TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Sabtu, 21 Disember 2013

Sultan Ahmad Shah raikan sambutan ke-100 Sekolah Clifford Kuala Lipis

Sebahagian tetamu yang menghadiri Majlis Perasmian Perayaan Sambutan 100 Tahun Sekolah Clifford di Kuala Lipis, Pahang, pada 14 Disember 2013.- Foto ihsan Utusan Malaysia.


KUALA LIPIS 15 Dis. - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berbangga dapat meraikan sambutan ke-100 Sekolah Clifford yang pernah baginda bersekolah pada 1946 iaitu ketika berusia 16 tahun.

Baginda bertitah, menjejakkan kaki di Sekolah Clifford yang penuh bersejarah ini dapat mengimbau dan menggamit kembali 1,001 memori sewaktu belajar selama dua tahun.

"Inilah satu-satunya sekolah yang cukup bermakna bagi saya. Pada 1964, saya bersama paduka ayahanda Almarhum Sultan Abu Bakar hadir meraikan Jubli Emas.

"Pada 1975 pula saya sekali lagi hadir meraikan sambutan Jubli Intan dan hari ini dengan izin Allah SWT saya berkesempatan hadir untuk menyaksikan sambutan 100 tahun usia sekolah ini," titah baginda dalam Majlis Perasmian Perayaan Sambutan 100 Tahun Sekolah Clifford dan Pengisytiharan Nama Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, di sini malam tadi.

Turut berangkat ialah Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mohamad Safian Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Sambutan 100 Tahun Sekolah Clifford, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak dan Yang Dipertua, Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Clifford Lipis (LOCA), Shaaban Jaafar.

Lebih 1,000 bekas pelajar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan usia termasuk penyanyi, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin hadir memeriahkan majlis walaupun dalam keadaan hujan.

Pada majlis tersebut, baginda turut mengisytiharkan dewan SMK Clifford sebagai Dewan Sultan Haji Ahmad Shah.

"Saya berharap sejajar dengan pengisytiharan tersebut, pelajar dapat menghayati dan meneruskan kecemerlangan serta kegemilangan dalam pendidikan pada masa akan datang.

"Saya juga berharap bekas pelajar Sekolah Clifford dapat memberi bantuan dalam apa jua bentuk dalam memastikan sekolah ini berada di landasan kecemerlangan dan gemilang di persada negara," titah baginda.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20131216/pe_02/Sultan-Ahmad-Shah-raikan-sambutan-ke-100-Sekolah-Clifford#ixzz2o6Nw6iqS

© Utusan Melayu (M) Bhd




Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran