TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Rabu, 21 November 2012

KERABU DAGING KERBAU CARA URANG RAO



Idris Talu
Kerabu daging kerbau cara urang Rao
atau "Asam Koba".

Kerabu daging kerbau cara urang Rao ini biasanya dihidangkan oleh orang Rao atau lidah di Perak menyebutnya Rawa – sedangkan makna rawa ialah tanah lembap berpaya.

 Sdr. Subari Ahmad.

Mengikut sahabat saya, Sdr Subari Ahmad atau yang lebih dikenali dengan nama penanya Arisel BA, orang Rao di Mapattunggal, Sumtera menyebutnya sebagai “Asam Koba”.

Untuk peminat-peminat “Kerabu Daging Kerbau cara Rao” atau “Asam Koba, inilah resepinya.
 Bahan-Bahan Untuk Direbus Dulu.
 Bahan-bahannya:
2 kilogram daging kerbau yang baru (segar, bukan daging sejuk beku atau daging yang di import). 

Daging ini seeloknya dipotong dadu, lebihkurang empat persegi dengan ukuran 2.5 X 2.5 inci. 

Atau kalau suka lebih besar boleh dibesarkan saiz dagingnya, misalnya 3 inci X 3 inci – terpulang kepada kesukaan masing-masing.

Cabai burung @ cabai Melaka.


Ada yang suka dicampur dengan perut muda atau limpa atau pun hati, terpulanglah. Kepada yang paras kolestrolnya sudah tinggi, elok lupakan bahan-bahan dalaman ini. 
Gunakan daging merah pun sudah mencukupi.

3 sudu besar serbuk ketumbar – samada ditumbuk sendiri selepas digoreng atau beli yang sudah dikisar di pasar.
Santan dari dua biji kelapa.
2 sudu besar kerisik
1 sudu besar serbuk jintan putih
1 sudu besar serbuk jintan manis
6 ulas bawang merah (di sesetengah tempat kata bawang kecik, bukan bawang merah yang besar itu) dimayang atau diracik nipis-nipis.
5 ulas bawang putih ditumbuk hancur.
1.5 (satu stengah) inci halia diracik nipis-nipis.
3 helai daun limau purut
2 helai daun kunyit muda disimpulkan.
4 batang serai ditumbuk pecah-pecah.
2 inci isi kunyit basah atau hidup ditumbuk sehingga pecah-pecah.
 

Daun kunyit.


Masukkan kesemua bahan-bahan di atas bersama-sama dengan daging yang telah dipotong dadu ke dalam satu periuk. Masak di atas api yang sederhana sehingga dagingnya masak. Apabila daging telah masak, matikan api, keluarkan daging dari dalam periuk dan biarkan sejuk.

Apabila daging telah sejuk, potong daging tersebut mengikut ukuran kegemaran masing-masing. Kuah rebusan daging tadi diasingkan di dalam satu bekas yang lain.
 
  Daun cekor - pilihan (optional)



Bahan-Bahan Untuk Membuat Kerabunya:

 3 helai daun kunyit muda dihiris halus-halus.
12 helai daun kaduk (boleh dicampur sebahagian daun tua, sebahagian lagi pucuk muda) - dihiris halus-halus seperti meracik daun untuk nasi ulam atau nasi kerabu.
4 batang serai dimayang/diracik halus-halus.
5 helai daun cekor, dihiris halus.
Dua biji kelapa parut digoreng untuk untuk dijadikan bahan kelapa goreng dalam kerabu ini. Goreng kelapa parut tanpa minyak dengan api yang kecil, bila warna kelapa parut tersebut agak perang, angkat.
3 sudu besar kerisik.
Secubit garam sesuai rasa.
10 ulas bawang merah atau bawang kecil dan dihiris halus-halus.
Segengam cabai kecil atau cabai Melaka, ditumbuk kasar-kasar atau pecah-pecah saja.
2 sudu besar serbuk ketumbar (boleh dibeli di pasar) – kalau rajin boleh buat sendiri.
3 biji buah limau nipis dipotong dan diperah airnya mengikut kesesuaian rasa atau rasa masam yang disukai.
Pilihan (optional) – jika mahu makan kerabu ini secara berkuah, sediakan semangkok santan pekat.
 Tindakan Seterusnya:
 Semua “Bahan-Bahan Untuk Membuat Kerabunya” di atas, digaulkan atau dicampurkan dengan daging yang telah dihiris atau dipotong nipis sehingga sekata dan kelihatan cantik adunannya.
 Kepada yang gemar makan kerabu berkuah, gaulkan adunan ini dengan semangkok santan pekat  (yang optional tadi) sehingga sebati.
 Kuah rebusan daging yang mula tadi biasanya dijadikan kuah tambahan apabila memakan kerabu ini dengan nasi.


 
Kini selesailah kerabu daging kobau caro Urang Rao - siap untuk dihidangkan.
Selamat mencoba.


 

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran