TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 11 November 2012

'Perak Man' akan dipulangkan ke Lenggong



Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI, pengarang@utusan.com.my
ARKIB : 11/11/2012

LENGGONG 10 Nov. - 'Perak Man', kerangka purba paling lengkap pernah ditemui akhirnya akan pulang ke tempat asalnya di Lembah Lenggong di sini, setelah mendapat persetujuan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim ketika mengumumkan perkara itu berkata, upacara pemindahan rangka berusia kira-kira 11,000 tahun lalu itu akan dilakukan selepas segala kemudahan menempatkannya siap dibina dalam tempoh dua tahun.

Beliau memberitahu, pihak kementerian belum menetapkan secara khusus sama ada rangka itu akan ditempatkan di Muzium Arkeologi Lenggong atau tempat baharu yang bakal dibina kerana bergantung kepada garis panduan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"Itu memang dalam perancangan tetapi prasarananya mesti siap dahulu. Ini termasuk bangunannya, pengawasannya, cara menyimpan, alat yang tidak menyebabkan bakteria muncul dan memusnahkan rangka. Ini semua kita ambil kira.

"Selepas semua ini dapat disiapkan, barulah upacara pemindahan dapat dilakukan," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam majlis meraikan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO yang dihadiri lebih 3,000 orang di Dataran Lenggong, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, beliau turut menyerahkan watikah pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan melancarkan laman web warisan arkeologi Lembah Lenggong.

Tapak Arkeologi Lembah Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO semasa mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia ke-36 di Saint Petersburg, Rusia pada 30 Jun lalu.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran