TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Memaparkan catatan dengan label Sukan Komonwel XIX - New Delhi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sukan Komonwel XIX - New Delhi. Papar semua catatan

Isnin, 18 Oktober 2010

Usah salah faham

Sumber: Harian Metro Malaysia Online.

Oleh Hadzlan Hassan dan Mohd Nasif Badruddin, am@hmetro.com.my


DESAS-DESUS mengenai jumlah sebenar ganjaran diberikan kepada atlit yang berjaya mengharumkan nama negara dengan membawa pulang pingat emas, perak dan gangsa Sukan Komanwel New Delhi terjawab apabila bakal memperolehi habuan masing-masing dalam tempoh terdekat.


Bukan itu sahaja, atlet negara yang berjaya membawa pulang 12 emas, 10 perak serta 14 gangsa akan menerima habuan atas kecemerlangan dipamerkan di bangunan Parlimen.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata atlit yang meraih emas akan menerima habuan RM80,000, perak (RM40,000) dan gangsa (RM20,000) membabitkan peruntukan dikeluarkan untuk imbuhan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Atlit Kebangsaan (SHAKAM) Majlis Sukan Negara berjumlah RM2.3 juta.

“Semua atlet akan menerima habuan wang tunai tanpa sesenpun pemotongan dan tidak timbul masalah sumber kewangan mencukupi atau sebaliknya.

“Kabinet sudah bersetuju dan sebagai penghargaan kerajaan atas kecemerlangan dipamerkan atlet, kita memilih bangunan Parlimen sebagai lokasi untuk majlis penyampaian habuan,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian penutup Konvesyen Terengganu 2010, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Beliau juga mengakui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetap akan membuat kajian mengenai pemberian ganjaran kepada atlet yang berjaya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa pada masa akan datang, tetapi tidak timbul masalah kerajaan kekurangan peruntukan.

“Jangan timbul soal sama ada kita mampu atau tidak...termasuk mengurangkan jumlah ganjaran. Apa yang kita maksudkan ialah skim itu sudah lama tidak dibuat kajian dan berkemungkinan ganjaran akan ditambah, termasuk menawarkan insentif dalam bentuk barangan.

“Apa yang saya maksud ialah untuk mengkaji semula jumlah tambahan ganjaran tanpa mengambil kira soal kemampuan kewangan kerana KBS akan berusaha untuk mendapatkan sumbangan pihak swasta bagi menambah dana untuk tabung itu.

“Kajian termasuk memberi anugerah dalam bentuk lain mengikut kesesuaian seperti ditawarkan kerajaan di beberapa negara lain turut diambil kira, tetapi jangan sekali-kali timbulkan soal pengurangan ganjaran,” katanya.

Ahmad Shabery berkata, KBS sedar jika dikurangkan jumlah ganjaran, semangat atlet terutamanya untuk bersaing pada Sukan Asia Guangzhou pada 12 November depan mungkin terjejas.

“Jika kita kurangkan ganjaran, jumlah yang akan diterima atlet hanyalah 70 peratus kerana 20 peratus akan diagihkan kepada jurulatih, manakala 10 peratus lagi untuk persatuan yang diwakili atlet,” katanya yang mengakui jumlah ganjaran ditawarkan atlet lebih tinggi jika dibandingkan dengan beberapa negara termasuk Australia.

Source: http://www.hmetro.com.my/articles/20101018022536/Article

Jumaat, 15 Oktober 2010

Kutip 4 emas lagi untuk lakar sejarah baru

Sumber: Berita Harian Malaysia Online
Tarikh Siar: 15 Oktober 2010.


KONTINJEN negara berundur dari temasya New Delhi sambil gah mengibar Jalur Gemilang semalam - segala-gala terarah kepada episod gembira dengan tambahan empat pingat emas buat mengatasi sasaran awal dan melakar sejarah pencapaian terbaik dalam temasya Sukan Komanwel.

Jumlah itu - tiga dari badminton dan satu dari ratu gimnas berirama, Elaine Koon - memberi pungutan keseluruhan 12 emas buat mengatasi angka 10 yang ghairah disebut-sebut sebelum ini.


Elaine - nama yang kurang diberikan perhatian - membutirkan emas ke-10 selepas membuat kejutan memenangi acara gelung gimrama selepas beregu campuran, Koo Kien Keat-Chin Ee Hui memulakan buruan pada awal pagi.

Dua emas bonus menyusul daripada Lee Chong Wei dan Kien Keat-Tan Boon Heong untuk mencipta rekod unik pencapaian terbaik di luar gelanggang sendiri, selain mengatasi angka 10 di Kuala Lumpur 1998.

Di Melbourne 2006, kontinjen negara pulang dengan 7-12-10.


“Kita menang beberapa emas daripada acara yang tidak dijangkakan dan ini turut membantu pencapaian terbaik kita,” kata Chef de Mission, Tan Sri Abdul Halil Mutalib.

“Syabas kepada atlit negara yang buat kita bangga dan kini harus bersiap lebih mantap untuk temasya 2014.”


Pencapaian kali ini membanggakan ketika kontinjen negara mengutip purata satu emas setiap hari sejak temasya bermula 4 Oktober lalu.

Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Terbaik_/Article

Selasa, 12 Oktober 2010

Terjunan ajaib Pandelela

Sumber: Berita Harian Malaysia Online.
Tarikh siar: 12 Oktober 2010.

Daripada V Ashok di New Delhi, bhsukan@bharian.com.my



KONTINJEN negara kembali ceria, malam tadi dengan pungutan pingat emas ketujuh dan berterima kasih kepada keringat penerjun muda, Pandelela Rinong yang gah mengungguli acara 10 meter platform wanita di Kompleks Sukan SPM dengan terjunan terakhir yang baik buat melakar sejarah bagi dirinya.



Dua lagi pingat menyusul daripada lawn bowl apabila pasangan negara, Nor Hashimah Ismail dan Zuraini Khalid meraih perak acara pairs wanita selepas tewas kepada England dalam final manakala gangsa daripada pasangan pairs lelaki menerusi Khairul Anuar Abdul Kadir dan Fairul Izwan Abd Muin buat mendekatkan sasaran 10 emas.


Pandedela - anak muda dari Sarawak berusia 17 tahun itu menguntum senyuman dengan wajah matang ketika naik podium untuk melakar sejarah selaku pemenang emas pertama dalam acara terjun Sukan Komanwel selepas merakamkan jumlah keseluruhan 371.05 mata untuk menewaskan penerjun Australia, Melissa Wu (perak) dan Alexandra Croak (gangsa).

Pendelela Rinong (tengah) diapit pemenang pingat perak -Melissa Wu (kiri)
Alexandra Croak , pingat gangsa.

“Saya gembira hari ini. Pingat emas ini saya hadiahkan untuk ibu dan ayah tercinta. Satu ketika saya kecewa apabila membuat terjunan kurang baik pada pusingan kedua dan pada saat itu saya hanya terbayang peluang untuk berada dalam kelompok tiga terbaik saja,” kata Pandelela.

“Pada terjunan terakhir, jurulatih kata jangan buat salah. Dia kata jika buat salah, saya tidak akan dapat emas. Apabila saya naik tangga ke platform, saya ingat pesanan jurulatih dan melakukan yang terbaik. Memang cabaran hari ini kuat. Dua penerjun Australia memang hebat.”

Jelas kemenangan amat tipis apabila penerjun negara hanya menewaskan lawan terdekat dengan perbezaan perpuluhan 0.60 mata saja selepas Melissa memberi saingan sengit sehingga ke terjunan terakhir dalam acara membabitkan 12 peserta

Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/TerjunanajaibPandelela/Article

Isnin, 11 Oktober 2010

Sasaran Pingat Dalam Jangkauan

Sumber: Berita Harian Malaysia Online.
Tarikh siar: 11 Oktober 2010.

Daripada V Ashok di New Delhi, bhsukan@bharian.com.my

10+2 kita akan dapat tidak lama lagi: Chef de Mission


DENGAN enam pingat dalam tangan, hajat menepati sasaran 10 emas di Sukan Komanwel XIX New Delhi 2010 seperti dalam jangkauan ketika badminton, lawn bowl, terjun dan skuasy dijangka mampu mengisi baki sasaran berkenaan.

Apapun, Chef de Mission, Tan Sri Abdul Halil Mutalib berkata, walaupun temasya sudah melepasi separuh perjalanan, secara peribadi sasaran itu boleh diatasi dan firasatnya mengatakan ia bukan mustahil. “Sasaran saya adalah 10 + 2... kita akan dapat tidak lama lagi,” katanya yang ceria dengan pencapaian atlit negara setakat ini, ketika ini.

Dia melihat lawn bowl mampu menyumbang tiga sambil mengharapkan tiga atau empat daripada badminton dan memuji komitmen atlit dan pegawai yang sentiasa mahu mengejar pingat sebelum temasya berakhir, Khamis ini.

“Selain itu, skuasy juga ada harapan menyumbang lagi pingat. Jangan lupa acara menembak juga boleh membuat kejutan lagi,” katanya yang hadir menyaksikan pencapaian pingat perak dan gangsa Nur Ayuni Halim dan Nur Suryani Mohamed Taibi dalam acara 10 meter air rifle individu wanita, semalam.

Begitupun, selain perak dan gangsa itu, kontinjen negara sedikit terkedu apabila sebutir emas yang diharapkan menerusi pasangan penerjun 10 meter berirama wanita, Leong Mun Yee dan Pandelela Rinong semalam, tidak kesampaian apabila sekadar mengutip perak menjadikan keseluruhan kini - 6 emas, 7 perak dan 7 gangsa.
Setakat ini, pungutan emas menyusul daripada angkat berat yang menyumbang dua manakala skuasy, basikal, menembak dan badminton masing-masing satu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong pula menjangkakan kontinjen negara mampu melakar sejarah dengan pungutan emas terbesar di luar Kuala Lumpur.

“Jumlah 10 tampak tidak mustahil berpandu kepada trend atlit kita kerap memenangi pingat ketika ini... hanya masa akan menjawab sasaran itu tidak lama lagi.

Badminton dan lawn bowl boleh menjadi penyumbang besar. Kita tidak tahu dari mana kejutan akan berlaku lagi selepas angkat berat (Arrico Jumitih) dan menembak sudah membuktikan,” katanya.

Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sasarandalamjangkauan/Article

Ahad, 10 Oktober 2010

Foto Sukan Komanwel









Sebahagian daripada gambar-gambar kejayaan atlit Malaysia di temasya Sukan Komanwel XIX yang masih berlangsung di New Delhi, India.

Foto ihsan Utusan Malaysia Online.

Foto ihsan Utusan Malaysia Online.

Foto ihsan Utusan Malaysia Online.

Kejutan emas lapang sasar

Sumber: Mingguan Malaysia Online
Tarikh siar: 10 Oktober 2010.

NEW DELHI - Pingat emas daripada acara tidak diduga, menembak bukan saja menyelamatkan hari keenam kontinjen Malaysia pada Sukan Komanwel XIX, malah meningkatkan keyakinan bahawa sasaran 10 emas mampu dicapai.


Nur Suryani Mohd. Taibi dan Nur Ayuni Halim menghadiahkan pingat tunggal negara semalam dengan memenangi acara 10 meter air rifle berpasangan wanita, sekali gus menghadiahkan emas keenam Malaysia setakat ini

Malah, kemenangan itu turut menamatkan kemarau 12 tahun menembak yang kali terakhir merangkul emas Sukan Komanwel menerusi Nurul Hudda Baharin pada Temasya 1998 di Kuala Lumpur dalam saingan 10m air rifel wanita individu.

Pada ketika Temasya New Delhi masih berbaki lima hari dan acara tumpuan seperti badminton, boling padang serta skuasy masih berlangsung, potensi untuk menokok empat lagi emas bagi melengkapkan angka '10' dianggap realistik.

Badminton yang memulakan kempen individu semalam berada pada landasan yang baik untuk sekurang-kurangnya menambah tiga emas dalam perseorangan dan beregu lelaki, selain beregu wanita. Namun, dua pasangan beregu campuran, Koo Kien Keat-Chin Eei Hui dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying juga berpotensi menghadirkan kejutan emas.

Selepas gagal memenuhi sasaran emas dalam recurve berpasukan lelaki apabila merangkul perak kelmarin, lapang sasar memanah di Kompleks Sukan Yamuna terus suram apabila harapan pingat menerusi Fatin Nurfatehah Mat Salleh dalam acara compound individu wanita tidak kesampaian apabila dia kalah 5-6 kepada pemanah England, Nicky Hunt di suku akhir.

Bagaimanapun, dua pemanah berpengalaman, Cheng Chu Sian dan S. Anbarassi bakal membawa misi menebus kegagalan apabila turun dalam saingan recurve individu lelaki dan wanita hari ini. Kedua-dua pemanah akan memulakan aksi di peringkat suku akhir.

Boling padang juga semakin menghampiri podium apabila peserta lelaki dan wanita negara layak ke suku akhir trio. Kombinasi lelaki, Azim Azami Mohd. Ariffin, Syed Mohamad Syed Akil dan Mohd. Amir Mohammad mengalahkan trio Botswana 4-7, 17-3, 5-3 untuk bertemu Australia hari ini.

Pemain harapan negara, Safuan Said bagaimanapun mengalami kekalahan mengejut dalam kempen pembukaan perseorangan lelaki apabila tewas kepada pemain tuan rumah, Raja Mohammad, namun penyandang juara perseorangan wanita, Siti Zalina Ahmad bermula baik dengan mengalahkan rakan senegara Raja, Farzana Khan 2-0. – Utusan

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran