Agihan bantuan selepas MKN nilai kerosakan
LABIS: Kerajaan akan mengagihkan wang ihsan bagi meringankan beban rakyat yang menjadi mangsa banjir di seluruh negara, termasuk kerosakan kawasan pertanian dan harta benda yang akan dibuat selepas banjir pulih, kata Datuk Seri Najib Razak

Mengikut rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terdapat 13,826 keluarga atau 60,389 mangsa banjir seluruh negara ditempatkan di 356 pusat pemindahan sementara sehingga semalam. Perdana Menteri berkata, nilai kerosakan itu akan ditentukan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengikut kadar dan formula sedia ada termasuk perbincangan dengan kerajaan negeri sebagai usaha Kerajaan Pusat membantu mangsa banjir.
“Kita membantu bukan saja dari segi makanan, tetapi bantuan wang ihsan supaya dapat membantu mereka kembali membersihkan rumah dan sedikit sebanyak membeli peralatan yang mereka perlukan.
“Kita akan bagi bantuan ehsan menggunakan kadar yang ada termasuk kerosakan sektor pertanian dan keadaan rumah bagi kadar seragam untuk mereka semua,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Ayer Panas, dekat sini semalam.
Turut serta isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri, Datin Prof Jamilah Ariffin; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd Azahar Ibrahim.

Katanya, banjir yang berlaku tahun ini adalah fenomena luar biasa susulan jumlah hujan dalam tempoh 24 jam menyamai kadar selama dua bulan dan ia adalah kesan pemanasan global serta perubahan iklim yang melanda hampir semua negara seluruh dunia sehingga menyebabkan berlakunya perubahan cuaca luar biasa berbanding masa lalu.
Beliau berkata, 20 platun anggota tentera dikerah membantu mengeluarkan mangsa banjir termasuk penggunaan trak 10 tan ke kawasan yang ditenggelami banjir dan tidak boleh dilalui kenderaan lain.

Katanya, apa yang menarik perhatiannya ketika membuat tinjauan di pusat pemindahan sementara itu apabila mangsa banjir memaklumkan mereka mendapat makanan segar seperti ayam, daging dan kambing.

“Mereka memberitahu hanya makan sardin pada hari pertama banjir saja, selepas itu mereka mendapat makanan segar termasuk kari dan keadaan itu adalah lebih baik daripada menu sardin dan biskut kering, " katanya.

Source: Berita Harian Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan