perubahan semasa.

"Kita telah melantik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk membuat kajian terperinci terhadap pembaikan modul sedia ada kerana setiap tahun kita mengadakan perubahan.

"Kali ini UPSI secara terperinci mencadangkan beberapa penambahbaikan diperlukan supaya hasil yang diperolehi peserta bertambah baik termasuk membantu pelatih mengurangkan berat badan," katanya selepas mengadakan lintas langsung bagi rancangan Malaysia Hari Ini di Kem PLKN Temasya Rimba Templer dekat sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Menurut Zahid, selain perubahan pada modul fizikal, JLKN juga akan melaksanakan penambahbaikan terhadap modul kenegaraan agar ia lebih menyeronokkan dan bermaklumat.

Mengenai pencapaian modul I-SMART bagi memastikan pelatih menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira, beliau menjelaskan, kesemua pelatih tersebut telah menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding sebelumnya.

"Namun perlu ada tindakan susulan supaya ia tidak menjadi kekangan apabila mereka memasuki alam pekerjaan. Sebagai pekerja, mereka akan jadi liabiliti jika ketiga-tiga unsur tersebut tidak dikuasai sehingga ke tahap yang dikehendaki," ujarnya.

Source: Utusan Malaysia Online.

Musim Buah Di Perak

By Idris Ismail Talu

Musim buah-buahan masih meriah di negeri Perak Darul Ridzuan. Dari Tanjung Malim di Selatan, hingga ke Pengkalan Hulu (Keroh) di Hulu Perak, buah-buahan tempatan seperti durian, manggis, langsat, dokong, rambutan dan sebagainya, mudah diperolehi dengan harga yang cukup sederhana.

Durian Perak.



Manggis dan rambutan.




Lebih RM90j untuk mantapkan Belum Rainforest Resort di Banding, Gerik.

09/01/2012

Gambar: Utusan Malaysia Online.


KUALA LUMPUR 8 Jan. - Kumpulan Emkay milik tokoh korporat terkemuka, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar telah membelanjakan RM95 juta untuk meningkatkan kemudahan pusat peranginan alam semula jadi Belum Rainforest Resort (BRR) di Gerik, Perak.

Pusat peranginan itu akan mempunyai tambahan 36 buah bilik, menjadikan jumlah keseluruhan 112 bilik pada pertengahan tahun depan kata Pengurus Besar (Operasi) M.K.N Group Sdn. Bhd., Wan Rashidi Wan Ibrahim.

Jeti Banding di Pulau Banding Gerik.

M.K.N Group adalah sebahagian daripada Kumpulan Emkay yang memiliki BRR. BRR kini diurus pihak luar iaitu Ri-Yaz Hotels & Resort.

Selain menambah bilangan bilik, BRR yang sebelum ini dikenali sebagai Banding Island Resort, juga akan mempunyai lima bilik rawatan Spa, enam buah rumah kampung dan sebuah kolam renang.

Keindahan Tasik Temengor di Banding.

Difahamkan BRR sedang melaksanakan fasa kedua untuk meningkatkan kemudahannya melibatkan kos RM20 juta setelah dikuasai oleh Emkay Group pada bulan Julai 2008.

Pusat peranginan itu yang tidak jauh dari Gerik dan lokasi terletak di atas sebuah pulau di dalam tasik buatan manusia, sejak tempoh tersebut telah berubah wajah dan mempunyai 70 bilik berbanding 27 buah bilik ketika diambil alih.

Menurut Pengurus BRR, Noraini Ahmad, enam buah rumah kampung yang akan dibina mempunyai keluasan antara 600 hingga 1,000 kaki persegi dengan sebuah rumah dengan tiga bilik tidur, dua buah rumah dengan dua bilik tidur dan tiga buah rumah dengan satu bilik tidur.

Source: Utusan Malaysia Online.

28 produk IKS ke China

09/01/2012

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Sebanyak 28 produk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan bernilai RM15 juta akan menembusi pasaran China bulan ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, kesemua produk di bawah jenama 1Malaysia Best yang terdiri daripada makanan ringan dan sejuk beku itu merupakan sebahagian daripada lebih 2,000 produk yang terdapat di My Agro Hypermart, Taman Pameran Pertanian Serdang (MAEPS) dekat Serdang.

Katanya, syarikat China itu amat berpuas hati dengan kualiti, pembungkusan dan penjenamaan produk IKS negara yang memenuhi syarat yang ditetapkan negara berkenaan.

''Kita bercadang untuk meningkatkan lagi jumlah produk IKS dari My Agro Hypermart untuk dieksport ke luar negara selepas ini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan My Agro Hypermart dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Raihan Sharif; Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Datuk Dr. Abd. Shukor Abd. Rahman dan Pengarah Urusan Rukun Saksama Sdn. Bhd., Datuk Jamal Md. Yunos.

My Agro Hypermart merupakan kerjasama antara kementerian dengan Rukun Saksama dalam mengumpul dan memasarkan produk IKS ke peringkat tertinggi.

Noh dalam pada itu berkata, matlamat utama kementerian menubuhkan My Agro Hypermart adalah bagi mengumpulkan produk-produk IKS yang sebelum ini 'berselerak' di bawah satu bumbung.

Pada masa sama, katanya, pasar raya itu juga akan menjadi pusat sehenti kepada produk IKS dalam usaha memberi kemudahan kepada syarikat luar negara yang ingin membeli barangan tempatan dengan menggunakan jenama 1Malaysia Best.

"Justeru, kita menyasarkan 13,000 produk IKS dapat dikumpulkan melalui My Agro Hypermart," katanya.

"Saya yakin My Agro Hypermart akan setanding dengan pasar raya antarabangsa, sekali gus menjadi kebanggaan kita," katanya.

Sementara itu, Noh berkata, usahawan yang ingin membuka pasar raya seumpama itu boleh menggunakan bangunan kementerian di seluruh negara sekiranya ia didapati sesuai bagi tujuan berkenaan.

''Kita bersedia bekerjasama dan memberi nasihat sekiranya ada usahawan yang tampil untuk membuka pasar raya itu, namun kita tidak akan membantu dari segi modal dan geran," katanya.

Source: Utusan Malaysia Online

Buku mengenai sistem Kabinet Malaysia dilancar

08/01/2012

RAWANG 7 Jan. — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam melancarkan buku bertajuk 1Malaysia Cabinet: Reflecting on Cabinet Governing, karya Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Buku itu yang memaparkan sejarah awal sistem Kabinet di Semenanjung Tanah Melayu kepada sistem pentadbiran kerajaan, merupakan susulan kepada buku Cabinet Governing in Malaysia yang diterbitkan pada 2009.

Rais dalam ucapannya ketika memperkenalkan buku itu pada majlis pelancaran Program Komuniti 1Malaysia (K1M) di Padang Jalan Kantan, Bukit Sentosa di sini, berkata pelancaran itu memberi nostalgia kepada dirinya kerana buku terdahulu juga dilancarkan Najib, yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri.

Menggunakan nama pena Dasury, Rais berharap buku itu dapat diterjemahkan yang kemudiannya diserap dalam semangat 1Malaysia, digilap dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Buku setebal 545 muka surat itu menjelaskan mengenai Parlimen, bidang-bidang eksekutif, perundangan, kehakiman dan perkhidmatan awam, diterbitkan bersempena dengan sambutan kemerdekaan ke-54 dan Hari Malaysia.

Rais berkata buku itu amat sesuai dijadikan koleksi atau sumber rujukan oleh ahli politik serta masyarakat keseluruhannya.

Perdana Menteri pada majlis itu turut menyampaikan anugerah kepada K1M Mukim 4, Simpang Kiri, Batu Pahat, Johor yang muncul sebagai Johan pertandingan K1M peringkat kebangsaan, sekaligus membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000, piala dan sijil.

Tempat kedua disandang K1M Mukim Rungkup, Teluk Intan, Perak dan K1M Sinulihan, Keningau, Sabah di tempat ketiga, masing-masing memenangi RM7,000 dan RM4,000 beserta piala iringan dan sijil.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Anggota Parlimen Hulu Selangor P. Kamalanathan. — BERNAMA

Source: Utusan Malaysia Online

Rabu, 4 Januari 2012

Mengenang Almarhum Prof. Dr. Haji Abdul Malik Abdul Karim Amrullah

By Idris Ismail Talu

Source gambar: Utusan Malaysia

Almarhum Prof. Dr. Haji Abdul Malik Abdul Karim Amrullah, atau yang lebih biasa dikenali sebagai Buya Hamka yang telah dilahirkan di Maninjau pada 17 Februari 1908. Menghampiri tarikh kelahiran Buya pada bulan hadapan, kita (penulis)mulai dengan menampilkan semula beberapa buah buku hasil karya Almarhum Buya.

Kita mulakan dengan buku novel Tenggelamnya kapal van der Wijck yang ditulis beliau dalam tahun 1938, yang beliau katakan, “semasa darah muda masih cepat alirnya dalam diri, ketika khayal serta sentiment masih ,memenuhi jiwa.” Ketika itu Almarhum Buya baru berumur 31 tahun.

Muka buku novel Tenggelamnya kapal van der Wijck.

Novel ini mula diterbitkan secara bersiri dalam majalah yang dipimpin oleh Almarhum sendiri yang bernama “Pedoman Masyarakat”.

Tulisan beliau cukup disenangi ramai pembaca ketika itu. Ramai juga yang memberikan komen membina kerana cerita yang dipaparkan ada yang menyamai pengalaman pembaca sendiri. Malah ada yang bertanya adakah penulisnya menceriterakan kisah hidupnya sendiri?

Setelah penyiaran bersiri dalam majalah “Pedoman Masyarakat” selesai, novel “Tenggelamnya kapal van der Wijck” telah diterbitkan dalam bentuk buku oleh Sdr. M. Sjarkawi. Novel tersebut dijual laris seperti pisang goreng panas. Tidak lama selepas diterbitkan dalam bentuk buku, ianya habis terjual.

Salah seorang sahabatnya yang sehingga kini masih aktif dalam dakwah Islamiah pernah bertanya dengan Almarhum, “Tidakkah Buya ingin meneruskan menulis novel-novel seperti Tenggelamnya kapal van der Wijck?”

Almarhum Buya menjawab dengan menyebut nama sahabat karibnya itu, “Terlalu banyak kerja dakwah yang menjadi tanggungjawab kita yang perlu kita dahulukan!” Beliau merasakan adalah menjadi tanggungjawab beliau dan sekalian para pendakwah di rantau ini untuk mempertingkatkan usaha dakwah dan penyebaran ilmu Islam ke seluruh Nusantara ini.

Sekian dahulu buat kali ini.

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran